Sabtu, 12 Mac 2022

KOMSAS TINGKATAN 4 - CERPEN MUNSYI

Sinopsis

    Mel ingin bekerja dan menetap di ibu kota. Namun demikian, hasratnya itu dibantah oleh bondanya. Bonda memberikan alasan bahawa Mel masih belum menguasai ilmu agama dan masih kurang mahir dari segi penguasaan bahasa ibunda. Bonda juga sedar bahawa anaknya masih belum dilengkapi ilmu pengetahuan yang secukupnya. 

    Bonda Mel telah menceritakan berbagai-bagai kisahyang berkaitan dengan kehilangan nilai tradisi nenek moyang oleh anak-anak muda di ibu kota yang mudah tergadai maruah diri atas nama kemajuan. Menurut bonda Mel lagi, warga kota yang berbilang kaum mengamalkan sikap prejudis dan berprasangka serta mengutamakan kepentingan diri masing-masing. Pada suatu ketika dahulu, kota pernah mencatatkan sejarah hitam akibat sentimen perkauman yang berpunca daripada pihak penjajah yang berjaya menanamkan benih-benih persengketaan. 

    Mel bertekad untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman dahulu sebelum benar-benar bersedia untuk berhijrah ke ibu kota. Akhirnya, bonda Mel merestui pemergiannya setelah meyakini kemampuan anaknya itu untuk hidup berdikari di ibu kota. Bonda Mel turut mengirim kitab-kitab lama bertulisan jawi untuk dihadiahkan kepada sahabat lamanya yang bernama Munsyi.

    Pada minggu-minggu pertama Mel berada di ibu kota, dia berasa sedih dan malu apabila melihat anak-anak muda yang sebangsa dengannya telah hilang maruah diri dengan mengamalkan pergaulan bebas dan menggunakan bahasa rojak. Bagi Mel, mereka telah kehilangan identiti dan jati diri. Mel kemudiannya mendapat khabar tentang projek pembinaan bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang di atas tanah rizab Melayu di pinggir kota. Semua keluarga yang tinggal di tanah rizab tersebut diarahkan berpindah termasuklah Munsyi.

    Seminggu selepas Mel diberitakan kisah tentang projek pembinaan bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang di atas tanah rizab Melayu di pinggir kota bakal dilaksanakan, Mel tergamam apabila melihat rumah Munsyi bersama-sama dengan puluhan buku lama yang diberikan oleh bondanya hancur diranapkan oleh jentera berat. Kesedihannya semakin bertambah apabila mengenangkan satu-satunya tanah rizab bangsa di pinggir kota itu akan dimiliki oleh saudagar asing yang akan mengaut keuntungan kelak. Mel tidak dapat menemui Munsyi. Mel berusaha untuk menjejaki Munsyi tetapi gagal. Orang tua yang merupakan pejuang bahasa itu telah menghilangkan diri.


Tema

Tema cerpen ini ialah semangat cinta akan agama, bangsa, bahasa, dan budaya.


Persoalan

(a) Kepentingan pengamalan semangat patriotisme dan jati diri dalam jiwa anak-anak muda.
(b) Pengekalan anutan agama, bahasa, dan budaya tradisi yang diwarisi sejak zaman-berzaman.
(c) Keseronokan dunia yang mempengaruhi tingkah laku anak-anak muda di ibu kota.
(d) Kekuatan pegangan agama sebagai benteng pencegahan anasir luar.
(e) Kehidupan warga kota yang penuh dengan pelbagai cabaran.
(f) Kepentingan mempelajari dan menghayati sejarah.
(g) Kegigihan semasa melakukan sesuatu perkara.
(h) Kesan penjajahan kepada penduduk peribumi.


