Maksud
Isnin, 7 Mac 2022
KOMSAS TINGKATAN 2 - PANTUN ALAM REMAJA
Selasa, 11 Januari 2022
KOMSAS TINGKATAN 4 - NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN (RUHAINI MATDARIN) Edisi: Perlis, Kedah, Pulau Pinang
Sinopsis
Novel Jendela Menghadap Jalan diceritakan berdasarkan catatan Lili yang berlaku pada bulan Ogos 2008. Novel ini mengisahkan sifat cekal dan keberanian Lili semasa menempuh berbagai-bagai permasalahan sosial dan kemasyarakatan yang berlaku sepanjang cuti persekolahannya di Kampung Sentosa. Cerita bermula apabila Lili dihantar pulang bercuti ke kampung kelahiran ibunya di Dungun, Terengganu dengan menaiki bas ekspres. Ibunya berpesan kepada Lili tentang perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa dia berada di kampung kelak. Semasa di dalam bas ekspres, seorang gadis berketurunan India, Geetha duduk di sebelah Lili.
Lili menyukai panorama keaslian hutan di kampung itu. Lili berasa hairan apabila melihat kebanyakan rumah di kampung itu dibina dengan kedudukan jendelanya yang rata-ratanya menghadap jalan. Dalam pertemuan itu, nenek mengatakan bahawa Lili semakin besar. Lili menghulurkan wang kiriman ibunya kepada nenek.
Lili tekun menunggu dan berharap agar datuknya bercerita tentang kepentingan susunan rumah dan jendela menghadap jalan kepadanya. Namun begitu, datuknya bercerita tentang kelebihan dan bagaimana akar-akar kayu berupaya untuk merawat pesakit melalui kaedah rawatan tradisional.
Nenek mengajak Lili pergi ke kedai runcit Letchumi selepas hujan berhenti. Lecthumi yang berbadan gempal menyambut kedatangan nenek dan Lili dengan mesranya. Lili telah bertemu dengan Geetha semula yang merupakan anak gadis Letchumi.
Lili terkejut dengan kehadiran tetamu di rumah datuknya beberapa minit setelah mereka selesai bersarapan. Danel memberitahu Lili tentang isu kubah surau yang hangat diperkatakan oleh penduduk kampung ekoran tiadanya pemuafakatan. Danel berterus terang tentang kunjungannya ke rumah datuk untuk menghentikan pengambilan ubat-ubatan herba tradisional oleh bapanya menyebabkan datuk berasa kecil hati. Datuk teguh dengan pendiriannya bahawa kaedah rawatan tradisional lebih baik berbanding dengan rawatan moden.
Penduduk kampung bertelagah dan tidak bersepakat tentang isu pemasangan kubah di bumbung surau usang. Nenek bercerita tentang nasib datuk Lili yang akan kehilangan lima lagi pesakitnya yang datang dari Kuala Lumpur apabila mereka menggunakan ubat ajaib untuk menyembuhkan penyakit. Datuk memberitahu Lili bahawa semua pesakitnya telah lari. Rashid terlupa untuk menghantar Lili ke rumah Geetha. Sebagai menebus kesalahannya, Rashid membawa Lili berjalan-jalan di pasar malam di pekan.
Lili mengunjungi Geetha yang diserang demam. Geetha tidak seronok bercuti di kampung kerana dia berasa bosan. Geetha mendapatkan keizinan ibunya untuk bermalam di rumah datuk Lili. Lili dan Geetha telah mendaki bukit untuk menikmati pemandangan matahari terbenam dari puncak bukit.
Geetha dan Lili ke kedai runcit yang berhampiran untuk membeli barangan runcit. Mereka menyaksikan peristiwa anak-anak Che Jah yang dikejar oleh sekumpulan pemuda kerana mencuri harta benda ibunya sendiri. Che Jah menjerit dan sambil menangis mengenangkan sikap anak-anaknya yang tidak mengenang budi itu.
Nenek memberikan keizinan kepada Danel untuk mengajak Lili ke pekan. Mereka singgah di restoran makanan segera. Mereka balik ke Kampung Sentosa dengan menaiki bas. Setibanya di kawasan kampung, Lili melihat Rafiq yang memegang senjata tajam dikejar oleh beberapa orang lelaki di belakangnya. Secara tiba-tiba, Rafiq menjadikan Lili sebagai orang tahanan dengan mengacukan pisau tajam berkilat di lehernya. Rafiq mengugut untuk mencederakan Lili jika ada antara lelaki itu yang mendekatinya. Lili pengsan. Apabila Lili sedar, dia mendapati kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang dan disembunyikan di sebuah pondok buruk.
Lili mendengar suara Danel yang datang menyelamatkannya. Sebagai tanda kesyukuran kerana Lili selamat, datuk sempat mengajak beberapa orang jemaah yang ada di rumahnya untuk mengerjakan solat hajat.
Nenek menasihati Lili agar tidak menyibuk pasal keluarga Che Jah terutama yang melibatkan perihal Haziq dan Rafiq. Ketika berada di rumah Che Jah, Lili memberitahu Che Jah bahawa dia memaafkan kesalahan Rafiq dan Haziq atas kejadian yang berlaku semalam. Che Jah terharu dan menangis apabila mendengar kata-kata ikhlas Lili itu.
Lili melihat sebuah lori membawa kubah surau. Dia juga buat kali pertamanya mendengar orang bertengkar tentang kubah surau. Nenek keberatan untuk melepaskan Lili pergi kerana memikirkan aspek keselamatan dirinya. Danel dan Lili berbincang tentang isu pemasangan kubah di surau atau di bumbung masjid baharu yang bakal terbina pada suatu hari nanti.
Berlaku suasana yang getir apabila Seman memukul sambil memaki hamun anaknya, Haziq. Orang ramai yang datang termasuk Lili dan Danel berasa takut untuk meleraikan perbuatan kejam Seman itu. Dari dalam rumah, kedengaran suara jeritan Che Jah yang meminta Seman agar menceraikannya.
Nenek pulang lewat dengan membawa khabar bahawa Che Jah belum diceraikan suaminya. Ketika berbual dengan Lili, Kak Mimah memberitahu Lili bahawa dia bertugas sebagai penolong pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Warga Tua dan Keluarga. Lili sempat memberitahu Kak Mimah tentang kes keganasan rumah tangga yang berlaku di kampungnya itu.
Kak Mimah menyatakan kesanggupannya untuk membantu menangani kes keganasan rumah tangga yang melibatkan Che Jah dan Seman itu setelah diceritakan dengan panjang lebar oleh Lili. Geetha bersetuju untuk mengikut Lili dan akan bermalam di rumah datuk Lili. Nenek berasa gembira ketika menyambut kedatangan Geetha ke rumahnya. Nenek membenarkan Lili dan Geetha menziarahi Che Jah.
