Selasa, 11 Januari 2022

KOMSAS TINGKATAN 4 - NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN (RUHAINI MATDARIN) Edisi: Perlis, Kedah, Pulau Pinang

Sinopsis

Novel Jendela Menghadap Jalan diceritakan berdasarkan catatan Lili yang berlaku pada bulan Ogos 2008. Novel ini mengisahkan sifat cekal dan keberanian Lili semasa menempuh berbagai-bagai permasalahan sosial dan kemasyarakatan yang berlaku sepanjang cuti persekolahannya di Kampung Sentosa. Cerita bermula apabila Lili dihantar pulang bercuti ke kampung kelahiran ibunya di Dungun, Terengganu dengan menaiki bas ekspres. Ibunya berpesan kepada Lili tentang perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa dia berada di kampung kelak. Semasa di dalam bas ekspres, seorang gadis berketurunan India, Geetha duduk di sebelah Lili. 

    Lili menyukai panorama keaslian hutan di kampung itu. Lili berasa hairan apabila melihat kebanyakan rumah di kampung itu dibina dengan kedudukan jendelanya yang rata-ratanya menghadap jalan. Dalam pertemuan itu, nenek mengatakan bahawa Lili semakin besar. Lili menghulurkan wang kiriman ibunya kepada nenek. 

    Lili tekun menunggu dan berharap agar datuknya bercerita tentang kepentingan susunan rumah dan jendela menghadap jalan kepadanya. Namun begitu, datuknya bercerita tentang kelebihan dan bagaimana akar-akar kayu berupaya untuk merawat pesakit melalui kaedah rawatan tradisional. 

     Nenek mengajak Lili pergi ke kedai runcit Letchumi selepas hujan berhenti. Lecthumi yang berbadan gempal menyambut kedatangan nenek dan Lili dengan mesranya. Lili telah bertemu dengan Geetha semula yang merupakan anak gadis Letchumi. 

    Lili terkejut dengan kehadiran tetamu di rumah datuknya beberapa minit setelah mereka selesai bersarapan. Danel memberitahu Lili tentang isu kubah surau yang hangat diperkatakan oleh penduduk kampung ekoran tiadanya pemuafakatan. Danel berterus terang tentang kunjungannya ke rumah datuk untuk menghentikan pengambilan ubat-ubatan herba tradisional oleh bapanya menyebabkan datuk berasa kecil hati. Datuk teguh dengan pendiriannya bahawa kaedah rawatan tradisional lebih baik berbanding dengan rawatan moden. 

    Penduduk kampung bertelagah dan tidak bersepakat tentang isu pemasangan kubah di bumbung surau usang. Nenek bercerita tentang nasib datuk Lili yang akan kehilangan lima lagi pesakitnya yang datang dari Kuala Lumpur apabila  mereka menggunakan ubat ajaib untuk menyembuhkan penyakit. Datuk memberitahu Lili bahawa semua pesakitnya telah lari. Rashid terlupa untuk menghantar Lili ke rumah Geetha. Sebagai menebus kesalahannya, Rashid membawa Lili berjalan-jalan di pasar malam di pekan. 

     Lili mengunjungi Geetha yang diserang demam. Geetha tidak seronok bercuti di kampung kerana dia berasa bosan. Geetha mendapatkan keizinan ibunya untuk bermalam di rumah datuk Lili. Lili dan Geetha telah mendaki bukit untuk menikmati pemandangan matahari terbenam dari puncak bukit. 

    Geetha dan Lili ke kedai runcit yang berhampiran untuk membeli barangan runcit. Mereka menyaksikan peristiwa anak-anak Che Jah yang dikejar oleh sekumpulan pemuda kerana mencuri harta benda ibunya sendiri. Che Jah menjerit dan sambil menangis mengenangkan sikap anak-anaknya yang tidak mengenang budi itu. 

     Nenek memberikan keizinan kepada Danel untuk mengajak Lili ke pekan. Mereka singgah di restoran makanan segera. Mereka balik ke Kampung Sentosa dengan menaiki bas. Setibanya di kawasan kampung, Lili melihat Rafiq yang memegang senjata tajam dikejar oleh beberapa orang lelaki di belakangnya. Secara tiba-tiba, Rafiq menjadikan Lili sebagai orang tahanan dengan mengacukan pisau tajam berkilat di lehernya. Rafiq mengugut untuk mencederakan Lili jika ada antara lelaki itu yang mendekatinya. Lili pengsan. Apabila Lili sedar, dia mendapati kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang dan disembunyikan di sebuah pondok buruk. 