Watak dan Perwatakan

(a) Watak utama – Mel
(b) Watak sampingan – Bonda dan Munsyi

Mel

(a) Anak lelaki kepada bonda.
(b) Patuh akan nasihat dan pesanan bondanya.
(c) Rasional semasa membuat keputusan.
(d) Mempunyai jati diri yang teguh.
(e) Mempunyai semangat patrotik yang tinggi.
(f) Amat menghormati orang tua.
(g) Sangat menyayangi ibunya.
(h) Pandai hidup berdikari.
(i) Gigih semasa melakukan sesuatu perkara.
(j) Bersikap amanah dan jujur.
(k) Bijak merancang masa depan.
(l) Rajin menimba ilmu.
(m) Berjiwa sensitif dan mudah menaruh perasaan belas terhadap nasib orang lain.
(n) Berani semasa membuat keputusan.

Bonda

(a) Ibu kepada Mel.
(b) Penyayang dan banyak memberikan kata-kata nasihat dan pesanan kepada Mel.
(c) Berjiwa patriotik.
(d) Berilmu dan berpengetahuan luas.
(e) Amanah.
(f) Berpendirian tegas.
(g) Baik hati.
(h) Berani semasa melakukan tindakan.

Munsyi

(a) Sahabat baik kepada bonda dan tinggal di ibu kota.
(b) Berusia emas dan mempunyai janggut yang menutupi sebahagian mukanya yang putih bersih.
(c) Pejuang bahasa.
(d) Memiliki ilmu bahasa yang tinggi.
(e) Berhemah tinggi.
(f) Mengagungkan seni dan budaya tradisi bangsa.
(g) Mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.


Latar

Latar Tempat

(a) Rumah Mel.
(b) Rumah Munsyi.
(c) Kampung Mel, iaitu Mel dan Bondanya menetap di situ.
(d) Sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota yang merupakan tanah rizab Melayu.
(e) Ibu kota.

Latar Masa

(a) Bulan Mei.
(b) Beberapa purnama.
(c) Pada suatu hari.
(d) Minggu pertama berada di kota.
(e) Seminggu selepas itu.
(f) Lebih kurang lima ratus tahun yang lampau.
(g) Seminggu selepas proses merobohkan rumah-rumah di kampung tradisi.

Latar Masyarakat

(a) Masyarakat yang amat mencintai agama, bahasa, budaya, dan adat resam turun-temurun.
(b) Masyarakat yang amat mempertahankan maruah dan harga diri.
(c) Masyarakat yang berpendirian tegas semasa membuat keputusan.
(d) Masyarakat yang bijak merancang masa depan.
(e) Masyarakat kota yang hilang maruah dan jati diri.
(f) Masyarakat yang amanah dan jujur untuk menyempurnakan hajat seseorang.
(g) Masyarakat yang menjadi mangsa pembangunan.
(h) Masyarakat penjajah yang mengamalkan gaya pemerintahan ‘pecah dan perintah’.


Plot

Binaan Plot

(a) Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara kronologi.

(b) Plot permulaan cerpen ini dimulai dengan hasrat Mel/ penulis yang ingin bekerja dan menetap di ibu kota. Hasratnya itu dibantah oleh bondanya/ibunya. Bonda memberikan alasan bahawa Mel masih belum menguasai ilmu agama dan lemah dari segi penguasaan bahasa ibunda.

(c) Pada tahap perkembangan, penulis memerihalkan kisah bonda Mel yang menceritakan berbagai-bagai kisah yang berkaitan dengan kehilangan nilai tradisi nenek moyang oleh anak-anak muda di ibu kota yang mudah tergadai maruah diri atas nama kemajuan. Menurut bonda Mel lagi, warga kota yang berbilang kaum mengamalkan sikap prejudis dan berprasangka serta mengutamakan kepentingan diri masing-masing. Pada suatu ketika dahulu, kota pernah mencatatkan sejarah hitam akibat sentimen perkauman yang berpunca daripada pihak penjajah yang berjaya menanamkan benih-benih persengketaan. Mel bertekad untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman dahulu sebelum benar-benar bersedia untuk berhijrah ke ibu kota. Akhirnya, bonda Mel merestui pemergiannya setelah meyakini kemampuan anaknya itu hidup berdikari di ibu kota. Bonda Mel turut mengirimkan kitab-kitab lama bertulisan jawi untuk dihadiahkan kepada sahabat lamanya yang bernama Munsyi.

