Sinopsis
Novel Jendela Menghadap Jalan diceritakan
berdasarkan catatan Lili yang berlaku pada bulan Ogos
2008. Novel ini mengisahkan sifat cekal dan keberanian
Lili semasa menempuh berbagai-bagai permasalahan
sosial dan kemasyarakatan yang berlaku sepanjang cuti
persekolahannya di Kampung Sentosa. Cerita bermula
apabila Lili dihantar pulang bercuti ke kampung kelahiran
ibunya di Dungun, Terengganu dengan menaiki bas ekspres.
Ibunya berpesan kepada Lili tentang perkara-perkara yang
boleh dan tidak boleh dilakukan semasa dia berada
di kampung kelak. Semasa di dalam bas ekspres, seorang
gadis berketurunan India, Geetha duduk di sebelah Lili.
Lili menyukai panorama keaslian hutan di kampung
itu. Lili berasa hairan apabila melihat kebanyakan rumah
di kampung itu dibina dengan kedudukan jendelanya yang
rata-ratanya menghadap jalan. Dalam pertemuan itu, nenek
mengatakan bahawa Lili semakin besar. Lili menghulurkan
wang kiriman ibunya kepada nenek.
Lili tekun menunggu dan berharap agar datuknya bercerita
tentang kepentingan susunan rumah dan jendela menghadap
jalan kepadanya. Namun begitu, datuknya bercerita tentang
kelebihan dan bagaimana akar-akar kayu berupaya untuk
merawat pesakit melalui kaedah rawatan tradisional.
Nenek mengajak Lili pergi ke kedai runcit Letchumi
selepas hujan berhenti. Lecthumi yang berbadan gempal
menyambut kedatangan nenek dan Lili dengan mesranya.
Lili telah bertemu dengan Geetha semula yang merupakan
anak gadis Letchumi.
Lili terkejut dengan kehadiran tetamu di rumah datuknya
beberapa minit setelah mereka selesai bersarapan. Danel
memberitahu Lili tentang isu kubah surau yang hangat
diperkatakan oleh penduduk kampung ekoran tiadanya
pemuafakatan. Danel berterus terang tentang kunjungannya
ke rumah datuk untuk menghentikan pengambilan ubat-ubatan herba tradisional oleh bapanya menyebabkan datuk
berasa kecil hati. Datuk teguh dengan pendiriannya bahawa
kaedah rawatan tradisional lebih baik berbanding dengan
rawatan moden.
Penduduk kampung bertelagah dan tidak bersepakat
tentang isu pemasangan kubah di bumbung surau usang.
Nenek bercerita tentang nasib datuk Lili yang akan kehilangan
lima lagi pesakitnya yang datang dari Kuala Lumpur apabila mereka menggunakan ubat ajaib untuk menyembuhkan
penyakit. Datuk memberitahu Lili bahawa semua pesakitnya
telah lari. Rashid terlupa untuk menghantar Lili ke rumah
Geetha. Sebagai menebus kesalahannya, Rashid membawa
Lili berjalan-jalan di pasar malam di pekan.
Lili mengunjungi Geetha yang diserang demam. Geetha
tidak seronok bercuti di kampung kerana dia berasa bosan.
Geetha mendapatkan keizinan ibunya untuk bermalam
di rumah datuk Lili. Lili dan Geetha telah mendaki bukit
untuk menikmati pemandangan matahari terbenam dari
puncak bukit.
Geetha dan Lili ke kedai runcit yang berhampiran
untuk membeli barangan runcit. Mereka menyaksikan
peristiwa anak-anak Che Jah yang dikejar oleh sekumpulan
pemuda kerana mencuri harta benda ibunya sendiri.
Che Jah menjerit dan sambil menangis mengenangkan
sikap anak-anaknya yang tidak mengenang budi itu.
