Selasa, 26 Oktober 2021

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT)

Kebanyakkan kita menggunakan teknologi untuk kegunaan seharian kita. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ialah satu inovasi dalam kehidupan masyarakat Malaysia hari ini. Sama seperti lain-lain perkara yang baharu diperkenalkan dalam kehidupan sesuatu masyarakat ianya tentu menimbulkan pelbagai reaksi sebelum diterima menjadi sebahagian dari budaya hidup. Penerimaan ICT ini banyak bergantung kepada faktor-faktor seperti kemudahan untuk kecanggihannya dan manfaat yang boleh diperolehi darinya. Justeru, penerimaan ahli-ahli masyarakat terhadap ICT juga sama dengan penerimaan mereka terhadap lain-lain inovasi. Persepsi masyarakat terhadap ICT merupakan faktor penentu yang penting kepada keputusan mereka untuk menerima atau menolak teknologi ini. Penggunaan ICT dalam kehidupan memberi impak yang positif kepada kita terutamanya memudahkan kita melakukan kerja-kerja harian. Contohnya, memudahkan kita mencari maklumat semasa hanya dengan melayari internet. Maka, penggunaan ICT pada masa sekarang sangat penting dari kanak-kanak hingga dewasa. 


DEFINISI 


Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas, ia berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara mudahnya, penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.


Teknologi maklumat boleh diringkaskan sebagai satu proses pengaliran, penyebaran, pemprosesan dan penyimpanan maklumat menggunakan perantaraan teknologi. Seperti yang diketahui, teknologi disifatkan sebagai satu bentuk pemudah cara yang membolehkan pengaliran maklumat menjadi sangat pantas. Sebenarnya, teknologi maklumat tidak terhad kepada internet dan komputer sahaja tetapi ia melibatkan televisyen, telefon, faks , telegram dan satelit dalam menyampaikan maklumat kepada penerima. 


FUNGSI PENGGUNAAN ICT 


1. Membantu pengurusan pendidikan 


Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasi. ICT memang membantu dan menolong mereka(pengurus sekolah) untuk berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah dan cepat. 


2. Memperoleh pelbagai sumber maklumat

 

Guru-guru boleh memperolehi maklumat dari pelbagai sumber melalui ICT untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran (P&P) dan tahu menggunakan teknologi komunikasi. Tujuan utama ICT adalah membantu sesuatu organisasi mencapai matlamat dengan membekalkan pengurus-pengurus dengan “insight” ke atas operasi organisasi.


3. Dapat jadikan pendidikan dari jarak jauh 


Pendidikan jarak jauh dapat diwujudkan dengan adanya rangkaian pendidikan yang lengkap. Trend semasa semakin menampakkan pembelajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar mempelajari kemahiran tertentu.


4. Perdagangan elektronik


Perdagangan elektronik ditakrifkan sebagai telekomunikasi atau rangkaian yang luas untuk melaksanakan pemindahan kewangan. Dengan berkembangnya perkhidmatan sedemikian, pengguna tidak perlu keluar rumah untuk melakukan pemindahan kewangan.


5. Memudahkan aktiviti perbankan


Dengan adanya rangkaian teknologi maklumat, aktiviti perbankan dan pasaran dapat dijalankan. Ini akan member pengaruh besar ke atas guna tanah kawasan perdagangan pusat. Aktiviti tersebut sentiasa berkait dengan kesesakan di lokasi perletakan bank atau bursa saham. Namun dengan adanya rangkaian maklumat yang membolehkan aktiviti tersebut dijalankan dengan selamat.



KEBAIKAN PENGGUNAAN ICT 


1. Meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Guru boleh mendapatkan maklumat dengan lebih cepat melalui internet serta menyampaikan kepada pelajar dengan lebih berkesan. Proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik apabila guru menggunakan ICT sebagai alat bantu mengajar seperti penggunaan powerpoint, flash, video. Melalui cara ini proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana pelajar akan didedahkan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk difahami. Justeru itu pelajar tidak akan mudah merasa jemu dan bosan dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran kerana tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan melalui ICT.



2. Mewujudkan suasana yang menyeronokkan.


Guru dapat mempelbagaikan pengajaran dengan menggunakan ICT serta memperoleh maklumat dengan cepat dan berkesan. Kemahiran menggunakan internet membolehkan guru dan pelajar mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang terkini dengan lebih cepat serta efisen tanpa perlu menunggu masa yang lama seterusnya dapat digunakan dalam aktiviti pembelajaran. Guru dapat melakukan pelbagai aktiviti dengan menggunakan ICT yang akan menarik minat pelajar untuk melibatkan diri secara aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Penglibatan aktif daripada pelajar akan mewujudkan suasana yang menyeronokkan dan pelajar akan lebih minat untuk belajar.


3. Dapat meningkatkan kemahiran guru dan pelajar.


Melalui penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pelajar akan didedahkan dengan pelbagai alatan dan bahan mengenai ICT seperti komputer, LCD, CD, pendrive, hardware, software, internet dan sebagainya. Proses pengajaran yang melibatkan ICT secara tidak langsung akan melibatkan guru dan pelajar menggunakan ICT. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran akan meningkatkan kemahiran guru dan pelajar dalam penggunaan teknologi. 