Datuk memberitahu Lili bahawa Kak Mimah telah menghubunginya. Datuk bertekad hendak mengheret Seman ke penjara. Menurut datuk, Seman telah melakukan banyak kerosakan kepada hati orang lain, selain hati isteri dan hati anak-anaknya. Lili mengagak bahawa Geetha dan Danel mula jatuh cinta. Datuk berasa kesal kerana lambat bertindak untuk memperbetul segala masalah yang berlaku di kampungnya itu.
Lili terdengar suara kecoh di halaman rumah datuknya. Mereka datang untuk melaporkan kubah telah dilarikan dan mengesyaki anak-anak Che Jah yang melakukan perbuatan mencuri itu. Lili melihat datuknya mengheret masuk Haziq dan Rafiq di halaman rumah sambil dibantu oleh dua orang pemuda lain.
Haziq dan Rafiq kelihatan lemah dan ada kesan dibelasah. Wajah Haziq lebam manakala hidung Rafiq berdarah. Mereka masuk ke dalam rumah dan merebahkan diri di lantai ruang tamu tanpa disuruh. Lili tidak berminat menyentuh isu kubah kerana kubah itu sudah pun dilarikan orang. Geetha membawakan Danel minuman panas. Akibat kebimbangan Haziq akan bertindak ganas, nenek berkawal di muka pintu dapur dengan batang penyapu manakala Danel pula berdiri mencuba melindungi Lili. Keadaan itu menyebabkan Geetha berasa cemburu dan beredar dari ruang tamu itu. Kak Mimah dan Nadia, dua orang pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tiba di rumah datuk. Che Jah menemui Kak Mimah di rumah datuk. Dia menceritakan kejadian malangnya dengan panjang lebar kepada Kak Mimah dan Nadia. Che Jah sangat bersetuju jika suaminya dibawa ke muka pengadilan kerana kubah yang dilarikan semalam ialah perbuatan jahat suaminya tetapi suaminya itu telah menghalakan segala perbuatan jahatnya kepada anak-anaknya yang sedang belajar untuk menjadi baik. Lili dan Geetha disuruh menjaga Rafiq dan Haziq di rumah dengan ditemani oleh Kak Bibah dan dua orang pak cik yang belum dikenali.
Menurut Rashid, Sugi tidak terlibat dengan kemasukan dua orang wakil pemaju perumahan yang datang memujuk orang kampung untuk menjual tanah mereka. Che Jah berjaya membuat laporan polis berhubung kes jenayah suaminya dan laporan akan disediakan untuk tindakan lanjut dari Jabatan Kebajikan Masyarakat pada minggu depan. Datuk tidak melatah dengan semua tuduhan penduduk kampung itu. Ibu menghubungi Lili. Dia berasa pelik dengan perubahan sikap anaknya yang tidak merungut sepanjang tempoh percutiannya di kampung. Sewaktu azan subuh berkumandang, Geetha dan Danel telah mengetuk dinding bilik Lili untuk mengejutkannya sekali gus mengajaknya melihat matahari terbit.
Lili, Geetha, dan Danel duduk di jeti nelayan sambil memerhatikan keindahan matahari terbit. Ketika Lili tiba di rumah, dia melihat ibunya sedang berbual mesra dengan datuk dan neneknya. Menurut Lili, kebahagiaan yang paling bermakna kepadanya adalah apabila dia melihat ibunya berbual mesra dengan datuknya.
Datuk Lili yang bernama Haji Abdul Rahman telah mengisahkan perjalanan hidupnya dari Kalimantan yang berpindah-randah hingga akhirnya membuka petempatan di Kampung Sentosa. Datuk Lili tabah menempuh berbagai-bagai rintangan dalam hidupnya hinggalah dia bertemu dengan neneknya di sebuah tempat ajaib pada 42 tahun dahulu.
Nenek Lili bercerita bahawa dirinya bernama Hajah Aisyah Tan Abdullah dan berasal dari Tanah Besar China. Dia mengikut bapanya berhijrah ke Tanah Melayu ketika berusia sebelas tahun bersama-sama adik-beradiknya yang lain. Dia menetap di Tanah Melayu hingga bertemu jodoh dengan Haji Abdul Rahman.
Lili menerima sepucuk surat yang ditulis dan dihantar oleh Danel yang mengisahkan berbagai-bagai perkara. Lili mencatat segala peristiwa dan kejadian yang berlaku.
Cerita diakhiri dengan Lili menyambung catatannya semula pada bulan Disember 2008. Dalam catatannya itu, Lili berasa lega dan gembira apabila semua ujian serta permasalahan sosial dan kemasyarakatan yang berlaku di Kampung Sentosa berjaya ditangani. Lili tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa bagi mendengar cerita datuknya tentang jendela menghadap jalan.
Tema
Tema novel ini ialah kecekalan seorang gadis semasa menempuh berbagai-bagai ujian dan rintangan.
Persoalan
(a) Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anak kandungnya.
(b) Persoalan persaingan antara perubatan tradisional dengan rawatan moden.
(c) Persoalan permasalahan permuafakatan untuk mencapai kata sepakat.
(d) Persoalan suami/bapa yang kejam dan tidak bertanggungjawab.
(e) Persoalan ketaatan seorang anak terhadap perintah ibu bapanya. (
f) Persoalan amanah untuk menjalankan tanggungjawab.
(g) Persoalan keganasan dalam rumah tangga.
(h) Persoalan kepentingan ilmu dalam kehidupan.
Watak dan Perwatakan
(a) Watak utama – Lili
(b) Watak sampingan – Geetha, Datuk /Haji Abdul Rahman, Danel/Danel William, nenek/Hajah Aisyah Tan Abdullah, Che Jah, Rafiq, Rashid/Abang Rashid, Puan Hamimah/ Kak Mimah, ibu Lili, dan sebagainya.
Lili
(a) Bapanya seorang guru manakala ibunya bertugas sebagai pekerja syarikat cari gali minyak.
(b) Dia berusia 17 tahun.
(c) Lili berambut panjang dan memiliki tubuh yang kecil.
(d) Bersifat pendiam yang diwarisi daripada sifat ayahnya.
(e) Lili merupakan murid Tingkatan Lima dan sedang menuntut di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina.
(f) Lili cekal menempuh semua dugaan dan masalah yang berlaku di Kampung Sentosa.
(g) Lili amat menyayangi ibu dan bapanya. Lili sering kali mempertahankan maruah ibunya apabila datuknya memperkatakan sesuatu perkara yang kurang elok tentang ibunya itu.
(h) Lili bertanggungjawab apabila menyatakan kesediaannya menjadi saksi kes keganasan rumah tangga Che Jah.
Datuk/Haji Abdul Rahman
(a) Seorang pengamal perubatan tradisional yang disegani di Kampung Sentosa.
(b) Beliau merupakan suami kepada Hajah Aisyah Tan Abdullah dan mempunyai cucu, Lili.
