Selasa, 16 Januari 2024

Rabu, 1 Mac 2023

Nota Ringkas Komsas - Gaya Bahasa dan Unsur Bunyi dalam Komsas oleh Cikgu Hidayah

 NOTA RINGKAS KOMSAS GAYA BAHASA DAN UNSUR BUNYI DALAM KOMSAS
OLEH : CIKGU HIDAYAH


IKUTI RANGKAIAN MEDIA SOSIAL KTCH 
untuk sebarang pertanyaan, info terkini, bahan pembelajaran dan kandungan yang menarik.


Whatsapp: 010 666 8574
Telegram : t.me/KTCHidayah
Website : cikguhidayah.com
Instagram & Tiktok : @cikgu.hidayahh
Facebook : facebook.com/KTCHidayah
Youtube : Kelas Tuisyen Cikgu Hidayah


Rabu, 18 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 5 - HIPERTENSI (ILLIAS ZAIDI)

Sinopsis

    Aiman berehat di rumah banglo keluarganya yang terletak di lereng bukit yang sudah gondol akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan tanah. Kemudian, cerita berkisar tentang peristiwa masa lalu yang ditempuhi sepanjang perjalanan hidup Aiman. Aiman teringat tentang Teori Graviti yang dicetuskan oleh Isaac Newton, saintis berbangsa Inggeris. Dalam sesi pengajaran subjek Sains pula, berlaku perdebatan idea antara Aiman dengan Cikgu Faridah sehingga suasana di dalam kelas itu menjadi riuh. Cikgu Faridah menggelarkan Aiman sebagai profesor disebabkan kepintarannya dan mempunyai daya berfikir yang tinggi. Dia juga lebih matang berbanding dengan rakannya yang lain.

    Aiman teringat akan kisahnya sebagai anak sulung. Dia mempunyai dua orang adik perempuan, iaitu Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah. Ketika di rumah, Aiman selalu menyindir adik-adiknya yang kurang bijak menyelesaikan masalah matematik. Ketika menuntut di sekolah rendah, Aiman teringat perbuatannya yang selalu ponteng sekolah akibat berasa bosan dan jelak dengan silibus sekolah rendah yang dikatakan tidak setanding dengan daya pemikirannya yang cerdik pada waktu itu. Disebabkan Aiman dikurniakan daya berfikir yang tinggi, dia gemar menyakat kawan-kawannya yang agak lambat menyelesaikan latihan terutamanya mata pelajaran Matematik. Perbuatannya yang suka menyakat kawan-kawannya dan merayau di dalam kelas itu menyebabkan Aiman selalu ditegur oleh guru kelasnya. Beliau melaporkan perkara itu kepada ibu bapa Aiman. Bapa Aiman telah merotan Aiman pada bahagian pinggul sehingga lebam.

    Aiman ponteng kelas kerana lebam pada pinggulnya masih belum hilang. Kesempatan itu digunakan oleh Aiman untuk berhalusinasi tentang dunia penerokaan sains angkasa lepas. Dalam imaginasinya itu, usia sedia adanya waktu itu ditambah sepuluh tahun. Sebatang pohon nyiur dara di penjuru banglonya diandaikan sebagai tempat berlepas ke angkasa dan sebuah kapal angkasa Soyuz. Sikap peliknya terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas dengan menjadikan pohon kelapa dara sebagai lokasi imaginasi telah diketahui oleh ibu bapanya. Kesudahannya, pinggul Aiman dirotan oleh bapanya lagi. Ibunya hanya mampu memprotes tindakan bapanya itu di dalam hati.

    Aiman semakin galak membayangkan dirinya sebagai angkasawan yang telah diberi peluang mengikuti latihan intensif di bawah program aeroangkasa bersama dengan pihak Rusia. Aiman membayangkan dirinya sebagai angkasawan yang akan mendarat di bulan dengan menaiki kapal angkasa Soyuz dari Stesen Angkasa Antarabangsa. Aiman berpendapat bahawa dia perlu membuat kajian saintifik di Stesen Angkasa Antarabangsa itu terlebih dahulu sebelum dia meneroka bulan. Seterusnya, daya imaginasi Aiman semakin meluas apabila dia membayangkan dirinya berada di ruang udarakasa bulan tanpa udara. Dengan berpakaian lengkap sebagai angkasawan, dia dapat melihat ciri-ciri fizikal dan keadaan bulan yang sebenarnya.

