Selasa, 17 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 2 - NOVEL JALAN KE PUNCAK (JURI DURABI) Edisi: Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak

Sinopsis

Laiman pemuda dari Sabah menuntut ilmu untuk  mendapatkan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan. Dia dihantar ke syarikat Shell di Sarawak untuk menjalani latihan. Dia memang berkeupayaan untuk maju dalam bidang yang dipelajarinya. Dalam latihan, Laiman bekerja sungguh-sungguh, tetapi impiannya lain daripada itu. Di tempat latihan itu, Laiman akrab dengan gadis yang bernama Soniah, yang juga masih belajar. Hal ini menimbulkan rasa cemburu kawannya yang bernama Muluk. Soniah merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara Laiman dan Muluk, tetapi dia menyembunyikannya.

    Soniah pernah tersilap menyebut nama Muluk. Apabila ditanya oleh Laiman, Soniah tidak mahu bercerita apa-apa tentang Muluk.

    Ketika Laiman tiada di tempat kerja kerana pergi ke Kuching, tangki minyak shell terbakar. Ada telahan kononnya Laiman yang merancang pembakaran tangki minyak itu sebelum dia
ke Kuching. Pengurus syarikat sendiri pun mengesyaki Laiman. Walau bagaimanapun, setelah mendapat keterangan daripada Laiman, pengurus syarikat percaya bahawa Laiman tidak bersalah.

    Setelah tamat belajar, Laiman balik ke kampungnya. Bagi Laiman, ijazah yang diperolehnya bukanlah tiket untuk dia mencari pekerjaan bergaji tetap. Dia memikirkan projek yang sentiasa ada dalam fikirannya sejak dahulu. Apabila mendapat tawaran untuk bekerja di jabatan pertanian, Laiman menolaknya. Tindakan Laiman itu menimbulkan rasa hairan dalam hati sepupunya Milan. Hal tersebut menimbulkan kemarahan ayah Laiman, Pak Kiassim juga. Pak Kiassim yakin bahawa bekerja makan gaji adalah yang terbaik bagi lulusan universiti. Fikiran Laiman ketika itu tertumpu pada projek ternakan lebah madu dan ternakan ikan air tawar. Dia merancang untuk membuat projek ternakan ikan air tawar di tanah paya bersebelahan tanah Pak Sahok. Ternakan lebah madu tidak menjadi masalah bagi Laiman kerana projek tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas. Di samping itu, dia menanam tembikai juga.

    Kemarahan Pak Kiassim menjadi-jadi apabila dilihatnya Laiman tidak beroleh apa-apa kemajuan. Namun begitu, Laiman tetap dengan pendiriannya. Dia berpakat dengan Milan untuk terus bergerak maju. Pada mulanya, Milan juga kurang bersemangat. Milan menjadi yakin dan bersemangat apabila melihat Laiman tidak pernah berputus asa. Mereka bersama-sama meminta izin Pak Sahok untuk melaksanakan projek di sebelah tanah Pak Sahok, tetapi Pak Sahok tidak mengizinkannya. Laiman tahu bahawa Pak Sahok bukan pemilik tanah yang dicita-citakannya itu. Namun begitu, dia tidak mahu bermusuh dengan Pak Sahok.

    Milan makin bersemangat seperti Laiman. Tanaman tembikai ada kemajuan. Laiman masih memikirkan projek lain, iaitu kebun limau dan kelapa. Milan bimbang kerana fikiran Laiman terlalu bercabang-cabang, tetapi Laiman yakin dengan caranya. Menurutnya, kerjanya yang banyak akan dibantu oleh budak-budak yang gagal dalam persekolahan. Hal tersebut tentu akan menyenangkan hati ibu bapa budak-budak itu.

    Setelah masa berlalu agak lama, Pak Kiassim dapat menerima usaha Laiman. Dia telah melihat kejayaan Laiman dalam bidang penanaman tembikai. Pak Sahok masih enggan mengizinkan Laiman menggunakan tanah paya di sebelah tanahnya untuk maksud ternakan ikan air tawar. Hasil perundingan dengan Pak Kiassim, Pak Sahok kemudiannya bersetuju.