(c) Beliau berusia lebih 70 tahun.
(d) Beliau berasal dari Kalimantan sebelum berpindah-andah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya menetap di Kampung Sentosa, Dungun, Terengganu.
(e) Seorang yang alim dan kuat beribadat
(f) Beliau berpengetahuan luas dalam bidang perubatan tradisional.
(h) Datuk bersabar dengan tuduhan orang kampung yang mengaitkannya dengan wakil pemaju yang ingin membeli tanah orang kampung.
(i) Beliau seorang yang penyayang apabila beliau merasai kehilangan ibu Lili yang banyak menghabiskan masa mudanya belajar di luar negara dan bekerja di ibu kota.
Geetha
(a) Seorang gadis berbangsa India.
(b) Berumur 19 tahun dan merupakan anak gadis Letchumi.
(c) Bermata jernih, berbibir nipis dan merah serta memiliki tubuh yang kecil.
(d) Pelajar tahun pertama dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
(e) Bergiat aktif dan meminati aktiviti lasak sejak di bangku sekolah menengah seperti mendaki gunung, merunut hutan, dan eksplorasi gua.
(f) Peramah dan mudah mesra.
(g) Seorang yang menepati janji.
Danel/Danel William
(a) Seorang pemuda berbangsa Cina.
(b) Anak bongsu kepada William Ng.
(c) Mempunyai seorang abang yang bernama Sugi.
(d) Masih belajar di Kuala Lumpur.
(e) Meminati bidang kulinari, iaitu masakan berasaskan pisang.
(f) Meminati bidang penulisan dan menghasilkan banyak artikel serta rencana.
(g) Meminati aktiviti lasak seperti memanjat gunung.
Nenek/Hajah Aisyah Tan Abdullah
(a) Isteri kepada Haji Abdul Rahman.
(b) Berbangsa Cina kerana berasal Tanah Besar China.
(c) Ibu kepada ibu Lili dan nenek kepada cucunya, Lili.
(d) Mengikut bapanya berhijrah ke Tanah Melayu ketika usianya sebelas tahun.
(e) Menghormati tetamu.
Plot
Binaan Plot
(a) Peristiwa dalam novel ini disusun secara kronologi.
(b) Pada peringkat pengenalan atau eksposisi pembaca diperkenalkan dengan watak Lili yang mengalami konflik dalaman apabila berpura-pura gembira kerana terpaksa mengorbankan cuti sekolah yang ingin dimanfaatkan bersama-sama teman-teman sekelasnya dengan pulang ke kampung ibunya di Dungun, Terengganu.
(c) Peringkat perkembangan bermula apabila Lili berkenalan dengan seorang gadis India bernama Geetha ketika menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Dungun. Geetha turun di Pekan Sentosa manakala Lili turun di Pekan Sejahtera. Setibanya di rumah nenek, Lili menemui neneknya yang sedang menyemai benih padi di petak semaian. Nenek memberitahu Lili bahawa datuknya ke surau. Lili tekun menunggu datuknya bercerita tentang kepentingan susunan rumah dan jendela menghadap jalan. Datuk Lili juga bercerita tentang cara-cara menyembuhkan penyakit secara tradisional. Datuk Lili juga ghairah bercerita tentang khasiat dan kehebatan ubat-ubatan tradisional yang mampu merawat penyakit.
(d) Pada peringkat perumitan, datuk menyoroti kisah silam tentang kecuaiannya mendidik ibu Lili dengan sempurna dan sejarah pendidikan ibunya yang lulus cemerlang dalam pelajaran. Datuk mengeluh kerana ibu Lili yang jarangjarang balik ke kampung. Datuk juga berhadapan dengan kekecohan yang berlaku di surau kerana kehadiran pemaju perumahan dari pekan dan peristiwa seolah-olah Danel mempertikaikan kemampuan ubat-ubatan tradisional sehingga menyebabkannya berasa kecil hati. Dalam suatu peristiwa, Rafiq dan Haziq telah menjadikan Lili sebagai orang tahanan dan mengugut untuk mencederakan Lili sebelum Lili diselamatkan oleh Danel.
(e) Pada peringkat puncak/klimaks, Che Jah menceritakan kejadian malangnya secara panjang lebar kepada Kak Mimah dan Nadia, dua orang pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dia bersetuju jika suaminya dibawa ke muka pengadilan kerana melarikan kubah. Lili mencadangkan agar Haziq dan Rafiq dihantar ke pusat pemulihan akhlak dan cadangannya itu dipersetujui oleh Kak Mimah.
(f) Pada peringkat peleraian, Rashid memaklumkan bahawa Sugi tidak terlibat dengan wakil pemaju perumahan yang memujuk orang kampung untuk menjual tanah mereka. Che Jah telah berjaya membuat laporan polis berhubung dengan kes keganasan rumah tangga. Datuk pula bersikap rasional dan tidak melatah dengan semua tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Danel mempertahankan bahawa abang kandungnya, Sugi tidak bersalah dalam pembelian tanah orang kampung. Lili dan Danel berasa amat gembira kerana suara mereka akhirnya didengar oleh orang dewasa di kampung itu. Mereka bersetuju untuk membina masjid. Lili berasa gembira apabila melihat ibunya sedang berbual mesra dengan datuk dan neneknya. Nenek Lili memberitahu sebab jendela dibina menghadap ke jalan. Lili menerima surat daripada Danel dan tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa.
Teknik Plot
(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan perwatakan ibu Lili yang mempunyai rupa paras yang sangat menawan dan mempunyai sifat yang berbeza daripada suaminya, bapa Lili.
(b) Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Lili dengan ibunya tentang sebab wajah Lili yang muram.
(c) Teknik imbas kembali. Contohnya, ketika pertama kali Lili melihat wajah Geetha yang berbibir nipis dan merah, ingatan Lili terus beralih kepada bintang filem Hindustan.
(d) Teknik imbas muka. Contohnya, Lili berasa bimbang dan sangat bersimpati akan nasib kedua-dua anak Che Jah, Haziq dan Rafiq. Lili berasa takut dan membuat andaian jika orang kampung terlalu marah, dua beradik itu akan mati dipukul, atau dibunuh oleh ibu bapanya sendiri.
(e) Teknik kejutan. Contohnya, peristiwa pemuda Cina yang menyapa dan melemparkan senyuman kepada Lili di perhentian bas, Pekan Sentosa. Pembaca tidak menyangka rupa-rupanya pemuda itu ingin memulangkan buku Lili yang tercicir sewaktu dia turun tergesa-gesa dari bas.
Latar
Latar Masa
(a) Tempoh dua minggu pada Ogos 2008, Disember 2008.
(b) 42 tahun yang lalu.
(c) Musim cuti persekolahan.
(d) Musim tengkujuh/hujan.
(e) Waktu siang.
(f) Waktu awal pagi/subuh.
(g) Waktu pagi.
