Isnin, 8 November 2021

KOMSAS TINGKATAN 4 - CERPEN JAKET KULIT KIJANG DARI ISTANBUL

Sinopsis 

Penulis, iaitu seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Mas. Dengan hanya berbekalkan wang sebanyak USD400 (RM1 800), dia telah mengikuti rombongan Passage Tours and Travel ke Istanbul, Turki. Penulis telah membuat senarai cenderamata yang ingin dibelinya untuk dibawa pulang ke tanah air sebagai ole-ole. Wang sebanyak itu akan digunakan secara berhemat ketika berada di negara orang. 

    Kisah ini terjadi apabila Mas bersama-sama Kak Chah, Dr. Liza, Shahmeem, Hajah Zalehon, dan Hajah Normah berkunjung ke Grand Bazaar yang terletak tidak jauh dari hotel penginapannya. Grand Bazaar ialah sebuah pusat beli-belah yang mempunyai lebih 6 000 buah kedai. Sebelum itu, penulis telah dinasihati oleh seorang pemandu pelancong yang bernama Encik Yuksel tentang perkaraperkara yang perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan penipuan oleh para peniaga. Ketika berkunjung ke kedaikedai tersebut, penulis disapa oleh pekedai berbangsa Turki dari sebuah kedai yang menjual jaket kulit. Pekedai itu meminta penulis mencuba sehelai jaket kulit yang berkualiti tinggi yang diperbuat daripada kulit kijang. Pekedai itu menawarkan potongan harga yang rendah. Pekedai itu cuba sedaya upaya memujuk penulis untuk membeli jaket tersebut. Desakan lelaki itu semacam memerangkap dan memaksa penulis untuk membelinya. 

     Mas telah menolak secara sopan untuk membeli jaket yang dicubanya itu disebabkan jaket itu bukan dalam senarai barang yang ingin dibelinya. Rupa-rupanya tindakan itu telah menimbulkan rasa kurang senang pekedai itu. Dia menuduh penulis sebagai wanita Muslim yang tidak baik kerana membuang masanya. Layanan yang agak kasar itu membuatkan penulis berasa kurang selesa. Penulis akhirnya teringat akan pesanan pemandu pelancong sebelum ini agar berhati-hati ketika berurusan dengan peniaga di Istanbul. 

    Mas gemar membaca. Dia sempat membaca puisi yang ditulis oleh Mevlana Celaleddin Ar-Rumi berdasarkan buku yang dibelinya semasa melawat ke makam Mevlana Celaleddin Ar-Rumi di Konya. Puisi yang ditulis oleh Mevlana Celaleddin banyak membicarakan kasih sayang sesama insan. Hal ini amat bertentangan dengan sikap yang ditunjukkan oleh lelaki peniaga Turki itu. 

    Seterusnya, Mas mengisahkan pula perjalanannya pada hari keenam di Istanbul. Kesusahan yang dialami oleh wanita tua, penjual makanan burung menyentuh perasaannya. Selain itu, kisah seorang budak lelaki yang cuba menjual barangan di pasaran gelap diceritakan juga oleh penulis. Budak lelaki itu bukan sahaja ditangkap tetapi dilayan tanpa ada rasa kemanusiaan oleh pihak polis. Layanan kasar ini juga menyebabkan penulis teringat akan puisi tulisan Mevlana Celaleddin Ar-Rumi yang banyak menceritakan perihal kemanusiaan. 

    Rakan penulis yang bernama Shahmeem akhirnya membeli sehelai jaket daripada seorang lelaki tua yang menjualnya di pasaran gelap ketika mereka beratur untuk menaiki feri menyeberangi Selat Bhosporus. Harga yang ditawarkan ialah USD120 jauh lebih murah daripada harga di bazaar. Oleh sebab jaket kulit itu tidak sepadan dengan Shahmeem, dia menjualnya kepada penulis. Penulis tidak nampak rasionalnya dia membeli jaket itu untuk kegunaan di Malaysia yang beriklim panas. Mas akhirnya terbeli jaket kulit kijang meskipun dia langsung tidak berniat untuk membelinya pada mulanya. 

     Mas berpendapat bahawa jaket kulit kijang itu sebenarnya lambang kemewahan dan kemegahan. Hal ini dikatakan demikian kerana lebih seekor kijang perlu dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket. Dalam pada itu, ingatan penulis tertumpu pada hasil penulisan tinggalan Nasreddin Hodja, iaitu tokoh pendidik yang berjiwa humoris dan mengamalkan cara hidup sederhana. Beliau tidak suka akan pembaziran dan kemewahan. 