    Setelah Aiman meningkat remaja, daya imaginasinya terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas itu masih kuat. Keadaan tersebut menyebabkan bapanya
yang tegas dan kasar itu sering kali menampar Aiman yang kuat berangan-angan sehingga menyebabkan dia menjadi gagap. Bagi mengatasi masalah Aiman yang gagap dalam pertuturan, ibu bapa Aiman telah membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi. Aiman terdengar suara ghaib yang mengajaknya agar berpijak di bumi yang nyata, iaitu melihat dirinya sendiri dalam kehidupan yang realiti dan lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Aiman beranggapan bahawa ibu bapanya tidak perlu membawanya untuk mengikuti latihan intensif dan latihan terapi itu. Akhirnya, Aiman sedar akan kesilapannya yang terlalu jauh berimaginasi lalu memanjatkan doa dan harapannya ke hadrat Ilahi.

Tema
Cerpen “Hipertensi” bertemakan keinginan yang tinggi dalam bidang sains angkasa sehingga menyebabkan Aiman Aqil membayangkan dirinya berada dalam suasana di angkasa.

Persoalan
(a) Tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya.
(b) Kebijaksanaan dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
(c) Rasional dalam membuat sebarang keputusan atau tindakan.
(d) Pengorbanan seorang guru terhadap anak murid.
(e) Impian dan angan-angan yang tidak kesampaian.
(f) Perasaan dendam akibat kesalahan bapa pada masa lampau.

Watak dan Perwatakan

Aiman Aqil
(a) Berumur hampir 20 tahun.
(b) Berwajah agak cengkung dan memiliki jari-jemari tangan yang kurus runcing.
(c) Anak sulung dan mempunyai dua orang adik perempuan, iaitu Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.
(d) Gagap, iaitu mulutnya ternganga lebar dahulu sebelum keluar kata-kata.
(e) Mementingkan pengambilan makanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.
(f) Pintar dalam pelajaran terutamanya subjek Matematik dan Sains.
(g) Menyimpan angan-angan untuk menjadi angkasawan seperti Neil Armstrong.
(h) Gemar menyakat orang lain.
(i) Suka memberontak dan marah-marah.
(j) Menyimpan dendam terhadap kebengisan bapanya yang sering merotan dan menamparnya.
(k) Insaf akan kesilapannya yang terlalu jauh berimaginasi lalu memanjatkan doa dan harapannya ke hadrat Ilahi.

Bapa Aiman
(a) Bapa kepada Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
(b) Bertugas sebagai jurutera mekanikal.
(c) Dipanggil dengan gelaran “babah” oleh Aiman dan anak-anaknya.
(d) Bertanggungjawab membesarkan tiga orang anaknya di sebuah rumah.
(e) Pembengis dan garang.
(f) Bapa yang penyayang.
(g) Berusaha merawat masalah kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan terapi.

Ibu Aiman
(a) Ibu kepada tiga orang anak, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
(b) Saintis dalam bidang geologi.
(c) Bersifat penyayang.
(d) Isteri yang taat dan patuh akan suami.
(e) Tetap bersabar dengan sikap garang suaminya dalam mendidik anak-anak.

Cikgu Faridah
(a) Guru Sains di sekolah Aiman.
(b) Guru yang dedikasi.
(c) Cepat marah.
(d) Bijak melihat potensi murid.

Latar

Latar Tempat
(a) Sekolah.
(b) Rumah banglo Aiman.
(c) Stesen Angkasa Antarabangsa.
(d) Ruang udarakasa bulan.
(e) Pohon kelapa dara di penjuru banglo.

Latar Masa
(a) Waktu pagi.
(b) Zaman sekolah rendah.
(c) Zaman remaja.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang bercita-cita tinggi.
(b) Masyarakat yang bijak dalam pelajaran.
(c) Masyarakat yang bekerja sebagai pendidik.
(d) Masyarakat yang penyayang terhadap anggota keluarga.
(e) Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap penyakit anaknya.
(f) Masyarakat yang bengis.
(g) Masyarakat yang insaf akan kesilapan lalu.
(h) Masyarakat yang berpendirian tegas dalam membuat keputusan.
(i) Masyarakat pendendam yang masih mengingati kisah lalu. 

Plot

Binaan Plot

(a) Plot cerpen ini disusun mengikut kronologi.