4. Dapat memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua pelajar

Guru boleh menggunakan ICT untuk menghasilkan bahan pengajaran yang menarik mengikut minat pelajar. Jadi, guru dapat menyampaikan ilmu pengetahuan dengan lebih berkesan dengan bantuan ICT. Contohnya, guru boleh menggunakan video untuk pelajar yang lebih suka kepada gambaran. Oleh itu, guru dapat menarik minat pelajar dan pelajar akan lebih fokus kepada pengajaran guru kerana minat. Jadi, guru akan memberi peluang yang sama kepada semua murid dengan menggunakan ICT dan diaplikasikan mengikut kehendak murid atau kebohupayaan seseorang murid itu.




KEBURUKAN PENGGUNAAN ICT 


1. Fitnah dan berita palsu mudah disebar


Fitnah dapat disebar dengan mudah , ia memang sukar untuk dibendung kerana sesiapa sahaja boleh menulis dan menyiarkan maklumat, maklumat yang disiarkan sukar untuk menentukan kesahihannya. 


2. Menjadikan seseorang leka


ICT boleh menjadikan pelajar leka pada saat mereka menggunakan ICT, ia kerana mereka telah salahgunanya dengan bermain game dan bersosial dengan masyarakat luar. 


3. Terdedah kepada perkara tidak baik


Pengguna akan terdedah kepada perkara baik seperti cerita, gambar dan pembicaraan yang berunsur lucah, ia akan mempengaruhi pengguna untuk melakukan sesuatu yang tidak baik. 




PENUTUP 


Kesimpulannya, teknologi maklumat memainkan peranan yang penting dalam menjamin kehidupan yang lebih selesa.Namun begitu, kita harus memanfaatkan pengetahuan kita untuk tujuan yang positif. Ini adalah untuk memastikan bahawa masyarakat dapat membangun dengan fikiran yang inovatif dan kreatif. Penggunaan teknologi komunikasi ini boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan dan ianya bergantung kepada individu itu sendiri tentang bagaimana ianya hendak memanfaatkan teknologi tersebut terhadap dirinya.Kebaikan ICT memang tidak dapat dinafikan, namun teknologi masa kini memerlukan pemantauan dan pengawasan yang sewajarnya agar tidak menimbulkan sebarang kesan negatif. Masyarakat perlu saling mengingatkan antara satu sama lain bahawa ICT mampu memberi faedah yang berguna untuk kepentingan masa hadapan. 

Isnin, 25 Oktober 2021

PERAYAAN DI MALAYSIA

Tahun Baharu Cina

Tahun Baharu Cina disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalendar iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya yang tersendiri.


Perayaan Krismas

Krismas dirayakan oleh penganut agama Kristian pada setiap 25hb Disember sebagai mengingati kelahiran Jesus Christ. Sambutan Krismas dimeriahkan dengan hiasan pohon krismas yang dipasang dengan lampu berwarna-warni. Bungkusan hadiah-hadiah akan diletakkan di bawah pokok krismas dan akan dibuka pada hari tersebut.


Perayaan Tadau Kaamatan

Tadau Kaamatan merupakan perayaan oleh masyarakat Kadazan di Negeri Sabah pada bulan Mei setiap tahun setelah selesai musim menuai padi. Sempena sambutan perayaan Tadau, mereka menyediakan makan minum seperti kuih-muih dan air tapai.


Gawai Dayak

Perayaan Hari Gawai disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak pada 1 hb Jun setiap tahun. Perayaan akan bermula dengan tuai rumah membahagi-bahagikan tugas kepada penghuni rumah panjang. Kaum wanita pula akan menyediakan kuih-muih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, gula dan santan. Minuman tuak merupakan sajian utama perayaan Hari Gawai.


Deepavali

Deepavali merupakan perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu yang dirayakan pada bulan gelap bernama ‘aippasi’ pada setiap bulan Oktober dan November. Deepavali yang bermaksud ‘sebarisan pelita’ dan dengan memasang pelita, penganut Hindu percaya bahawa kecerahan akan mengatasi kegelapan, kebaikan akan mengatasi kejahatan, keadilan akan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan akan mengatasi kejahilan.


Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfiti merupakan perayaan utama masyarakat islam khususnya bangsa Melayu yang diraikan terbesar di Malaysia. Hari Raya Aidilfitri merupakan kemuncak kepada ibadat puasa di bulan Ramadhan. Sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam berpuasa pada siang hari dan mengerjakan sembahyang terawih pada sebelah malamnya. Pada malam Tujuh Likur yang jatuh pada 27 Ramadhan, lampu atau pelita dipasang untuk menerangi kawasan rumah. Sifat kesetiakawanan ditonjol melalui zakat fitrah yang wajib dikeluarkan sebelum 1 Syawal tatkala Hari Raya Aidilfitri akan dirayakan bersama.

PERMAINAN TRADISIONAL

Congkak

Congkak adalah satu permainan yang memerlukan pemain mengisi ‘buah’ ke dalam deretan lubang yang diperbuat pada sekeping papan yang dinamakan papan congkak. Tujuan permainan ini adalah untuk menguji kecekapan pemain mendapatkan seberapa banyak buah dari yang dimiliki oleh pihak lawan. Ia dimainkan oleh kaum lelaki dan juga kaum perempuan yang mana bilangan pemainnya hanyalah dua orang sahaja.