    Laiman memulakan projeknya. Paya itu diperdalam menggunakan jentera pengorek. Setelah segala-galanya elok, Laiman menambah bidangnya lagi. Sebahagian daripada tempat itu digunakan oleh Laiman untuk ternakan ikan air tawar, manakala sebahagian lagi untuk ternakan udang harimau. Laiman menyerahkan urusan kebun tembikai kepada ayahnya.

    Masalah dalam perusahaan merupakan perkara biasa. Masalah yang menimpa Laiman ialah dua orang anak muda yang dilatihnya, iaitu Kedek dan Muali, meninggalkannya untuk membuka perusahaan sendiri. Laiman tidak kecewa, kerana sekurang-kurangnya dia telah berjaya melatih orang lain bekerja.

    Kejayaan Laiman makin cemerlang apabila Jabatan Petanian berjanji untuk membantunya memperbesar perusahaan ternakan ikan air tawarnya. Ketika itu, Laiman teringat akan Soniah, gadis yang akrab dengannya semasa dia berada di Sarawak dulu.

Inti Pati Bab

Bab 1: Bagaikan Mimpi

– Laiman pelajar dari Sabah, menjalani latihan industri di Sarawak – mengambil bidang Kejuruteraan
– Laiman dihantar membuat latihan praktikal di sebuah syarikat minyak
– Di situ dia berkawan baik dengan Sukri – bercerita kepada Sukri bahawa dia akan berehat selepas tamat pengajian nanti
– Jika ada tawaran bekerja dari mana-mana syarikat, Laiman tidak akan menerimanya dengan cepat
– Sukri hairan memimikirkan sikap Laiman – kebanyakan pelajar akan memikirkan pekerjaan setelah tamat belajar di universiti, tetapi Laiman hendak berehat
– Laiman teringat akan kawannya yang bernama Chow Chin
– pemuda itu belajar di universiti hingga tamat – membuka perniagaan kereta terpakai – ejen import eksport – mengusahakan hotel – menjadi jutawan
– Dalam bidang pekerjaan, Laiman menjadikan Chow Chin sebagai contoh
– Laiman tahu bahawa ada juga pemuda yang gagal belajar di pusat pengajian tinggi, berjaya dalam hidup – pemuda itu bekerja di bengkel kereta milik orang lain, kemudian membuka bengkel sendiri
– Laiman tertarik pada pekerjaan sedemikian – pada pandangan Laiman, orang yang berijazah atau tidak berijazah, akan maju jika bijak dan rajin berusaha – yang penting ialah bekerja kuat

Bab 2: Sesal

– Pengurus syarikat minyak tempat Laiman membuat latihan praktikal menyukai Laiman kerana kecekapannya 
– Kerja yang diberikan kepada Laiman dapat disiapkan dengan baik dan cepat
– Laiman tidak berbangga diri apabila dipuji
– Laiman akrab dengan seorang gadis bernama Soniah – selepas makan di restoran, mereka berjalan-jalan ditemani adik sepupu Soniah – berbual-bual tentang tugas yang perlu disiapkan – membincangkan hal yang berkaitan dengan untung rugi syarikat – bercakap tentang hal perangai manusia yang suka saling menjatuhkan, walaupun kawan sendiri – Soniah menyebut nama Muluk, menyebabkan Laiman mahu tahu tentang lelaki itu – Soniah tidak menyatakan alasan dia menyebut nama Muluk
– Pada anggapan Laiman, Muluk memang bersikap aneh, berlainan daripada kawan-kawannya yang lain
– Sebenarnya, Soniah ada sesuatu yang hendak dikatakan kepada Laiman tentang Muluk – namun, dia berfikir panjang lalu menutup perkara itu
– Setelah berpisah dengan Soniah, Laiman masih teringat akan Muluk