     Shahmeem gembira kerana Mas sudi membeli jaket kulit itu walaupun harga yang dijualnya jauh lebih murah daripada harga asal. Mas berhasrat untuk menjual jaket itu di kedai pakaian terpakai apabila pulang ke Malaysia nanti. Penulis bercadang untuk mendermakan wang jualan jaket itu kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang. Hal ini sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup manusia yang penuh kemodenan. Sesungguhnya, Mas lebih suka hidup bersederhana. 


Tema 

Cerpen ini membawa tema pengalaman seorang pelancong yang mengalami berbagai-bagai pengalaman sepanjang tempoh kunjungannya itu. 


Persoalan 

(a) Kebijaksanaan semasa membuat perancangan. 

(b) Sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab dalam perniagaan. 

(c) Kepentingan hormat-menghormati sesama manusia. 

(d) Kesanggupan melakukan kegiatan haram untuk meneruskan kelangsungan hidup. 

(e) Keprihatinan terhadap haiwan liar yang terancam. 


Watak dan Perwatakan 

(a) Watak utama – Mas. 

(b) Watak sampingan – lelaki Turki, Shahmeem, Mevlana Celaleddin Ar-Rumi, dan Nasreddin Hodja. 


Penulis/Mas 

(a) Mas ialah seorang daripada peserta pakej pelancongan ke Istanbul, Turki. 

(b) Seorang yang berpendidikan tinggi. 

(c) Seorang yang bijak merancang perbelanjaan. 

(d) Dia gemar membaca buku dan bahan bacaan terutama hasil penulis ternama. 

(e) Seorang yang baik hati dan pemurah. 

(f) Seorang yang berhemah tinggi. 

(g) Seorang yang penyabar. 

(h) Dia gemar melancong atau mengembara. 

(i) Dia seorang yang berpendirian teguh. 

(j) Dia mencintai hidupan liar. 

(k) Dia bijak menjaga keselamatan diri. 


Pekedai lelaki berbangsa Turki 

(a) Peniaga di Grand Bazaar, Istanbul. 

(b) Seorang yang peramah. 

(c) Seorang yang pandai berpura-pura untuk memenangi hati pelanggan. 

(d) Seorang yang tidak beretika ketika berniaga. 


Kak Chah 

(a) Seorang peserta pakej pelancongan ke Istanbul, Turki. 

(b) Bijak dalam urusan tawar-menawar harga barangan. 

(c) Bersikap berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara. 

(d) Prihatin akan keperluan orang lain. 

(e) Teliti semasa berbelanja. 


Shahmeem 

(a) Seorang peserta pakej pelancongan ke Istanbul, Turki. 

(b) Bijak berikhtiar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. 

(c) Baik hati dan bertimbang rasa. 

(d) Menghargai jasa orang lain. 

(e) Gopoh dan kurang berhati-hati ketika berbelanja.


Latar 

Latar Tempat 

(a) Istanbul, Turki. 

(b) Grand Bazaar. 

(c) Sebuah kedai di Grand Bazaar. 

(d) Di dalam bas. 

(e) Egyptian Market. 

(f) Pigeon Valley. 


Latar Masa 

(a) Hari kelima lawatan ke Turki. 

(b) Hari keenam lawatan ke Turki. 

(c) Malam terakhir di Istanbul. 

(d) Semasa dalam perjalanan pulang ke hotel. 

(e) Setiap waktu subuh dan maghrib. 


Latar Masyarakat 

(a) Masyarakat yang gemar melancong dan mengembara untuk menimba ilmu pengetahuan dan menambah pengalaman. 

(b) Masyarakat yang berpendidikan tinggi. 

(c) Masyarakat yang baik hati dan pemurah. 

(d) Masyarakat yang gemar membaca. 

(e) Masyarakat yang mencintai hidupan liar. 

(f) Masyarakat yang pandai berpura-pura. 

(g) Masyarakat yang berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara. 

(h) Masyarakat peniaga yang tidak beretika. 

(i) Masyarakat penulis yang banyak meninggalkan hasil penulisan yang berkualiti. 


Plot 

Binaan Plot 

(a) Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara tidak kronologi. 

(b) Permulaan atau eksposisi cerpen ini dimulai apabila Mas/penulis menyertai sekumpulan pelancong sebanyak 30 orang dari Malaysia melancong ke Istanbul, Turki. 