Batu Seremban

Permainan ini adalah satu permainan yang mana batu-batu kecil dilambung dan kemudiannya disambut kembali. Permainan ini melibatkan sekurang-kurangnya 2 orang pemain dan biasanya dimainkan oleh golongan perampuan. Alat yang digunakan dalam permainan ini ialah 5 biji batu dan biasanya ia dimainkan di dalam rumah.


Galah Panjang

Permainan galah panjang adalah sejenis permainan yang melintasi garisan-garisan berhalang. Tujuan permainan ini adalah untuk menguji kecekapan pemain berlari melepasi halangan.  Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan dan bilangannya seramai sepuluh orang. Ianya juga dimainkan di kawasan tanah rata dan lapang dan permainan ini tidak memerlukan sebarang alatan.


Guli

Permainan guli ialah sejenis permainan menuju atau melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak yang berumur antara 7 hingga dua belas tahun. Permainan ini dimainkan tidak lebih dari lima orang. Dan dimainkan dikawasan yang lapang dan rata. Alatan yang diperlukan didalam permainan ini ialah beberapa biji guli.


Sepak Bulu Ayam

Sepak bulu ayam adalah sejenis permainan menyepak bola bulu ayam yang dibuat sendiri.  Tujuan permainan ini adalah untuk menguji kecekapan pemain mengawal dan menimbang bola bulu ayam seberapa lama yang mungkin supaya bola itu tidak jatuh ke tanah. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak lelaki yang berumur lingkungan umur sepuluh hingga tujuh belas tahun.



Sepak Raga Bulatan

Sepak raga bulat adalah sejenis permainan menimbang dan mengawal bola raga. Ia bertujuan untuk menguji kecekapan permain untuk menyepak, menanduk, mendada atau melutut bola raga dan menghalangnya daripada jatuh ke tanah. Permainan ini dimainkan oleh kaum lelaki dan ia memerlukan pemain yang ramai. Kawasan yang sesuai untuk bermain permainan ini adalah di kawasan yang lapang dan rata. Satu bulatan besar dilukis pada tempat permainan dan satu bulatan kecil pula dilukis didalamnya. Alatan untuk permainan ini hanyalah bola raga.


Wau

Permainan wau adalah satu permainan yang menguji kepakaran dan kecekapan pemain membuat, manaikkan dan melayangkan wau. Ia biasanya dimainkan oleh golongan lelaki dewasa. Permainan ini tidak menetapkan jumlah pemain dalam permainan ini. Lebih ramai pemain lebih menyeronokkan dan dimainkan dikawasan yang luas dan lapang. Alat yang digunakan dalam permainan ini adalah wau dan tali atau benang kasar yang panjang.


Gasing

Gasing adalah satu permianan tradisional yang bertujuan menguji kepintaran pemain memusingkan gasing supaya gasing dapat berpusing dalam jangka masa yang panjang. Permainan ini dimainkan oleh lelaki dewasa dan kanak-kanak yang berumur Sembilan tahun ke atas. Jumlah pemain bagi permianan ini adalah 2 orang atau lebih dan dimainkan di kawasan yang lapang dan rata. Alat yang diperlukan untuk permainan ini ialah gasing timah, tali gasing, lopak, bong, bulu ayam, getah kecupu, bilah, dan sedikit minyak pelincin.


Sumber : Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara


KARANGAN UPSR UCAPAN : HARI PERPISAHAN AKHIR TAHUN (TEMA SEKOLAH)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada guru kelas dan rakan- rakan kelas 5 Tanjung. Saya, Hidayah Sahalan selaku ketua kelas ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Allysa selaku guru kelas dan 33 pelajar kelas ini kerana hadir pada hari perpisahan akhir tahun ini. Saya berasa sangat bersyukur kerana kita dapat berkumpul lagi buat hari yang terakhir sesi persekolahan 2020.

        Alhamdulillah kerana semua pelajar telah memberikan kerjasama dengan membawa sedikit makanan untuk hidangan pada hari ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada bendahari kelas, Auni Zahirah kerana menjalankan tugas dengan amanah. Oleh itu, pada hari ini, sebahagian besar makanan yang ada adalah menggunakan hasıl kutipan yuran bulanan kelas ini.

Hadirin sekalian,

           Kita telah bersama lebih kurang sebelas bulan, sudah pastinya banyak kenangan pahit dan manis tersemat dalam ingatan kita. Sepanjang tahun ini, kita juga telah melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dan saling membantu antara satu sama lain ibarat bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Terima kasih atas kerjasama yang ditunjukkan oleh semua orang dan saya bangga dengan sikap prihatin serta bertanggungjawab setiap murid dalam kelas ini.

             Walaupun telah banyak kenangan suka dan duka sepanjang tempoh persekolahan ini, saya lihat kalian semakin akrab dan menyayangi antara satu sama lain. Hal ini harus dibanggakan oleh semua pelajar kerana kita telah berjaya mengharungi tangis dan tawa bersama-sama. Tahniah atas sikap tolak ansur dan setia kawan yang ditunjukkan kerana inilah saya berasa berat hati untuk berpisah dengan kalian.

