Memaparkan catatan dengan label Karangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karangan. Papar semua catatan

Selasa, 25 Januari 2022

CONTOH KARANGAN ARTIKULASI PENULISAN BAHASA MELAYU PKSK

45 minit

Minimum 100 patah perkataan

3 soalan, pilih 1 tajuk sahaja


Contoh 1: Bagaimanakah cara anda menggunakan masa lapang? 

Setiap orang mempunyai 24 jam sehari, tidak lebih atau kurang. Saya akan menggunakan masa lapang yang ada dengan sebaik mungkin. 

        Sekiranya saya tidak ke mana-mana dengan ibu ayah saya, saya akan melakukan hobi saya, iaitu membaca novel. Aktiviti ini membantu saya meningkatkan kosa kata baharu. Perkataan baharu boleh digunakan semasa menulis karangan. 

     Selain itu, saya juga akan membuat nota ringkas bagi memudahkan saya mengingati formula atau isi penting. Dalam masa yang sama, saya dapat mengulang kaji pelajaran untuk meningkatkan kefahaman dan daya ingaran saya. Aktiviti ini sangat bagus kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. 

     Seterusnya, saya akan melakukan aktiviti sukan dan riadah yang bersesuaian seperti berjoging atau berbasikal. Apabila saya bersukan, saya dapat mengeluarkan peluh dan membakar lemak dalam tubuh. Aktiviti ini dapat membantu saya mengekalkan kecergasan badan dan kecerdasan minda. 

       Ada banyak lagi aktiviti yang saya lakukan semasa masa lapang seperti bersosial dengan kawan, membantu ibu bapa, bersiar-siar dan sebagainya. Saya akan mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti berfaedah kerana masa itu emas. 


Soalan 2: Anda mendapat wang sebanyak RM1000 dalam suatu pertandingan. Apakah yang akan anda lakukan dengan wang tersebut? 

Sekiranya saya mendapat duit tersebut, saya akan menggunakannya dengan berhemah. Mula-mula saya akan menderma 10% daripada wang tersebut untuk membantu orang yang kurang berkemampuan seperti kawan-kawan yang susah, anak yatim atau pengemis. Bantuan ini akan memberikan kelegaan dan kebahagiaan kepada mereka. 

     Selain itu, saya akan memperuntukkan 30% pula untuk memenuhi kehendak sendiri seperti membeli kasut sukan, aksesori telefon dan pakaian. Saya tidak mahu membebankan ibu bapa saya untuk membeli barangan ini kerana ianya bukanlah keperluan. 

     Di samping itu, saya akan memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli alatan persekolahan seperti buku rujukan, beg sekolah, alatan melukis dan sebagainya untuk memudahkan saya beraktiviti di dalam kelas. Saya tidak mahu menyusahkan rakan sekelas jika asyik meminjam barangan mereka. 

    Akhir sekali, saya akan menyimpan 40% daripada wang tersebut ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk tujuan pembelajaran di peringkat universiti atau saya boleh menyimpannya di dalam bank untuk digunakan semasa kecemasan. Saya akan membelanjakan wang ini dengan baik kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. 


Contoh 3: Apakah norma baharu semasa COVID-19 yang anda alami? 

Pandemik Covid-19 berlaku sejak November 2019 dari Wuhan, China. Serangan wabak ini berlaku sangat pantas dan mengubah cara hidup manusia hampir di seluruh pelosok dunia. Malaysia juga tidak terkecuali. Semua lapisan masyarakat terpaksa menjalani norma baharu.

     Sepanjang wabak ini merebak, saya juga beradaptasi dengan norma baharu seperti perlu belajar secara PdPR. Apabila PKP diumumkan, sekolah ditutup tetapi pembelajaran masih perlu diteruskan. Saya belajar dalam talian menggunakan Zoom atau Google Meet. Tugasan pula dihantar menerusi Whatsapp dan Google Form mengikut masa yang ditetapkan. 

     Selain itu, setiap kali keluar rumah, saya perlu mengamalkan amalan 3W iaitu, Wash, Wear and Warn. Saya perlu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka pada setiap masa dan mengelakkan daripada bersentuhan, serta mendapatkan rawatan jika bergajala. Dalam masa yang saya, saya perlu megelakkan 3S, iaitu elakkan sembang dekat, kawasan sesak dan sempit bagi mengurangkan risiko penularan virus ini. 

     Tambahan pula, saya dan keluarga juga mula beralih corak pembelian barangan kepada perkhidmatan e-dagang. Kami kerap memesan barangan dalam talian menggunakan aplikasi seperti Shopee, Grab, Lazada dan sebagainya untuk memutuskan jangkitan tersebut dengan cara tidak keluar rumah sekiranya tidak perlu. Oleh itu, kami memilih untuk berbelanja dalam talian kerana selamat, mudah dan cepat. 

    Norma baharu ini mendidik saya dan orang lain agar lebih cakna terhadap kebersihan, kesihatan dan ancaman akibat penularan COVID-19. Slogan Kita Jaga Kita tersemat kukuh dalam diri saya.