Nenek memberikan keizinan kepada Danel untuk
mengajak Lili ke pekan. Mereka singgah di restoran makanan
segera. Mereka balik ke Kampung Sentosa dengan menaiki
bas. Setibanya di kawasan kampung, Lili melihat Rafiq
yang memegang senjata tajam dikejar oleh beberapa orang
lelaki di belakangnya. Secara tiba-tiba, Rafiq menjadikan Lili
sebagai orang tahanan dengan mengacukan pisau tajam
berkilat di lehernya. Rafiq mengugut untuk mencederakan
Lili jika ada antara lelaki itu yang mendekatinya. Lili pengsan.
Apabila Lili sedar, dia mendapati kedua-dua belah tangannya
diikat ke belakang dan disembunyikan di sebuah pondok
buruk.
Lili mendengar suara Danel yang datang
menyelamatkannya. Sebagai tanda kesyukuran kerana Lili
selamat, datuk sempat mengajak beberapa orang jemaah
yang ada di rumahnya untuk mengerjakan solat hajat.
Nenek menasihati Lili agar tidak menyibuk pasal
keluarga Che Jah terutama yang melibatkan perihal Haziq
dan Rafiq. Ketika berada di rumah Che Jah, Lili memberitahu
Che Jah bahawa dia memaafkan kesalahan Rafiq dan Haziq
atas kejadian yang berlaku semalam. Che Jah terharu dan
menangis apabila mendengar kata-kata ikhlas Lili itu.
Lili melihat sebuah lori membawa kubah surau. Dia
juga buat kali pertamanya mendengar orang bertengkar
tentang kubah surau. Nenek keberatan untuk melepaskan
Lili pergi kerana memikirkan aspek keselamatan dirinya.
Danel dan Lili berbincang tentang isu pemasangan kubah
di surau atau di bumbung masjid baharu yang bakal terbina
pada suatu hari nanti.
Berlaku suasana yang getir apabila Seman memukul
sambil memaki hamun anaknya, Haziq. Orang ramai
yang datang termasuk Lili dan Danel berasa takut untuk
meleraikan perbuatan kejam Seman itu. Dari dalam rumah,
kedengaran suara jeritan Che Jah yang meminta Seman
agar menceraikannya.
Nenek pulang lewat dengan membawa khabar bahawa
Che Jah belum diceraikan suaminya. Ketika berbual dengan
Lili, Kak Mimah memberitahu Lili bahawa dia bertugas
sebagai penolong pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat,
Bahagian Warga Tua dan Keluarga. Lili sempat memberitahu
Kak Mimah tentang kes keganasan rumah tangga yang
berlaku di kampungnya itu.
Kak Mimah menyatakan kesanggupannya untuk
membantu menangani kes keganasan rumah tangga yang
melibatkan Che Jah dan Seman itu setelah diceritakan
dengan panjang lebar oleh Lili. Geetha bersetuju untuk
mengikut Lili dan akan bermalam di rumah datuk Lili. Nenek
berasa gembira ketika menyambut kedatangan Geetha ke rumahnya. Nenek membenarkan Lili dan Geetha
menziarahi Che Jah.
Datuk memberitahu Lili bahawa Kak Mimah telah
menghubunginya. Datuk bertekad hendak mengheret
Seman ke penjara. Menurut datuk, Seman telah melakukan
banyak kerosakan kepada hati orang lain, selain hati isteri
dan hati anak-anaknya. Lili mengagak bahawa Geetha dan
Danel mula jatuh cinta. Datuk berasa kesal kerana lambat
bertindak untuk memperbetul segala masalah yang berlaku
di kampungnya itu.
Lili terdengar suara kecoh di halaman rumah datuknya.
Mereka datang untuk melaporkan kubah telah dilarikan dan
mengesyaki anak-anak Che Jah yang melakukan perbuatan
mencuri itu. Lili melihat datuknya mengheret masuk Haziq
dan Rafiq di halaman rumah sambil dibantu oleh dua orang
pemuda lain.