     Lili mendengar suara Danel yang datang menyelamatkannya. Sebagai tanda kesyukuran kerana Lili selamat, datuk sempat mengajak beberapa orang jemaah yang ada di rumahnya untuk mengerjakan solat hajat. 

     Nenek menasihati Lili agar tidak menyibuk pasal keluarga Che Jah terutama yang melibatkan perihal Haziq dan Rafiq. Ketika berada di rumah Che Jah, Lili memberitahu Che Jah bahawa dia memaafkan kesalahan Rafiq dan Haziq atas kejadian yang berlaku semalam. Che Jah terharu dan menangis apabila mendengar kata-kata ikhlas Lili itu. 

     Lili melihat sebuah lori membawa kubah surau. Dia juga buat kali pertamanya mendengar orang bertengkar tentang kubah surau. Nenek keberatan untuk melepaskan Lili pergi kerana memikirkan aspek keselamatan dirinya. Danel dan Lili berbincang tentang isu pemasangan kubah di surau atau di bumbung masjid baharu yang bakal terbina pada suatu hari nanti. 

    Berlaku suasana yang getir apabila Seman memukul sambil memaki hamun anaknya, Haziq. Orang ramai yang datang termasuk Lili dan Danel berasa takut untuk meleraikan perbuatan kejam Seman itu. Dari dalam rumah, kedengaran suara jeritan Che Jah yang meminta Seman agar menceraikannya. 

    Nenek pulang lewat dengan membawa khabar bahawa Che Jah belum diceraikan suaminya. Ketika berbual dengan Lili, Kak Mimah memberitahu Lili bahawa dia bertugas sebagai penolong pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Warga Tua dan Keluarga. Lili sempat memberitahu Kak Mimah tentang kes keganasan rumah tangga yang berlaku di kampungnya itu. 

    Kak Mimah menyatakan kesanggupannya untuk membantu menangani kes keganasan rumah tangga yang melibatkan Che Jah dan Seman itu setelah diceritakan dengan panjang lebar oleh Lili. Geetha bersetuju untuk mengikut Lili dan akan bermalam di rumah datuk Lili. Nenek berasa gembira ketika menyambut kedatangan Geetha ke rumahnya. Nenek membenarkan Lili dan Geetha menziarahi Che Jah.

     Datuk memberitahu Lili bahawa Kak Mimah telah menghubunginya. Datuk bertekad hendak mengheret Seman ke penjara. Menurut datuk, Seman telah melakukan banyak kerosakan kepada hati orang lain, selain hati isteri dan hati anak-anaknya. Lili mengagak bahawa Geetha dan Danel mula jatuh cinta. Datuk berasa kesal kerana lambat bertindak untuk memperbetul segala masalah yang berlaku di kampungnya itu. 

     Lili terdengar suara kecoh di halaman rumah datuknya. Mereka datang untuk melaporkan kubah telah dilarikan dan mengesyaki anak-anak Che Jah yang melakukan perbuatan mencuri itu. Lili melihat datuknya mengheret masuk Haziq dan Rafiq di halaman rumah sambil dibantu oleh dua orang pemuda lain. 

    Haziq dan Rafiq kelihatan lemah dan ada kesan dibelasah. Wajah Haziq lebam manakala hidung Rafiq berdarah. Mereka masuk ke dalam rumah dan merebahkan diri di lantai ruang tamu tanpa disuruh. Lili tidak berminat menyentuh isu kubah kerana kubah itu sudah pun dilarikan orang. Geetha membawakan Danel minuman panas. Akibat kebimbangan Haziq akan bertindak ganas, nenek berkawal di muka pintu dapur dengan batang penyapu manakala Danel pula berdiri mencuba melindungi Lili. Keadaan itu menyebabkan Geetha berasa cemburu dan beredar dari ruang tamu itu. Kak Mimah dan Nadia, dua orang pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tiba di rumah datuk. Che Jah menemui Kak Mimah di rumah datuk. Dia menceritakan kejadian malangnya dengan panjang lebar kepada Kak Mimah dan Nadia. Che Jah sangat bersetuju jika suaminya dibawa ke muka pengadilan kerana kubah yang dilarikan semalam ialah perbuatan jahat suaminya tetapi suaminya itu telah menghalakan segala perbuatan jahatnya kepada anak-anaknya yang sedang belajar untuk menjadi baik. Lili dan Geetha disuruh menjaga Rafiq dan Haziq di rumah dengan ditemani oleh Kak Bibah dan dua orang pak cik yang belum dikenali. 