(b) Pengenalan – Aiman berehat di rumah banglo keluarganya. Banglo tersebut terletak di lereng bukit yang sudah gondol akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan tanah.

(c) Perkembangan – Aiman teringat tentang Teori Graviti yang dicetuskan oleh Isaac Newton, saintis berbangsa Inggeris itu. Dalam sesi pengajaran subjek Sains pula, berlaku perdebatan idea antara Aiman dengan Cikgu Faridah sehingga mencetuskan suasana riuh di dalam kelas itu. Cikgu Faridah menggelarkan Aiman sebagai profesor disebabkan kepintarannya, ketinggian daya berfikirnya, dan kematangannya berbanding dengan murid-murid lain.

(d) Perumitan – Aiman teringat akan perbuatannya yang selalu ponteng sekolah kerana bosan dengan silibus sekolah rendah yang tidak setanding dengan daya pemikirannya pada waktu itu. Oleh hal yang demikian, Aiman gemar menyakat kawan-kawannya
yang agak lambat menyiapkan latihan. Perbuatannya yang suka menyakat kawan-kawannya dan merayau di dalam kelas itu menyebabkan Aiman selalu ditegur oleh guru kelasnya. Beliau melaporkan perkara itu kepada ibu bapa Aiman. Akibatnya, Aiman dirotan oleh bapanya pada bahagian pinggul sehingga lebam.

(e) Klimaks – Daya imaginasi Aiman terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas itu masih begitu kuat setelah Aiman meningkat remaja. Keadaan tersebut menyebabkan bapanya sering menampar Aiman yang kuat berangan-angan sehingga menyebabkan dia menjadi gagap. Bagi mengatasi masalah Aiman yang gagap, ibu bapa Aiman telah membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.

(f) Peleraian – Akhirnya Aiman sedar daripada imaginasi dan angan-angannya selama ini. Hal ini demikian kerana dia terdengar suara ghaib yang mengajaknya agar berpijak di bumi yang nyata, iaitu melihat dirinya dalam kehidupan yang realiti dan lebih mendekatkan diri kepada Ilahi.

Teknik Plot

(a) Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Aiman dengan Cikgu Faridah berhubung dengan Teori Graviti yang diperkenalkan oleh Isaac Newton.

(b) Teknik imbas kembali. Contohnya. Aiman teringat kembali kisahnya ketika belajar di sekolah rendah. Dia selalu ponteng sekolah dengan alasan berasa bosan dengan pengajaran guru di dalam kelas.

(c) Teknik imbas muka. Contohnya, Aiman membayangkan dirinya sudah lulus dalam peperiksaan pada peringkat pengajian tinggi dengan memperoleh ijazah kelas pertama dalam bidang aeroangkasa.

(d) Teknik monolog dalaman. Contohnya, Aiman bermonolog bahawa dia tidak akan berasa hairan dengan Teori Graviti yang diperkenalkan oleh Isaac Newton sekiranya dia lahir pada tahun yang sama dengan beliau.

(e) Teknik pemerian. Contohnya, penulis memerihalkan keadaan Aiman sewaktu dia dilahirkan.

(f) Teknik saspens. Contohnya, peristiwa percanggahan pendapat antara Aiman dengan Cikgu Faridah benar-benar menimbulkan perasaan ingin tahu dalam kalangan
pembaca tentang penyelesaian pendapat mereka itu. 

Gaya Bahasa
(a) Bahasa Inggeris. Contoh: IQ; genius.
(b) Inversi. Contoh: Keterujaan Aiman terus melonjak (sepatutnya: Aiman terus melonjak keterujaan).
(c) Istilah sains angkasa lepas. Contoh: orbit; aeroangkasaplanet.
(d) Metafora. Contoh: dedaun kemaafan; tasik hati; pentas halusinasinya.
(e) Personifikasi. Contoh: Sang Suria memuncaki ubun-ubun; Keriangan sudah tercantasTamparan selalu singgah di pipiku.
(f) Repetisi. Contoh: Tidak ada udara. Tidak ada air.
(g) Simile. Contoh: terlompat-lompat macam beruk dan kera di bulan; seperti Si Luncai yang terjun dengan labu-labunya.

