Isnin, 25 Oktober 2021

KARANGAN UPSR UCAPAN : HARI PERPISAHAN AKHIR TAHUN (TEMA SEKOLAH)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada guru kelas dan rakan- rakan kelas 5 Tanjung. Saya, Hidayah Sahalan selaku ketua kelas ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Allysa selaku guru kelas dan 33 pelajar kelas ini kerana hadir pada hari perpisahan akhir tahun ini. Saya berasa sangat bersyukur kerana kita dapat berkumpul lagi buat hari yang terakhir sesi persekolahan 2020.

        Alhamdulillah kerana semua pelajar telah memberikan kerjasama dengan membawa sedikit makanan untuk hidangan pada hari ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada bendahari kelas, Auni Zahirah kerana menjalankan tugas dengan amanah. Oleh itu, pada hari ini, sebahagian besar makanan yang ada adalah menggunakan hasıl kutipan yuran bulanan kelas ini.

Hadirin sekalian,

           Kita telah bersama lebih kurang sebelas bulan, sudah pastinya banyak kenangan pahit dan manis tersemat dalam ingatan kita. Sepanjang tahun ini, kita juga telah melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dan saling membantu antara satu sama lain ibarat bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Terima kasih atas kerjasama yang ditunjukkan oleh semua orang dan saya bangga dengan sikap prihatin serta bertanggungjawab setiap murid dalam kelas ini.

             Walaupun telah banyak kenangan suka dan duka sepanjang tempoh persekolahan ini, saya lihat kalian semakin akrab dan menyayangi antara satu sama lain. Hal ini harus dibanggakan oleh semua pelajar kerana kita telah berjaya mengharungi tangis dan tawa bersama-sama. Tahniah atas sikap tolak ansur dan setia kawan yang ditunjukkan kerana inilah saya berasa berat hati untuk berpisah dengan kalian.

            Pada kesempatan ini, saya ingin memohon maaf sekiranya saya ada membuat salah dan silah sepanjang tahun ini sebagai ketua kelas kalian. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Allysa kerana beliau telah banyak berkorban masa dan tenaga untuk mendidik kita dan mendisiplinkan kita. Jasa cikgu-cikgu lain juga tidak terbalas dengan kata-kata dalam memberikan pendidikan dan tunjuk ajar kepada kita.

        Akhir kata, sebelum saya berhenti berucap, saya berharap kita akan berjumpa lagi pada tahun hadapan dalam keaadaan sihat dan sejahtera. Pada cuti sekolah ini, jagalah kesihatan dan keselamatan kalian baik-baik. Jangan lupa untuk mengulang kaji pelajaran semasa cuti ini kerana tahun depan kita merupakan calon UPSR. Gunakanlah masa cuti ini dengan perkara berfaedah dan jangan sia-siakannya. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun.

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah, 
Budi yang baik dikenang juga.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...