     Menurut Rashid, Sugi tidak terlibat dengan kemasukan dua orang wakil pemaju perumahan yang datang memujuk orang kampung untuk menjual tanah mereka. Che Jah berjaya membuat laporan polis berhubung kes jenayah suaminya dan laporan akan disediakan untuk tindakan lanjut dari Jabatan Kebajikan Masyarakat pada minggu depan. Datuk tidak melatah dengan semua tuduhan penduduk kampung itu. Ibu menghubungi Lili. Dia berasa pelik dengan perubahan sikap anaknya yang tidak merungut sepanjang tempoh percutiannya di kampung. Sewaktu azan subuh berkumandang, Geetha dan Danel telah mengetuk dinding bilik Lili untuk mengejutkannya sekali gus mengajaknya melihat matahari terbit. 

     Lili, Geetha, dan Danel duduk di jeti nelayan sambil memerhatikan keindahan matahari terbit. Ketika Lili tiba di rumah, dia melihat ibunya sedang berbual mesra dengan datuk dan neneknya. Menurut Lili, kebahagiaan yang paling bermakna kepadanya adalah apabila dia melihat ibunya berbual mesra dengan datuknya. 

    Datuk Lili yang bernama Haji Abdul Rahman telah mengisahkan perjalanan hidupnya dari Kalimantan yang berpindah-randah hingga akhirnya membuka petempatan di Kampung Sentosa. Datuk Lili tabah menempuh berbagai-bagai rintangan dalam hidupnya hinggalah dia bertemu dengan neneknya di sebuah tempat ajaib pada 42 tahun dahulu.

    Nenek Lili bercerita bahawa dirinya bernama Hajah Aisyah Tan Abdullah dan berasal dari Tanah Besar China. Dia mengikut bapanya berhijrah ke Tanah Melayu ketika berusia sebelas tahun bersama-sama adik-beradiknya yang lain. Dia menetap di Tanah Melayu hingga bertemu jodoh dengan Haji Abdul Rahman. 

    Lili menerima sepucuk surat yang ditulis dan dihantar oleh Danel yang mengisahkan berbagai-bagai perkara. Lili mencatat segala peristiwa dan kejadian yang berlaku. 

     Cerita diakhiri dengan Lili menyambung catatannya semula pada bulan Disember 2008. Dalam catatannya itu, Lili berasa lega dan gembira apabila semua ujian serta permasalahan sosial dan kemasyarakatan yang berlaku di Kampung Sentosa berjaya ditangani. Lili tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa bagi mendengar cerita datuknya tentang jendela menghadap jalan.


Tema 

Tema novel ini ialah kecekalan seorang gadis semasa menempuh berbagai-bagai ujian dan rintangan. 


Persoalan 

(a) Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anak kandungnya. 

(b) Persoalan persaingan antara perubatan tradisional dengan rawatan moden. 

(c) Persoalan permasalahan permuafakatan untuk mencapai kata sepakat.

(d) Persoalan suami/bapa yang kejam dan tidak bertanggungjawab. 

(e) Persoalan ketaatan seorang anak terhadap perintah ibu bapanya. (

f) Persoalan amanah untuk menjalankan tanggungjawab. 

(g) Persoalan keganasan dalam rumah tangga. 

(h) Persoalan kepentingan ilmu dalam kehidupan. 


Watak dan Perwatakan 

(a) Watak utama – Lili 

(b) Watak sampingan – Geetha, Datuk /Haji Abdul Rahman, Danel/Danel William, nenek/Hajah Aisyah Tan Abdullah, Che Jah, Rafiq, Rashid/Abang Rashid, Puan Hamimah/ Kak Mimah, ibu Lili, dan sebagainya. 


Lili 

(a) Bapanya seorang guru manakala ibunya bertugas sebagai pekerja syarikat cari gali minyak. 

(b) Dia berusia 17 tahun. 

(c) Lili berambut panjang dan memiliki tubuh yang kecil. 

(d) Bersifat pendiam yang diwarisi daripada sifat ayahnya. 

(e) Lili merupakan murid Tingkatan Lima dan sedang menuntut di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina. 

(f) Lili cekal menempuh semua dugaan dan masalah yang berlaku di Kampung Sentosa. 