Haziq dan Rafiq kelihatan lemah dan ada kesan
dibelasah. Wajah Haziq lebam manakala hidung Rafiq
berdarah. Mereka masuk ke dalam rumah dan merebahkan
diri di lantai ruang tamu tanpa disuruh. Lili tidak berminat
menyentuh isu kubah kerana kubah itu sudah pun dilarikan
orang. Geetha membawakan Danel minuman panas. Akibat
kebimbangan Haziq akan bertindak ganas, nenek berkawal
di muka pintu dapur dengan batang penyapu manakala
Danel pula berdiri mencuba melindungi Lili. Keadaan itu
menyebabkan Geetha berasa cemburu dan beredar dari
ruang tamu itu. Kak Mimah dan Nadia, dua orang pegawai
dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tiba di rumah datuk. Che
Jah menemui Kak Mimah di rumah datuk. Dia menceritakan
kejadian malangnya dengan panjang lebar kepada Kak
Mimah dan Nadia. Che Jah sangat bersetuju jika suaminya
dibawa ke muka pengadilan kerana kubah yang dilarikan
semalam ialah perbuatan jahat suaminya tetapi suaminya
itu telah menghalakan segala perbuatan jahatnya kepada
anak-anaknya yang sedang belajar untuk menjadi baik. Lili
dan Geetha disuruh menjaga Rafiq dan Haziq di rumah
dengan ditemani oleh Kak Bibah dan dua orang pak cik
yang belum dikenali.
Menurut Rashid, Sugi tidak terlibat dengan kemasukan
dua orang wakil pemaju perumahan yang datang memujuk
orang kampung untuk menjual tanah mereka. Che Jah
berjaya membuat laporan polis berhubung kes jenayah
suaminya dan laporan akan disediakan untuk tindakan lanjut
dari Jabatan Kebajikan Masyarakat pada minggu depan.
Datuk tidak melatah dengan semua tuduhan penduduk
kampung itu.
Ibu menghubungi Lili. Dia berasa pelik dengan
perubahan sikap anaknya yang tidak merungut sepanjang
tempoh percutiannya di kampung. Sewaktu azan subuh
berkumandang, Geetha dan Danel telah mengetuk dinding
bilik Lili untuk mengejutkannya sekali gus mengajaknya
melihat matahari terbit.
Lili, Geetha, dan Danel duduk di jeti nelayan sambil
memerhatikan keindahan matahari terbit. Ketika Lili tiba
di rumah, dia melihat ibunya sedang berbual mesra dengan
datuk dan neneknya. Menurut Lili, kebahagiaan yang paling
bermakna kepadanya adalah apabila dia melihat ibunya
berbual mesra dengan datuknya.
Datuk Lili yang bernama Haji Abdul Rahman telah
mengisahkan perjalanan hidupnya dari Kalimantan yang
berpindah-randah hingga akhirnya membuka petempatan
di Kampung Sentosa. Datuk Lili tabah menempuh berbagai-bagai rintangan dalam hidupnya hinggalah dia bertemu
dengan neneknya di sebuah tempat ajaib pada 42 tahun
dahulu.
Nenek Lili bercerita bahawa dirinya bernama Hajah
Aisyah Tan Abdullah dan berasal dari Tanah Besar China.
Dia mengikut bapanya berhijrah ke Tanah Melayu ketika
berusia sebelas tahun bersama-sama adik-beradiknya yang
lain. Dia menetap di Tanah Melayu hingga bertemu jodoh
dengan Haji Abdul Rahman.
Lili menerima sepucuk surat yang ditulis dan dihantar
oleh Danel yang mengisahkan berbagai-bagai perkara. Lili
mencatat segala peristiwa dan kejadian yang berlaku.