(d) Tahap perumitan cerpen ini apabila Mel berasa sedih dan malu apabila melihat anak anak muda yang sebangsa dengannya di ibu kota hilang maruah diri dengan mengamalkan pergaulan bebas dan menggunakan bahasa rojak. Bagi Mel, mereka telah kehilangan identiti dan jati diri. Mel kemudiannya mendapat khabar tentang projek pembinaan bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang di atas tanah rizab Melayu di pinggir kota. Semua keluarga yang tinggal di tanah rizab tersebut diarahkan berpindah termasuklah Munsyi.

(e) Klimaks cerpen ini apabila Mel tergamam melihat rumah Munsyi bersama-sama dengan puluhan buku lama yang diberikan oleh bondanya hancur diranapkan oleh jentera berat. Kesedihannya semakin bertambah apabila mengenangkan satu-satunya tanah rizab bangsa di pinggir kota itu akan dimiliki oleh saudagar asing yang akan mengaut keuntungan kelak. Mel tidak dapat menemui Munsyi.

(f) Peleraian cerpen ini bermula apabila Mel berusaha untuk menjejaki Munsyi tetapi gagal. Orang tua yang merupakan pejuang bahasa itu telah menghilangkan diri.

Teknik Plot

(a) Teknik pemerian. Contohnya, penulis memerihalkan suasana tegang yang berlaku di kawasan perkampungan tradisi di pinggir ibu kota ketika kerja-kerja merobohkan rumah-rumah kayu usang penduduk dijalankan oleh pihak berkuasa.

(b) Teknik dialog. Contohnya, “Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya?”

(c) Teknik imbas kembali. Contohnya, penulis teringat kembali cerita ibunya mengenai peristiwa rusuhan kaum yang pernah berlaku di ibu kota mewah itu.

(d) Teknik imbas muka. Contohnya, Mel membayangkan satu-satunya tanah rizab milik bangsa Melayu di ibu kota akan berpindah milik kepada saudagar asing apabila kawasan itu akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah serta hotel bertaraf lima bintang.

(e) Teknik kejutan. Contohnya, pembaca terkejut dan tidak menduga sama sekali bahawa Munsyi akan menghilangkan diri apabila rumahnya dirobohkan.


Gaya Bahasa

(a) Penggunaan ayat pendek, ayat sederhana panjang, dan ayat panjang.

(b) Metafora. Contohnya, Hasrat untuk menjengah wajah kota yang pesat, penjajah menabur bara sengketadan hanya ingin menghidupkan roh patriotisme.

(c) Peribahasa. Contohnya, baru setahun jagung, besar hati.

(d) Personifikasi. Contohnya, pesan mulus yang lama terpahat di pangkal hati dan pesan itu menyuburi hati dan perasaan saya.


Nilai

(a) Patriotisme. Contohnya, bonda berusaha untuk menanamkan semangat patriotik dalam diri Mel dengan harapan Mel akan menjadi seorang pejuang yang berani mempertahankan nilai dan kepentingan bangsa sendiri kelak.

(b) Tanggungjawab. Contohnya, bonda menjaga khazanah nenek moyangnya yang berupa kitab-kitab lama bertulisan jawi yang tidak ternilai harganya dengan begitu cermat.

(c) Nilai hormat-menghormati. Contohnya, Mel amat menghormati Munsyi sebagai seorang pejuang bahasa.

(d) Kasih sayang. Contohnya, bonda berpesan dan menasihati Mel agar sentiasa menjaga agama dan bahasa ibundanya sewaktu dia berada di ibu kota.

(e) Berdikari. Contohnya, Mel berhijrah seorang diri ke ibu kota untuk mencari kerja yang dapat menjamin kehidupan yang lebih sempurna untuk masa depannya.

(f) Kegigihan. Contohnya, Mel berusaha untuk menjejaki rumah Munsyi sehingga berjaya berpandukan peta yang dibekalkan oleh bondanya.

