Khamis, 28 Oktober 2021

STRUKTUR BINAAN AYAT

Struktur Binaan Ayat:

- Perkataan

- Frasa

- Klausa

- Ayat


Perkataan: 

a.       Bentuk bebas dan terkecil dan boleh berdiri sendiri.

b.       Binaan perkataan tidak boleh dibahagi atau dipisahkan kepada bentuk tatabahasa              

                   yang lebih kecil.

c.       Perkataan boleh digolong kepada dua:

-  Perkataan utama

-  Perkataan bukan utama

d. Kata nama: pelajar,  ayah, Seremban, taman

Kata kerja : makan, tidur, melukis, menendang

Kata adjektif : kurus, pucat, gempal, tampan

Kata sendi nama : di rumah, ke kedai, dari Johor, daripada besi



Frasa:


a.        Unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya satu perkataan yang berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih.

b.       Binaan daripada satu perkataan yang mempunyai potensi untuk menjadi unik yang mengandungi dua perkataan atau lebih.

-  Contoh: 

burung

seekor burung

burung merpati

seekor anak burung merpati


Frasa

baju

sehelai baju

baju kurung

sehelai  baju kurung


Klausa:


a.        Satu unit rangkaian yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen kepada ayat.

b.       Klausa terbahagi kepada dua iaitu klausa bebas dan klausa tidak bebas.

-          Klausa bebas: dapat berdiri sendiri dan bersifat secara ayat lengkap apabila diucapkan dengan intonasi yang sempurna.

-          Klausa tidak bebas: klausa yang tidak dapat berdiri dengan sendiri kerana maknanya bergantung kepada klausa bebas.




Ayat:

a.       Satu unit pengucapan yang paling tinggi dalam susunan tatabahasa dan mengandungi tatabahasa yang lengkap, yang pengucapannya dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna.

b.       Ayat terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang disebut ayat dasar dan ayat terbitan.

c.        Setiap ayat, baik ayat dasar mahupun ayat terbitan mengandungi pelbagai jenis dan ragam ayat. Seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, ayat seruan, ayat majmuk, ayat aktif, ayat pasif dan sebagainya.

d.       Unsur dan konstituen yang terkandung dalam ayat ialah klausa, dan bilangan kalusa yang terkandung dalam suatu ayat akan menentukan jenis ayat tersebut, iaitu sama ada jenis, ayat tunggal atau ayat majmuk.

e.       Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi satu klausa, contohnya:

-          Anak itu lapar.

-          Selendang itu untuk kakak.

f.       Ayat majmuk lebih daripada satu klausa, contohnya:

-          Anak itu lapar kerana belum diberi susu.

-          Selendang ini untuk kakak manakala songkok itu untuk ayah dan baju ini untuk adik.




Ayat


Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang pengucapannya  dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna. (Nik Safiah Karim et.al. 2008).


Menurut Abdullah Hassan et.al (2006), ayat terdiri daripada perkataaan-perkataan yang disusun dalam susunan dan kelompok-kelompok tertentu. Setiap kelompok perkataan disusun dengan lengkap. Susunan yang lengkap mempunyai makna yang lengkap. 


Setiap satu kelompok tersebut mengandungi sekurang-kurangnya dua bahagian iaitu subjek dan predikat. Subjek menyebut sesuatu perkara, seperti rumah, baju, kereta dan seumpamanya. Predikat pula menerangkan tentang perkara yang telah disebutkan dalam predikat iaitu menerangkan tentang rumah, baju,  kereta dan seumpamanya.

Contoh :


(1) Sekolah  di tepi laut.

Dalam ayat (1) sekolah terdiri daripada kelompok perkataan yang menjadi pokok perbincangan. Malah sebenarnya, sekolah ialah komponen subjek ayat. Dalam kumpulan perkataan kedua, di tepi laut, menceritakan tentang subjek ayat. Maksud ayat tersebut ialah hal sebuah sekolah yang  terletak di tepi laut.   

   

(2) Rumah  langsir biru.