(g) Lili amat menyayangi ibu dan bapanya. Lili sering kali mempertahankan maruah ibunya apabila datuknya memperkatakan sesuatu perkara yang kurang elok tentang ibunya itu. 

(h) Lili bertanggungjawab apabila menyatakan kesediaannya menjadi saksi kes keganasan rumah tangga Che Jah. 


Datuk/Haji Abdul Rahman 

(a) Seorang pengamal perubatan tradisional yang disegani di Kampung Sentosa. 

(b) Beliau merupakan suami kepada Hajah Aisyah Tan Abdullah dan mempunyai cucu, Lili. 

(c) Beliau berusia lebih 70 tahun. 

(d) Beliau berasal dari Kalimantan sebelum berpindah-andah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya menetap di Kampung Sentosa, Dungun, Terengganu. 

(e) Seorang yang alim dan kuat beribadat 

(f) Beliau berpengetahuan luas dalam bidang perubatan tradisional. 

(h) Datuk bersabar dengan tuduhan orang kampung yang mengaitkannya dengan wakil pemaju yang ingin membeli tanah orang kampung. 

(i) Beliau seorang yang penyayang apabila beliau merasai kehilangan ibu Lili yang banyak menghabiskan masa mudanya belajar di luar negara dan bekerja di ibu kota. 


Geetha 

(a) Seorang gadis berbangsa India. 

(b) Berumur 19 tahun dan merupakan anak gadis Letchumi. 

(c) Bermata jernih, berbibir nipis dan merah serta memiliki tubuh yang kecil. 

(d) Pelajar tahun pertama dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 

(e) Bergiat aktif dan meminati aktiviti lasak sejak di bangku sekolah menengah seperti mendaki gunung, merunut hutan, dan eksplorasi gua. 

(f) Peramah dan mudah mesra. 

(g) Seorang yang menepati janji. 


Danel/Danel William 

(a) Seorang pemuda berbangsa Cina. 

(b) Anak bongsu kepada William Ng. 

(c) Mempunyai seorang abang yang bernama Sugi. 

(d) Masih belajar di Kuala Lumpur. 

(e) Meminati bidang kulinari, iaitu masakan berasaskan pisang. 

(f) Meminati bidang penulisan dan menghasilkan banyak artikel serta rencana. 

(g) Meminati aktiviti lasak seperti memanjat gunung. 


Nenek/Hajah Aisyah Tan Abdullah 

(a) Isteri kepada Haji Abdul Rahman. 

(b) Berbangsa Cina kerana berasal Tanah Besar China. 

(c) Ibu kepada ibu Lili dan nenek kepada cucunya, Lili. 

(d) Mengikut bapanya berhijrah ke Tanah Melayu ketika usianya sebelas tahun. 

(e) Menghormati tetamu. 


Plot 

Binaan Plot 

(a) Peristiwa dalam novel ini disusun secara kronologi. 

(b) Pada peringkat pengenalan atau eksposisi pembaca diperkenalkan dengan watak Lili yang mengalami konflik dalaman apabila berpura-pura gembira kerana terpaksa mengorbankan cuti sekolah yang ingin dimanfaatkan bersama-sama teman-teman sekelasnya dengan pulang ke kampung ibunya di Dungun, Terengganu. 

(c) Peringkat perkembangan bermula apabila Lili berkenalan dengan seorang gadis India bernama Geetha ketika menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Dungun. Geetha turun di Pekan Sentosa manakala Lili turun di Pekan Sejahtera. Setibanya di rumah nenek, Lili menemui neneknya yang sedang menyemai benih padi di petak semaian. Nenek memberitahu Lili bahawa datuknya ke surau. Lili tekun menunggu datuknya bercerita tentang kepentingan susunan rumah dan jendela menghadap jalan. Datuk Lili juga bercerita tentang cara-cara menyembuhkan penyakit secara tradisional. Datuk Lili juga ghairah bercerita tentang khasiat dan kehebatan ubat-ubatan tradisional yang mampu merawat penyakit. 

(d) Pada peringkat perumitan, datuk menyoroti kisah silam tentang kecuaiannya mendidik ibu Lili dengan sempurna dan sejarah pendidikan ibunya yang lulus cemerlang dalam pelajaran. Datuk mengeluh kerana ibu Lili yang jarangjarang balik ke kampung. Datuk juga berhadapan dengan kekecohan yang berlaku di surau kerana kehadiran pemaju perumahan dari pekan dan peristiwa seolah-olah Danel mempertikaikan kemampuan ubat-ubatan tradisional sehingga menyebabkannya berasa kecil hati. Dalam suatu peristiwa, Rafiq dan Haziq telah menjadikan Lili sebagai orang tahanan dan mengugut untuk mencederakan Lili sebelum Lili diselamatkan oleh Danel. 

