Selasa, 17 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 4 - PANTAI KASIH (AZMAH NOORDIN) Edisi: Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan

Sinopsis

    Novel Pantai Kasih mengisahkan kemelut jiwa yang dihadapi oleh Raiha. Cerita bermula apabila Raiha berasa resah setelah meneliti sinar-X terbaharu milik Unong Siron. Doktor Uwang tidak berpuas hati dan merasakan seolah-olah Raiha mempertikaikan kewibawaannya sebagai seorang pakar bedah. Raiha mengeluh kerana Doktor Uwang telah lima kali menjalankan pembedahan sendi pinggul terhadap Unong Siron tetapi tidak berhasil dan mendatangkan kesakitan terhadap pesakit itu.

    Felicia Landosi, ketua jururawat di Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) teringat akan sumpah yang dibuatnya di hadapan Doktor Uwang dan ikrar yang pernah dilafazkan di hadapan Raiha. Doktor Uwang telah menawarkan gaji yang lumayan kepada Felicia Landosi sebagai umpan untuk menutup mulut Felicia tentang dosa dan kenangan pahit yang telah dilakukannya. Hati dan perasaan Felicia resah dan peristiwa hitam itu sering kali menghantui perasaannya sehingga dia merasakan tidak tenteram berada di PRPK. Felicia telah mengambil ubat batuk secara curi-curi di farmasi bagi mengurangkan gangguan halusinasi dan melupakan kenangan hitam yang dialaminya itu sehingga terlebih dos.

    Felicia memarahi Ariana Abdullah yang leka bergayut di talian kerana beranggapan bahawa Ariana kurang bertanggungjawab ketika menjalankan tugasnya di kaunter PRPK. Felicia berasa lega kerana diberikan shift bertugas pada sebelah malam di PRPK kerana dia tidak perlu bersusah payah merawat dan membantu pesakit kerana tugasnya pada sebelah malam hanyalah memastikan semua pesakitnya tidur dengan selesa.

    Doktor Uwang berjaya membangunkan PRPK daripada pusat rawatan kecil hingga menjadi sebuah pusat rawatan yang ternama dan mewah. Namun begitu, kewibawaannya sebagai peneraju PRPK masih belum mendapat pengiktirafan daripada bapanya sendiri, iaitu Datu Ontong. Doktor Uwang berasa terpukul apabila pembedahan yang dilakukannya terhadap Unong Siron dipertikaikan oleh Raiha.

    Ketika bertugas di PRPK pada suatu malam, Raiha mendengar suara aneh yang menyebut perkataan “lari”. Felicia menjalankan tugas rutinnya sebagai ketua jururawat di PRPK. Dia bertugas di wad super VIP. Felicia melayan pesakit yang bergelar Datin dengan penuh mesra dan bertanggungjawab. Ketika menikmati aiskrim, Felicia berasa loya setelah diberitahu oleh Kartini Borhan bahawa aiskrim itu milik Doktor Raiha. Felicia berasa rimas dan kurang senang apabila Kartini bercerita tentang pesakit Unong Siron, harapan ibu Unong Siron, dan kejayaan Doktor Raiha membuat pembedahan penggantian sendi pinggul. Felicia menuju ke farmasi untuk mengambil ubat batuk.

    Raiha tiba di kondominium mewahnya setelah penat menjalankan operasi penggantian sendi pinggul Unong Siron pada petang tadi. Ketika berada di dalam lif, Raiha terkenang akan sejarah asal usulnya. Dia dibesarkan oleh neneknya yang berketurunan Idaan, yang mempunyai susur galur keturunan Nunuk Ragang yang berasal dari daerah Tampias, Hulu Labuk, Ranau.

    Doktor Uwang teringat akan kisah dirinya yang mempunyai isteri yang jelita dan isteri-isteri tidak rasminya yang sentiasa hadir dalam hidupnya. Ketika Doktor Uwang sedang menonton televisyen di rumah bersama-sama dengan isteri jelitanya, dia seakan-akan melihat wajah anak Raiha di kaca televisyen. Tatkala Felicia memasuki ruang farmasi, dia merasakan bahawa dia tersilap langkah ke salah sebuah wad kelas biasa dan telah bersua muka dengan seorang pesakit lelaki yang telah mengadu tentang infeksi yang berlaku kepadanya.

    Doktor Uwang mengunjungi kelab malam eksklusif bagi menenangkan fikirannya daripada suara dan gambaran kanak-kanak perempuan mirip wajah anak Raiha. Walaupun malam kian lewat, Uwang melihat jumlah pengunjung ke kelab malam itu semakin bertambah.