            Pada kesempatan ini, saya ingin memohon maaf sekiranya saya ada membuat salah dan silah sepanjang tahun ini sebagai ketua kelas kalian. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Allysa kerana beliau telah banyak berkorban masa dan tenaga untuk mendidik kita dan mendisiplinkan kita. Jasa cikgu-cikgu lain juga tidak terbalas dengan kata-kata dalam memberikan pendidikan dan tunjuk ajar kepada kita.

        Akhir kata, sebelum saya berhenti berucap, saya berharap kita akan berjumpa lagi pada tahun hadapan dalam keaadaan sihat dan sejahtera. Pada cuti sekolah ini, jagalah kesihatan dan keselamatan kalian baik-baik. Jangan lupa untuk mengulang kaji pelajaran semasa cuti ini kerana tahun depan kita merupakan calon UPSR. Gunakanlah masa cuti ini dengan perkara berfaedah dan jangan sia-siakannya. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun.

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah, 
Budi yang baik dikenang juga.

Sekian, terima kasih.

Sabtu, 23 Oktober 2021

KATA NAMA & FRASA NAMA


  1. KATA NAMA
  1. Kata yang menamakan manusia, benda, haiwan, tumbuhan, tempat dan konsep/ abstrak.
  2. Tiga jenis kata nama, iaitu kata nama am, kata nama khas dan kata ganti nama.
  3. Kata nama am ialah kata yang menamakan sesuatu secara umum. Lazimnya ditulis dengan huruf kecil. Contohnya, pekedai, pakaian, buaya, cendawan, tasik dan gas.
  4. Kata nama khas ialah kata yang menamakan sesuatu secara khas / khusus. Huruf awalnya ditulis dengan huruf besar. Contohnya, Ah Keat, Orlando, Sang Buaya, Rafflesia, Taman Permai dan Proton Saga.

  1. FRASA NAMA
  1. Frasa nama yang terdiri daripada kata nama sebagai kata inti dan boleh terbina daripada satu atau lebih perkataan.
  2. Dalam ayat, frasa nama boleh terdiri daripada subjek, predikat atau objek. Contohnya,
  1. Ahmad menonton televisyen.
       (subjek)                     (objek)
  1. Ahmad abang Azli.
                          (predikat)

      


      KESALAHAN UMUM KATA NAMA & FRASA NAMA

  1. Kata nama tidak perlu digandakan selepas kata bilangan yang membawa maksud   jamak / kumpulan.
  1. Banyak sayur-sayuran ada dijual di situ. ()
  2. Sayur-sayuran ada dijual di situ.()
  3. Banyak sayur ada dijual di situ.()
  4. Kaum petani-petani itu sedang membajak sawah.()
  5. Kaum petani itu sedang membajak sawah.()
  6. Petani-petani itu sedang membajak sawah.()


  1. Kata nama di bahagian subjek tidak perlu diulangi jika predikatnya terdiri daripada kata adjektif yang digandakan.
  1. Bunga-bunga itu cantik-cantik belaka.()
  2. Bunga itu cantik-cantik belaka.()
  3. Bunga-bunga itu cantik belaka.()


  1. Sesuatu frasa nama mestilah berhukum D – M, iaitu unsur diterangkan mesti mendahului unsur menerangkan. Hanya nama-nama jawatan dikecualikan daripada hukum ini. Contohnya:
  1. Menteri Perdana ()
  2. Perdana Menteri ()


Contoh kesalahan frasa nama:

  1. Cili sos Mawar enak rasanya. ()
  2. Sos cili Mawar enak rasanya. ()


  1. KATA GANTI NAMA DIRI
  1. KATA GANTI NAMA DIRI
  1. Kata yang digunakan untuk menggantikan nama manusia.
  2. Terdapat dalam dua bentuk, iaitu bentuk tunggal dan bentuk jamak.
  3. Terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
  1. Kata ganti nama diri pertama – aku, saya, patik, hamba, beta (tunggal), kami, kita (jamak)
  2. Kata ganti nama diri kedua – awak, engkau, tuan hamba, tuanku, kamu (tunggal), kalian, kamu semua (jamak)
  3. Kata ganti nama diri ketiga – ia, dia, beliau, baginda (tunggal), mereka (jamak).


  1. KATA GANTI NAMA DIRI SINGKAT
  1. Terhasil daripada singkatan bentuk penuh, iaitu aku (ku), kamu (mu), engkau (kau), ia /dia (nya).
  2. Ditulis serangkai dengan kata lain yang mendampinginya. Contohnya:
  1. Adakah buku itu kaupinjam semalam ?
  2. Yang manakah adikmu ?




KESALAHAN UMUM KATA GANTI NAMA DIRI

  1. Ketidaksesuaian penggunaan mengikut status seseorang, suasana konteks, dan hubungan seseorang dengan seseorang. Contohnya:
  1. Beliau telah dipenjarakan.()
  2. Dia  telah dipenjarakan.()
  1. Kata ganti nama diri bentuk jamak tidak boleh digandakan atau diawali dengan kata bilangan yang menunjukkan banyak. Contohnya:
  1. Mereka-mereka itu telah pun makan nasi.()
  2. Mereka itu telahpun makan nasi.()
  3. Semua mereka sudah tidur.()
  4. Mereka sudah tidur.()
  1. Kata ganti nama diri ia dan mereka tidak boleh digunakan untuk binatang, benda dan konsep.
  1. Kata ganti nama diri ia tidak boleh berfungsi sebagai objek kepada kata sendi, kata kerja transitif, atau pelaku kepada kata kerja pasif diri ketiga. Contohnya:
  1. Surat ini untuk ia.()
  2. Surat ini untuknya.()
  3. Beg ini dibeli oleh ia.()
  4. Beg ini dibeli olehnya.()
  1. Kata ganti nama diri ia dan nya tidak boleh diserangkaikan menjadi ianya dalam ayat.
  1. Kata ganti nama diri singkat tidak boleh dijarakkan dengan kata yang mendampinginya.