Bab 3: Musibah

– Tangki minyak yang dibaiki oleh Laiman dua minggu yang lepas, tiba-tiba terbakar
– Laiman berada di Kuching semasa loji itu terbakar
– Peristiwa demikian tidak pernah berlaku sebelumnya
– Sukri bimbang kalau-kalau Laiman dituduh melakukan sabotaj
– Pengurus syarikat berasa amat marah dan bertanyakan tempat Laiman pergi
– Sukri tidak dapat mengagak perkara yang akan berlaku kepada Laiman
– Kekusutan fikiran Sukri dikesan oleh isterinya, Misah – Sukri tidak bercerita tentang perkara yang berlaku kepada isterinya
– Sukri tahu bahawa Laiman pemuda yang baik – tidak mungkin Laiman membakar tangki minyak itu – pada fikiran Sukri, ada orang yang khianat kepada Laiman
– Sukri menemui Laiman setelah Laiman balik dari Kuching
– Laiman juga hairan memikirkan kebakaran itu – dia tidak ada kena-mengena dengan kebakaran itu 
– Sukri meminta Laiman bercerita kepada pengurus

Bab 4: Hasrat

– Laiman berbual-bual dengan Soniah di sebuah restoran
– Ada seorang tua memerhatikan mereka
– Laiman terfikir, mungkin orang tua itu ada firasat.
– Laiman dan Soniah bercakap-cakap tentang rancangan masing-masing
– Laiman meminta Soniah berfikir sendiri tentang rancangan yang benar-benar diimpi-impikannya
– Soniah mempunyai sikap yang hampir sama dengan sikap Laiman – berpendapat bahawa usaha hendaklah dilaksanakan dengan tekun – manusia hendaklah memilih jalannya sendiri
– Laiman agak terperanjat apabila mengetahui Soniah juga mengambil bidang Kejuruteraan
– Apabila Laiman mengatakan bidang itu susah, Soniah agak tersinggung kerana dia merasakan Laiman merendah-rendahkan kemampuan wanita
– Namun begitu, perbualan mereka mesra kembali
– Apabila keluar dari restoran, barulah mereka bercakap tentang kebakaran tangki minyak
– Laiman mengatakan bahawa pengurus tidak menyalahkannya – dia memang tiada di tempat kerja, bahkan berada jauh ketika kebakaran berlaku – syarikat terpaksa menanggung kerugian

Bab 5: Pulang

– Setelah pulang ke kampungnya di Sabah, Laiman berubah

Bab 6: Tentangan

– Bapa Laiman, Pak Kiassim, tidak suka Laiman menjalankan kerja-kerja kampung, misalnya di ladang – mahu anaknya itu bekerja di pejabat, makan gaji
– Laiman mempunyai pandangan yang berlainan sama sekali
– Laiman juga selalu teringat akan Muluk yang selalu memandangnya dengan perasaan tertentu – hal itu dikaitkan oleh Laiman dengan kebakaran tangki minyak – dia mendapat
tahu bahawa Muluk sudahpun diberkas polis – rupa-rupanya Muluk cemburu melihat Laiman dan Soniah akrab bagaikan pasangan kekasih semasa berada di Sarawak
– Milan, sepupu Laiman membawa berita bahawa Laiman ditawarkan bekerja di Jabatan Pertanian – jawatan itu sesuai dengan kelulusan Laiman
– Laiman tidak menyambut berita itu dengan gembira – Laiman lebih suka bercakap tentang projek yang ada dalam fikirannya
– dia bercadang hendak menternak lebah madu dan ikan air tawar – tempat ternakan ikan air tawar bersebelahan dengan tanah Pak Sahok
– Milan bimbang kalau-kalau Pak Sahok tidak mengizinkan Laiman melaksanakan hasratnya di situ

Bab 7: Resah

– Penolakan Laiman terhadap tawaran pekerjaan bergaji menimbulkan kemarahan bapanya, Pak Kiassim – mengatakan bahawa Laiman menolak rezeki
– Laiman mengatakan bahawa belum sampai masa untuk dia menerima tawaran seperti itu – jawapan itu tidak menyenangkan Pak Kiassim
– Apabila Laiman mengatakan bahawa dia mahu berehat, Pak Kiassim bertambah marah – mengungkit pengorbanan nenek dan abang Laiman
– Laiman tidak tahan mendengar leteran bapanya – meninggalkan rumahnya – pergi menemui sepupunya Milan
– Dalam perbualan dengan Milan, Laiman mendapati sepupunya itu berada di pihak bapanya – berasa kecewa dan berkecil hati
– Milan pandai memujuk Laiman dan berjanji akan membantunya

