Isnin, 3 Januari 2022

KOMSAS TINGKATAN 4 - NOVEL DI SEBALIK DINARA (DAYANG NOOR) Edisi Johor, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan

Sinopsis

    Novel ini berkisar tentang seorang gadis genius bernama Farisha. Farisha mula mengenali Aqram dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Senai ke Kuala Lumpur. Selepas itu, Aqram menawarkan sebuah projek mini kepada Farisha dan Rosman ketika mereka bertemu dengan Aqram dalam The 3rd Malaysia Computer Security Symposium. Setelah bersetuju, Aqram memperkenalkan Farisha dan Rosman dengan Dr. Maxi yang dibantu oleh Aqram, Khairul Anwar, dan Alia. Dr. Maxi menawarkan RM1.5 juta kepada Farisha dan Rosman untuk menggodam tiga kelompok komputer Soft Lab dalam tempoh sebulan. Shida pula diminta oleh Soft Lab untuk menulis rencana manakala Farisha akan menggodam dan mengukuhkan sistem Dinara. Shida merupakan pelan sandaran yang terakhir.

    Projek Dinara di Soft Lab terpaksa dihentikan kerana Karl terlantar akibat barah usus. Dr. Maxi mengetuai Projek Dinara. Dalam badan Farisha telah dimasukkan cip telepati yang dapat berhubung terus dengan Karl. Semua perbualan Farisha dengan Karl dapat dilihat oleh Dr. Maxi, Aqram, dan Khairul Anwar. Sejak itu, kesihatan Farisha kurang stabil. Shida pula dapat mengesan misteri dalam Projek Dinara apabila nama Medina dipadamkan dari sejarah syarikat Soft Lab.

    Farisha melawat Azraai dan terkejut kerana Azraai terkena serangan jantung serta mengetahui hakikat bahawa dia anak angkat dalam keluarga Azraai. Keesokannya, Farisha pengsan di Soft Lab lalu dikejarkan ke hospital. Dr. Maxi merancang Plan B untuk menjadikan Shida sebagai pengganti Farisha. Shida menjalani sesi bawah sedar untuk berkomunikasi dengan Karl. Farisha mengalami mimpi bertemu dengan ibunya, Medina (Marilyn). Farisha memberitahu Azraai bahawa Marilyn menghubunginya menyebabkan Azraai membawa Farisha keluar dari hospital menuju ke selatan. Farisha telah diculik oleh pembantu-pembantu Medina di Hentian Pagoh. Kedatangan Marilyn ke Soft Lab telah membongkar rahsia bahawa dia ialah ibu kandung Farisha hasil hubungannya dengan Karl. Karl menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 7.00 malam.


Inti Pati Bab

Bab 1

Farisha seorang gadis yang bertugas sebagai jurutera keselamatan sistem baru sahaja selesai bermesyuarat di Nusa Jaya.
• Farisha berkenalan dengan Aqram dan secara kebetulan mereka duduk bersebelahan di dalam kapal terbang ke KLIA semasa berada di Lapangan Terbang Senai, Johor.
•  Farisha agak teruja apabila melihat jam tangan yang dipakai oleh Aqram yang merupakan pusat kawalan elektronik peribadinya.
• Farisha terperanjat sekali lagi apabila melihat pintunya juga telah dipasang “retinal scanner” ketika dia sampai di pintu apartmennya.
• Farisha terpaksa menunggu Shida, kawan serumahnya yang sedang bermain skuasy dengan JUJU sebuah android untuk masuk ke apartmen mereka.
• Farisha ingin tidur awal kerana keesokan harinya dia akan menghadiri satu simposium di Hotel Renaissance.
• Dalam masa yang sama, rupa-rupanya Aqram dapat mencuri cawan minuman Farisha semasa di dalam kapal terbang tadi dan dapat bekerjasama dengan Dr. Maxi untuk mengkaji DNA Farisha.

Bab 2

Pada keesokan harinya, Farisha dan Rosman, pembantunya menghadiri simposium yang akan dirasmikan oleh Phillips Young, Presiden Persatuan Penggodam Antarabangsa.
• Bermula daripada pendaftaran, pencetakan bahan, sehingga mengatur kedudukan dalam simposium tersebut semua diuruskan oleh robot sehinggakan Farisha berasa kecewa
kerana Phillips Young menyampaikan ucaptama beliau hanya melalui hologram.
• Tanpa diduga, Farisha bertemu lagi dengan Aqram. Dalam pertemuan ini, Aqram menyatakan keinginannya untuk mencari perunding untuk sebuah projek mini di makmalnya.
• Dalam pada itu, Aqram telah berjaya menerobos fikiran Farisha menggunakan penetrator berupa sebatang pen berwarna perak, namun pendinding WALL yang dimiliki oleh Farisha dapat menangkis segala maklumat yang dikumpul dalam ingatan Aqram.
• Sebenarnya Aqram sudah sebulan cuba menjejaki Farisha untuk dibawa ke Soft Lab untuk menyelamatkan Dinara.