  1. KATA GANTI TANYA
  1. Digunakan untuk membentuk ayat-ayat tanya.
  2. Digunakan untuk menanyakan manusia, binatang, benda, tempat, dan bilangan. Contohnya apa, berapa, bila, mana, dan siapa. 


  1. KATA GANTI TEMPAT
  1. Kata sana, sini, dan situ merupakan kata ganti nama tempat.
  2. Kata sana digunakan untuk tempat jauh dan kata situ tidak sejauh sana. Manakala kata sini digunakan untuk tempat yang dekat.


  1. KATA GANTI TUNJUK
  1. Kata itu dan ini merupakan kata ganti tunjuk.
  2. Kata ganti tunjuk boleh diletak di depan kata nama atau di belakang kata nama. Contohnya:
  1. Ini kereta. (depan)
  2. Saya belajar di sekolah itu. (belakang)


  1. KATA GANTI TAK TENTU

  1. Kata ganti tak tentu terrbentuk daripada penggandaan kata ganti tanya apa, mana, dan siapa. Contohnya apa-apa, mana-mana, dan siapa-siapa/sesiapa.
  2. Kata ini menunjukkan seseorang atau sesuatu secara tidak tentu.

Ahad, 11 November 2018

KOMSAS TINGKATAN 5 : CERPEN CINTA AHMAD MUTAWAKKIL


Cerpen: Cinta Ahmad Mutawakkil

Penjajahan Jepun di Tanah Melayu

Komunis di Tanah Melayu


A. SINOPSIS
  • Ahamad Mutawakkil seorang pejuang nasionalis berjuang membebaskan negara daripada penjajah Inggeris dan PKM (Parti Komunis Malaya). Ahamad telah ditemui dalam keadaan cedera parah oleh penduduk kampung semasa mereka selesai sembahyang maghrib di surau. Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap memapah Ahamad yang cedera di bahu serta membaringkannya. Ahamad tercungap-cungap dan akhirnya pengsan.
  • Kampung Ahamad telah diterokai sejak tiga generasi yang berkebun dan bertanam padi. Pada tahun 30-an Tuan Booth datang ke situ dan meneroka hutan dengan mengupah beratus-ratus buruh untuk menanam getah. Ahamad menjadi yatim piatu apabila bapanya, Wak Sadir meninggal dunia. Ahamad terpaksa hidup menumpang Tuan Booth selama 3 tahun.
  • Pada tahun 1941, Jepun telah menjajah Tanah Melayu. Tuan Booth terpaksa berpindah dan kekejaman Jepun menjadikan penduduk hidup susah. Ahamad telah dijadikan anak angkat oleh Imam Deraman. Beliau mengajar Ahamad termasuklah bercakap bahasa Inggeris. Pada tahun 1943, Ahamad bekerja di bandar.
  • Pada tahun 1945 Jepun kalah akibat serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Pada Tahun 1946, Ahamad menjadi seorang yang berpengaruh dan semua ucapannya dipercayai oleh orang kampung serta daerahnya. Tuan Booth balik semula ke estetnya dan beliau sungguh mesra dengan orang kampung di situ serta mengeratkan hubungan antara penduduk di kampung itu.
  • Ahamad menjadi seorang pejuang nasionalisme dan semakin terserlah perjuangan serta menentang perjuangan komunis serta penjajah melalui pidato dan penulisannya di dalam surat khabar. Akhirnya dia telah mendapat jawatan nombor dua dalam partinya pada tahun 1952. Anak Tuan Booth iaitu Sandra pula jatuh hati kepada Ahamad dan ini menimbulkan prasangka kepada orang kampungnya.
  • Pada tahun 1948, komunis mula mengganas di Perak dan Ahamad semakin tegas menyedarkan rakyat supaya menentang ideologi komunis. Akibatnya, komunis menyerbu banglo tuan Booth dan membunuh 5 orang penghuni. Mereka mengugut Tuan Booth supaya menasihati Ahamad supaya berhenti mengajak orang kampung membenci Komunis. Ahamad tidak mendengar nasihat Tuan Booth dan Penghulu Sigap, sebaliknya dia semakin berani bersuara dengan lantang.
  • Pada malam Jumaat yang lepas semasa menyampaikan ceramah, seorang budak lelaki telah datang berjumpa Ahamad. Ahamad mengikuti budak itu dan sejak itu Ahamad hilang dan tidak ditemui. Tiga kumpulan penduduk termasuk Tuan Booth telah berusaha mencari Ahmad tetapi Ahamad tidak dijumpai.
  • Akhirnya, selepas solat maghrib itu, segala kerungsingan penduduk kampung tentang kehilangan Ahamad telah terjawab apabila Ahamad muncul dalam keadaan cedera parah. Ahamad meninggal dunia di atas riba Imam Ngah Deraman dan Penghulu Sigap akibat ditembak dengan 3 das peluru. Pada malam 31 Ogos 1957, penduduk kampung mengadakan doa tanda kemerdekaan serta tahlil ke atas Ahamad.
  • Tuan Booth balik ke England seminggu selepas kemerdekaan Tanah Melayu. Setahun selepas itu, Sandra balik semula ke banglo bapanya kerana terkenangkan cintanya kepada Ahamad. Dia telah mengajar anak-anak penduduk kampung membaca dan menulis.