Bab 8: Tekad

– Rancangan Laiman untuk menternak ikan air tawar menghadapi masalah – Pak Sahok tidak mengizinkan dia menggunakan tanah paya di sebelah tanahnya
– Laiman tahu bahawa tanah paya itu bukan milik Pak Sahok tetapi dia menghormati Pak Sahok
– Selagi keizinan Pak Sahok tidak diperoleh, Laiman tidak akan menggunakan kawasan paya itu
– Laiman dan Milan berbincang tentang pilihan-pilihan lain
– Setelah membincangkan projek ikan, mereka beralih kepada perkara kebun tembikai – kawan Laiman dari Kota Kinabalu akan membeli tembikai yang diusahakannya
– Selain berbincang tentang kebun tembikai, mereka berbincang tentang rancangan ternakan lebah madu juga
– Milan merasakan bahawa rancangan mereka terlalu banyak dan dia bimbang kalau-kalau tidak terkawal
– Laiman mengatakan bahawa tenaga budak-budak yang gagal dalam persekolahan dapat digunakan – ibu bapa budak-budak itu akan berasa gembira kerana anak-anak mereka ada kerja

Bab 9: Pujuk
– Laiman susah hati kerana rancangan ternakan ikan air tawar masih tidak dapat dimulakan – dia dan Milan tetap gagal memujuk Pak Sahok agar bersetuju
– Laiman dan Milan terus memikirkan tempat-tempat lain tetapi tiada yang sesuai
– Laiman terfikir untuk terus memujuk Pak Sahok
– Pada sebelah malamnya, Pak Kiassim menegur anaknya Laiman – bertanyakan kemajuan Laiman – apabila Laiman menunjukkan rasa dukacita, Pak Kiassim menyebutkan hal-hal yang lepas
– Laiman mengatakan bahawa Pak Sahok merupakan penghalang, walaupun tanah yang diingininya itu bukan tanah Pak Sahok
– Pak Kiassim bersetuju bahawa tanah itu memang bukan tanah Pak Sahok
– Perbualan Laiman dengan bapanya kian mengarah kepada perdamaian
– Apabila Pak Kiassim bertanya tentang kebun tembikai, Laiman mengatakan projek itu berjaya
– Laiman terperanjat apabila Pak Kiassim mengatakan bahawa dia akan pergi memujuk Pak Sahok agar bersetuju dengan rancangan Laiman

Bab 10: Harapan

– Projek tembikai Laiman berjaya – pihak jabatan pertanian tertarik – berjanji akan membantu Laiman
– Ketika pegawai pertanian bercakap tentang tembikai, fikiran Laiman masih tertumpu pada projek ternakan ikan air tawar yang menjadi keutamaannya – dia ingin mendengar keputusan
rundingan antara bapanya dengan Pak Sahok
– Pak Kiassim pulang dengan wajah yang menampakkan kejayaan
– Pak Kiassim menyuruh Laiman sendiri pergi mendengar keputusan Pak Sahok
– Pak Sahok menyatakan persetujuannya kepada Laiman – sedar bahawa kejayaan Laiman dapat ditumpang oleh orang kampung, tua dan muda
– Sebulan kemudian, jentera pengorek tanah didatangkan oleh jabatan pertanian
– Laiman mengupah anak-anak muda bekerja untuk menggerakkan projek itu
– Apabila air kolam yang baru dikorek itu jernih, Laiman melepaskan ikan ternakan yang telah dibekalkan kepadanya
– di sebelah tempat ikan itu, dia melepaskan udang harimau
– Laiman menumpukan perhatian terhadap ternakan ikan dan udang itu, manakala kebun tembikai diserahkan kepada bapanya untuk dijaga
– Pada masa yang sama, Soniah akan menyertai latihan sambil belajar, dihantar oleh pihak universiti
– Laiman mengetahui perkembangan Soniah sebagai pelajar universiti kerana mereka sering berhubung melalui surat