Dalam ayat (2) rumah  ialah kelompok perkataan yang menjadi subjek dalam ayat tersebut. Sementara, langsir biru yang tergolong dalam kelompok kedua ialah predikat bagi ayat tersebut yang menerangkan tentang keadaan rumah besar tersebut.



Klausa


Klausa ialah satu rangkaian perkataaan yang mengandungi subjek dan predikat, yang menjadi konstituen dalam ayat. (Nik Safiah Karim et.al. 2008) Klausa tergolong kepada dua jenis iaitu:

(i) Klausa bebas

(ii) Klausa tak bebas


Klausa bebas ialah klausa yang terdiri daripada sekumpulan perkataan yang maknanya boleh berdiri sendiri dan boleh bersifat sebagai ayat lengkap apabila diujarkan dengan intonasi yang sempurna. Klausa boleh diumpamakan ayat dalam ayat (Abdullah Hassan et.al 2006).

Contoh :

klausa 1 : Majid kaya (klausa bebas) 

klausa 2 : kerana cekap menguruskan perniagaan (klausa tak bebas)

Ayat sempurna:

klausa 1 + klausa 2 = Majid kaya kerana cekap menguruskan perniagaan.

Klausa  bebas juga disebut sebagai klausa utama.


Berdasarkan contoh :

Majid kaya            kerana cekap menguruskan perniagaan.

[klausa bebas]       [ klausa tak bebas]

[klausa utama]


Oleh itu, pembentukan klausa bebas adalah berdasarkan ciri klausa yang mampu mendokong makna lengkap serta mendokong ciri–ciri ayat yang sempurna.


Frasa

Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih. (Nik Safiah karim, et.al 2008)  


Frasa nama boleh terbentuk daripada satu perkataan atau lebih (Abdullah Hassan et.al, (2006). Frasa ialah unsur terkecil dalam bidang sintaksis. Frasa digunakan bagi membina ayat. Dalam struktur binaan ayat, frasa didapati  merupakan unsur yang terletak di bawah klausa.


Contoh ayat : sehelai baju kurung di dalam almari. Ayat ini akan dipenggal sebahagiannya untuk melihat rumus struktur frasa.


Frasa

baju

sehelai baju

baju kurung

sehelai  baju kurung


Frasa di atas berasaskan satu binaan ayat  (FN+FS): Sehelai baju kurung di dalam almari. Bentuk frasa satu perkataan ialah baju. Bentuk tersebut diperluas menjadi sehelai baju, baju kurung, sehelai  baju kurung, dan sebagainya.


Jadi, frasa yang asas iaitu baju kurung telah diperluaskan melalui pancangan ke dalam sebuah frasa yang lain  hingga terbentuknya frasa sehelai baju kurung.



Perkataan

Perkataan ialah konstituen kepada frasa. Perkataan adalah bentuk bahasa yang mengandungi makna atau fungsi nahu (Abdullah Hassan et.al , 2008)


Bentuk-bentuk perkataan seperti sekolah, baju, orang, kereta adalah perkataan yang mendokong makna tertentu.  Perkataan mempunyai beberapa golongan tertentu seperti kata  nama, kata kerja,   kata adjektif, kata sendi nama, kata hubung, kata tugas dan sebagainya.



Contoh:

kata nama: pelajar,  ayah, Seremban, taman

kata kerja : makan, tidur, melukis, menendang

kata adjektif : kurus, pucat, gempal, tampan

kata sendi nama : di rumah, ke kedai, dari Johor, daripada besi



Ayat Dasar


Ayat dasar ialah ayat yang menjadi sumber atau dasar bagi pembentukan ayat-ayat lain berdasarkan rumus-rumus tatabahasa.

 ayat yang terbina secara lengkap sebenarnya dapat dikesan dasar atau inti ayat yang menjadi landasan dalam sesuatu binaan ayat.

Ayat dasar mempunyai empat  pola asas iaitu:


Pola 1 : FN + FN

Pola 2 : FN + FK

Pola 3 : FN + FA

Pola 4 : FN + FS


Pola

Subjek

Predikat

Pola 1 (FN + FN)

Harun

pesilat amatur.