Cerita diakhiri dengan Lili menyambung catatannya
semula pada bulan Disember 2008. Dalam catatannya itu,
Lili berasa lega dan gembira apabila semua ujian serta
permasalahan sosial dan kemasyarakatan yang berlaku
di Kampung Sentosa berjaya ditangani. Lili tidak sabar
untuk kembali ke Kampung Sentosa bagi mendengar cerita
datuknya tentang jendela menghadap jalan.
Tema
Tema novel ini ialah kecekalan seorang gadis semasa
menempuh berbagai-bagai ujian dan rintangan.
Persoalan
(a) Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anak
kandungnya.
(b) Persoalan persaingan antara perubatan tradisional
dengan rawatan moden.
(c) Persoalan permasalahan permuafakatan untuk mencapai
kata sepakat.
(d) Persoalan suami/bapa yang kejam dan tidak
bertanggungjawab.
(e) Persoalan ketaatan seorang anak terhadap perintah ibu
bapanya.
(
f) Persoalan amanah untuk menjalankan tanggungjawab.
(g) Persoalan keganasan dalam rumah tangga.
(h) Persoalan kepentingan ilmu dalam kehidupan.
Watak dan Perwatakan
(a) Watak utama – Lili
(b) Watak sampingan – Geetha, Datuk /Haji Abdul Rahman,
Danel/Danel William, nenek/Hajah Aisyah Tan Abdullah,
Che Jah, Rafiq, Rashid/Abang Rashid, Puan Hamimah/
Kak Mimah, ibu Lili, dan sebagainya.
Lili
(a) Bapanya seorang guru manakala ibunya bertugas sebagai
pekerja syarikat cari gali minyak.
(b) Dia berusia 17 tahun.
(c) Lili berambut panjang dan memiliki tubuh yang kecil.
(d) Bersifat pendiam yang diwarisi daripada sifat ayahnya.
(e) Lili merupakan murid Tingkatan Lima dan sedang
menuntut di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan
Cina.
(f) Lili cekal menempuh semua dugaan dan masalah yang
berlaku di Kampung Sentosa.
(g) Lili amat menyayangi ibu dan bapanya. Lili sering kali
mempertahankan maruah ibunya apabila datuknya
memperkatakan sesuatu perkara yang kurang elok
tentang ibunya itu.
(h) Lili bertanggungjawab apabila menyatakan kesediaannya
menjadi saksi kes keganasan rumah tangga Che Jah.
Datuk/Haji Abdul Rahman
(a) Seorang pengamal perubatan tradisional yang disegani
di Kampung Sentosa.
(b) Beliau merupakan suami kepada Hajah Aisyah Tan
Abdullah dan mempunyai cucu, Lili.
(c) Beliau berusia lebih 70 tahun.
(d) Beliau berasal dari Kalimantan sebelum berpindah-andah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya
menetap di Kampung Sentosa, Dungun, Terengganu.
(e) Seorang yang alim dan kuat beribadat
(f) Beliau berpengetahuan luas dalam bidang perubatan
tradisional.
(h) Datuk bersabar dengan tuduhan orang kampung yang
mengaitkannya dengan wakil pemaju yang ingin membeli
tanah orang kampung.
(i) Beliau seorang yang penyayang apabila beliau merasai
kehilangan ibu Lili yang banyak menghabiskan masa
mudanya belajar di luar negara dan bekerja di ibu kota.
Geetha
(a) Seorang gadis berbangsa India.
(b) Berumur 19 tahun dan merupakan anak gadis Letchumi.
(c) Bermata jernih, berbibir nipis dan merah serta memiliki
tubuh yang kecil.
(d) Pelajar tahun pertama dalam bidang kejuruteraan awam
di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
(e) Bergiat aktif dan meminati aktiviti lasak sejak di bangku
sekolah menengah seperti mendaki gunung, merunut
hutan, dan eksplorasi gua.
(f) Peramah dan mudah mesra.
(g) Seorang yang menepati janji.
Danel/Danel William
(a) Seorang pemuda berbangsa Cina.