Nilai
(a) Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Aiman dapat menyelesaikan masalah matematik murid Tingkatan Lima walhal umurnya ketika itu baru lapan tahun.
(b) Nilai kasih sayang. Contohnya, ibu Aiman amat menyayangi anak-anaknya, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
(c) Nilai belas kasihan/bersimpati. Contohnya, ibu Aiman berasa kasihan setiap kali melihat Aiman dirotan oleh suaminya.
(d) Nilai dedikasi. Contohnya, Cikgu Faridah menerangkan Teori Graviti dengan bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya.
(e) Nilai tanggungjawab. Contohnya, bapa Aiman berusaha merawat masalah kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.
(f) Nilai kesabaran. Contohnya, ibu Aiman bersabar dengan sikap garang suaminya dalam mendidik anak-anak terutamanya Aiman.
(g) Nilai keinsafan. Contohnya, Aiman sedar akan kesilapannya yang terlalu jauh berimaginasi lalu memanjatkan doa dan harapannya ke hadrat Ilahi.

Pengajaran
(a) Kita sepatutnya menyayangi anggota keluarga kita.
(b) Kita hendaklah bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
(c) Kita mestilah dedikasi dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diberikan.
(d) Kita perlu bertanggungjawab terhadap aspek kesihatan anggota keluarga.
(e) Kita hendaklah bersabar apabila berdepan dengan masalah.
(f) Kita mestilah rasional dalam melaksanakan sesuatu tindakan.
(g) Kita harus mementingkan kebersihan mental dan fizikal untuk menjalani kehidupan yang sihat dan berkualiti. 

KOMSAS TINGKATAN 5 - PROSA TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA

Sinopsis

    Kedengaran ke benua Siam bahawa negeri Melaka sebuah negeri yang besar dan tidak ditakluki oleh mana-mana empayar. Raja Siam, iaitu Paduka Bubunnya pun menyuruh utusan ke Melaka untuk meminta surat sembah. Sultan Melaka, iaitu Sultan Muzaffar Syah tidak mahu menyembah raja Siam. Raja Siam berasa amat marah lalu memerintahkan hulubalangnya, iaitu Awi Cakri untuk menyerang Melaka.

    Berita Siam hendak menyerang Melaka telah didengari oleh Sultan Muzaffar Syah. Lantas, baginda memerintahkan rakyat dihimpunkan di Melaka. Sehubungan dengan itu, semua rakyat lelaki dibawa berhimpun di Melaka. Bagaimanapun, Tun Perak telah menghimpunkan orang lelaki dari Kelang bersama-sama dengan isteri dan anak-anak mereka. Tujuannya adalah untuk memastikan mereka berperang dengan sungguh-sungguh demi isteri dan anak-anak mereka. Kebijaksanaan Tun Perak mendapat perhatian Sultan Melaka. Selepas Melaka menang ke atas Siam, Tun Perak diperintahkan agar menetap di Melaka dan dilantik sebagai bentara.

    Kemudian, ada seorang orang Kelang mengadu kepada Sultan Melaka bahawa Tun Perak telah menganiayai dirinya. Sultan Melaka pun memerintahkan Tun Perak supaya menghadap baginda. Tun Perak menyatakan bahawa dia tahu akan tanggungjawabnya untuk menjaga negeri Melaka. Tun Perak mahu dia dipecat lebih dahulu sekiranya dia ingin dicerca disebabkan orang yang mengadu hal tersebut. Kata-kata Tun Perak itu memikat hati Sultan Melaka. Tun Perak dilantik sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja. Tun Perak duduk setara dengan Seri Nara Diraja di seri balai.

    Sementara itu, orang Melayu pun terbahagi kepada dua kumpulan. Sebahagiannya mengikut Paduka Raja dan sebahagian lagi mengikut Seri Nara Diraja. Kedua-dua pembesar ini tidak bermuafakat dan sering berselisih faham. Sultan Melaka berasa dukacita kerana sikap kedua-dua pembesar itu akan membinasakan negeri Melaka. Baginda bercadang untuk mendamaikan Tun Perak dengan Seri Nara Diraja. Oleh hal yang demikian, Seri Nara Diraja telah dikahwinkan dengan Tun Kudu, iaitu anak Bendahara Seri Wak Raja yang bersaudara pula dengan Paduka Raja. Tun Kudu ialah isteri Sultan Melaka tetapi telah diceraikan oleh baginda. Tun Kudu dipelihara oleh Paduka Raja. Segala perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Melaka. Setelah Seri Nara Diraja berkahwin dengan Tun Kudu, Seri Nara Diraja telah berbaik-baik dengan Paduka Raja. Malah Seri Nara Diraja memberikan sokongannya terhadap Paduka Raja untuk dilantik sebagai bendahara. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja setara dengan Patih Aria Gajah Mada di Majapahit dan Orang Kaya Kanayan di Pasai. Seri Nara Diraja pula menjadi penghulu bendahari di Melaka.