Pola 2 (FN + FK)

Jurulatih

sedang berehat.

Pola 3  (FN + FA)

Marlina

sungguh pandai

Pola 4 ( FN + FS)

Muzium

di Pusat Islam.


Komponen frasa boleh mengandungi satu perkataan atau lebih. Namun, binaan-binaan tersebut harus masih tergolong dalam bentuk frasa.

Contoh:


Pola

Subjek

Predikat

Pola 1 (FN + FN)

Harun

pesilat amatur negara.

Pola 2 (FN + FK)

Jurulatih

sedang berehat di bilik

Pola 3  (FN + FA)

Adik Marlina

sungguh pandai

Pola 4 ( FN + FS)

Muzium warisan

di Pusat Islam Kuala Lumpur.



Ayat Tunggal


Ayat tunggal ialah ayat yang mempunyai satu subjek dan satu predikat. Ayat tunggal juga sebenarnya mempunyai satu klausa yang hadir mewakili satu subjek dan satu predikat tersebut. Ayat tunggal terbina daripada ayat dasar. Malah binaan ayat tunggal mempunyai persamaan dengan ayat dasar. Namun, yang membezakan ayat tunggal dengan ayat dasar ialah ayat tunggal terdiri daripada ayat tanya, ayat perintah ayat seruan dan sebagainya. Sementara, ayat dasar  terdiri daripada ayat penyata.


Jelas bahawa ayat tunggal terbina secara mudah dengan hanya mempunyai konstituen satu subjek dan satu predikat.

Contoh:


Subjek

Predikat

(1).      Bapa saudara Ali

(2)      Peninju itu

(3)      Darwis

(4)      Wahab

pensyarah.

sangat tangkas.

membaca kitab jawi.

ke kedai runcit.


Dalam proses binaan ayat tunggal ini , terdapat juga proses penyongsangan seperti predikat mendahului subjek seperti dalam ayat songsang.

Contoh:


(5) (a)  Mariam  ke pasar raya hari ini.

      (b)  Ke pasar raya Mariam  hari ini.

(6) (a)  Baju itu di dalam almari.

      (b)  Di dalam almari baju itu.

(7) (a)  Kuih itu dimakannya.

      (b)  Dimakannya kuih itu.

(8) (a)  Pokok kayu itu ditebangnya

       (b) Ditebangnya pokok kayu itu. 


Rabu, 27 Oktober 2021

LATIHAN TATABAHASA SPM

Dalam setiap ayat di bawah, terdapat dua kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan atau kesalahan penggunaan kata atau istilah atau bahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.


1. Mawi selalu menasihatkan kawan-kawannya agar tabah dalam menghadapi cabaran hidup tetapi ketika musibah menimpa dirinya, dia tidak dapat menanggongnya.


2. Kebanyakan pelancung lebih gemar berkunjung ke pulau-pulau yang cantik di pesisiran pantai Malaysia.


3. Kerajaan menggalakkan orang ramai menyertai program kemasyarakatan supaya hubungan antara kaum dapat dipereratkan.


4. Orang awam tidak dibenarkan masuk ke pusat pembinaan projek itu di atas sebab-sebab keselamatan


5. Kejadian gempa bumi yang meranapkan baki sejarah di kota itu telah menggegarkan masyarakat dunia.


6. Semua peserta-peserta telah menghadiri kursus peningkatan prestasi di pusat peranginan itu yang dikendalikan oleh pemidato yang tersohor.


7. Malaysia mampu memajukan bidang eko-pelancongan kerana mengayakan sumber alam semula jadinya.


8. Guru bimbingan itu telah memberikan keterangan yang jelas tentang profesyen sebagai pakar bedah.


9. Persatuan belia yang baru ditubuhkan itu mengenengahkan moto yang berteraskan perpaduan belia semalaysia.


10. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian tuan mengisytiharkan kempen Cintai Sungai Kita peringkat daerah ini.