(b) Anak bongsu kepada William Ng.
(c) Mempunyai seorang abang yang bernama Sugi.
(d) Masih belajar di Kuala Lumpur.
(e) Meminati bidang kulinari, iaitu masakan berasaskan
pisang.
(f) Meminati bidang penulisan dan menghasilkan banyak
artikel serta rencana.
(g) Meminati aktiviti lasak seperti memanjat gunung.
Nenek/Hajah Aisyah Tan Abdullah
(a) Isteri kepada Haji Abdul Rahman.
(b) Berbangsa Cina kerana berasal Tanah Besar China.
(c) Ibu kepada ibu Lili dan nenek kepada cucunya, Lili.
(d) Mengikut bapanya berhijrah ke Tanah Melayu ketika
usianya sebelas tahun.
(e) Menghormati tetamu.
Plot
Binaan Plot
(a) Peristiwa dalam novel ini disusun secara kronologi.
(b) Pada peringkat pengenalan atau eksposisi pembaca
diperkenalkan dengan watak Lili yang mengalami konflik
dalaman apabila berpura-pura gembira kerana terpaksa
mengorbankan cuti sekolah yang ingin dimanfaatkan
bersama-sama teman-teman sekelasnya dengan pulang
ke kampung ibunya di Dungun, Terengganu.
(c) Peringkat perkembangan bermula apabila Lili berkenalan
dengan seorang gadis India bernama Geetha ketika
menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Dungun. Geetha turun
di Pekan Sentosa manakala Lili turun di Pekan Sejahtera.
Setibanya di rumah nenek, Lili menemui neneknya yang
sedang menyemai benih padi di petak semaian. Nenek
memberitahu Lili bahawa datuknya ke surau. Lili tekun
menunggu datuknya bercerita tentang kepentingan
susunan rumah dan jendela menghadap jalan. Datuk Lili
juga bercerita tentang cara-cara menyembuhkan penyakit
secara tradisional. Datuk Lili juga ghairah bercerita
tentang khasiat dan kehebatan ubat-ubatan tradisional
yang mampu merawat penyakit.
(d) Pada peringkat perumitan, datuk menyoroti kisah silam
tentang kecuaiannya mendidik ibu Lili dengan sempurna
dan sejarah pendidikan ibunya yang lulus cemerlang dalam
pelajaran. Datuk mengeluh kerana ibu Lili yang jarangjarang balik ke kampung. Datuk juga berhadapan dengan
kekecohan yang berlaku di surau kerana kehadiran pemaju
perumahan dari pekan dan peristiwa seolah-olah Danel
mempertikaikan kemampuan ubat-ubatan tradisional
sehingga menyebabkannya berasa kecil hati. Dalam suatu
peristiwa, Rafiq dan Haziq telah menjadikan Lili sebagai
orang tahanan dan mengugut untuk mencederakan Lili
sebelum Lili diselamatkan oleh Danel.
(e) Pada peringkat puncak/klimaks, Che Jah menceritakan
kejadian malangnya secara panjang lebar kepada Kak
Mimah dan Nadia, dua orang pegawai dari Jabatan
Kebajikan Masyarakat. Dia bersetuju jika suaminya
dibawa ke muka pengadilan kerana melarikan kubah. Lili
mencadangkan agar Haziq dan Rafiq dihantar ke pusat
pemulihan akhlak dan cadangannya itu dipersetujui oleh
Kak Mimah.
(f) Pada peringkat peleraian, Rashid memaklumkan bahawa
Sugi tidak terlibat dengan wakil pemaju perumahan yang
memujuk orang kampung untuk menjual tanah mereka.