Bab 3

Farisha dan Rosman telah menghubungi Aqram berkaitan dengan tawaran Aqram yang ingin mencari perunding untuk satu projek.
• Aqram bersetuju untuk membincangkan perkara itu di Puchong tetapi mereka perlu berjumpa dengan Karl yang pernah menerima anugerah inovasi peringkat kebangsaan tiga tahun dahulu.
• Aqram memperkenalkan Farisha dan Rosman kepada Dr. Maxi.
• Dr. Maxi menawarkan RM1.5 juta kepada mereka berdua untuk tugas menggodam tiga kelompok komputer Soft Lab dalam tempoh empat minggu sebelum berjumpa dengan Karl.
• Dr. Maxi yakin akan kemampuan Farisha untuk menjalankan misi tersebut memandangkan Farisha pernah melepasi sistem keselamatan Bank Sapurba dan pernah berjaya menggodam pelayan data di Nusa Jaya hanya dalam tempoh sepuluh minit pada suatu ketika dahulu.
• Farisha meminta sedikit waktu untuk membuat keputusan.
• Sebelum pulang, Farisha dan Rosman diberi peluang untuk melihat Karl yang terlantar sakit akibat barah usus menyebabkan Projek Dinara yang diterajui oleh Karl terhenti kerana dia sakit.
• Farisha masih berasa waswas untuk menerima tawaran lumayan tersebut kerana dia sedar bahawa ada suatu tugasan berat yang perlu dilaksanakannya kelak.

Bab 4

Pada hari Isnin berikutnya, Farisha bersetuju untuk berjumpa dengan Aqram di Soft Lab di Cyberjaya. Farisha menumpang kereta Shida yang kebetulan juga ada janji temu dengan Khairul Anwar di Soft Lab.
• Bangunan Soft Lab dilengkapi sistem keselamatan yang canggih termasuklah penggunaan imbasan tangan dan retina mata.
• Aqram menunjukkan beberapa bilik dan ruang di situ yang canggih dan lengkap menyebabkan Farisha berasa amat teruja, terutamanya apabila dia memasuki pusat data, iaitu Dinara yang memuatkan hampir semua aplikasi dan data.
• Di sinilah Farisha mendapat kepastian bahawa tugasnya ialah menggodam dan mengukuhkan sistem Dinara.
• Pada petangnya barulah tugasan Farisha dan Shida selesai dan mereka pulang bersama sama. Namun dalam masa yang sama, Dr. Maxi, Aqram, dan Khairul Anwar mengadakan
perbincangan.
• Rancangan mereka hampir berjaya mendapatkan Farisha dan Shida untuk berada di Soft Lab untuk menjayakan rancangan mereka. Mereka amat memerlukan Shida juga sebagai physical backup kepada Farisha meskipun Shida tidak sehebat Farisha.
• Hal itu menimbulkan perasaan simpati Aqram terhadap perkara yang mungkin terjadi kepada Shida kelak.
• Mereka akan mengusahakan untuk memasukkan mikrocip ke dalam tubuh Shida, sebagaimana yang ada dalam tubuh Farisha..
Pada malam itu juga, Dr. Maxi akan memadamkan beberapa ingatan dan perasaan Alia, sebuah cyborg canggih supaya tidak akan mengganggu rancangan yang diatur untuk
Farisha dan Shida.
 
 Bab 5

Keesokan harinya, Farisha dan Shida mula bekerja di Soft Lab. Shida dibawa oleh Khairul Anwar ke Arkib manakala Farisha diberikan taklimat oleh Alia tentang semua kod program yang ada dalam Soft Lab.
• Pada sebelah petang, Aqram pula memberikan taklimat kepada Farisha. Aqram menjelaskan bahawa Karl yang telah membangunkan teknologi hypervisor di dalam Dinara, tetapi Dinara sudah diceroboh dan penceroboh berjaya menyusupkan satu virus bom jangka yang akan memusnahkan Dinara pada tarikh dan masa yang ditetapkan.
• Sebenarnya, inilah tugas Farisha dengan bayaran RM1.5, dia perlu membersihkan virus bom jangka itu dan mengatasi semua kelemahan Dinara.
• Pada petang itu juga, Farisha mendapat tahu bahawa Rosman tidak dapat bersama-sama dengannya bertugas di Soft Lab kerana dia terpaksa meneruskan projek di Senawang yang menawarkan bayaran dua kali ganda daripada perjanjian awal.
• Farisha pulang dengan kepala yang berat memikirkan Dinara yang sudah diceroboh itu menyebabkan tugasnya semakin bertambah.
• Di Soft Lab, Alia bertengkar dengan Dr. Maxi kerana banyak data pengetahuan dan perasaannya dipadamkan dan tindakan Alia itu juga menggambarkan dia mempunyai perasaan cemburu dan tidak gemar jika ada perempuan lain ada sebarang hubungan dengan Karl.
• Pada masa yang sama, Khairul Anwar menjelaskan bahawa Rosman tidak akan mengganggu mereka di Soft Lab lagi kerana dia mempengaruhi syarikat di Senawang itu untuk membesarkan skop kerjanya lagi.
• Pada malam itu Farisha mengalami mimpi ngeri sehingga dia terlambat bangun.
 