    Setelah beberapa lama kemudian, orang Siam, iaitu di bawah panglima Awi Dicu mahu menyerang Melaka lagi. Sultan Melaka memerintahkan Bendahara Paduka Raja agar bersiap sedia untuk menentang orang Siam. Seri Bija Diraja turut diperintahkan membantu Bendahara Paduka Raja untuk mengusir orang Siam yang telah menghampiri Batu Pahat. Bendahara Paduka Raja telah memerintah Tun Umar supaya menaiki perahu untuk memeriksa perahu Siam. Tun Umar yang berani itu telah melanggar beberapa buah perahu Siam sehingga mereka kalah. Tindakan Tun Umar membuatkan orang Siam berasa sungguh hairan.

    Setelah hari malam, Bendahara Paduka Raja mengarahkan agar pohon-pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar. Tindakan tersebut telah dilihat oleh orang Siam. Hulubalangnya berpendapat bahawa kelengkapan Melaka sungguh banyak. Dengan itu, orang Siam menjadi takut dan tidak jadi berperang lalu kembali ke Siam.

    Di Melaka, Sultan Muzaffar Syah telah meraikan tenteranya dengan memberikan persalinan yang mulia-mulia. Sebaliknya di Siam pula, Paduka Bubunnya berasa terlalu marah. Lantas baginda sendiri ingin menyerang Melaka. Sebaliknya, Cau Pandan, iatu anak Paduka Bubunnya mahu dia diperlengkapkan untuk mengalahkan Melaka. Paduka Bubunnya berasa sangat gembira dan mengarahkan anaknya itu diperlengkapkan dengan Pra Kelong lapan ratus sum dan perahu-perahu kecil yang tidak terbilang banyaknya.

    Khabar tentang tentera Siam yang dipimpin oleh Cau Pandan akan menyerang telah kedengaran di Melaka. Namun begitu, Tuan Sidi Arab yang menetap di Melaka dan pandai bermain panah lasykar telah menghalakan panahnya ke benua Siam sambil melaungkan kata-kata bahawa Cau Pandan akan mati. Sultan Muzaffar Syah mengatakan bahawa Tuan Sidi Arab itu benar-benar warak sekiranya Cau Pandan betul-betul mati.

    Di benua Siam pula, Cau Pandan berasa dadanya seperti terkena panah. Cau Pandan jatuh sakit dan muntah darah lalu mati. Oleh hal yang demikian, rancangan Siam untuk menyerang Melaka tidak diteruskan. Kematian Cau Pandan telah tersebar ke Melaka. Sultan Muzaffar Syah yang mendengar khabar tersebut mengakui Tuan Sidi Arab seorang yang warak, lalu memberikan pujian dan anugerah kepada beliau.

    Selepas 42 tahun menaiki takhta, akhirnya Sultan Muzaffar Syah pun mangkat. Takhta Melaka telah digantikan oleh anakanda baginda, iaitu Raja Abdullah. Baginda digelar Sultan Mansur Syah. Usia baginda sewaktu menaiki takhta itu ialah 27 tahun. Sultan Mansur Syah seorang yang kacak, adil, dan pemurah. Baginda telah berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam, iaitu anak Seri Nara Diraja.

Tema
Tema prosa tradisional “Burung Terbang Dipipiskan Lada” ialah kebijaksanaan seorang raja dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam kalangan pembesar negeri.

Persoalan
(a) Kebijaksanaan menggunakan strategi dan akal fikiran untuk menyelesaikan masalah.
(b) Perpecahan dalam kalangan pembesar akan mengancam kedaulatan negara.
(c) Kepentingan ilmu dalam kehidupan.
(d) Keberanian dalam menghadapi cabaran.
(e) Taat setia kepada pemimpin dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian negara.

Watak dan Perwatakan

Tun Perak
(a) Pembesar Melaka yang menjaga daerah Kelang.
(b) Dinaikkan pangkat daripada pembesar Kelang kepada Paduka Raja.
(c) Diperintahkan untuk menetap di Melaka.
(d) Berani dan baik hati, dan bijaksana.
(e) Sangat berpengaruh.
(f) Dilantik menjadi bendahara yang bergelar Bendahara Paduka Raja oleh Sultan Muzaffar Syah setelah mendapat sokongan daripada Seri Nara Diraja.
(g) Bijak dalam strategi perang.