(h) Waktu tengah hari.
(i) Waktu petang.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang prihatin terhadap isu keganasan rumah tangga.
(b) Masyarakat yang berdedikasi ketika menjalankan tugas.
(c) Masyarakat yang mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan.
(d) Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap kesihatan keluarga.
(e) Masyarakat yang tekun dan rajin belajar sehingga berjaya dalam hidup.
(f) Masyarakat yang hormat-menghormati antara satu dengan yang lain tanpa mengira kaum dan agama.
(g) Masyarakat kampung yang menyara kehidupan dalam bidang pertanian dan kerja-kerja kampung.
Latar Tempat
(a) Kampung Sentosa.
(b) Pekan Sentosa.
(c) Rumah Datuk/Haji Abdul Rahman.
(d) Rumah Lili di Kuala Lumpur.
(e) Rumah Che Jah.
(f) Puncak Bukit.
(g) Jeti nelayan.
Gaya Bahasa
(a) Personifikasi. Contohnya, Sehinggalah jam lonceng di tepi katil menjerit dengan kuatnya., … tapi yang pasti aku dapat merasai, jauh di sudut hatiku terpancar nilai-nilai seni yang sengaja dirumitkan, dan tidak tumpah ke pipinya.
(b) Simile. Contohnya, kencang, seperti nafas orang diserang asma, aku gerun melihat tangannya yang kecut macam lobak, kedatangannya dengan mesra, tapi bagaikan kaset rosak, dan kampung ini ibarat seekor ular yang sangat berbisa macam ular tedung.
(c) Metafora. Contohnya, perut bas ekspres, garis kebimbangan, dan basikal tua.
(d) Peribahasa. Contohnya, minta diri, buah tangan, menjaga tepi kain orang, dan biar lambat asalkan selamat.
(e) Inversi. Contohnya, Tidak berapa lama kemudian dia pun terlena (Sepatutnya: Dia pun terlena tidak berapa lama kemudian.), Itulah masalahnya, aku tidak faham (Sepatutnya: Aku tidak faham, itulah masalahnya.)
Nilai
(a) Kasih sayang. Contohnya, Lili amat mengasihi ibu dan bapanya apabila dia tidak membantah cadangan ibunya yang akan menghantarnya bercuti ke kampung datuknya.
(b) Tanggungjawab. Contohnya, Kak Mimah dan Nadia bertanggungjawab terhadap nasib malang Che Jah yang menjadi mangsa keganasan suaminya.
(c) Bijaksana. Contohnya, Danel bijak menggunakan waktu malam sebagai masa yang sesuai untuk menyelamatkan Lili yang dikurung dan diikat oleh Rafiq dan Haziq.
(d) Belas kasihan. Contohnya, Lili berasa amat bersimpati terhadap nasib Che Jah yang mempunyai suami kaki judi dan bersikap panas baran.
(e) Kesabaran. Contohnya, datuk dan nenek Lili begitu sabar ketika menangani kerenah dan provokasi sekumpulan penunjuk perasaan yang datang membuat bantahan di hadapan rumahnya.
(f) Keadilan. Contohnya, Seman yang sering memukul isterinya, Che Jah dan anak-anaknya berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak polis untuk didakwa di mahkamah.
(g) Keberanian. Contohnya, Geetha dan Lili berani mendaki puncak bukit pada lewat petang semata-mata untuk melihat kejadian matahari terbenam tanpa ditemani oleh orang lelaki dewasa.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah mengamalkan kasih sayang dalam kehidupan. Contohnya, Lili amat mengasihi ibu dan bapanya. Dia tidak membantah cadangan ibunya yang mahu menghantarnya bercuti ke kampung kelahiran ibunya di Dungun, Terengganu walaupun hatinya begitu berat untuk berbuat demikian.
(b) Kita hendaklah bersikap jujur dan berterus terang. Contohnya, Che Jah bercerita secara jujur tentang sikap buruk suaminya kepada Kak Mimah dan Nadia yang berusaha untuk menyelesaikan isu kemelut rumah tangganya itu.
(c) Kita mestilah bersabar ketika menghadapi cabaran dalam kehidupan. Contohnya, nenek Lili begitu sabar menangani kerenah dan provokasi sekumpulan penduduk yang datang membuat bantahan di hadapan rumahnya kerana perasaan tidak puas hati mereka tentang pelbagai perkara.
(d) Kita mestilah gigih dan tekun ketika mempelajari satu-satu bidang. Contohnya, Lili gigih mempelajari bahasa asing sehingga dia boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasihnya dan juga tahu berkomunikasi dalam beberapa bahasa asing yang lain, iaitu bahasa Thai, bahasa Jepun, dan bahasa Latin.
(e) Kita haruslah taat akan suruhan dan arahan ibu bapa. Contohnya, Lili taat dan akur akan suruhan ibunya yang akan menghantarnya bercuti ke kampung kelahiran ibunya di Dungun, Terengganu.
(f) Kita perlulah prihatin terhadap keperluan orang lain. Contohnya, Lili menawarkan khidmatnya untuk membantu Geetha setelah melihat keadaan Geetha yang kelam-kabut ketika mula-mula duduk bersebelahan tempat duduknya di dalam bas ekspres.
(g) Kita perlulah bijak menguasai keadaan cemas. Contohnya, Danel tidak bertindak balas terhadap aksi agresif Rafiq yang menahan Lili dengan sebilah pisau tajam diacukan ke leher Lili demi keselamatan nyawa sahabatnya itu.
Jumaat, 26 November 2021
KOMSAS TINGKATAN 3 - SAJAK SENJA DI PALANG BESI
Maksud
Rangkap 1
Suatu senja menyaksikan tebaran cahayanya yang makin suram dan hanya dapat dilihat oleh penyajak melalui celah- celah lubang sel penjara yang memisahkannya dengan dunia luar yang terpaksa diisi dengan suasana yang sepi dan penuh kekesalan di hati.
Rangkap 2
Waktu senja yang dahulunya membawa bahagia kepada penyajak kini bertukar sayu tatkala menjelang malam kerana penyajak terpaksa hidup di dalam sel penjara yang menyakitkan, terbuang, dan terasing dari dunia luar.
Rangkap 3
Dalam sel penjara yang bersambung antara palang besi, penyajak resah berteleku dalam suasana hening akibat dipenjarakan tanpa ditemani suasana bising. Pada waktu senja yang semakin menghampiri malam, penyajak merasakan jiwanya semakin sunyi dan merasakan itulah hukuman kemanusiaan terhebat yang perlu ditempuhinya.
Tema
Kesengsaraan dan kesepian seorang banduan yang hidup di dalam sel penjara.
Persoalan
(a) Penyesalan hidup yang tiada berpenghujung.
(b) Kehidupan di dalam sel penjara yang amat memilukan.
(c) Penderitaan hidup yang terpaksa ditempuhi sendirian.