Bab 6
Pada pagi itu, Farisha datang lewat sepuluh minit ke Soft Lab. Alia sudah sedia menunggu.
• Farisha berasa kepalanya berat dan dalam keadaan tidak sedar, Alia telah memasukkan mikrocip ke dalam tubuhnya dan dia dapat berkomunikasi dengan Karl. Dalam komunikasi itu, Karl meminta pertolongan daripada Farisha untuk menyelamatkan Dinara.
• Alia menjadi cemburu dan marah kerana dia tidak dapat mengesan butiran perbualan Farisha dan Karl.
• Selepas beberapa ketika, Farisha sedar semula dan menjadi lebih segar apabila dia makan pil yang diberikan oleh Aqram.
• Kerja pada hari itu berakhir dengan perbincangan dan persoalan tentang seorang penyelidik yang bernama Medina yang telah hilang di Soft Lab tanpa dapat dikesan. Hal ini diterangkan oleh Shida melalui kajiannya di Arkib.

Bab 7
Pada sebelah malam, Farisha, Shida, dan Rosman berjumpa di pejabat Secured Shell. Ketiga-ketiganya meneliti kontrak yang diajukan oleh Soft Lab.
• Sementara mereka berbincang, tiba-tiba Farisha mengalami sakit kepala setelah terlihat suatu cahaya putih memancar ke arahnya. Hasrat untuk meneliti kontrak dibatalkan dan ketiga-tiga mereka bergegas pulang.
• Sementara itu, mereka diberitahu oleh Uncle Seng yang berada di situ bahawa dia bergegas keluar dari kedai runcitnya kerana terlihat beberapa orang turun tangga pejabat Secured Shell dengan membawa beberapa beg besi termasuk suatu barang yang serupa dengan piring TV satelit. Uncle Seng khuatir mereka itu pencuri, namun tiada laporan polis dibuat.
• Dua malam selepas kejadian itu, Farisha diundang oleh Abang Azraai untuk makan malam di rumahnya. 
• Di sana, Farisha bertemu dengan abang Azraai, Kak Mariah, dan kedua-dua anak mereka, Aina dan Dina.
• Alangkah terharu bercampur sedih apabila dia mendapat tahu bahawa abangnya, Azraai mengalami sakit jantung dan perkara kedua yang amat mengejutkannya apabila Azraai menunjukkan satu fail peninggalan arwah ayahnya. Fail tersebut mengandungi dokumen permohonan untuk menjadikan Farisha sebagai anak angkat kepada ibu dan ayahnya.
• Malam itu, Farisha tidak dapat melelapkan matanya.


Bab 8

Pada pagi itu, sebelum sempat Alia membawa Farish ke alam bawah sedar, tiba-tiba Farisha pengsan.
• Farisha terpaksa dikejarkan ke Hospital Putrajaya kerana tekanan darahnya terlalu tinggi dengan ditemani oleh Dr. Maxi.
• Aqram, Khairul Anwar, dan Dr. Maxi hairan dan menurut Aqram, dia sudah menyiasat latar belakang Farisha sekian lama, namun tiada pula maklumat tentang penyakit yang membimbangkan. 
• Sebaik-baik saja Farisha dibawa ke hospital, Dr. Maxi, Aqram, dan Khairul Anwar bergegas ke Arkib untuk berjumpa dengan Shida.
• Masalah yang menimpa Farisha benar-benar mengejutkan Shida kerana sebelum ini rakan serumahnya jarang sakit kecuali batuk dan demam selesema.
• Farisha sempat menghantar mesej kepada Shida menyatakan bahawa dia mungkin ditahan di hospital selama tiga hari. 
• Shida bertemu dengan Dr. Maxi. Perbualan mereka banyak berkisar tentang penyakit Farisha. Dr. Maxi berusaha untuk mengumpulkan seberapa banyak maklumat tentang Farisha.
• Shida khuatir seandainya Soft Lab menarik balik kontrak yang ingin diberikan kepada Farisha atas alasan kesihatan Farisha.