(g) Ketaatan. Contohnya, Mel patuh akan arahan bondanya agar menangguhkan pemergiannya ke ibu kota atas faktor ilmu dan pengalamannya yang masih cetek.

(h) Amanah. Contohnya, Mel menyerahkan naskhah-naskhah kitab lama milik bondanya kepada Munsyi yang menetap di perkampungan tradisi di ibu kota.


Pengajaran

(a) Kita perlulah mencintai agama, bahasa, budaya, dan adat resam turun-temurun dengan sepenuh hati.
(b) Kita hendaklah mempertahankan maruah dan jati diri.
(c) Kita perlulah mengikut nasihat orang tua-tua yang lebih berpengalaman.
(d) Kita hendaklah bijak merancang masa depan.
(e) Kita mestilah mengamalkan sikap amanah dan jujur semasa menyempurnakan hajat seseorang.
(f) Kita mestilah berpendirian tegas untuk membuat keputusan.
(g) Kita perlulah memahami dan menghayati sejarah tanah air kerana sejarah merupakan fakta kebenaran, bukannya suatu pembohongan.
(h) Kita tidak sewajarnya menggadai maruah dan harga diri untuk mengejar keduniaan. 

Isnin, 7 Mac 2022

KOMSAS TINGKATAN 2 - PANTUN ALAM REMAJA

Maksud

Rangkap 1
Anak-anak akan berasa sangat gembira sewaktu menyambut kepulangan ibu ke rumah.

Rangkap 2
Ketakutan dan kerisauan anak-anak sewaktu ketiadaan ibu akan hilang apabila melihat ibu pulang ke rumah.

Rangkap 3
Anak-anak akan berasa sangat gembira jika ibu cepat pulang ke rumah.

Rangkap 4
Adik-beradik menyanyikan sebarang lagu bersama-sama.

Rangkap 5
Kepulangan ayah dan ibu ke rumah merupakan detik yang paling menggembirakan anak-anak.

Rangkap 6
Pemberian atau hadiah daripada ibu bapa membuatkan anak-anak berasa gembira.

Rangkap 7
Ibu bapa tidak sewajarnya memarahi anak-anak yang gemar berpantun kerana anak-anak yang masih kecil biasanya manja.


Tema

Kegembiraan anak-anak sewaktu menyambut kepulangan ibu bapa mereka ke rumah.


Persoalan

(a) Tanggungjawab ibu bapa ialah memberikan kasih sayang dan kebahagiaan kepada anak-anak.
(b) Pemberian hadiah dapat menggembirakan hati seseorang.
(c) Anak-anak sentiasa cemas dan risau sewaktu ketiadaan ibu bapa di rumah.


Bentuk dan Ciri-ciri Pantun

(a) Terdiri daripada tujuh rangkap.
(b) Berisi empat baris setiap rangkap.
(c) Ada pembayang dan maksudnya.
(d) Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata sebaris.
(e) Terdiri daripada sembilan hingga sepuluh suku kata sebaris.
(f) Bentuknya terikat.


Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a) Imej alam. Contohnya, itik; kumpai; ayam kinantan; ranting; rumput.
(b) Peribahasa. Contohnya, besar hati.
(c) Inversi. Contohnya, Elok rupanya kumbang jati; Sebarang tari kita tarikan; Sebarang nyanyi kita nyanyikan.
(d) Asonansi. Contohnya, Tidak terkatakan besar hati (perulangan vokal a).
(e) Aliterasi. Contohnya, Hanyut batang berlilit kumpai (perulangan konsonan b).
(f) Rima akhirnya sama, iaitu abab kecuali rangkap kedua rima akhirnya aaaa.


Nilai

(a) Kasih sayang.
(b) Tanggungjawab.
(c) Baik hati.
(d) Hormat-menghormati.


Pengajaran

(a) Kita mestilah menyayangi anak-anak.
(b) Kita mestilah bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak.
(c) Kita haruslah bersikap pemurah untuk mengukuhkan ikatan antara anggota keluarga.
(d) Kita haruslah menghormati ibu bapa.

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...