Dikarang oleh Cikgu Hidayah 010 666 8574


Ikuti media sosial Cikgu Hidayah:

Instagram : instagram.com/cikgu.hidayahh

Facebook : facebook.com/KTCHidayah

Tiktok : tiktok.com/cikgu.hidayahh

Isnin, 25 Oktober 2021

KARANGAN UPSR UCAPAN : HARI PERPISAHAN AKHIR TAHUN (TEMA SEKOLAH)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada guru kelas dan rakan- rakan kelas 5 Tanjung. Saya, Hidayah Sahalan selaku ketua kelas ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Allysa selaku guru kelas dan 33 pelajar kelas ini kerana hadir pada hari perpisahan akhir tahun ini. Saya berasa sangat bersyukur kerana kita dapat berkumpul lagi buat hari yang terakhir sesi persekolahan 2020.

        Alhamdulillah kerana semua pelajar telah memberikan kerjasama dengan membawa sedikit makanan untuk hidangan pada hari ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada bendahari kelas, Auni Zahirah kerana menjalankan tugas dengan amanah. Oleh itu, pada hari ini, sebahagian besar makanan yang ada adalah menggunakan hasıl kutipan yuran bulanan kelas ini.

Hadirin sekalian,

           Kita telah bersama lebih kurang sebelas bulan, sudah pastinya banyak kenangan pahit dan manis tersemat dalam ingatan kita. Sepanjang tahun ini, kita juga telah melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dan saling membantu antara satu sama lain ibarat bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Terima kasih atas kerjasama yang ditunjukkan oleh semua orang dan saya bangga dengan sikap prihatin serta bertanggungjawab setiap murid dalam kelas ini.

             Walaupun telah banyak kenangan suka dan duka sepanjang tempoh persekolahan ini, saya lihat kalian semakin akrab dan menyayangi antara satu sama lain. Hal ini harus dibanggakan oleh semua pelajar kerana kita telah berjaya mengharungi tangis dan tawa bersama-sama. Tahniah atas sikap tolak ansur dan setia kawan yang ditunjukkan kerana inilah saya berasa berat hati untuk berpisah dengan kalian.

            Pada kesempatan ini, saya ingin memohon maaf sekiranya saya ada membuat salah dan silah sepanjang tahun ini sebagai ketua kelas kalian. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Allysa kerana beliau telah banyak berkorban masa dan tenaga untuk mendidik kita dan mendisiplinkan kita. Jasa cikgu-cikgu lain juga tidak terbalas dengan kata-kata dalam memberikan pendidikan dan tunjuk ajar kepada kita.

        Akhir kata, sebelum saya berhenti berucap, saya berharap kita akan berjumpa lagi pada tahun hadapan dalam keaadaan sihat dan sejahtera. Pada cuti sekolah ini, jagalah kesihatan dan keselamatan kalian baik-baik. Jangan lupa untuk mengulang kaji pelajaran semasa cuti ini kerana tahun depan kita merupakan calon UPSR. Gunakanlah masa cuti ini dengan perkara berfaedah dan jangan sia-siakannya. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun.

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah, 
Budi yang baik dikenang juga.

Sekian, terima kasih.

Selasa, 10 Julai 2018

Amalan Jimat Cermat



Apa itu jimat cermat?

·      Satu amalan murni 
·      Tidak membazir
·      Tidak boros
·      Membuat rancangan perbelanjaan

Bagaimana mahu amalkan dalam kehidupan seharian?

1.     Amalan kitar semula

Kitar Semula

a.     Kitar semula barangan buangan untuk tujuan baharu
b.     Tayar menjadi pasu bunga, botol minuman menjadi perhiasan 
c.     Tidak perlu keluarkan duit lebih untuk barang baharu

2.     Amalan guna semula 



a.     Penggunaan semula bahan terpakai untuk tujuan sama atau baharu
b.     Guna semula kasut sekolah yang masih elok
c.     Guna pakaian yang masih boleh dipakai

3.     Amalan menabung


a.     Simpan duit lebihan perbelanjaan harian
b.     Ringankan beban ibu bapa
c.     Boleh beli barangan keperluan persekolahan guna duit sendiri

4.     Membawa bekalan makanan dan minuman ke sekolah / pejabat


a.     Makanan lebih berkhasiat
b.     Makanan lebih bersih
c.     Jimat duit duit poket

5.     Membuat senarai perbelanjaan


a.     Beli barang keperluan bukan kehendak
b.     Beli barangan berkualiti 

6.     Membeli barang berjenama semasa Jualan Penghabisan Stok atau Jualan Hujung Tahun


a.     Dapat banyak potongan harga
b.     Kalah membeli, menang memakai
c.     Boleh pakai lama

7.     Menaiki kenderaan awam


a.     Tidak perlu bayar tol dan tempat letak kereta.
b.     Tidak membazirkan sumber bahan api fosil

8.     Amalan memasak makanan di rumah


a.     Jimatkan perbelanjaan seisi rumah
b.     Makanan lebih segar
c.     Kos penyediaan lebih murah

9.     Menggunakan alat elektrik cekap tenaga


a.     Pendingin hawa Panasonic, lampu solar dan sebagainya
b.     Tidak bazir elektrik

10.  Gunakan kereta hybrid


a.     Kereta hybrid lebih mesra alam
b.     Kereta ini menggunakan tenaga solar

11.  Memasang panel solar di rumah


a.     Jimatkan wang 
b.     Tahan lama

12.  Melancong dalam negara


a.     Lebih jimat tak perlu tukar mata wang.
b.     Tidak keluar belanja tiket penerbangan

13.  Menadah air hujan


a.     Bekalan air kecemasan
b.     Siram pokok dan cuci kereta

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...