Selasa, 25 Januari 2022

CONTOH KARANGAN ARTIKULASI PENULISAN BAHASA MELAYU PKSK

45 minit

Minimum 100 patah perkataan

3 soalan, pilih 1 tajuk sahaja


Contoh 1: Bagaimanakah cara anda menggunakan masa lapang? 

Setiap orang mempunyai 24 jam sehari, tidak lebih atau kurang. Saya akan menggunakan masa lapang yang ada dengan sebaik mungkin. 

        Sekiranya saya tidak ke mana-mana dengan ibu ayah saya, saya akan melakukan hobi saya, iaitu membaca novel. Aktiviti ini membantu saya meningkatkan kosa kata baharu. Perkataan baharu boleh digunakan semasa menulis karangan. 

     Selain itu, saya juga akan membuat nota ringkas bagi memudahkan saya mengingati formula atau isi penting. Dalam masa yang sama, saya dapat mengulang kaji pelajaran untuk meningkatkan kefahaman dan daya ingaran saya. Aktiviti ini sangat bagus kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. 

     Seterusnya, saya akan melakukan aktiviti sukan dan riadah yang bersesuaian seperti berjoging atau berbasikal. Apabila saya bersukan, saya dapat mengeluarkan peluh dan membakar lemak dalam tubuh. Aktiviti ini dapat membantu saya mengekalkan kecergasan badan dan kecerdasan minda. 

       Ada banyak lagi aktiviti yang saya lakukan semasa masa lapang seperti bersosial dengan kawan, membantu ibu bapa, bersiar-siar dan sebagainya. Saya akan mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti berfaedah kerana masa itu emas. 


Soalan 2: Anda mendapat wang sebanyak RM1000 dalam suatu pertandingan. Apakah yang akan anda lakukan dengan wang tersebut? 

Sekiranya saya mendapat duit tersebut, saya akan menggunakannya dengan berhemah. Mula-mula saya akan menderma 10% daripada wang tersebut untuk membantu orang yang kurang berkemampuan seperti kawan-kawan yang susah, anak yatim atau pengemis. Bantuan ini akan memberikan kelegaan dan kebahagiaan kepada mereka. 

     Selain itu, saya akan memperuntukkan 30% pula untuk memenuhi kehendak sendiri seperti membeli kasut sukan, aksesori telefon dan pakaian. Saya tidak mahu membebankan ibu bapa saya untuk membeli barangan ini kerana ianya bukanlah keperluan. 

     Di samping itu, saya akan memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli alatan persekolahan seperti buku rujukan, beg sekolah, alatan melukis dan sebagainya untuk memudahkan saya beraktiviti di dalam kelas. Saya tidak mahu menyusahkan rakan sekelas jika asyik meminjam barangan mereka. 

    Akhir sekali, saya akan menyimpan 40% daripada wang tersebut ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk tujuan pembelajaran di peringkat universiti atau saya boleh menyimpannya di dalam bank untuk digunakan semasa kecemasan. Saya akan membelanjakan wang ini dengan baik kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. 


Contoh 3: Apakah norma baharu semasa COVID-19 yang anda alami? 

Pandemik Covid-19 berlaku sejak November 2019 dari Wuhan, China. Serangan wabak ini berlaku sangat pantas dan mengubah cara hidup manusia hampir di seluruh pelosok dunia. Malaysia juga tidak terkecuali. Semua lapisan masyarakat terpaksa menjalani norma baharu.

     Sepanjang wabak ini merebak, saya juga beradaptasi dengan norma baharu seperti perlu belajar secara PdPR. Apabila PKP diumumkan, sekolah ditutup tetapi pembelajaran masih perlu diteruskan. Saya belajar dalam talian menggunakan Zoom atau Google Meet. Tugasan pula dihantar menerusi Whatsapp dan Google Form mengikut masa yang ditetapkan. 

     Selain itu, setiap kali keluar rumah, saya perlu mengamalkan amalan 3W iaitu, Wash, Wear and Warn. Saya perlu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka pada setiap masa dan mengelakkan daripada bersentuhan, serta mendapatkan rawatan jika bergajala. Dalam masa yang saya, saya perlu megelakkan 3S, iaitu elakkan sembang dekat, kawasan sesak dan sempit bagi mengurangkan risiko penularan virus ini. 

     Tambahan pula, saya dan keluarga juga mula beralih corak pembelian barangan kepada perkhidmatan e-dagang. Kami kerap memesan barangan dalam talian menggunakan aplikasi seperti Shopee, Grab, Lazada dan sebagainya untuk memutuskan jangkitan tersebut dengan cara tidak keluar rumah sekiranya tidak perlu. Oleh itu, kami memilih untuk berbelanja dalam talian kerana selamat, mudah dan cepat. 

    Norma baharu ini mendidik saya dan orang lain agar lebih cakna terhadap kebersihan, kesihatan dan ancaman akibat penularan COVID-19. Slogan Kita Jaga Kita tersemat kukuh dalam diri saya.


Dikarang oleh Cikgu Hidayah 010 666 8574


Ikuti media sosial Cikgu Hidayah:

Instagram : instagram.com/cikgu.hidayahh

Facebook : facebook.com/KTCHidayah

Tiktok : tiktok.com/cikgu.hidayahh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...