B. TEMA
  •  Kegigihan dan keberanian seorang pemuda berkorban nyawa untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air.
  • Contohnya, Ahmad Mutawakkil seorang yang berani menyampaikan maklumat kepada masyarakat agar berani menuntut kemerdekaan daripada penjajah serta menentang ideologi komunis.

C. PERSOALAN
  1. Kasih sayang sesama ahli keluarga. Contohnya, Tuan Booth bertindak membawa semua ahli keluarganya berpindah semasa penjajahan Jepun kerana beliau menyayangi keluarganya.
  2. Ketabahan menghadapi kesukaran hidup semasa peperangan. Contohnya, penduduk kampung sentiasa tabah dan sabar ketika menghadapi kesusahan hidup semasa penjajahan Jepun dan keganasan komunis.
  3. Semangat patriotisme yang tinggi dalam diri seorang pejuang tanah air. Contohnya, Ahamad sentiasa berjuang untuk menyedarkan rakyat untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah serta kekejaman komunis.
  4. Hubungan cinta yang sangat mendalam. Contohnya, Sandra amat mencintai Ahamad sehingga dia sanggup kembali semula ke banglo bapanya setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
  5. Kerjasama yang erat dalam kalangan masyarakat. Contohnya, penduduk kampung bersatu membentuk tiga kumpulan untuk mencari Ahamad yang hilang.
  6. Kekejaman dan kezaliman pihak penjajah terhadap masyarakat. Contohnya, pengganas menyerang banglo Tuan Booth dan membunuh lima penghuni di banglo itu.


D. WATAK DAN PERWATAKAN

1. Ahmad Mutawakkil

a. berusia 25 tahun ketika meninggal dunia kerana ditembak komunis.
b. anak tunggal Wak Sadir dan menjadi yatim piatu apabila bapanya meninggal dunia.
c. pintar - boleh membaca dan menulis bahasa Inggeris yang diajar Imam Ngah Deraman.
d. patriotisme - berjuang menyedarkan rakyat untuk menentang komunis dan penjajah.
e. bijak merancang masa depan - belajar membaca dan menulis bahasa Inggeris daripada Sandra ketika tinggal di rumah Tuan Booth selama 3 tahun.
f. petah berpidato - selalu berpidato kepada penduduk kampung untuk menyedarkan mereka supaya menentang komunis dan penjajah.
g. berani - berani bersuara menyatakan pendapatnya kepada rakyat supaya menentang komunis dan penjajah walaupun dinasihati oleh Tuan Booth supaya menghentikannya.
h. Sanggup berkorban - sanggup berkorban nyawa untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air daripada penjajah serta menentang keganasan komunis.
i. sangat berpengaruh - beliau dihormati dan dipilih sebagai pemimpin nombor dua partinya.
j. menghargai jasa - beliau menghargai jasa Tuan Booth yang telah memeliharanya dengan menghadiri majlis yang dibuat oleh Tuan Booth di banglonya.

2. Tuan Booth
a. pengurus ladang dan majikan kepada beratus-ratus orang buruh di ladang getahnya.
b. mesra - mudah tersenyum apabila bertemu dengan penduduk kampung.
c. baik hati - menjemput pasangan pengantin di kampung itu datang ke banglonya untuk diraikan serta sanggup memelihara Ahmad di banglonya.
d. peramah - suka bersembang dan bergaul dengan penduduk di surau pada waktu petang.
e. penyayang - membawa keluarganya yang disayangi berpindah ketika Jepun menyerang.

3. Sandra
a. anak Tuan Booth yang fasih berbahasa Inggeris.
b. baik hati - mengajarkan Ahamad menulis dan membaca Inggeris.
c. penyayang - amat menyayangi Ahamad dan beliau menangis apabila Ahamad dilaoprkan hilang.
d. setia - balik semula ke banglo bapanya selepas merdeka serta mengajar anak-anak kampung itu menulis dan membaca kerana terkenang cintanya kepada Ahamad.


E. LATAR:

1. Latar Tempat

- Surau kampung 
  • Ahmad balik dalam keadaan cedera parah di surau itu pada waktu selepas maghrib. Di surau itu dia meninggal dunia kerana ditembak oleh komunis.

- Banglo Tuan Booth 
  • Tuan Booth tinggal di banglo estet itu bersama keluarganya. Di situ juga 5 orang dibunuh oleh komunis.

- Estet Ephill dan Estet Sungai Siput 
  • komunis membunuh 3 orang pengurus estet berbangsa Inggeris.

- bandar 
  • Ahmad bekerja di bandar sebagai pembaca dan penulis surat Inggeris kepada penentang Jepun.