(d) Harga kebebasan bagi sebuah kehidupan.
Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
(a) Terdiri daripada tiga rangkap.
(b) Rangkap pertama dan kedua mempunyai enam baris, dan rangkap ketiga mempunyai lapan baris.
(c) Bilangan katanya tiga hingga sembilan patah kata.
(d) Terdiri daripada tujuh hingga lapan belas suku kata.
(e) Berbentuk bebas.
Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Anafora. Contohnya, dalam keterbuangan yang merangkum dalam keterasingan yang mencengkam
(b) Responsi. Contohnya, dalam keterbuangan yang merangkum dalam keterasingan yang mencengkam
(c) Metafora. Contohnya, jemari malam, samudera jiwa.
(d) Personifikasi. Contohnya, Senja mula menangis.
(e) Kata ganda. Contohnya, kuntum-kuntum, dedawai.
(f) Inversi. Contohnya, Pilu wajahmu sang senja.
(g) Asonansi. Contohnya, hukuman terhebat hikayat kemanusiaan (perulangan vokal a).
(h) Aliterasi. Contohnya: Tanpa pasir pantai atau silir angin (perulangan konsonan p).
(i) Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abcdef, rima akhir bagi rangkap kedua ialah aabcbb, dan rima akhir bagi rangkap ketiga ialah abcddedd.
Nada
Melankolik.
Nilai
(a) Ketabahan.
(b) Kebebasan.
(c) Keredaan.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala negatif yang boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam penjara.
(b) Kita hendaklah menghargai nikmat kebebasan hidup yang dikurniakan oleh Tuhan.
(c) Kita mestilah menjadi orang yang mematuhi undang-undang negara.
(d) Kita hendaklah berfikir secara rasional dalam membuat sebarang tindakan agar tidak tersilap langkah melakukan perkara yang negatif.
Isnin, 8 November 2021
KOMSAS TINGKATAN 4 - CERPEN JAKET KULIT KIJANG DARI ISTANBUL
Sinopsis
Penulis, iaitu seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Mas. Dengan hanya berbekalkan wang sebanyak USD400 (RM1 800), dia telah mengikuti rombongan Passage Tours and Travel ke Istanbul, Turki. Penulis telah membuat senarai cenderamata yang ingin dibelinya untuk dibawa pulang ke tanah air sebagai ole-ole. Wang sebanyak itu akan digunakan secara berhemat ketika berada di negara orang.
Kisah ini terjadi apabila Mas bersama-sama Kak Chah, Dr. Liza, Shahmeem, Hajah Zalehon, dan Hajah Normah berkunjung ke Grand Bazaar yang terletak tidak jauh dari hotel penginapannya. Grand Bazaar ialah sebuah pusat beli-belah yang mempunyai lebih 6 000 buah kedai. Sebelum itu, penulis telah dinasihati oleh seorang pemandu pelancong yang bernama Encik Yuksel tentang perkaraperkara yang perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan penipuan oleh para peniaga. Ketika berkunjung ke kedaikedai tersebut, penulis disapa oleh pekedai berbangsa Turki dari sebuah kedai yang menjual jaket kulit. Pekedai itu meminta penulis mencuba sehelai jaket kulit yang berkualiti tinggi yang diperbuat daripada kulit kijang. Pekedai itu menawarkan potongan harga yang rendah. Pekedai itu cuba sedaya upaya memujuk penulis untuk membeli jaket tersebut. Desakan lelaki itu semacam memerangkap dan memaksa penulis untuk membelinya.
Mas telah menolak secara sopan untuk membeli jaket yang dicubanya itu disebabkan jaket itu bukan dalam senarai barang yang ingin dibelinya. Rupa-rupanya tindakan itu telah menimbulkan rasa kurang senang pekedai itu. Dia menuduh penulis sebagai wanita Muslim yang tidak baik kerana membuang masanya. Layanan yang agak kasar itu membuatkan penulis berasa kurang selesa. Penulis akhirnya teringat akan pesanan pemandu pelancong sebelum ini agar berhati-hati ketika berurusan dengan peniaga di Istanbul.
Mas gemar membaca. Dia sempat membaca puisi yang ditulis oleh Mevlana Celaleddin Ar-Rumi berdasarkan buku yang dibelinya semasa melawat ke makam Mevlana Celaleddin Ar-Rumi di Konya. Puisi yang ditulis oleh Mevlana Celaleddin banyak membicarakan kasih sayang sesama insan. Hal ini amat bertentangan dengan sikap yang ditunjukkan oleh lelaki peniaga Turki itu.
Seterusnya, Mas mengisahkan pula perjalanannya pada hari keenam di Istanbul. Kesusahan yang dialami oleh wanita tua, penjual makanan burung menyentuh perasaannya. Selain itu, kisah seorang budak lelaki yang cuba menjual barangan di pasaran gelap diceritakan juga oleh penulis. Budak lelaki itu bukan sahaja ditangkap tetapi dilayan tanpa ada rasa kemanusiaan oleh pihak polis. Layanan kasar ini juga menyebabkan penulis teringat akan puisi tulisan Mevlana Celaleddin Ar-Rumi yang banyak menceritakan perihal kemanusiaan.
Rakan penulis yang bernama Shahmeem akhirnya membeli sehelai jaket daripada seorang lelaki tua yang menjualnya di pasaran gelap ketika mereka beratur untuk menaiki feri menyeberangi Selat Bhosporus. Harga yang ditawarkan ialah USD120 jauh lebih murah daripada harga di bazaar. Oleh sebab jaket kulit itu tidak sepadan dengan Shahmeem, dia menjualnya kepada penulis. Penulis tidak nampak rasionalnya dia membeli jaket itu untuk kegunaan di Malaysia yang beriklim panas. Mas akhirnya terbeli jaket kulit kijang meskipun dia langsung tidak berniat untuk membelinya pada mulanya.
Mas berpendapat bahawa jaket kulit kijang itu sebenarnya lambang kemewahan dan kemegahan. Hal ini dikatakan demikian kerana lebih seekor kijang perlu dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket. Dalam pada itu, ingatan penulis tertumpu pada hasil penulisan tinggalan Nasreddin Hodja, iaitu tokoh pendidik yang berjiwa humoris dan mengamalkan cara hidup sederhana. Beliau tidak suka akan pembaziran dan kemewahan.
Shahmeem gembira kerana Mas sudi membeli jaket kulit itu walaupun harga yang dijualnya jauh lebih murah daripada harga asal. Mas berhasrat untuk menjual jaket itu di kedai pakaian terpakai apabila pulang ke Malaysia nanti. Penulis bercadang untuk mendermakan wang jualan jaket itu kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang. Hal ini sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup manusia yang penuh kemodenan. Sesungguhnya, Mas lebih suka hidup bersederhana.