Bab 9

Dr. Maxi, Aqram, dan Khairul Anwar berbincang tentang Plan B, iaitu menggantikan Farisha dengan Shida. Namun kedua-duanya amat berbeza.
• Lagipun, tubuh Farisha telah ditanam dengan mikrocip yang membolehkannya berkomunikasi dengan Karl. Karl menggunakan teknologi ini sebagai satu kaedah telepati untuk berhubung dengan Farisha.
• Pada jam 5.30 petang, mereka akan melawat Farisha di hospital. Shida pula pulang ke rumah dan cuba mencari sebarang bukti tentang penyakit Farisha tetapi gagal.
• Namun, Shida terjumpa bukti yang menyatakan bahawa Farisha ialah anak angkat.
• Apabila Shida dan Rosman melawat Farisha, dia sangat lemah dan terdapat satu benjolan kecil di belakang tengkuknya. Tetapi Farisha menyatakan bahawa benjolan itu tidak berbahaya. Farisha terlena lagi.
• Beberapa minit kemudian, Farid dan Amin datang ke katil Farisha menggunakan peranti untuk mendapatkan maklumat yang sebelum ini gagal kerana ruang fikiran Farisha dilindungi oleh WALL. Namun kali ini mereka berjaya kerana WALL lemah apabila Farisha lemah.
• Selepas itu, Aqram pula mencari maklumat pada badan Farisha menggunakan satu alat sepanjang enam sentimeter.
• Aqram mendapati alat itu bertukar menjadi warna merah yang menunjukkan tahap kesihatan Farisha tidak memuaskan.
• Farisha terus lena kerana abangnya, Azraai meminta doktor memberi ubat tidur. Azraai juga membohongi doktor bahawa mikrocip di dalam badan Farisha yang kelihatan di CT-scan itu adalah dalam pengetahuan Farisha yang dia sendiri sukarelawan menjalani uji kaji untuk sebuah universiti.
• Perkara itu juga adalah amanah ibu bapanya supaya semua mikrocip itu mesti kekal dalam tubuh Farisha dan dia mesti berkhidmat di Soft Lab apabila diperlukan.
• Tengah malam itu, Dr. Maxi menyarankan agar Shida akan menggantikan tempat Farisha.

Bab 10
Pada pagi itu, ketika Shida membaca satu laporan tentang seorang penyelidik bernama Medina di Arkib, dia diminta oleh Alia pergi ke Makmal B.
• Satu pembedahan untuk menanam mikrocip dilakukan ke atasnya. Dia tidak diberitahu tentang perkara itu.
• Pada petang itu, selepas sedar, perkara yang dilakukan terhadap Farisha dilakukan pula terhadap Shida. Kali ini tindak balasnya lebih teruk lagi. Dr. Maxi berdegil dengan meneruskan uji kajinya dan hanya memberhentikan uji kaji ini selepas lima minit. Uji kaji ini akan merosakkan otak seseorang.
• Dalam masa yang sama, Farisha yang dalam keadaan tidak sedar dapat berkomunikasi dengan seseorang yang menyebut dirinya sebagai mummy.
• Di suatu tempat yang lain pula, Farid dan Amin berasa amat hairan dan dapat melihat keajaiban teknologi kerana perempuan tua yang menyuruh mereka mengekori dan berbuat sesuatu terhadap Farisha menjerit gembira dan mengatakan bahawa dia berjaya menghubungi anaknya, Farisha dan dia mengaku bahawa dirinya lebih hebat daripada lelaki itu.
• Farid menyanggah perbuatan perempuan tua itu kerana sanggup melakukan uji kaji terhadap anaknya sendiri. Perkara itu tidak dipedulikan oleh perempuan tua itu kerana dia hendak membuktikan bahawa dia berada pada pihak yang benar dan lebih hebat daripada ‘lelaki’ itu.
• Shida yang berada di dalam bilik Farisha tetap murung dan tidak pulang ke rumah pada malam tadi.
• Aqram gagal menerobos mindanya dan mungkin dia juga telah menerima mikrocip WALL atau kesilapan Dr. Maxi yang tetap meneruskan uji kajinya terhadap Shida.
• Shida tidak mahu bercakap, makan, atau minum malah menjadi garang seperti kucing liar yang ketakutan.


Bab 11
Apabila sudah boleh bangun dan berjalan, Farisha ingin mendapatkan penjelasan daripada abangnya, Azraai tentang ibu kandungnya. Azraai menceritakan semua perkara yang diketahuinya tentang Farisha.
• Farisha menjadi adik angkatnya kerana hendak menyelamatkannya daripada dijadikan bahan uji kaji oleh ibunya sendiri.
• Azraai menerangkan bahawa dia dan beberapa orang lagi telah diamanahkan untuk menjaga keselamatan Farisha.
• Apabila Farisha mendedahkan bahawa dia dapat berkomunikasi dengan ibunya, Azraai kelihatan sangat cemas dan menyatakan bahawa Farisha berada dalam bahaya lalu membawa Farisha keluar dari hospital dan bergerak menuju ke arah selatan.
• Azraai bercakap dengan seseorang dan bersetuju untuk mendapatkan kunci rumah daripada orang tersebut di Hentian Ayer Keroh.
• Dalam pada itu, Alia ditugaskan oleh Dr. Maxi untuk mempengaruhi otak Shida. Akhirnya, Dr. Maxi dapat berkomunikasi dengan Karl melalui Shida.
• Karl mengarahkan supaya Farisha dibawa ke situ kerana virus yang disusup ke dalam Dinara akan diaktifkan; bukan sahaja akan memusnahkan Dinara tetapi ribuan manusia.
• Dia perlukan Farisha tetapi Farisha sudah meninggalkan Kuala Lumpur.
• Azraai ingin membawa Farisha ke Kulai, tetapi dalam perjalanan, Farisha diculik pula oleh dua orang suruhan ibu Farisha, iaitu Amin dan Farid.
• Pada masa yang sama, di Soft Lab, sesuatu berlaku kepada Shida. Karl bercakap melalui Shida. Karl menyatakan bahawa Khairul Anwar ialah seorang budak pengemis yang bernama Muhammad Irfan yang telah diganti ingatannya. Khairul Anwar sangat berang.
• Karl juga menyebut bahawa dia memukul seorang wanita sehingga menjadi cacat.