11. ”Wahai generasi muda, berbaktilah kepada negara yang tercinta ini,” wasiat pemimpin itu ketika berucap dalam perhimpunan belia.


12. Kelawar-kelawar yang bergayutan di dinding Gua Niah menarik perhatian pelancong.


13. Wakil Rakyat di kawasan pedalaman itu telah mensyorkan pembinaan sebuah stesen jana kuasa kecil di situ.


14. Penggunaan e-mail memberikan kemudahan untuk seseorang menyampai mesej dalam beberapa saat sahaja.


15. Kempen anti-dadah peringkat kebangsaan yang dilancar oleh kerajaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.


16. Siswazah yang memiliki kemahiran tertentu selain daripada kelulusan akademik mempunyai peluang yang lebih baik dalam perlawanan untuk mendapatkan pekerjaan.


17. Stesen minyak-stesen minyak di bandar-bandar utama negara kita mengamalkan konsep layan sendiri.


18. Pembabitan golongan wanita di dalam pelbagai bidang kerjaya telah menambahkan martabat mereka.


19. Gerakan Cintailah Bahasa Kita telah dilancarkan untuk mendokong usaha kemasyarakatan bahasa Melayu.


20. Setiap pusat melupuskan sampah hendaklah sentiasa di pantau supaya mesra alam dan tidak memudaratkan penduduk  di sekitarnya.


21. Pengurusan syarikat itu mensasarkan peningkatan jualan prodaknya sebanyak tujuh puluh peratus dalam jangka masa setahun.


22. Atur susun perabot di dalam bilik pameran itu dilakukan oleh sebahagian dari pekerja syarikat tersebut.


23. Keseluruhan penduduk-penduduk kampung itu akan bergotong-royong apabila tiba musim membajak padi.


24. Selepas pilihan raya umum, biasanya terdapat setengah pihak yang membuat spekulasi tentang pindaan kabinet yang akan dibuat oleh Perdana Menteri.


25. Hasrat Amin supaya menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu terpaksa dimansuhkan kerana belum mendapat keizinan daripada kedua-dua ibu bapanya.


26. Wang gaji yang diperoleh oleh saya setiap bulan dibelanjakan secara berhemah dan bakinya disimpan di dalam bank.


27. Jabatan Mateorologi menganggarkan bahawa cuaca di pantai timur Semenanjung Malaysia mendung, manakala di lain-lain kawasan cuacanya cerah.


28. Aktiviti itu diadakan dengan matalamat untuk meningkatkan keterampilan pelajar dalam bidang urusan persatuan.


29. Penegasan pihak berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap penunggang motorsikal yang tidak memakai topi keledar mendapat sokongan daripada orang ramai.


30. Syarikat itu membayar bonos kepada kakitangannya pada setiap tahun untuk memberikan galakkan agar mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh.


31. Ahmad sedar tanggungjawab untuk membantu keluarga mengasuh datuknya yang telah tua dan uzur itu.


32. Hutan pokok-pokok bakau di tepi pantai menjadi perisai hakisan ombak yang meruntuhkan pantai.


33. Perlawanan bola sepak di antara pasukan Rumah Hijau dengan Rumah Kuning digantungkan kerana hujan turun dengan lebat.


34. Pihak pos Malaysia menjual stem kenang-kenangan sempena Hari Kebangsaan selepas melancarkan sehingga stok habis di seluruh negara.


35. Sikap penduduk di rumah pangsa itu yang dibuangkan sampah ke dalam mangkuk tandas menyebabkan pembentong selalu tersumbat.


36. Penunggang dan pembonceng motorsikal diwajibkan memakai topi keledar untuk mengurangkan risiko mati sekiranya terlibat dalam kemalangan.


37. Emak menyalai ikan dengan menggunakan minyak kelapa sawit bertapis yang penjual dakwa tidak mengandungi kolesterol.


38. Kumpulan bola sepak negara kita tidak gentar untuk berhadapan dengan pasukan mana sekalipun dalam kejohanan di peringkat antarabangsa.


39. Pengorbanan pelopor kemerdekaan amat besar sekali kerana sanggup berkorban nyawa demi untuk kebebasan negara daripada cengkaman penjajah.