Sultan Muzaffar Syah
(a) Mementingkan keharmonian Melaka.
(b) Bijaksana dan prihatin.
(c) Tidak terburu-buru dalam bertindak.
(d) Memerintah Melaka selama 42 tahun.
(e) Raja yang menghargai rakyat.
 
Seri Nara Diraja
(a) Penghulu bendahari di Melaka.
(b) Sudah tua sehingga bulu kening dan bulu matanya telah bercantum.
(c) Berkahwin dengan Tun Kudu, iaitu bekas isteri Sultan Melaka.
(d) Mempunyai anak daripada hubungannya dengan gundik, iaitu Tun Nina Madi.
(e) Bapa saudara kepada Bendahara Paduka Raja apabila beliau berkahwin dengan Tun Kudu, iaitu saudara kepada Bendahara Paduka Raja.

Sultan Mansur Syah
(a) Anak kepada Sultan Muzaffar Syah.
(b) Menjadi sultan ketika berusia 27 tahun.
(c) Kacak, adil, dan pemurah.
(d) Berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam, iaitu anak Seri Nara Diraja.
(e) Mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Puteri Bakal, iaitu hasil hubungannya dengan gundik.

Latar

Latar Tempat
(a) Melaka.
(e) Kelang.
(b) Muar.
(f) Siam.
(c) Batu Pahat.
(g) Istana Siam.
(d) Hulu Muar.
(h) Seri balai.

Latar Masa
(a) Zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.
(b) Zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.
(c) Zaman Tun Perak menjadi Bendahara Melaka.

Latar Masyarakat
(a) Golongan istana yang terdiri daripada pemerintah, menteri, dan hulubalang.
(b) Masyarakat yang mengamalkan ilmu.
(c) Masyarakat yang tidak bersatu hati.
(d) Masyarakat yang takut akan isteri.
(e) Masyarakat yang bijaksana.
(f) Masyarakat yang baik hati.

Plot

Binaan Plot

(a) Peristiwa-peristiwa dalam cerita ini dijalin secara kronologi.

(b) Pengenalan – Raja Siam memerintahkan Melaka agar menghantar surat sembah. Namun begitu, Sultan Melaka tidak mahu memberikan surat sembah tersebut. Oleh itu, Raja Siam, iaitu Paduka Bubunnya memerintahkan tenteranya di bawah pimpinan Awi Cakri supaya menyerang Melaka. Sultan Melaka mengarahkan rakyatnya dikumpulkan untuk menghadapi ancaman tentera Siam. Tun Perak mengumpulkan semua lelaki dari Kelang bersama-sama dengan isteri dan anak masing-masing. Akhirnya, Siam berjaya dikalahkan di Muar.

(c) Perkembangan – Tun Perak diperintahkan oleh Sultan Melaka supaya menetap di Melaka dan dijadikan bentara. Kebijaksanaan dan kata-kata Tun Perak sewaktu menyelesaikan dakwaan bahawa dia membuat aniaya telah membuatkan Sultan Muzaffar Syah menaikkan pangkat beliau sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja.

(d) Perumitan – Seri Nara Diraja dan Paduka Raja tidak sefahaman. Orang Melayu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu sebahagian menjadi pengikut Seri Nara Diraja dan sebahagiannya pengikut Paduka Raja. Sultan Muzaffar Syah bimbang jika perbalahan antara pembesar itu akan memudaratkan negeri Melaka. Sultan Muzaffar Syah telah mengahwinkan Tun Kudu, iaitu saudara kepada Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja untuk menyatukan mereka berdua. Paduka Raja pula dijadikan bendahara.

(e) Klimaks – Raja Siam menghantar tenteranya di bawah pimpinan Awi Dicu untuk menyerang Melaka. Sultan Muzaffar Syah mengarahkan Bendahara Paduka Raja dengan dibantu oleh Seri Bija Diraja untuk mengusir tentera Siam. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja yang mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar menyebabkan tentera Siam tersalah anggap dan kembali ke Siam kerana ketakutan. Selepas itu, anakanda Raja Siam, iaitu Cau Pandan diperlengkapkan untuk menyerang Melaka. Berita Siam ingin menyerang Melaka telah diketahui oleh Raja Melaka. Tuan Sidi Arab yang mempunyai ilmu pengetahuam yang tinggi telah menghalakan panahnya ke benua Siam untuk membunuh Cau Pandan. Cau Pandan berasa dadanya seperti dipanah dan muntah darah lalu mati.