- Tanah Estet Tuan Booth 
  • tempat 15 keluarga buruh dari India tinggal dan bekerja di estet itu.

- Laman estet Tuan Booth 
  • Komunis melepaskan tembakan ke udara untuk menakut-nakutkan orang kampung daripada menentang mereka.

- England 
  • Tuan Booth dan keluarganya pulang ke England selepas seminggu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

2. Latar Masa:

- pertengahan tahun 30-an 
  • Tuan Booth datang ke kampung itu dan membuka estet getah serta menggaji ratusan buruh.

- waktu pagi 
  • 5 orang komunis memasuki banglo tuan Booth dan mendesaknya supaya menasihati Ahamad agar tidak menghasut rakyat menentang komunis.

- waktu petang 
  • Tuan Booth selalu pergi ke surau untuk bersembang dengan penduduk kampung.

- waktu malam 
  • Ahamad selalu menyampaikan pidato untuk menyedarkan rakyat supaya menuntut kemerdekaan.

- tahun 1941 
  • Tentera Jepun menjajah Tanah Melayu dan Tuan Booth keluar dari banglonya untuk menyelamatkan diri.

- Malam Jumaat 
  • Ahmad melangkah lemah kerana kecederaan ke surau kampungnya. Dia meninggal dunia pada malam itu kerana ditembak komunis.

- 31 ogos 1957 
  • Penduduk kampung mengadakan majlis doa kesyukuran kerana kemerdekaan negara dan mengadakan tahlil untuk Ahmad.

- seminggu selepas merdeka 
  • Tuan Booth balik ke England.

- 31 Ogos 1958 
  • Sandra balik semula ke banglo bapanya kerana dia terkenang akan cintanya kepada Ahamad.

3. Latar Masyarakat:

- masyarakat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi 
  • Ahmad memberi pidato kepada penduduk kampung supaya bangun menentang penjajah dan komunis.

- masyarakat Melayu 
  • tinggal di kawasan pedalaman sejak 3 generasi yang lalu dengan berkebun dan bersawah padi.

- masyarakat yang bersatu padu 
  • orang kampung membentuk 3 kumpulan untuk bersama-sama mencari Ahamad yang hilang.

- masyarakat yang menjadi mangsa keganasan 
  • Ahmad, 5 orang penghuni bunglo dan 3 orang pengurus estet berbangsa Inggeris menjadi mangsa keganasan komunis.

- Masyarakat penjajah yang bertindak mengaut keuntungan 
  • Tuan Booth membuka ladang getah di Tanah Melayu untuk mengaut keuntungan.

- Kumpulan komunis 
  • kumpulan ini bertindak ganas dan kejam membunuh ramai mangsa termasuk Ahamad.


F. BAHASA

1. bahasa Arab - solat maghrib/ Alhamdulillah/ syahadah
2. bahasa slanga/ bahasa pasar - "Gua tau...lu... Kasi tau sama ....."
3. Repitasi/ pengulangan - Hati Melayu tak reti bermusuh, hati Melayu penuh dengan persahabatan.
4. Personafikasi - ...ketenangan merayap ke seluruh negara...../ diratah atau dirobek peluru.
5. Simile - Sawah pula, laksana lautan emas.....
6. Metafora - garisan perang/ bola matanya/ sayap parti
7. Sinkope - tak, tu, dulu, tau
8. peribahasa - anak angkatnya, minta diri, tangan kosong

G. NILAI

1. kasih sayang
  • Tuan Booth membawa semua keluarganya keluar dari bunglonya seminggu sebelum Jepun menjajah.

2. patriotisme
  • Ahmad berjuang meniupkan semangat mendapatkan kemerdekaan kepada penduduk kampungnya dan menentang kekejaman komunis.

3. keberanian 
  • Ahmad berani bersuara dengan lantang dalam pidatonya mengajak penduduk kampung memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah.

4. ketabahan
  • Ahmad tabah berdepan dengan pelbagai cabaran dalam perjuangannya menuntuk kemerdekaan negara.

5. kebijaksanaan
  • Ahmad bijak mengambil peluang belajar dan menulis bahasa Inggeris daripada Sandra ketika tinggal di banglo Tuan Booth.

6. tanggungjawab
  • Imam Ngah Deraman bertanggungjawab menjadikan Ahamad sebagai anak angkat setelah Ahamad menjadi yatim piatu.

7. kerjasama - 
  • penduduk kampung dan tuan Booth membentuk 3 kumpulan untuk bekerjasama mencari Ahamad yang hilang ditangkap komunis.

8. hormat-menghormati
  • Tuan Booth amat menghormati penduduk kampung dan selalu ke surau untuk berbual-bual dengan penduduk.

9. mengenang jasa 
  • Ahamad mengenang jasa tuan Booth yang pernah memeliharanya dengan menghadiri majlis yang dibuat oleh tuan Booth di banglonya.


H. PENGAJARAN

1. kita hendaklah berani dalam melakukan sesuatu tindakan yang baik 
  • Ahamad berani bersuara lantang mengajak penduduk supaya berjuang mendapatkan kemerdekaan.

2. Kita mestilah mempunyai semangat patriotisme 
  • Ahamad mengajak penduduk kampungnya supaya berusaha mendapatkan kemerdekaan tanah air daripada penjajah.