(e) Pada peringkat puncak/klimaks, Che Jah menceritakan kejadian malangnya secara panjang lebar kepada Kak Mimah dan Nadia, dua orang pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dia bersetuju jika suaminya dibawa ke muka pengadilan kerana melarikan kubah. Lili mencadangkan agar Haziq dan Rafiq dihantar ke pusat pemulihan akhlak dan cadangannya itu dipersetujui oleh Kak Mimah. 

(f) Pada peringkat peleraian, Rashid memaklumkan bahawa Sugi tidak terlibat dengan wakil pemaju perumahan yang memujuk orang kampung untuk menjual tanah mereka. Che Jah telah berjaya membuat laporan polis berhubung dengan kes keganasan rumah tangga. Datuk pula bersikap rasional dan tidak melatah dengan semua tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Danel mempertahankan bahawa abang kandungnya, Sugi tidak bersalah dalam pembelian tanah orang kampung. Lili dan Danel berasa amat gembira kerana suara mereka akhirnya didengar oleh orang dewasa di kampung itu. Mereka bersetuju untuk membina masjid. Lili berasa gembira apabila melihat ibunya sedang berbual mesra dengan datuk dan neneknya. Nenek Lili memberitahu sebab jendela dibina menghadap ke jalan. Lili menerima surat daripada Danel dan tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa. 


Teknik Plot 

(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan perwatakan ibu Lili yang mempunyai rupa paras yang sangat menawan dan mempunyai sifat yang berbeza daripada suaminya, bapa Lili. 

 (b) Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Lili dengan ibunya tentang sebab wajah Lili yang muram. 

(c) Teknik imbas kembali. Contohnya, ketika pertama kali Lili melihat wajah Geetha yang berbibir nipis dan merah, ingatan Lili terus beralih kepada bintang filem Hindustan. 

 (d) Teknik imbas muka. Contohnya, Lili berasa bimbang dan sangat bersimpati akan nasib kedua-dua anak Che Jah, Haziq dan Rafiq. Lili berasa takut dan membuat andaian jika orang kampung terlalu marah, dua beradik itu akan mati dipukul, atau dibunuh oleh ibu bapanya sendiri. 

(e) Teknik kejutan. Contohnya, peristiwa pemuda Cina yang menyapa dan melemparkan senyuman kepada Lili di perhentian bas, Pekan Sentosa. Pembaca tidak menyangka rupa-rupanya pemuda itu ingin memulangkan buku Lili yang tercicir sewaktu dia turun tergesa-gesa dari bas. 


Latar 

Latar Masa 

(a) Tempoh dua minggu pada Ogos 2008, Disember 2008. 

(b) 42 tahun yang lalu. 

(c) Musim cuti persekolahan. 

(d) Musim tengkujuh/hujan. 

(e) Waktu siang. 

(f) Waktu awal pagi/subuh. 

(g) Waktu pagi. 

(h) Waktu tengah hari. 

(i) Waktu petang. 


Latar Masyarakat 

(a) Masyarakat yang prihatin terhadap isu keganasan rumah tangga. 

(b) Masyarakat yang berdedikasi ketika menjalankan tugas. 

(c) Masyarakat yang mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan. 

(d) Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap kesihatan keluarga. 

(e) Masyarakat yang tekun dan rajin belajar sehingga berjaya dalam hidup. 

(f) Masyarakat yang hormat-menghormati antara satu dengan yang lain tanpa mengira kaum dan agama. 

(g) Masyarakat kampung yang menyara kehidupan dalam bidang pertanian dan kerja-kerja kampung. 


Latar Tempat 

(a) Kampung Sentosa. 

(b) Pekan Sentosa. 

(c) Rumah Datuk/Haji Abdul Rahman. 

(d) Rumah Lili di Kuala Lumpur. 

(e) Rumah Che Jah. 

(f) Puncak Bukit. 

(g) Jeti nelayan.


Gaya Bahasa 

(a) Personifikasi. Contohnya, Sehinggalah jam lonceng di tepi katil menjerit dengan kuatnya., … tapi yang pasti aku dapat merasai, jauh di sudut hatiku terpancar nilai-nilai seni yang sengaja dirumitkan, dan tidak tumpah ke pipinya. 