40. Satu majlis meraikan para atlit yang harumkan nama negara dalam kejohanan sukan antarabangsa telah diadakan di ibu negara.


41. Semua persatuan diarahkan supaya mengadakan mesyuarat agong dan membuat pilihan ahli jawatankuasa baru sebelum akhir bulan Mei.


42. Fail individu yang tersimpan di bilik kaunselor akan kami rojok apabila dimintakan untuk membuat laporan tentang kemajuan pelajar berkenaan.


43. Pengetahuan terhadap pemakanan wajar dimiliki oleh kaum wanita yang menentukan menu makanan harian untuk anak-anak mereka.


44. Anugerah yang dikirimkan oleh kami kepada bekas pendidik kami sempena Hari Guru telah selamat diterima.


45. Kesesakan lalu lintas berlaku di bandar pusat apabila berlaku kemalangan yang menyekat kecekapan pergerakan kenderaan di jalan raya.


46. Adik saya sering memainkan bowling dengan kawan-kawannya pada setiap hari minggu dan cuti umum.


47. Cikgu saya akan menghadiahi senaskhah buku kepada pelajar yang mendapat marka yang tertinggi.


48. Perlawanan bola sepak yang sedang berlansung dengan hebat itu akan ditamat oleh pengadil pada bila-bila masa sahaja.


49. Kerani itu hendak membeli alatulis yang dijual di warung buku yang terletak berdekatan dengan pejabatnya.


50. Orang yang dijangka sebagai perompak itu telah ditangkap oleh polis berhubung kes rompakan di kedai emas semalam.


51. Pelari cepat negara gagal membawa cabaran Malaysia diperingkat antarabangsa sejak era M. Jegathesan dan Rabuan Pit.


52. Hasil kajian gulungan profesional dalam bidang perubatan, lahirlah kaedah baru untuk perawat penyakit itu.


53. Kemajuan teknoloji komunikasi  dan maklumat terkini telah berjaya meneroka pemikiran kita agar celik dengan berbagai jenis ilmu.


54. Hal ini penting khususnya bagi golongan intelik kerana keupayaan penguasaan pelbagai bahasa membolehkan golongan ini memperolehi ilmu pengetahuan.


55. Para penonton saling tolak-menolak di antara satu sama lain ketika hendak menyusup ke dalam dewan.


56. Kerja-kerja membaikpulih bangunan besejarah itu dijangka mengambil belanja yang besar.


57. Pada ketika yang sama juga, beberapa kawasan bersejarah sejak zaman pra-sejarah dahulu telah musnah.


58. Pameran sans dan teknologi itu sungguh menarek perhatian para kunjungan.


59. Semasa Majlis Hari Ibu berlangsong, adik Shafiq menghadiahi sejambak bunga kepada ibunya.


60. Satu selidikan akan dijalankan untuk mengetahui punca kepupusan beberapa spisis burung di negara ini.


61. Pengalaman pahitgetir semasa darurat masih segar dalam khayalan Pak Dollah


62. Peserta bengkel Bahasa Melayu berbalas-balas pandangan bagi menyiapkan tugas untuk dibentang di akhir kursus.


63. Tunku Abdul Rahman merupakan cendekiawan yang telah berjaya menuntut kemerdekaan negara kita dari British.


64. Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat yang serba canggeh pada masa ini mwmpu membawakan kita meneroka pelbagai jenis ilmu dengan berkesan.


65. Pihak kerajaan pula telah menyasarkan kus berjuta-juta ringgit untuk memaju kawasan tersebut.


66. Demikianlah berapa pandangan yang telah disampaikan oleh mereka dalam foram semalam.


67. Sebelum adat istiadat penganugerahan pingat bermula baginda  bersemayam di atas mahligai sempena hari keputeraan baginda yang ke65 tahun.


68. Kaki tangan awam diingatkan supaya mereka sentiasa mendahului kebajika rakyat dalam memberikan perkhidmatan.


69. Surat kenyataan daripada kementerian pelajaran malaysia tentang peraturan pakaian telah dihantar kepada pihak sekolah.