Che Jah telah berjaya membuat laporan polis berhubung
dengan kes keganasan rumah tangga. Datuk pula bersikap
rasional dan tidak melatah dengan semua tuduhan
yang dilemparkan kepadanya. Danel mempertahankan bahawa abang kandungnya, Sugi tidak bersalah dalam
pembelian tanah orang kampung. Lili dan Danel berasa
amat gembira kerana suara mereka akhirnya didengar
oleh orang dewasa di kampung itu. Mereka bersetuju
untuk membina masjid. Lili berasa gembira apabila
melihat ibunya sedang berbual mesra dengan datuk dan
neneknya. Nenek Lili memberitahu sebab jendela dibina
menghadap ke jalan. Lili menerima surat daripada Danel
dan tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa.
Teknik Plot
(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan
perwatakan ibu Lili yang mempunyai rupa paras yang
sangat menawan dan mempunyai sifat yang berbeza
daripada suaminya, bapa Lili.
(b) Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Lili dengan
ibunya tentang sebab wajah Lili yang muram.
(c) Teknik imbas kembali. Contohnya, ketika pertama kali Lili
melihat wajah Geetha yang berbibir nipis dan merah,
ingatan Lili terus beralih kepada bintang filem Hindustan.
(d) Teknik imbas muka. Contohnya, Lili berasa bimbang dan
sangat bersimpati akan nasib kedua-dua anak Che Jah,
Haziq dan Rafiq. Lili berasa takut dan membuat andaian
jika orang kampung terlalu marah, dua beradik itu akan
mati dipukul, atau dibunuh oleh ibu bapanya sendiri.
(e) Teknik kejutan. Contohnya, peristiwa pemuda Cina yang
menyapa dan melemparkan senyuman kepada Lili
di perhentian bas, Pekan Sentosa. Pembaca tidak
menyangka rupa-rupanya pemuda itu ingin memulangkan
buku Lili yang tercicir sewaktu dia turun tergesa-gesa dari
bas.
Latar
Latar Masa
(a) Tempoh dua minggu pada Ogos 2008, Disember 2008.
(b) 42 tahun yang lalu.
(c) Musim cuti persekolahan.
(d) Musim tengkujuh/hujan.
(e) Waktu siang.
(f) Waktu awal pagi/subuh.
(g) Waktu pagi.
(h) Waktu tengah hari.
(i) Waktu petang.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang prihatin terhadap isu keganasan rumah
tangga.
(b) Masyarakat yang berdedikasi ketika menjalankan tugas.
(c) Masyarakat yang mengamalkan nilai kasih sayang dalam
kehidupan.
(d) Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap kesihatan
keluarga.
(e) Masyarakat yang tekun dan rajin belajar sehingga berjaya
dalam hidup.
(f) Masyarakat yang hormat-menghormati antara satu
dengan yang lain tanpa mengira kaum dan agama.
(g) Masyarakat kampung yang menyara kehidupan dalam
bidang pertanian dan kerja-kerja kampung.
Latar Tempat
(a) Kampung Sentosa.
(b) Pekan Sentosa.
(c) Rumah Datuk/Haji Abdul Rahman.
(d) Rumah Lili di Kuala Lumpur.
(e) Rumah Che Jah.
(f) Puncak Bukit.
(g) Jeti nelayan.
Gaya Bahasa
(a) Personifikasi. Contohnya, Sehinggalah jam lonceng di
tepi katil menjerit dengan kuatnya., … tapi yang pasti
aku dapat merasai, jauh di sudut hatiku terpancar nilai-nilai seni yang sengaja dirumitkan, dan tidak tumpah
ke pipinya.
(b) Simile. Contohnya, kencang, seperti nafas orang
diserang asma, aku gerun melihat tangannya yang
kecut macam lobak, kedatangannya dengan mesra,
tapi bagaikan kaset rosak, dan kampung ini ibarat
seekor ular yang sangat berbisa macam ular tedung.
(c) Metafora. Contohnya, perut bas ekspres, garis
kebimbangan, dan basikal tua.
(d) Peribahasa. Contohnya, minta diri, buah tangan, menjaga
tepi kain orang, dan biar lambat asalkan selamat.