(b) Simile. Contohnya, kencang, seperti nafas orang diserang asma, aku gerun melihat tangannya yang kecut macam lobak, kedatangannya dengan mesra, tapi bagaikan kaset rosak, dan kampung ini ibarat seekor ular yang sangat berbisa macam ular tedung. 

(c) Metafora. Contohnya, perut bas ekspres, garis kebimbangan, dan basikal tua. 

(d) Peribahasa. Contohnya, minta diri, buah tangan, menjaga tepi kain orang, dan biar lambat asalkan selamat. 

(e) Inversi. Contohnya, Tidak berapa lama kemudian dia pun terlena (Sepatutnya: Dia pun terlena tidak berapa lama kemudian.), Itulah masalahnya, aku tidak faham (Sepatutnya: Aku tidak faham, itulah masalahnya.) 


Nilai 

(a) Kasih sayang. Contohnya, Lili amat mengasihi ibu dan bapanya apabila dia tidak membantah cadangan ibunya yang akan menghantarnya bercuti ke kampung datuknya. 

(b) Tanggungjawab. Contohnya, Kak Mimah dan Nadia bertanggungjawab terhadap nasib malang Che Jah yang menjadi mangsa keganasan suaminya. 

(c) Bijaksana. Contohnya, Danel bijak menggunakan waktu malam sebagai masa yang sesuai untuk menyelamatkan Lili yang dikurung dan diikat oleh Rafiq dan Haziq. 

(d) Belas kasihan. Contohnya, Lili berasa amat bersimpati terhadap nasib Che Jah yang mempunyai suami kaki judi dan bersikap panas baran. 

(e) Kesabaran. Contohnya, datuk dan nenek Lili begitu sabar ketika menangani kerenah dan provokasi sekumpulan penunjuk perasaan yang datang membuat bantahan di hadapan rumahnya. 

(f) Keadilan. Contohnya, Seman yang sering memukul isterinya, Che Jah dan anak-anaknya berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak polis untuk didakwa di mahkamah. 

(g) Keberanian. Contohnya, Geetha dan Lili berani mendaki puncak bukit pada lewat petang semata-mata untuk melihat kejadian matahari terbenam tanpa ditemani oleh orang lelaki dewasa. 


Pengajaran 

(a) Kita hendaklah mengamalkan kasih sayang dalam kehidupan. Contohnya, Lili amat mengasihi ibu dan bapanya. Dia tidak membantah cadangan ibunya yang mahu menghantarnya bercuti ke kampung kelahiran ibunya di Dungun, Terengganu walaupun hatinya begitu berat untuk berbuat demikian. 

(b) Kita hendaklah bersikap jujur dan berterus terang. Contohnya, Che Jah bercerita secara jujur tentang sikap buruk suaminya kepada Kak Mimah dan Nadia yang berusaha untuk menyelesaikan isu kemelut rumah tangganya itu. 

(c) Kita mestilah bersabar ketika menghadapi cabaran dalam kehidupan. Contohnya, nenek Lili begitu sabar menangani kerenah dan provokasi sekumpulan penduduk yang datang membuat bantahan di hadapan rumahnya kerana perasaan tidak puas hati mereka tentang pelbagai perkara. 

(d) Kita mestilah gigih dan tekun ketika mempelajari satu-satu bidang. Contohnya, Lili gigih mempelajari bahasa asing sehingga dia boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasihnya dan juga tahu berkomunikasi dalam beberapa bahasa asing yang lain, iaitu bahasa Thai, bahasa Jepun, dan bahasa Latin. 

(e) Kita haruslah taat akan suruhan dan arahan ibu bapa. Contohnya, Lili taat dan akur akan suruhan ibunya yang akan menghantarnya bercuti ke kampung kelahiran ibunya di Dungun, Terengganu. 

(f) Kita perlulah prihatin terhadap keperluan orang lain. Contohnya, Lili menawarkan khidmatnya untuk membantu Geetha setelah melihat keadaan Geetha yang kelam-kabut ketika mula-mula duduk bersebelahan tempat duduknya di dalam bas ekspres. 

(g) Kita perlulah bijak menguasai keadaan cemas. Contohnya, Danel tidak bertindak balas terhadap aksi agresif Rafiq yang menahan Lili dengan sebilah pisau tajam diacukan ke leher Lili demi keselamatan nyawa sahabatnya itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...