70. Bagi membulehkan Malaysia dibangunkan dengan pesat dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, penguasaan beberapa bahasa utama dunia merupakan satu keperluan.


71. Aliran dan isu keanika bahasaan yang menguasai dunia pada hari ini telah meletakan keutamaan kepada penguasaan pelbagai bahasa, khususnya bahasa Eropah.


72. Pihak kerajaan atau suwasta telah menyediakan berbagai-bagai kemudahan awam, misalnya tndas awam, telefon awam, balai raya dan lain-lain untuk memudahkan orang ramai.


73. Dia mengucapkan syukur  dengan Tuhan kerana telah mengurniainya tubuh badan sihat dan rezeki yang melimpah.


74. Latihan itu diadakan demi untuk mengeratkan hubungan antara kaum di Malaysia.


75. Oleh kerana sudah lama berjalan, peristiwa itu sudah luput daripada ingatan penduduk kampung.


76. Sejak akhir-akhir ini media masa kita sering membuatkan liputan tentang keselamatan sekolah yang agak longgar.


77. Perubahan suasana sekolah pada masa ini telah menyebabkan kaedah, stratigi dan model program yang dapat meningkat keselamatan murid serta guru perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.


78. Anggota masyarakat hendaklah menunjukkan keperihatinan menghadapi moral agar anak-anak menjadi orang yang berguna.


79. Hari Kebangsaan memperingatkan tentang erti kebebasan yang lebih luas kepada kita semua.


80. Abad ke20 menyaksikan letusan pelbagai idea dan percubaan yang amat membanggakan.


81. Penghasilan Menara Berkembar Petronas yang menggunakan teknologi seni bina termoden telah meletakkan Malaysia pada peta dunia.


82. Dalam tempuh beliau memegang jawatan tersebut, kedua-dua akhbar tulisan jawi itu diberi nafas baru.


83. Sila layari Intenet dan senaraikanlah sekurang-kurangnya 10 destinasi perlancongan yang terkenal di negara ini.


84. Kini, aktiviti sukan lasak seperti kembara mendaki gunong dan lumba basikal bukit dapat tarikan minat orang ramai, terutama golongan remaja di negara ini.


85. Kemudahan canggih berdasarkan teknologi yang terdapat di KLIA dapat dibanggakan oleh kita.


86. Kerana kekurangan masa, mereka tidak sempat membincangkan lain-lain perkara dalam mesyuarat pada hari ini.


87. Para-para ilmuan itu sedang bersidang di dalam dewan seminar itu.


88. Perdana menteri mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sanggup meluangkan masa untuk sertai pertubuhan sukarela.


89. Di samping menyediakan bantuan di peringkat antara bangsa, persatuan sukarela ini tidak membelakangi masyarakat menempat.


90. Tugas para juru terbang bermula-selewat-lewatnya satu jam sebelum terbang.


91. Kelima penari Kumpulan Seri Kebudayaan Negeri Terengganu itu berwajah putih.


92. Bersihkan akan kami kawasan belukar di belakang  dewan itu melalui bergotong-royong.


93. Barang-barang yang menjadi bahan simpanan pihak pendakwa ada di pihak pembela  kes tersebut.


94. Negara kita telah mendahulu kebanyakkan negara membangun lain dalam bidang teknologi pertanian.


95. Syarikat itu telah mengondol dua hadiah dalam bertanding reka cipta produk baru pada tahun ini.


96. Sektor pelancongan dibahagi kepada  dua ketegori utama iaitu pasaran domestik dan pasaran antarabangsa.


97. Semenjak keluarganya berpindah, tiada siapa pun yang mewarisi rumah tersebut sehingga kawasan sekitarnya ditumbuhi semak-samun.