Tema
Cerpen ini membawa tema pengalaman seorang pelancong yang mengalami berbagai-bagai pengalaman sepanjang tempoh kunjungannya itu.
Persoalan
(a) Kebijaksanaan semasa membuat perancangan.
(b) Sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab dalam perniagaan.
(c) Kepentingan hormat-menghormati sesama manusia.
(d) Kesanggupan melakukan kegiatan haram untuk meneruskan kelangsungan hidup.
(e) Keprihatinan terhadap haiwan liar yang terancam.
Watak dan Perwatakan
(a) Watak utama – Mas.
(b) Watak sampingan – lelaki Turki, Shahmeem, Mevlana Celaleddin Ar-Rumi, dan Nasreddin Hodja.
Penulis/Mas
(a) Mas ialah seorang daripada peserta pakej pelancongan ke Istanbul, Turki.
(b) Seorang yang berpendidikan tinggi.
(c) Seorang yang bijak merancang perbelanjaan.
(d) Dia gemar membaca buku dan bahan bacaan terutama hasil penulis ternama.
(e) Seorang yang baik hati dan pemurah.
(f) Seorang yang berhemah tinggi.
(g) Seorang yang penyabar.
(h) Dia gemar melancong atau mengembara.
(i) Dia seorang yang berpendirian teguh.
(j) Dia mencintai hidupan liar.
(k) Dia bijak menjaga keselamatan diri.
Pekedai lelaki berbangsa Turki
(a) Peniaga di Grand Bazaar, Istanbul.
(b) Seorang yang peramah.
(c) Seorang yang pandai berpura-pura untuk memenangi hati pelanggan.
(d) Seorang yang tidak beretika ketika berniaga.
Kak Chah
(a) Seorang peserta pakej pelancongan ke Istanbul, Turki.
(b) Bijak dalam urusan tawar-menawar harga barangan.
(c) Bersikap berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara.
(d) Prihatin akan keperluan orang lain.
(e) Teliti semasa berbelanja.
Shahmeem
(a) Seorang peserta pakej pelancongan ke Istanbul, Turki.
(b) Bijak berikhtiar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
(c) Baik hati dan bertimbang rasa.
(d) Menghargai jasa orang lain.
(e) Gopoh dan kurang berhati-hati ketika berbelanja.
Latar
Latar Tempat
(a) Istanbul, Turki.
(b) Grand Bazaar.
(c) Sebuah kedai di Grand Bazaar.
(d) Di dalam bas.
(e) Egyptian Market.
(f) Pigeon Valley.
Latar Masa
(a) Hari kelima lawatan ke Turki.
(b) Hari keenam lawatan ke Turki.
(c) Malam terakhir di Istanbul.
(d) Semasa dalam perjalanan pulang ke hotel.
(e) Setiap waktu subuh dan maghrib.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang gemar melancong dan mengembara untuk menimba ilmu pengetahuan dan menambah pengalaman.
(b) Masyarakat yang berpendidikan tinggi.
(c) Masyarakat yang baik hati dan pemurah.
(d) Masyarakat yang gemar membaca.
(e) Masyarakat yang mencintai hidupan liar.
(f) Masyarakat yang pandai berpura-pura.
(g) Masyarakat yang berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara.
(h) Masyarakat peniaga yang tidak beretika.
(i) Masyarakat penulis yang banyak meninggalkan hasil penulisan yang berkualiti.
Plot
Binaan Plot
(a) Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara tidak kronologi.
(b) Permulaan atau eksposisi cerpen ini dimulai apabila Mas/penulis menyertai sekumpulan pelancong sebanyak 30 orang dari Malaysia melancong ke Istanbul, Turki.
(c) Pada tahap perkembangan, penulis menceritakan kumpulan pelancong ini berkunjung ke pusat beli-belah yang dikenali Grand Bazaar. Encik Yuksel, pemandu pelancong bagi rombongan tersebut, memberikan panduan dan nasihat agar lebih berhati-hati ketika berbelanja di Grand Bazaar kerana tidak mahu mereka terjerat oleh tipu muslihat peniaga di situ. Mas dan kumpulannya berjalan-jalan hingga tiba di sebuah kedai menjual jaket kulit. Pekedai itu mempelawa mereka masuk dan melayan mereka dengan ramahnya.
(d) Tahap perumitan/konflik bermula apabila Mas/penulis dimarahi oleh seorang pekedai lelaki yang tidak berpuas hati kerana tidak membeli jaket kulit yang telah dicubanya. Pekedai tersebut menuduh Mas sebagai perempuan Muslim yang tidak baik, selain mengeluarkan kata-kata kesat.
(e) Klimaks cerpen ini adalah apabila Mas/penulis sedar bahawa dia tidak memerlukan jaket kulit kijang itu. Oleh hal yang demikian, dia berhasrat untuk menjual jaket itu kepada sebuah kedai pakaian terpakai apabila pulang ke Malaysia nanti.
(f) Peleraian cerpen ini bermula apabila penulis bercadang untuk mendermakan wang jualan jaket itu kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup manusia yang penuh kemodenan.
Teknik Plot
(a) Teknik pemerian. Contohnya, penulis menerangkan keadaan di dalam sebuah kedai menjual jaket kulit yang dimasukinya di Grand Bazaar, Istanbul.
(b) Teknik imbas kembali. Contohnya, Mas teringat kembali akan jenaka sufi yang telah dibacanya dalam 202 Jokes of Nasreddin Hodja yang dibelinya di Capadocia. Nasreddin Hodja lahir di Horto dan dibesarkan di Aksehir, Turki semasa zaman pemerintahan Sultan Timur Leng.
(c) Teknik imbas muka. Contohnya: Mas membayangkan wajah-wajah kegembiraan rakannya ketika menerima cenderamata yang dibelinya dari Turki tersebut.
Gaya Bahasa
(a) Pengarang menggunakan beberapa perkataan bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa Inggeris.
(b) Pengarang menggunakan ayat pendek, ayat sederhana panjang, dan ayat panjang.
(c) Simile. Contohnya, umpama senjata untuk mempertahankan diri, seperti bintang filem jika memakai jaket kulit.
(d) Penggunaan kata bahasa Inggeris. Contohnya, Made in Turkey.
Nilai
(a) Suka menimba ilmu. Contohnya, penulis memiliki minat membaca terutama hasil karya penulis tersohor.
(b) Berhemat. Contohnya, penulis membuat perancangan lebih awal bagi mengawal perbelanjaannya.
(c) Kemanusiaan. Contohnya, penulis berasa sedih apabila pihak polis menggunakan kekerasan terhadap budak lelaki yang menjual barangan di pasaran gelap.
(d) Sayang akan hidupan liar. Contohnya, penulis sedih kerana haiwan seperti kijang dibunuh untuk diambil kulitnya bagi membuat jaket.
(e) Baik hati. Contohnya, penulis telah merancang untuk membeli cenderamata untuk dihadiahkan kepada keluarga dan sahabat handainya di tanah air.