Bab 11: Galau

– Milan berasa susah hati kerana Kedek dan Muali membuat keputusan akan meninggalkan projek mereka – kedua-dua orang pemuda itu dihantar oleh Laiman menjalani latihan untuk menjadi tenaga kerja dalam melaksanakan projek Laiman dan Milan
– Kedek dan Muali mengatakan bahawa mereka akan memulakan projek lain, projek mereka sendiri
– Apabila hal itu dinyatakan oleh Milan kepada Laiman, Laiman tidak menunjukkan rasa kecewa
– Bagi Laiman, masalah sedemikian adalah masalah biasa – dia mendoakan semoga Kedek dan Muali akan berjaya
– Milan bersusah hati kerana baginya Kedek dan Muali tidak wajar berbuat begitu
– Laiman menasihati Milan agar tidak berdendam

Bab 12: Tabah

– Mail, abang Laiman balik dari bandar
– Apabila Laiman balik, Mail sedang tidur – agak lama kemudian, Mail terjaga dan mereka berbual-bual
– Pak Kiassim menyuruh Laiman dan Mail ke Kampung Bawang
– mereka akur
– Apabila ada kematian, terdapat adat berjaga tujuh hari – Laiman tidak keberatan dengan adat itu, tetapi dia tidak suka apabila orang bermain terup semasa berjaga itu
– Sebelum Mail pulang ke Kota Marudu, dia sempat bercakap
tentang beberapa perkara dengan Laiman
– Mail juga meninjau kolam ternakan ikan air tawar
– Pesanan penting daripada Mail ialah Laiman perlu bersungguh sungguh melakukan kerja – jangan mempedulikan cemuhan orang kampung

Bab 13: Lumayan

– Laiman membawa kuih ke Gerai Pitas – berniaga kuih kerana urusan penjagaan kolam ternakan ikan tidak banyak – lagipun urusan itu telah diserahkan kepada seorang pemuda kampung – Laiman berfikir tentang apa-apa sahaja yang dapat menghasilkan pendapatan – dia mencari pisang dan kelapa – membelinya – menjualnya kepada kawannya di Kota Kinabalu
– Milan dan Laiman saling mempercayai – akaun wang simpanan ‘syarikat’ ditunjukkan oleh Laiman kepada Milan, walupun Milan tidak meminta untuk melihatnya
– Laiman berjanji, apabila wang simpanan sudah cukup banyak, wang itu akan dibahagikannya sama rata
– Wang simpanan mereka menjangkau RM10,000.00
– Laiman bercadang hendak membeli lori

Bab 14: Sinar

– Laiman memikirkan kejayaan kaum lain, dan dia tidak terfikir untuk mengikut jalan mereka
– Laiman memilih untuk bercucuk tanam sebagai kerja sambilan
– dua tidak risau kerana kolam ikannya akan mengeluarkan hasil tidak lama lagi
– Laiman dan Milan memikirkan pembelian sebuah lori
– Laiman berterima kasih kepada Pak Sahok kerana menyokong usahanya
– Pak Sahok berasa agak malu kerana pada masa lepas dia tidak
menyokong projek Laiman
– Bagi Laiman, projek ternakan ikan air tawar bukanlah projeknya seorang – mujurlah dia menjadi peraih pisang, kelapa, dan produk-produk lain yang dapat mendatangkan hasil
– Laiman memberitahu Pak Sahok bahawa lori yang diidam-idamkannya akan tiba tidak lama lagi – Tidak lama kemudian, lori itu pun menjadi milik Laiman – Lori itu berharga RM13 000, tetapi Laiman membayar RM7000 dahulu – bakinya akan dibayar oleh Laiman secara ansuran tiap-tiap bulan
– Dengan adanya lori, Laiman mudah pergi ke kawasan-kawasan yang jauh di kampung itu untuk mendapatkan barang-barang.

Bab 15: Impian Terlaksana

– Laiman berjaya sebagai penternak ikan air tawar, pemilik kedai makan, dan pemborong kelapa
– Orang kampung memujinya dan pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian selalu mengunjungi projeknya
– Laiman menjadi contoh kepada anak-anak muda
– Dia memberikan tunjuk ajar kepada Kedek dan Muali yang meninggalkannya
– Laiman mendapat tahu bahawa Soniah, gadis Sarawak kawannya itu akan berpindah ke Kota Kinabalu kerana membantu menguruskan syarikat bapa saudaranya
– Laiman amat berharap agar Soniah datang kerana dia merindui gadis itu
– Ketika Laiman sedang bermenung membayangkan Soniah, Milan datang – membawa surat dari Jabatan Pertanian
– Laiman membuka surat itu – terperanjat dan gembira kerana surat itu menyatakan bahawa projek ikan air tawar yang diusahakannya akan dijadikan projek contoh di daerah itu
– ada kemungkinan projek itu akan dapat diperbesar dan menjadi projek terbesar di Sabah

Tema
Kesungguhan dan kegigihan seorang anak muda berkelulusan
universiti bercita-cita untuk menjadi usahawan muda.