98. Dia berasa ganjil ketika berada dalam majlis yang penuh adat istiadat  yang orang kenamaan hadiri.


99. Pembangunan kemudahan asas untuk kemudahan rakyat akan membantut jika kegiatan merosakannya masih berterusan.


100. Pemain yang sangat lincah itu dikawal hebat oleh pihak lawan tiap kali dia menerima bola. 

Selasa, 26 Oktober 2021

LATIHAN KEMAHIRAN AYAT

LATIHAN 1 

Tentukan jenis ayat-ayat berikut.


1. Seramai 2,200 atlet menyertai triathlon antarabangsa 2019.

2. Ayah membaca surat khabar sambil minum kopi.

3. Kasut kulit dipakai oleh Khairil ketika menghadiri temu duga.

4. Selepas mengetahui nenek meninggal dunia adik bersedih.

5. “Wah, cantiknya taman bunga ni!” kata Saleha.

6. “Bolehkah awak tolong angkat buku saya?” luah Samad.


LATIHAN 2 

Tukar  ayat-ayat biasa berikut menjadi ayat songsang.

1. Sayur-sayuran hasil tanaman Pak Abu habis dijual di pasar tani itu.

2. Helmi tidak pernah berdendam walaupun dihina oleh Datin Salmah sewaktu tinggal di rumahnya.

3. Kebanyakan masyarakat kita kurang bersenam kerana masih kurang kesedaran.

4. Pantai Tanjung Bidara sangat bersih dan cantik.

5. Kanak-kanak selamat untuk bermandi-manda kerana pantainya landai.


LATIHAN 3

Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.


1.    Puan Azizah telah memarahi Azmi kerana memecahkan  pasu bunga.

2.    Ibu bapa harus mengawasi tingkah laku anak-anak supaya mereka tidak tersalah langkah.

3.    Puan Sarah menghadiahi  Atiqah sebuah kereta Kancil setelah lulus dalam ujian memandu.   

4.    Ayah saya menyambut kedatangan birasnya  yang baru tiba dari Sabah.

5.    Dia mendayung sampan itu dengan laju dengan harapan untuk mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.


LATIHAN 4

Tukarkan ayat-ayat  pasif berikut kepada ayat aktif.


1. Adik yang sedang bermain di halaman rumah dipanggil kakak.

2.    Anak-anak perlu diawasi oleh ibu bapa supaya tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral.

3. Seutas jam tangan dihadiahkan oleh Puan Sharifah kepada anaknya setelah lulus peperiksaan  SPM dengan cemerlang.

4. Kesalahannya itu disedarinya selepas beberapa ketika.

5. Tanah itu diserahkan semula oleh kedua-dua belah pihak setelah memahami penerangan tersebut.

6. Spesies tumbuhan anak di hutan itu akan dikajinya sekali lagi.


LATIHAN 5

Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap ajuk. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.


Mak Limah bertanya arah tujuan suaminya setelah melihat suaminya itu dalam keadaan tergesa-gesa hendak keluar. Pak Usop mengatakan bahawa dia hendak berjumpa dengan ahli-ahli jawatankuasa Koperasi Maju. Mak Limah mencadangkan agar suaminya makan nasi dahulu walaupun sibuk dengan kerja kerana dia takut suaminya akan berasa lapar . Pak Usop memberitahu ii itsterinya bahawa dia hendak meletakkan jawatan sebagai pemandu bas koperasi itu. Mak Limah bertanya cara suaminya hendak mendapatkan pekerjaan sekiranya dia berhenti kerja. Pak Usop menjelaskan bahawa dia hendak memohon pinjaman daripada pihak MARA untuk  membeli sebuah bas.


LATIHAN 6

Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah.


“Ani tak ada sapa-sapa. Ani sorang.......”

“Ani tak boleh tinggal sini.Di sini bahaya,” kata Tuk Yahya sambil meneliti mata belolok anak itu.

“Ani tak ada sapa-sapa,” rengek Ani lagi.

“Ya, Tuk Yahya tahu.........”

“Ani tak mahu tinggal di rumah lagi.Nanti bom jatuh lagi. Datuk tak ada, datuk tak ada”,jelas anak itu hampir meraung.

“Ani ada Tuk Yahya, Ani ada  comot,” pujuk Tuk Yahya.

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...