3. kita mestilah bekerjasama dan saling membantu 
  • penduduk kampung dan tuan Booth bekerjasama untuk mencari Ahamad yang hilang kerana ditangkap komunis.

4. Kita mestilah mengenang budi 
  • Ahamad mengenang budi tuan Booth yang pernah memeliharanya dengan menghadiri majlis tuan Booth di banglonya.

5. Kita mestilah menyayangi keluarga kita 
  • Tuan Booth membawa keluarganya berpindah sebelun Jepun menjajah kampung itu.

6. Kita mestilah mengambil peluang untuk membaiki diri 
  • Ahamad mengambil peluang untuk belajar menulis dan bercakap Inggeris daripada Sandra ketika tinggal di banglo tuan Booth.

Sumber : http://bmlabukau.blogspot.com/2016/01/komsas-cerpen-cinta-ahamad-mutawakkil.html

Sabtu, 6 Oktober 2018

Penggunaan meN...kan dan meN...i


"Bolehkah tolong jelaskan penggunaan meN-..-kan dan meN-..-i. Saya amat keliru 😑"

Saya sering kali dihujani dengan permasalahan ini. Dalam ruangan ini ingin saya kongsikan teknik mudah untuk mengenal pasti penggunaan imbuhan pada Kata Kerja Transitif ini.



Cara serta perbezaan penggunaan meN-..-kan dan meN-..-i

Konsep asas Kata Kerja Transitif jangan dilupa, iaitu Kata Kerja + objek
Objek mesti terdiri daripada Kata Nama atau Frasa Nama.

Kekeliruan ini akan timbul apabila dalam sesuatu ayat terdapat dua objek selepas kata kerb, iaitu objek tepat dan objek sipi. 

Lihat perkongsian di bawah ini ya!

Perbezaan antara meN-…-kan dan meN-…-i

Imbuhan 
Golongan Kata
Fungsi
Objek tepat
Contoh ayat
meN-…-kan
KN, KK, KA, KT
kausatif
Objek tak bernyawa
A)   Puan Linda menghadiahkan sebuah basikal kepada Gabriel.
meN-…-i
KN, KK, KA, KT
lokatif
Objek bernyawa
B)     Puan Linda menghadiahi Gabriel sebuah basikal.

A) ... menghadiahkan sebuah basikal kepada Gabriel.
Objek 1(tepat) sebuah basikal (tidak bernyawa)
Objek 2(sipi) adik (bernyawa)

B) ... menghadiahi Gabriel sebuah basikal.
Objek 1 (tepat) Gabriel  (bernyawa)
Objek 2 (sipi) sebuah basikal (tidak bernyawa)

Terdapat segelintir kata kerja yang mempunyai imbuhan meN-…-kan dan meN-…-i yang boleh berganti antara satu sama lain.

Contoh: 

Ali sedang membaiki kereta yang rosak.
Ali sedang membaikkan kereta yang rosak itu

Perbezaan antara mempeR-… dan mempeR-…-kan 

Imbuhan
Golongan Kata
Fungsi
Contoh Ayat
memper-…
Kata Adjektif
menjadikan lebih/ bertambah
Ibu memperindah ruang tamu dengan pasu bunga.
memper-…-kan
Kata Kerja





Kata Nama
menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang terkandung dalam maksud kata kerja

i) kuasatif


ii) segelintir kata nama seperti hamba, isteri, dan suami menghasilkan perkataan yang berlainan maksudnya. (m/s 210)
Tuanpengarah  telah mempertimbangkan kembali  keputusan itu.






memperhamba- melakukan diri seseorang seperti hamba
memperhambakan- menjadikan diri seperti hamba seseorang.

-Wanita itu memperhamba orang gajinya.

- Hang Tuah memperhambakan dirinya kepada sultan.


1.    mempeR...kan dan dipeR ...-kan diimbuhkan pada kata nama dan kata kerja
2.    mempeR- dan dipeR- diimbuhkan dengan kata adjektif, mempeR...-i disambut dengan KA dianggap lewah.

Namun begitu, bukan.semua apitan memper-...-i lewah. Apitan memper-...-i yang tidak lewah ialah:

1. ..mempersenjatai
2. ..memperingati
3. ..memperalati
4. ..memperkebuni..
5...memperkawani..
6. ..memperisteri (i)
7. ..memperhamba (i)

Apitan memper-...-i yang.lewah pula ialah:

1. ..memperbaiki
2...memperdalami
3. ..mempersetujui..
4. ..memperolehi..


Perbezaan antara diper-… dan diper-…-kan

Imbuhan
Golongan Kata
Fungsi
Contoh Ayat
diper-…
Kata Adjektif
dijadikan lebih/ bertambah
Halaman rumah diperindah dengan pasu bunga oleh ibu.
diper-…-kan
Kata Kerja




Kata Nama
Menyebabkan sesuatu dilakukan oleh orang lain.



Dijadikan sesuatu mengikut kata dasar
Keputusan itu telah dipertimbangkan kembali oleh Pengarah Urusan Toyota.


Hang Tuah diperhambakan kepada sultan oleh Bendahara.


*Terdapat sekumpulan kecil kata nama yang hanya menerima imbuhan diper-… untuk membentuk kata kerja.   
Contoh:  
alat  - diperalat

daya - diperdaya

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...