Bab 12
Penculik Farisha, iaitu Amin dan Farid dalam perjalanan ke Seremban membawa Farisha bertemu dengan ibunya, Marilyn.
• Dalam tidur, Farisha dapat dihubungi oleh ibunya tetapi terhenti apabila brek kereta ditekan dengan mengejut lalu Farisha terjaga.
• Dalam pada itu, di Soft Lab, Alia berkomunikasi dengan Shida dan memberitahu bahawa wanita cacat itu ialah dirinya yang dipukul oleh Karl kerana dia enggan meninggalkan
agamanya dan nama asalnya ialah Rusmina.
• Perbualan antara Alia dengan Shida dapat disaksikan oleh Dr. Maxi, Aqram, dan Khairul Anwar. Ketiga-tiga mereka berasa sedih apabila memikirkan kesan yang akan ditanggung oleh Shida akibat pemindahan maklumat pahit dan ngeri selama 20 tahun oleh Karl ke dalam otak Shida.
• Berdasarkan laporan yang tersimpan di dalam Dinara, Dr. Maxi juga menerangkan kepada Khairul Anwar dan Aqram bahawa uji kaji seperti itu juga pernah dilakukan tetapi gagal dan mangsanya ialah Medina.
• Dalam pada itu, alat pengesan pintar Rosman dapat mengesan arah Farisha dilarikan.
• Mereka menuju ke Soft Lab, Cyberjaya. Azraai juga menuju ke sana.
• Farisha menjerit-jerit dalam kenderaan yang dipandu oleh Farid dan Amin setelah tersedar.
• Farid dan Amin mengherdik Farisha dan mengatakan bahawa dia akan bertemu dengan emaknya yang sudah sangat lama ingin bertemu dengan anaknya itu.
• Dalam keadaan kaki dan tangannya yang terikat, Farisha marah, ketakutan, dan enggan berjumpa dengan perempuan itu, sebaliknya dia meminta agar menghantarkannya kepada
abangnya, Azraai. Permintaan Farisha tidak dilayan oleh Farid dan Amin.
• Di Soft Lab, Cyberjaya, Shida menyanyikan lagu kegemaran Karl dengan suara yang agak perlahan. Alia mendengar. Alia berkomunikasi dengan Karl melalui Shida lagi.
• Alia mendapat tahu bahawa Karl gagal mendapatkan cinta Medina.
• Aqram dan Dr. Maxi sependapat bahawa Alia tetap berasa cemburu terhadap Karl, bekas suaminya walaupun sudah beberapa program dalam mindanya diubah.
• Mereka juga yakin bahawa Karl telah memindahkan
kenangan dan pengalamannya selama 20 tahun ke dalam otak Shida.
• Di sebuah stesen minyak, Marilyn menaiki kenderaan yang dipandu oleh Amin.
• Dia mendekati Farisha lalu menyatakan bahawa dia amat merindui anaknya itu.
• Farisha bertegas dan marah lalu menempelak Marilyn yang dia pernah ingin membunuhnya dulu.
• Suis alat pemintas untuk melemahkan WALL di otak Farisha dihidupkan.

Bab 13

Dr. Haris, iaitu doktor yang sedang merawat Karl di Puchong menyatakan bahawa penyakit yang dihidapi oleh Karl semakin kritikal.
• Namun begitu, Dr. Maxi mahu terus menghubungkan fikiran Karl melalui Shida. Dr. Maxi dapat berbual dengan Karl melalui Shida.
• Melalui Shida, Karl bangun dan bertindak melalui komputer dan berusaha untuk menghapuskan virus dalam Dinara.
• Kebijaksanaan ini diterima oleh Karl melalui Farisha yang telah digandakan IQnya oleh Karl pada 26 tahun dahulu.
• Pada masa yang sama, Farisha berada di situ bersama-sama Marilyn/Medina dan dua orang pengikutnya.
• Di sinilah rahsia terbongkar. Marilyn/Medina ialah ibu Farisha dan Karl ialah bapanya yang sanggup mengeksploitasi anaknya sendiri untuk kepentingan kajiannya di Soft Lab, iaitu mengaktifkan sistem Dinara.
• Marilyn menjadi musuhnya kerana Karl telah mensabotaj fikirannya menggunakan fikiran seorang bekas banduan dan akibatnya, Marilyn/Medina menjadi separuh gila dan cuba mencekik Farisha.
• Dr. Maxi dan Aqramlah yang menyelamatkan Farisha dan membawanya kepada keluarga angkatnya, iaitu keluarga Azraai.
• Farisha juga mendapat tahu bahawa Aqram ialah cyborg seperti Alia.