Persoalan
(a) Kasih sayang dalam keluarga.
(b) Kepentingan pelajaran dalam kehidupan.
(c) Pengorbanan untuk keluarga.
(d) Sikap mengutamakan kerjaya sebelum bercinta.
(e) Kemiskinan dalam kalangan masyarakat.
(f) Kegigihan dalam melaksanakan pekerjaan.

Watak dan Perwatakan

Laiman
(a) Anak kepada Pak Kiassim.
(b) Mempunyai abang yang bernama Mail dan adik yang bernama Jariah.
(c) Cinta akan ilmu.
(d) Menjalani latihan praktikal di syarikat Shell di Sarawak.
(e) Bercita-cita tinggi.
(f) Mengusahakan projek penternakan akan air tawar dan penternakan lebah madu.
(g) Berkebun tembikai, berniaga kuih, pisang, dan kelapa.
(h) Tabah.
(i) Berprinsip.
(j) Taat akan perintah agama.
(k) Jujur.

Pak Kiassim
(a) Bapa kepada Laiman.
(b) Tidak bersetuju apabila Laiman mengatakan bahawa dia mahu memulakan projek ternakan ikan air tawar.
(c) Berbangga atas kejayaan Laiman.

Pak Sahok
(a) Memiliki tanah dekat dengan tanah paya.
(b) Bertani.
(c) Keras hati.

Milan
(a) Sepupu kepada Laiman.
(b) Baik hati.
(c) Rajin.
(d) Mempunyai semangat setia kawan yang tinggi. 

Soniah
(a) Kawan baik Laiman semasa di Sarawak.
(b) Seorang gadis berketurunan Melanau.
(c) Belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, sama seperti Laiman.
(d) Bersemangat kental.
Sukri
(a) Bekerja di sebuah syarikat minyak di Sarawak.
(b) Rapat dengan Laiman semasa Laiman membuat latihan praktikal di syarikat Shell di Sarawak.
(c) Tidak percaya bahawa Laiman membakar tangki minyak dan
dia membela Laiman.

Muluk
(a) Kuat cemburu.
(b) Busuk hati.

Plot

Binaan Plot

(a) Permulaan – Laiman pemuda yang rajin. Dia menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat minyak. Laiman melakukan tugas yang diberikan kepadanya dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, dia disenangi oleh pengurus dan kawan-kawan di tempat kerjanya itu. Sukri yang bertugas di situ mengajak Laiman makan bersama-sama.

(b) Perkembangan – Laiman berkawan rapat dengan Soniah yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama, iaitu kejuruteraan. Soniah menyebut nama Muluk dalam satu perbualan, tetapi kemudian tidak mahu meneruskan cerita tentang Muluk. Hal ini menimbulkan tanda tanya dalam fikiran Laiman tetapi dia terpaksa melupakan hal itu memandangkan Soniah benar-benar tidak mahu bercerita tentang Muluk.

(c) Perumitan/Konflik – Loji minyak terbakar. Loji itu baru dibaiki oleh Laiman. Namun begitu, mujurlah kebakaran itu berlaku semasa Laiman pergi ke Kuching. Orang yang melakukan sabotaj itu tidak tahu bahawa Laiman tiada di kawasan syarikat semasa kebakaran berlaku. Seterusnya, bapa Laiman memarahi Laiman kerana menolak pekerjaan yang ditawarkan. Pak Kiassim menentang hasrat Laiman membuat projek sendiri juga.

(d) Klimaks – Muluk ditangkap polis atas tuduhan membakar loji minyak. Dia berbuat demikian kerana cemburu apabila  melihat hubungan mesra antara Laiman dengan Soniah. Pak Sahok mengalah dan mengizinkan tanah paya di sebelah
tanahnya digunakan untuk projek ternakan ikan air tawar. Keizinan itu menyebabkan Laiman dan kawan-kawannya dapat bekerja keras. Akhirnya, projek ternakan ikan air tawar itu dianggap projek contoh.