(f) Kesabaran. Contohnya, penulis masih dapat bersabar terhadap tindakan lelaki Turki yang menghamburkan kata-kata kesat dan memaksanya membeli jaket.
(g) Kesopanan. Contohnya, walaupun menerima layanan buruk daripada pekedai, penulis tetap menunjukkan sikap sopannya.
(h) Penghargaan. Contohnya, penulis amat menghargai hasil tinggalan penulis Mevlana Celaleddin Ar-Rumi dan Nasreddin Hodja.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah menambahkan pengetahuan dan pengalaman dengan melancong ke luar negara sekiranya berkemampuan.
(b) Kita mestilah bijak merancang perbelanjaan.
(c) Kita perlulah berwaspada terhadap muslihat para peniaga yang cuba menjerat pelanggan.
(d) Kita perlulah berusaha untuk menyelamatkan hidupan liar yang yang semakin mengalami kepupusan.
(e) Kita hendaklah memiliki perasaan simpati terhadap golongan miskin.
(f) Kita perlulah bersikap pemurah dan baik hati terhadap orang lain.
(g) Kita hendaklah bersikap hormat-menghormati terhadap orang lain tanpa mengira bangsa, agama, dan negara.
(h) Kita perlulah rasional ketika berbelanja dan tidak membeli barangan yang tidak diperlukan.
SUMBER : NOTA BESTARI KOMSAS
Ahad, 11 November 2018
KOMSAS TINGKATAN 5 : CERPEN CINTA AHMAD MUTAWAKKIL
- Ahamad Mutawakkil seorang pejuang nasionalis berjuang membebaskan negara daripada penjajah Inggeris dan PKM (Parti Komunis Malaya). Ahamad telah ditemui dalam keadaan cedera parah oleh penduduk kampung semasa mereka selesai sembahyang maghrib di surau. Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap memapah Ahamad yang cedera di bahu serta membaringkannya. Ahamad tercungap-cungap dan akhirnya pengsan.
- Kampung Ahamad telah diterokai sejak tiga generasi yang berkebun dan bertanam padi. Pada tahun 30-an Tuan Booth datang ke situ dan meneroka hutan dengan mengupah beratus-ratus buruh untuk menanam getah. Ahamad menjadi yatim piatu apabila bapanya, Wak Sadir meninggal dunia. Ahamad terpaksa hidup menumpang Tuan Booth selama 3 tahun.
- Pada tahun 1941, Jepun telah menjajah Tanah Melayu. Tuan Booth terpaksa berpindah dan kekejaman Jepun menjadikan penduduk hidup susah. Ahamad telah dijadikan anak angkat oleh Imam Deraman. Beliau mengajar Ahamad termasuklah bercakap bahasa Inggeris. Pada tahun 1943, Ahamad bekerja di bandar.
- Pada tahun 1945 Jepun kalah akibat serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Pada Tahun 1946, Ahamad menjadi seorang yang berpengaruh dan semua ucapannya dipercayai oleh orang kampung serta daerahnya. Tuan Booth balik semula ke estetnya dan beliau sungguh mesra dengan orang kampung di situ serta mengeratkan hubungan antara penduduk di kampung itu.
- Ahamad menjadi seorang pejuang nasionalisme dan semakin terserlah perjuangan serta menentang perjuangan komunis serta penjajah melalui pidato dan penulisannya di dalam surat khabar. Akhirnya dia telah mendapat jawatan nombor dua dalam partinya pada tahun 1952. Anak Tuan Booth iaitu Sandra pula jatuh hati kepada Ahamad dan ini menimbulkan prasangka kepada orang kampungnya.
- Pada tahun 1948, komunis mula mengganas di Perak dan Ahamad semakin tegas menyedarkan rakyat supaya menentang ideologi komunis. Akibatnya, komunis menyerbu banglo tuan Booth dan membunuh 5 orang penghuni. Mereka mengugut Tuan Booth supaya menasihati Ahamad supaya berhenti mengajak orang kampung membenci Komunis. Ahamad tidak mendengar nasihat Tuan Booth dan Penghulu Sigap, sebaliknya dia semakin berani bersuara dengan lantang.
- Pada malam Jumaat yang lepas semasa menyampaikan ceramah, seorang budak lelaki telah datang berjumpa Ahamad. Ahamad mengikuti budak itu dan sejak itu Ahamad hilang dan tidak ditemui. Tiga kumpulan penduduk termasuk Tuan Booth telah berusaha mencari Ahmad tetapi Ahamad tidak dijumpai.
- Akhirnya, selepas solat maghrib itu, segala kerungsingan penduduk kampung tentang kehilangan Ahamad telah terjawab apabila Ahamad muncul dalam keadaan cedera parah. Ahamad meninggal dunia di atas riba Imam Ngah Deraman dan Penghulu Sigap akibat ditembak dengan 3 das peluru. Pada malam 31 Ogos 1957, penduduk kampung mengadakan doa tanda kemerdekaan serta tahlil ke atas Ahamad.
- Tuan Booth balik ke England seminggu selepas kemerdekaan Tanah Melayu. Setahun selepas itu, Sandra balik semula ke banglo bapanya kerana terkenangkan cintanya kepada Ahamad. Dia telah mengajar anak-anak penduduk kampung membaca dan menulis.
- Kegigihan dan keberanian seorang pemuda berkorban nyawa untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air.
- Contohnya, Ahmad Mutawakkil seorang yang berani menyampaikan maklumat kepada masyarakat agar berani menuntut kemerdekaan daripada penjajah serta menentang ideologi komunis.
- Kasih sayang sesama ahli keluarga. Contohnya, Tuan Booth bertindak membawa semua ahli keluarganya berpindah semasa penjajahan Jepun kerana beliau menyayangi keluarganya.
- Ketabahan menghadapi kesukaran hidup semasa peperangan. Contohnya, penduduk kampung sentiasa tabah dan sabar ketika menghadapi kesusahan hidup semasa penjajahan Jepun dan keganasan komunis.
- Semangat patriotisme yang tinggi dalam diri seorang pejuang tanah air. Contohnya, Ahamad sentiasa berjuang untuk menyedarkan rakyat untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah serta kekejaman komunis.
- Hubungan cinta yang sangat mendalam. Contohnya, Sandra amat mencintai Ahamad sehingga dia sanggup kembali semula ke banglo bapanya setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
- Kerjasama yang erat dalam kalangan masyarakat. Contohnya, penduduk kampung bersatu membentuk tiga kumpulan untuk mencari Ahamad yang hilang.
- Kekejaman dan kezaliman pihak penjajah terhadap masyarakat. Contohnya, pengganas menyerang banglo Tuan Booth dan membunuh lima penghuni di banglo itu.