(e) Inversi. Contohnya, Tidak berapa lama kemudian dia
pun terlena (Sepatutnya: Dia pun terlena tidak berapa
lama kemudian.), Itulah masalahnya, aku tidak faham
(Sepatutnya: Aku tidak faham, itulah masalahnya.)
Nilai
(a) Kasih sayang. Contohnya, Lili amat mengasihi ibu dan
bapanya apabila dia tidak membantah cadangan ibunya
yang akan menghantarnya bercuti ke kampung datuknya.
(b) Tanggungjawab. Contohnya, Kak Mimah dan Nadia
bertanggungjawab terhadap nasib malang Che Jah yang
menjadi mangsa keganasan suaminya.
(c) Bijaksana. Contohnya, Danel bijak menggunakan waktu
malam sebagai masa yang sesuai untuk menyelamatkan
Lili yang dikurung dan diikat oleh Rafiq dan Haziq.
(d) Belas kasihan. Contohnya, Lili berasa amat bersimpati
terhadap nasib Che Jah yang mempunyai suami kaki judi
dan bersikap panas baran.
(e) Kesabaran. Contohnya, datuk dan nenek Lili begitu sabar
ketika menangani kerenah dan provokasi sekumpulan
penunjuk perasaan yang datang membuat bantahan
di hadapan rumahnya.
(f) Keadilan. Contohnya, Seman yang sering memukul
isterinya, Che Jah dan anak-anaknya berjaya ditangkap
oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak
polis untuk didakwa di mahkamah.
(g) Keberanian. Contohnya, Geetha dan Lili berani mendaki
puncak bukit pada lewat petang semata-mata untuk
melihat kejadian matahari terbenam tanpa ditemani oleh
orang lelaki dewasa.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah mengamalkan kasih sayang dalam
kehidupan. Contohnya, Lili amat mengasihi ibu dan
bapanya. Dia tidak membantah cadangan ibunya yang
mahu menghantarnya bercuti ke kampung kelahiran
ibunya di Dungun, Terengganu walaupun hatinya begitu
berat untuk berbuat demikian.
(b) Kita hendaklah bersikap jujur dan berterus terang.
Contohnya, Che Jah bercerita secara jujur tentang sikap
buruk suaminya kepada Kak Mimah dan Nadia yang
berusaha untuk menyelesaikan isu kemelut rumah
tangganya itu.
(c) Kita mestilah bersabar ketika menghadapi cabaran dalam
kehidupan. Contohnya, nenek Lili begitu sabar menangani
kerenah dan provokasi sekumpulan penduduk yang
datang membuat bantahan di hadapan rumahnya kerana
perasaan tidak puas hati mereka tentang pelbagai perkara.
(d) Kita mestilah gigih dan tekun ketika mempelajari satu-satu bidang. Contohnya, Lili gigih mempelajari bahasa
asing sehingga dia boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasihnya dan juga tahu berkomunikasi
dalam beberapa bahasa asing yang lain, iaitu bahasa
Thai, bahasa Jepun, dan bahasa Latin.
(e) Kita haruslah taat akan suruhan dan arahan ibu bapa.
Contohnya, Lili taat dan akur akan suruhan ibunya yang
akan menghantarnya bercuti ke kampung kelahiran
ibunya di Dungun, Terengganu.
(f) Kita perlulah prihatin terhadap keperluan orang
lain. Contohnya, Lili menawarkan khidmatnya untuk
membantu Geetha setelah melihat keadaan Geetha
yang kelam-kabut ketika mula-mula duduk bersebelahan
tempat duduknya di dalam bas ekspres.
(g) Kita perlulah bijak menguasai keadaan cemas. Contohnya,
Danel tidak bertindak balas terhadap aksi agresif Rafiq
yang menahan Lili dengan sebilah pisau tajam diacukan
ke leher Lili demi keselamatan nyawa sahabatnya itu.