Bab 14
Hari ini merupakan hari yang paling hiba bagi Farisha kerana menghadap seorang insan yang sepatutnya dipanggil ayah. Karl terbaring di katil tanpa berkata-kata apa-apa.
• Dr. Haris menyatakan bahawa aktiviti otaknya semakin menurun. Semua yang ada di situ masuk bergilir-gilir mendekati Karl; bermula dengan Aqram, Dr. Maxi, Khairul Anwar, Medina, Alia, dan akhirnya Farisha. Farisha mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya namun tiada jawapan.
• Tepat pada pukul tujuh malam, Dr. Haris mengumumkan bahawa Karl telah meninggal dunia.
• Wasiat terakhir Karl adalah supaya mayatnya dibakar dan abunya ditabur di Selat Melaka.
• Upacara tersebut dijalankan di Port Dickson. Selepas upacara itu, semua orang bercakap-cakap tentang kenangan masing-masing semasa Karl masih hidup. Namun begitu, terdapat keanehan dalam diri Shida apabila dia pandai berfalsafah seperti Karl. Dalam percakapannya, Shida mengajak mereka pulang ke Soft Lab untuk menyelamatkan Dinara.
• Aqram dapat merasakan bahawa suara yang berfalsafah dan berkata-kata itu bukan Shida tetapi Karl dan Aqram sangat yakin bahawa itu ialah Karl.


Tema

Persaingan dalam dunia sains dan teknologi sehingga menghapuskan nilai kemanusiaan.
 

Persoalan

(a) Kasih sayang sesama anggota keluarga.
(b) Kepincangan keluarga yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
(c) Keberanian berhadapan dengan risiko.
(d) Kecanggihan teknologi pada masa hadapan.
(e) Ketaasuban sesetengah golongan manusia mengejar nama dan kehebatan.
(f) Kepentingan kerja berpasukan.
(g) Kepentingan ilmu untuk mempengaruhi corak dan gaya pemikiran.


Watak dan Perwatakan

(a) Watak Utama – Farisha.
(b) Watak Sampingan – Shida, Aqram, Azraai, Dr. Maxi, Karl, Medina, Alia, Khairul Anwar, 
Farid, Rosman, Mariah, dan lain-lain lagi.

Farisha

(a) Farisha ialah jurutera keselamatan sistem komputer di Syarikat Secured Shell Sdn. Bhd. 
(b) Bapanya ialah Karl manakala ibunya bernama Medina/
Marilyn. 
(c) Farisha berusia 28 tahun dan mempunyai abang angkat bernama Azraai.
(d)Farisha menjadi rakan kongsi perniagaan dengan Rosman dan mereka menubuhkan Syarikat Secured Shell.
(e) Farisha seorang yang pemaaf dan baik hati.
(f) Farisha seorang yang rajin untuk mendalami ilmu.
(g) Farisha seorang yang tabah.
(h) Farisha seorang yang teliti dan berhati-hati semasa membuat keputusan.
(i) Farisha seorang yang bijak.

Aqram

(a) Adik kandung Karl, semasa kecil bernama Akeem.
(b) Dia merupakan kanak-kanak cacat dan terencat akal.
(c) Aqram ialah manusia cyborg, berusia 60 tahun yang dicipta semula oleh Karl dengan umur 30 tahun.
(d) Aqram mempunyai sifat simpati/belas kasihan.
(e) Aqram seorang yang bijak.
(f) Aqram patuh akan arahan ketua.
(g) Aqram sangat bertanggungjawab semasa menjalankan tugas.

Karl
(a) Bapa Farisha, abang Aqram, suami Alia, dan kekasih Medina.
(b) Karl saintis yang berjaya kerana banyak menghasilkan penyelidikan, kajian, dan pernah memenangi anugerah inovasi peringkat kebangsaan.
(c)Karl menghidapi penyakit kanser usus dan berumur dalam lingkungan 60 tahun.
(d) Karl bercita-cita tinggi dalam penciptaan inovasi sainsnya. 

Azraai
(a) Abang angkat Farisha dan mengalami masalah jantung.
(b) Azraai seorang yang penyayang.
(c) Azraai seorang yang bertanggungjawab.
(d) Azraai seorang yang amanah dan berpegang teguh pada janji.

Shida
(a) Shida ialah rakan serumah Farisha.
(b) Shida ditawarkan sebanyak RM40 ribu untuk menulis artikel tentang Dinara.
(c) Shida telah dijadikan sebagai orang perantara perhubungan Karl dalam keadaan bawah sedar.
(d) Shida dijadikan sebagai pengganti Farisha disebabkan mereka sebaya dan memiliki saiz tubuh yang hampir sama.
(e) Shida bersifat prihatin.
(f) Shida tekun semasa melaksanakan kerjanya.
(g) Shida sangat baik hati.

Dr. Maxi
(a) Penyelidik yang mengetuai projek unuk membangunkan sistem Dinara di Soft Lab.
(b) Bersikap kejam dan mementingkan diri sendiri.
(c) Bijak merancang strategi.

Rosman
(a) Rakan kongsi perniagaan Farisha di syarikat Secured Shell Sdn. Bhd. serta mengendalikan kerja syarikat di Senawang.
(b) Seorang yang menepati janji.
(c) Bersikap terburu-buru semasa membuat keputusan. 