(c) Pada tahap perkembangan, penulis menceritakan kumpulan pelancong ini berkunjung ke pusat beli-belah yang dikenali Grand Bazaar. Encik Yuksel, pemandu pelancong bagi rombongan tersebut, memberikan panduan dan nasihat agar lebih berhati-hati ketika berbelanja di Grand Bazaar kerana tidak mahu mereka terjerat oleh tipu muslihat peniaga di situ. Mas dan kumpulannya berjalan-jalan hingga tiba di sebuah kedai menjual jaket kulit. Pekedai itu mempelawa mereka masuk dan melayan mereka dengan ramahnya. 

(d) Tahap perumitan/konflik bermula apabila Mas/penulis dimarahi oleh seorang pekedai lelaki yang tidak berpuas hati kerana tidak membeli jaket kulit yang telah dicubanya. Pekedai tersebut menuduh Mas sebagai perempuan Muslim yang tidak baik, selain mengeluarkan kata-kata kesat. 

(e) Klimaks cerpen ini adalah apabila Mas/penulis sedar bahawa dia tidak memerlukan jaket kulit kijang itu. Oleh hal yang demikian, dia berhasrat untuk menjual jaket itu kepada sebuah kedai pakaian terpakai apabila pulang ke Malaysia nanti. 

(f) Peleraian cerpen ini bermula apabila penulis bercadang untuk mendermakan wang jualan jaket itu kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup manusia yang penuh kemodenan. 


Teknik Plot 

(a) Teknik pemerian. Contohnya, penulis menerangkan keadaan di dalam sebuah kedai menjual jaket kulit yang dimasukinya di Grand Bazaar, Istanbul. 

(b) Teknik imbas kembali. Contohnya, Mas teringat kembali akan jenaka sufi yang telah dibacanya dalam 202 Jokes of Nasreddin Hodja yang dibelinya di Capadocia. Nasreddin Hodja lahir di Horto dan dibesarkan di Aksehir, Turki semasa zaman pemerintahan Sultan Timur Leng. 

(c) Teknik imbas muka. Contohnya: Mas membayangkan wajah-wajah kegembiraan rakannya ketika menerima cenderamata yang dibelinya dari Turki tersebut. 


Gaya Bahasa 

(a) Pengarang menggunakan beberapa perkataan bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa Inggeris. 

(b) Pengarang menggunakan ayat pendek, ayat sederhana panjang, dan ayat panjang. 

(c) Simile. Contohnya, umpama senjata untuk mempertahankan diri, seperti bintang filem jika memakai jaket kulit. 

(d) Penggunaan kata bahasa Inggeris. Contohnya, Made in Turkey. 


Nilai 

(a) Suka menimba ilmu. Contohnya, penulis memiliki minat membaca terutama hasil karya penulis tersohor. 

(b) Berhemat. Contohnya, penulis membuat perancangan lebih awal bagi mengawal perbelanjaannya. 

(c) Kemanusiaan. Contohnya, penulis berasa sedih apabila pihak polis menggunakan kekerasan terhadap budak lelaki yang menjual barangan di pasaran gelap. 

(d) Sayang akan hidupan liar. Contohnya, penulis sedih kerana haiwan seperti kijang dibunuh untuk diambil kulitnya bagi membuat jaket. 

(e) Baik hati. Contohnya, penulis telah merancang untuk membeli cenderamata untuk dihadiahkan kepada keluarga dan sahabat handainya di tanah air. 

(f) Kesabaran. Contohnya, penulis masih dapat bersabar terhadap tindakan lelaki Turki yang menghamburkan kata-kata kesat dan memaksanya membeli jaket. 

(g) Kesopanan. Contohnya, walaupun menerima layanan buruk daripada pekedai, penulis tetap menunjukkan sikap sopannya. 

(h) Penghargaan. Contohnya, penulis amat menghargai hasil tinggalan penulis Mevlana Celaleddin Ar-Rumi dan Nasreddin Hodja. 


Pengajaran 

(a) Kita hendaklah menambahkan pengetahuan dan pengalaman dengan melancong ke luar negara sekiranya berkemampuan. 

(b) Kita mestilah bijak merancang perbelanjaan. 

(c) Kita perlulah berwaspada terhadap muslihat para peniaga yang cuba menjerat pelanggan. 

(d) Kita perlulah berusaha untuk menyelamatkan hidupan liar yang yang semakin mengalami kepupusan. 

(e) Kita hendaklah memiliki perasaan simpati terhadap golongan miskin. 

(f) Kita perlulah bersikap pemurah dan baik hati terhadap orang lain. 

(g) Kita hendaklah bersikap hormat-menghormati terhadap orang lain tanpa mengira bangsa, agama, dan negara. 

(h) Kita perlulah rasional ketika berbelanja dan tidak membeli barangan yang tidak diperlukan.


SUMBER : NOTA BESTARI KOMSAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...