(e) Peleraian – Laiman hidup senang kerana usahanya membuahkan hasil. Laiman memikirkan perancangan untuk memulakan hubungan bercorak baharu dengan Soniah.

Teknik Plot

(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan hubungan Laiman dengan Sukri yang sudah terjalin erat walaupun baru dua bulan lebih mereka berkawan.
(b) Teknik dialog. Contohnya, Laiman berbual dengan Milan
tentang cadangan Laiman yang mahu mengusahakan projek ternakan lebah madu dan dan ikan air tawar di tanah paya di sebelah tanah Pak Sahok.
(c) Teknik saspens. Contohnya, pembaca tertanya-tanya siapakah yang membakar loji minyak.
(d) Teknik kejutan. Contohnya, pembaca terkejut apabila Pak Sahok menyetujui kehendak Laiman untuk menggunakan tanah paya di sebelah tanahnya dengan mudah setelah Pak Kiassim memujuknya.

Latar

Latar Tempat
(a) Syarikat minyak di tepi 
pantai, Sarawak. .
(b) Bandar Kuching. 
(c) Bandar Miri. 
(d) Kota Marudu.

(e) Rumah Laiman.
(f) Rumah Milan
(g) Kebun tembikai.

Latar Masa
(a) Waktu siang.
(b) Waktu malam.
(c) Waktu lampau.
(h) Tanah paya.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang kuat bekerja.
(b) Masyarakat yang miskin dan sederhana.
(c) Masyarakat yang tegas pendirian.
(d) Masyarakat yang mampu berubah.
(e) Masyarakat yang kuat cemburu.
(f) Masyarakat yang taat akan perintah agama.

Unsur Gaya Bahasa
(a) Simile. Contohnya, Pagi esoknya minyak yang belum diproses tumpah bagaikan air hujan di tepi-tepi longkang; Laiman seperti berputus asa.
(b) Peribahasa. Contohnya, selurus-lurus ekor anjing, ada juga bengkoknya; nasi sudah menjadi bubur; mencontengkan arang ke muka.
(c) Personifikasi. Contohnya, Mata pengurus itu menikam lembut wajah Laiman dengan hati yang lega; Tangannya lancar berlari di atas tikar yang sudah separuh dianyamnya sejak sebulan lalu.
(d) Inversi. Contohnya, Sebentar lagi dia akan meneruskan kerjanya di luar pula; Di sana dia makan.

Nilai
(a) Kasih sayang. Contohnya, nenek Laiman sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk memastikan Laiman mendapat pendidikan tinggi.
(b) Ketabahan. Contohnya, Laiman tabah menghadapi segala dugaan untuk mencapai cita-citanya.
(c) Tanggungjawab. Contohnya, Sukri menyelia pekerjaan Laiman dengan penuh tanggungjawab semasa Laiman menjalani latihan praktikal di syarikat minyak.
(d) Baik hati. Contohnya, Laiman tidak menunjukkan sikap marah apabila Kedek dan Muali yang dilatihnya bertindak meninggalkan projek yang akan dibuat.
(e) Keinsafan. Contohnya, bapa Laiman, iaitu Pak Kiassim insaf setelah memahami pendirian Laiman. Pak Sahok juga insaf lalu bersetuju tanah paya di sebelah tanahnya digunakan
oleh Laiman untuk projek ternakan ikan air tawar. 

Pengajaran
(a) Kita hendaklah berusaha sungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan yang cemerlang. Contohnya, Laiman bekerja keras bagi memastikan projeknya berjaya.
(b) Kita hendaklah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Contohnya, Laiman menyiapkan kerja yang diarahkan oleh pengurus syarikat minyak dengan penuh tanggungjawab.
(c) Kita hendaklah menerima keputusan orang lain denganhati terbuka. Contohnya, keputusan Kedek dan Muali untuk meninggalkan projek diterima oleh Laiman dengan hati terbuka.
(d) Kita hendaklah bersikap jujur dengan rakan sekerja. Contohnya, Laiman menunjukkan akaun simpanan projeknya kepada Milan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...