Medina/Marilyn/Mummy
(a) Ibu Farisha dan kekasih Karl.
(b) Nama asalnya ialah Mariyln yang berbangsa Portugal.
(c) Seorang yang pendendam.
(d) Seorang yang berani bersaing dan pantang dicabar.
(e) Seorang yang penyayang.

Plot

Binaan Plot

(a) Peristiwa dalam novel ini disusun secara tidak kronologi.

(b) Pada bahagian permulaan, pembaca diperkenalkan kepada watak utama, iaitu Farisha. Farisha dikatakan memiliki ciri-ciri keistimewaan yang tidak ada pada orang lain. Kepakaran yang ada pada diri Farisha dikatakan mampu menyelamatkan sebuah syarikat komputer yang besar bernama Soft Lab. Usaha menjejaki Farisha gagal kerana Farisha memadamkan semua data peribadi dalam komputernya. Akhirnya, Farisha dikesan apabila dia menempah tiket kapal terbang untuk berlepas dari Lapangan Terbang Senai, Johor menuju ke Kuala Lumpur.

(c) Dalam perkembangan cerita, peristiwa tertumpu kepada usaha kakitangan Soft Lab, Cyberjaya untuk memujuk Farisha bagi menyelamatkan Dinara. Syarikat Rosman dan Farisha ditawarkan satu projek yang lumayan daripada Soft Lab bernilai RM1.5 juta. Tugasan yang diberikan kepada Farisha ialah menggodam tiga kelompok komputer Soft Lab. Rakan serumah Farisha, iaitu Shida ditawarkan wang berjumlah RM40 ribu untuk menulis sebuah rencana dan sebuah buku biografi tentang Dinara. Agenda tersembunyi membawa Shida dan Farisha bekerja di Soft Lab adalah untuk menjadikan Shida sebagai pengganti sekiranya ada apa-apa yang berlaku kepada Farisha.

(d) Dalam bahagian perumitan, diceritakan tentang Karl, iaitu seorang saintis terkenal bersama-sama Medina telah mencipta suatu prototaip bernama Alia. Alia sudah dicipta lebih 20 tahun yang lalu dan dia memiliki ingatan serta perasaan. Dinara sebenarnya hasil kerja Karl dengan Medina. Yang menjadi misteri ialah sebelum Dinara berjaya disiapkan, Medina telah menghilangkan diri. Tambahan lagi, ada pihak yang mencuba terus memadamkan nama Medina daripada syarikat itu. Aqram menjelaskan punca dendam Medina terhadap Karl adalah apabila Karl mensabotaj Medina semasa menjalankan uji kaji. Akibatnya, Medina menjadi hampir separuh gila.

(e) Dalam bahagian klimaks, Azraai memberitahu bahawa nama sebenar ibu kandung Farisha ialah Marilyn, wanita Portugal. Nama ayahnya tidak pula dicatatkan dalam fail. Medina memberitahu bahawa 30 tahun yang lampau, Karl telah mengubah Marilyn menjadi Medina. Karl menjadikan Farisha sebagai bahan uji kajinya. Karl menanam pelbagai jenis implan ke dalam tubuh Farisha agar Farisha menjadi anak yang genius. Aqram pula membocorkan rahsia dirinya, iaitu dia telah diberikan identiti baru. Umur sebenarnya 60 tahun, bukan 30 tahun. Nama asalnya ialah Akeem dan merupakan adik kepada Karl yang terencat akal.

(f) Dalam bahagian peleraian, tepat jam 7.00 malam, Karl menghembuskan nafasnya yang terakhir. Wasiat Karl adalah agar mayatnya dibakar dan abunya ditaburkan di Selat Melaka. Upacara menaburkan abu mayat dilakukan di Port Dickson. Semasa mahu pulang, kejutan berlaku apabila Shida mengungkapkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Karl. Farisha terkesima apabila mengetahui Karl yang berkata-kata melalui Shida.


Teknik Plot

(a) Teknik dialog. Contohnya, perbualan antara Aqram dengan Farisha. Aqram menjelaskan bahawa dia tidak menyangka dapat bertemu dengan Farisha semula di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

(b) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan ruang tempat kerja Farisha di Soft Lab ketika ditunjukkan oleh Aqram kepada Farisha. Antaranya, terdapat pusat data yang terletak beberapa meter dari bilik Farisha.

(c) Teknik monolog. Contohnya, Shida bermonolog sendirian ketika dia pulang ke apartmen untuk mencari ubat Farisha. Ketika dia menyelongkar laci almari Farisha, dia hanya menemui ubat gastrik.

(d) Teknik imbas kembali. Contohnya, Azraai teringat kembali peristiwa pada 26 tahun lalu. Pada waktu itu, dua oranglelaki datang ke rumahnya dan menyerahkan Farisha kepada ibu dan bapanya.

(e) Teknik saspens. Contohnya, pembaca ingin tahu dan tertanya-tanya misteri bunyi orang berlari menuruni tangga yang diperkatakan oleh Uncle Seng.