1. Latar Tempat
- Surau kampung
- Ahmad balik dalam keadaan cedera parah di surau itu pada waktu selepas maghrib. Di surau itu dia meninggal dunia kerana ditembak oleh komunis.
- Banglo Tuan Booth
- Tuan Booth tinggal di banglo estet itu bersama keluarganya. Di situ juga 5 orang dibunuh oleh komunis.
- Estet Ephill dan Estet Sungai Siput
- komunis membunuh 3 orang pengurus estet berbangsa Inggeris.
- bandar
- Ahmad bekerja di bandar sebagai pembaca dan penulis surat Inggeris kepada penentang Jepun.
- Tanah Estet Tuan Booth
- tempat 15 keluarga buruh dari India tinggal dan bekerja di estet itu.
- Laman estet Tuan Booth
- Komunis melepaskan tembakan ke udara untuk menakut-nakutkan orang kampung daripada menentang mereka.
- England
- Tuan Booth dan keluarganya pulang ke England selepas seminggu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
2. Latar Masa:
- pertengahan tahun 30-an
- Tuan Booth datang ke kampung itu dan membuka estet getah serta menggaji ratusan buruh.
- waktu pagi
- 5 orang komunis memasuki banglo tuan Booth dan mendesaknya supaya menasihati Ahamad agar tidak menghasut rakyat menentang komunis.
- waktu petang
- Tuan Booth selalu pergi ke surau untuk bersembang dengan penduduk kampung.
- waktu malam
- Ahamad selalu menyampaikan pidato untuk menyedarkan rakyat supaya menuntut kemerdekaan.
- tahun 1941
- Tentera Jepun menjajah Tanah Melayu dan Tuan Booth keluar dari banglonya untuk menyelamatkan diri.
- Malam Jumaat
- Ahmad melangkah lemah kerana kecederaan ke surau kampungnya. Dia meninggal dunia pada malam itu kerana ditembak komunis.
- 31 ogos 1957
- Penduduk kampung mengadakan majlis doa kesyukuran kerana kemerdekaan negara dan mengadakan tahlil untuk Ahmad.
- seminggu selepas merdeka
- Tuan Booth balik ke England.
- 31 Ogos 1958
- Sandra balik semula ke banglo bapanya kerana dia terkenang akan cintanya kepada Ahamad.
3. Latar Masyarakat:
- masyarakat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi
- Ahmad memberi pidato kepada penduduk kampung supaya bangun menentang penjajah dan komunis.
- masyarakat Melayu
- tinggal di kawasan pedalaman sejak 3 generasi yang lalu dengan berkebun dan bersawah padi.
- masyarakat yang bersatu padu
- orang kampung membentuk 3 kumpulan untuk bersama-sama mencari Ahamad yang hilang.
- masyarakat yang menjadi mangsa keganasan
- Ahmad, 5 orang penghuni bunglo dan 3 orang pengurus estet berbangsa Inggeris menjadi mangsa keganasan komunis.
- Masyarakat penjajah yang bertindak mengaut keuntungan
- Tuan Booth membuka ladang getah di Tanah Melayu untuk mengaut keuntungan.
- Kumpulan komunis
- kumpulan ini bertindak ganas dan kejam membunuh ramai mangsa termasuk Ahamad.
F. BAHASA
1. bahasa Arab - solat maghrib/ Alhamdulillah/ syahadah
2. bahasa slanga/ bahasa pasar - "Gua tau...lu... Kasi tau sama ....."
3. Repitasi/ pengulangan - Hati Melayu tak reti bermusuh, hati Melayu penuh dengan persahabatan.
4. Personafikasi - ...ketenangan merayap ke seluruh negara...../ diratah atau dirobek peluru.
5. Simile - Sawah pula, laksana lautan emas.....
6. Metafora - garisan perang/ bola matanya/ sayap parti
7. Sinkope - tak, tu, dulu, tau
8. peribahasa - anak angkatnya, minta diri, tangan kosong
G. NILAI
1. kasih sayang
- Tuan Booth membawa semua keluarganya keluar dari bunglonya seminggu sebelum Jepun menjajah.
2. patriotisme
- Ahmad berjuang meniupkan semangat mendapatkan kemerdekaan kepada penduduk kampungnya dan menentang kekejaman komunis.
3. keberanian
- Ahmad berani bersuara dengan lantang dalam pidatonya mengajak penduduk kampung memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah.
4. ketabahan
- Ahmad tabah berdepan dengan pelbagai cabaran dalam perjuangannya menuntuk kemerdekaan negara.
5. kebijaksanaan
- Ahmad bijak mengambil peluang belajar dan menulis bahasa Inggeris daripada Sandra ketika tinggal di banglo Tuan Booth.
6. tanggungjawab
- Imam Ngah Deraman bertanggungjawab menjadikan Ahamad sebagai anak angkat setelah Ahamad menjadi yatim piatu.
7. kerjasama -
- penduduk kampung dan tuan Booth membentuk 3 kumpulan untuk bekerjasama mencari Ahamad yang hilang ditangkap komunis.
8. hormat-menghormati
- Tuan Booth amat menghormati penduduk kampung dan selalu ke surau untuk berbual-bual dengan penduduk.
9. mengenang jasa
- Ahamad mengenang jasa tuan Booth yang pernah memeliharanya dengan menghadiri majlis yang dibuat oleh tuan Booth di banglonya.
H. PENGAJARAN
1. kita hendaklah berani dalam melakukan sesuatu tindakan yang baik
- Ahamad berani bersuara lantang mengajak penduduk supaya berjuang mendapatkan kemerdekaan.
2. Kita mestilah mempunyai semangat patriotisme
- Ahamad mengajak penduduk kampungnya supaya berusaha mendapatkan kemerdekaan tanah air daripada penjajah.
3. kita mestilah bekerjasama dan saling membantu
- penduduk kampung dan tuan Booth bekerjasama untuk mencari Ahamad yang hilang kerana ditangkap komunis.
4. Kita mestilah mengenang budi
- Ahamad mengenang budi tuan Booth yang pernah memeliharanya dengan menghadiri majlis tuan Booth di banglonya.
5. Kita mestilah menyayangi keluarga kita
- Tuan Booth membawa keluarganya berpindah sebelun Jepun menjajah kampung itu.
6. Kita mestilah mengambil peluang untuk membaiki diri
- Ahamad mengambil peluang untuk belajar menulis dan bercakap Inggeris daripada Sandra ketika tinggal di banglo tuan Booth.
KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN
KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp: 010 666 857...
-
Sinopsis Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa berlegar-legar sekitar watak utama, iaitu Adnan. Pada peringkat awal penceritaan, novel ini...
-
"Bolehkah tolong jelaskan penggunaan meN-..-kan dan meN-..-i. Saya amat keliru 😑" Saya sering kali dihujani dengan permasalah...
-
Sinopsis Novel ini mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Alias yang memiliki seekor beruk bernama Chot. Hubungan antara Alias dengan Ch...