(f) Peleraian – Sultan Muzaffar Syah mangkat selepas memerintah Melaka selama 42 tahun. Takhta Melaka digantikan oleh Raja Abdullah, iaitu anakanda Sultan Muzaffar Syah dengan gelaran Sultan Mansur Syah.

Teknik Plot
(a) Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Sultan Muzaffar Syah dengan Seri Nara Diraja.
(b) Teknik imbas kembali. Contohnya, Seri Nara Diraja teringat akan peristiwa bapanya membeli azimat.
(c) Teknik monolog dalaman. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah bermonolog dalaman ketika baginda mendengar penjelasan daripada Tun Perak.
(d) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan perwatakan Seri Amerta.

Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contoh: idah; ditalak; keramat.
(b) Bahasa istana. Contoh: baginda; titah; tuanku; mangkat.
(c) Bahasa Melayu klasik. Contoh: terpermanai lagikemakanan matanya.
(d) Hiperbola. Contoh: Tun Hamzah namanya, asalnya daripada Muntah Lembu; seorang pun raja-raja di dalam alam ini tiada sepertinya pada zaman itu.
(e) Penggunaan lagu. Contoh: Cau Pandan anak Bubunnya, Hendak menyerang ke Melaka; Ada cincin berisi bunga, Bunga berladung si air mata.
(f) Repetisi. Contoh: Hatta, maka pada sekali peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai, dihadap orang banyak. Maka Tun Nina Madi pun lalu, disuruh naik duduk dekat, lalu diribanya oleh Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja pada segala orang yang duduk itu.
(g) Simile. Contoh: seperti dewal orang berzikir; dadanya seperti kena panah.

Nilai
(a) Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Tun Perak bijaksana dalam menghadapi ancaman Siam ke atas negeri Melaka. Beliau mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar. Tindakan beliau ini telah menggerunkan tentera Siam sehingga menyebabkan mereka kembali ke Siam semula.
(b) Nilai baik hati. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah bersikap baik hati dengan menganugerahkan persalinan kepada Tun Perak dan tenteranya selepas mereka berjaya mengusir tentera Siam.
(c) Nilai berilmu pengetahuan. Contohnya, Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi sehingga mampu membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dari jauh sahaja.
(d) Nilai bersatu padu. Contohnya, Seri Nara Diraja yang bersepakat dengan Bendahara Paduka Raja telah menjadikan rakyat Melaka bersatu padu dan terus kukuh  untuk berhadapan dengan ancaman Siam.
(e) Nilai keikhlasan. Contohnya, Seri Nara Diraja dengan ikhlas hati menyokong pelantikan Paduka Raja sebagai Bendahara Melaka.
(f) Nilai keberanian. Contohnya, Tun Perak bersama-sama dengan tentera Melaka berani menentang tentera Siam yang dipimpin oleh Awi Cakri dan Awi Dicu sehingga kedua-dua gerombolan tentera musuh dapat dikalahkan.
(g) Nilai pengorbanan. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah sanggup berkorban, iaitu baginda menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja demi kebaikan negeri Melaka.

Pengajaran
(a) Kita mestilah berani menghadapi ancaman musuh negara.
(b) Kita perlu bijak menggunakan strategi untuk menyelesaikan masalah.
(c) Kita hendaklah ikhlas semasa melakukan sesuatu tindakan.
(d) Kita sepatutnya sanggup berkorban untuk memperoleh kebaikan.
(e) Kita haruslah bersatu padu untuk menikmati kehidupan yang harmoni.
(f) Kita hendaklah menggunakan ilmu pengetahuan untuk melakukan tindakan yang betul dan tepat.

KOMSAS TINGKATAN 5 - SAJAK KUDUP PERANG

Maksud

Rangkap 1
Penyajak mengingatkan bahawa seseorang yang masih bergelar panglima perang akan sentiasa membuat kezaliman dan menyimpan perasaan dendam. Walau bagaimanapun, penyajak masih berterima kasih kerana berpeluang untuk menikmati kehidupan sambil mencari pahlawan sejati.