(f) Teknik kejutan. Contohnya, pembaca terkejut dan tidak menduga apabila mengetahui bahawa Aqram, Alia, dan Khairul Anwar ialah hasil kajian Karl. Aqram misalnya merupakan adik Karl yang cacat dan terencat akal. Aqram dan Alia ialah cyborg.


Latar

Latar Tempat

(a)Lapangan Terbang Senai.
(b)Hotel Renaissance.
(c)Soft Lab, Cyberjaya.
(d)Rumah Karl di Puchong.
(e)Hospital Putrajaya.
(f)Makmal B.
(g)Hentian Pagoh.
(h)Port Dickson.

Latar Masa

(a)Waktu pagi.
(b)Waktu petang.
(c)Waktu malam.
(d)Lima belas saat.
(e)20 tahun.
(f)26 tahun.
(g)Tiga hari.
(h)30 tahun yang lalu.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang mementingkan diri.
(b) Masyarakat saintis yang banyak menjalankan penyelidikan.
(c) Masyarakat yang mahir mengendalikan komputer.
(d) Masyarakat yang berpendirian tegas semasa membuat tindakan.
(e) Masyarakat yang berani membongkar rahsia.
(f) Masyarakat yang menjadi bahan uji kaji.
(g) Masyarakat yang bersaing untuk menunjukkan kehebatan masing-masing.
(h) Masyarakat yang baik hati dengan memaafkan kesalahan orang lain.
(i) Masyarakat yang penyayang.
(j) Masyarakat yang bersifat prihatin dan belas kasihan terhadap orang lain.


Gaya Bahasa

(a) Diksi:
Penggunaan laras bahasa komputer. Contohnya, server dan desktop.
• Pengaruh bahasa Arab. Contohnya, Insya-Allah dan Alhamdulillah.
• Pengaruh bahasa Inggeris. Contohnya, business partner dan physical backup.

(b) Simile. Contohnya, bagaikan digeser sembilu, seperti orang hilang akal, dan macam nak demam.

(c) Personifikasi. Contohnya, angin dingin berhembus kuat, hanya bunyi dari radio teksi yang menyulam keheningan, dan tangisnya menggila.

(d) Hiperbola. Contohnya, hati Shida meronta-ronta ingin kembali membaca tentang Medina dan Api kemarahan menyala-nyala di matanya.

(e) Metafora. Contohnya, benih kasih sayang dan alam lena.

(f) Peribahasa. Contohnya, bagai anjing dengan kucing, seperti langit dengan bumi, dan anak angkat.

(g) Repetisi atau perulangan kata. Contohnya: Okeylahokeylah dan badan penat, otak pun penat.


Nilai

(a) Kebijaksanaan. Contohnya, Farisha berjaya melepasi sistem keselamatan Bank Sapurba dan menggodam pelayan data di Nusa Jaya hanya dalam tempoh sepuluh minit.
(b) Baik hati. Contohnya, Farisha tidak berdendam dengan Karl, iaitu ayah kandungnya yang banyak merencanakan kehidupan Farisha melalui penyelidikan sainsnya dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah terhadapnya.
(c) Kerjasama. Contohnya, Rosman dan Farisha saling bekerjasama untuk membangunkan syarikat kongsi mereka, iaitu Secured Shell.
(d) Kasih sayang. Contohnya, hubungan kasih sayang antara dua beradik yang cukup jelas antara Farisha dengan Azraai. Azraai sangat mengambil berat perihal keselamatan adiknya sehingga sanggup memasang ‘retinal scanner’ dan interkom yang bersambung ke rumahnya.
(e) Kegigihan. Contohnya, Marilyn@Medina gigih mencari anaknya yang hilang dan diserahkan kepada keluarga angkat.


Pengajaran

(a) Kita hendaklah bijak memanfaatkan teknologi dengan sebaik-baiknya. Contohnya, Farisha memanfaatkan teknologi yang dikuasainya dengan mengilhamkan security loophole untuk menyahaktifkan dan menghilangkan virus untuk menyelamatkan sistem Dinara.
(b) Kita hendaklah bersifat baik hati dan pemurah. Contohnya, Shida sanggup menghantar Farisha ke stesen monorel apabila Farisha meminta bantuan daripadanya kerana kereta Rosman yang ditumpanginya mengalami masalah enjin.
(c) Kita hendaklah bekerjasama untuk menjayakan sesuatu misi atau perancangan. Contohnya, Dr. Maxi, Aqram, Khairul Anwar dan kakitangan Soft Lab bekerjasama bagi memastikan misi menyelamatkan Dinara terlaksana daripada berlakunya kemusnahan.
(d) Kita mestilah menyayangi anggota keluarga. Contohnya, Azraai sangat menyayangi dan mengambil berat perihal keselamatan adiknya sehingga sanggup memasang ‘retinal scanner’ dan interkom yang bersambung ke rumahnya.
(e) Kita hendaklah gigih berusaha hingga berjaya. Contohnya, Marilyn@Medina gigih mencari anaknya, Farisha yang hilang dan diserahkan kepada keluarga angkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...