Rangkap 2
Penyajak sedar bahawa dia tidak sempat hidup pada zaman perbalahan dan penuh angkara. Oleh itu, dalam kekeliruan, penyajak tertanya-tanya akan orang yang membunuh pendusta.

Rangkap 3
Penyajak tidak mahu menyanjung Tuah sebagai pendekar paling gagah kerana kesetiaan Tuah yang tidak berbelah bahagi terhadap istana. Oleh itu, Tuah tidak akan bersikap saksama walaupun wujud pendustaan sehingga dia sanggup membiarkan kesengsaraan berlaku di kota.

Rangkap 4
Penyajak juga tidak menganggap Jebat sebagai pengkhianat kerana dia masih mengingati perjuangan Jebat dalam mempertahankan keadilan. Oleh itu, Jebat dianggap suci.

Rangkap 5
Penyajak sedar bahawa peperangan penuh dengan muslihat dan berita palsu yang menghapuskan kebenaran dan membenarkan yang salah. Perang juga membangkitkan keganasan dalam kehidupan yang damai. Justeru, usaha untuk memulihkan sisa-sisa kehidupan yang damai amatlah sukar.

Rangkap 6
Sehingga kini, masyarakat masih terus bertengkar untuk menentukan pahlawan sebenar antara Tuah dengan Jebat.

Tema
Sajak “Kudup Perang” bertemakan kepentingan kewibawaan dan ketokohan pemimpin dalam menerajui sesebuah organisasi.

Persoalan
(a) Peperangan hanya akan mewujudkan perasaan dendam sesama manusia.
(b) Usaha untuk mencari kebenaran tentang pahlawan dan pengkhianat yang sebenarnya.
(c) Kekeliruan dalam mengenal pasti orang sebenar yang telah membunuh pendusta.
(d) Sikap tidak mahu memuji dan berpihak antara Tuah yang setia dengan Jebat yang menuntut keadilan.
(e) Keadilan dan kesaksamaan selalu digugat oleh pendustaan.
(f) Peperangan menyemarakkan pelbagai dakyah palsu yang menghapuskan kebenaran.
(g) Peperangan membawa kepada kesengsaraan yang sukar dipulihkan.

Bentuk Sajak
(a) Terdiri daripada enam rangkap.
(b) Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama. Rangkap pertama: sebelas baris, rangkap kedua: sepuluh baris, rangkap ketiga: sepuluh baris, rangkap keempat: enam baris, rangkap kelima: lapan baris, dan rangkap keenam: empat baris.
(c) Jumlah patah kata dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara dua hingga enam patah kata dalam satu baris.
(d) Bilangan suku katanya antara empat hingga tujuh belas suku kata.
(e) Rima akhirnya ialah rangkap pertama: abcdefaggagrangkap kedua: abcdedddfd, rangkap ketiga: abcddddddrangkap keempat: abcdbb, rangkap kelima: abccccdcdan rangkap keenam: abaa.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Bahasa klasik atau Sanskrit. Contoh: kesumat; keramatperawan.
(b) Diksi atau pemilihan kata begitu indah dan berkesan.
Contoh: mengudupkan putik dendam; menumbuhkan kelopak rahsia; melekatlah selumbar sengsara.
(c) Hiperbola. Contoh: jari-jemari takdir; daerah angkaraselumbar sengsara; menjungkitkan amarah.
(d) Inversi. Contoh: sesekali turut direntakan daki pendusta (sepatutnya: daki pendusta sesekali turut direntakan).
(e) Metafora. Contoh: peta keadilan.
(f) Simile. Contoh: seperti perawan.
(g) Unsur alam. Contoh: putik; fajar; selumbar; bayu.
(h) Asonansi. Contoh: Memang kita tidak sempat menjenguk (perulangan bunyi vokal e).
(i) Aliterasi. Contoh: bercabang lalu bertemu bayu palsu (perulangan bunyi konsonan b).

Nada
Sajak “Kudup Perang” bernada patriotik.

Nilai
(a) Keadilan.
(b) Keberanian.
(c) Keinsafan.
(d) Kerajinan.

Pengajaran
(a) Kita mestilah bersikap berani untuk mencari jawapan yang sahih.
(b) Kita haruslah bersikap adil dan saksama.
(c) Kita hendaklah insaf bahawa peperangan dan perbalahan tidak akan mendatangkan kebaikan.
(d) Kita mestilah gigih berusaha dan bersungguh-sungguh untuk membina kebahagiaan.

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...