    Felicia termangu dengan persoalan tentang khidmatnya di PRPK. Doktor Mohammad telah dipanggil bertugas on call pada malam itu kerana terdapat kes kelahiran pramatang
seorang bayi yang menghadapi kesukaran bernafas. Felicia ke bilik air untuk menyejukkan kulit mukanya yang terasa hangat tetapi dia merasakan seolah-olah dia berada di bilik kuliah yang sedang menyaksikan demonstrasi tentang jenis posisi pesakit. Ariana menyangkakan Felicia menangis sambil duduk di lantai bilik air yang basah kerana jatuh tergelincir. Felicia kehairanan bagaimana dia boleh duduk di lantai bilik air yang basah itu.

    Kenangan Doktor Uwang tentang kisah silam hilang tiba-tiba apabila isteri jelitanya muncul di ambang pintu. Isteri jelita Doktor Uwang memaklumkan panggilan telefon yang diterima daripada Raiha yang ingin berbincang dengannya tentang pesakit bernama Unong Siron.

    Raiha berada di dalam kondominiumnya. Raiha menerima panggilan telefon daripada Felicia yang memintanya datang segera ke PRPK berhubung dengan masalah pesakit bernama Unong Siron. Felicia merasakan dirinya terperangkap di dalam farmasi PRPK. Dia mengambil ubat batuk di ruang farmasi itu hingga menyebabkan dirinya khayal. Felicia menyangkakan Raiha yang datang mencarinya. Namun begitu, yang tersembul di celah pintu ruang farmasi itu ialah Doktor Mohammad. Felicia memohon bantuan Doktor Mohammad untuk memulihkan kembali segala masalah yang dihadapinya itu.

    Raiha memandu keretanya dari kondominiumnya ke PRPK. Setibanya di garaj PRPK, Raiha terbayang berbagai-bagai peristiwa yang berlaku sepanjang hari itu. Doktor Alex Ng kehairanan apabila melihat Raiha tiba-tiba muncul di PRPK pada malam itu. Doktor Raiha mengatakan bahawa dia menerima panggilan tentang pesakit bernama Unong Siron. Doktor Alex Ng menegaskan bahawa Raiha mungkin menerima panggilan palsu. 

    Raiha melawat wad hunian Unong Siron. Setibanya di luar pintu wad hunian Unong Siron, secara tiba-tiba gambaran Doktor Sadiz datang menjelma. Bagi Raiha, hidup dan ruang kerjayanya kini hanya di ruang sempit antara kondominium mewahnya dengan PRPK. Ibu Unong Siron begitu cemas dan menanyakan Raiha berkaitan dengan perkembangan pembedahan penggantian sendi pinggul anaknya petang tadi. Raiha meletakkan harapan yang tinggi dan berdoa agar pembedahan kali keenam itu berjaya. Raiha menyoroti tubuh Unong Siron yang terlantar lesu di atas katil pesakit itu. Raiha berbincang dengan Emma Yong, jururawat bertugas di wad hunian itu agar pembedahan yang dilakukan itu merupakan pembedahan yang terakhir untuk Unong Siron. Raiha masih tertanya-tanya sebab kelima-lima pembedahan terdahulu menemukan kegagalan sementelah pula dilakukan sendiri oleh Doktor Uwang.

    Kenangan lalu Raiha lenyap dengan kehadiran secara tiba-tiba Ariana yang meminta pertolongan Raiha. Menurut Ariana, Felicia telah ditahan oleh orang asing, penceroboh yang menyamar sebagai doktor sebelum ini di bilik bedah. Setibanya mereka di luar bilik bedah, mereka melihat pemuda yang berlagak sebagai doktor itu memegang pisau bedah yang meruncing tajam dan dihunuskan di atas dada Felicia. Ibu Unong Siron telah menawarkan bantuannya untuk memujuk pemuda kurang siuman itu kerana pemuda itu tinggal bersebelahan dengan kampungnya.

    Ibu Unong Siron telah memujuk pemuda kurang siuman itu supaya melepaskan Felicia dan mengikutnya untuk merawat Unong Siron yang sedang sakit. Selepas itu, pemuda kurang siuman itu dihantar ke hospital sakit jiwa untuk menerima rawatan lanjut. Raiha mendapatkan Felicia yang masih separuh khayal itu. Namun begitu, Felicia bertindak agresif dengan melarang Raiha menyentuhnya sambil tersedu-sedan menangis kepiluan.

    Sewaktu kereta mewah yang dipandu Doktor Uwang melewati pintu PRPK, Doktor Uwang tersentak nafas sekali lagi menyebabkan dia gagal mengawal kereta lalu melanggar tembok garaj. Doktor Uwang mengalami kecederaan parah dan terpaksa menjalani operasi penggantian sendi pada anggota tubuhnya yang rosak.

    Ketika Raiha melangkah ke garaj kereta PRPK menjelang dinihari, Felicia telah memanggil namanya. Dengan menangis tersedu-sedan, Felicia telah meminta maaf daripada Raiha kerana kesilapannya terjebak dalam kes kematian anak Raiha, Rohayu. Felicia menceritakan keadaan sebenar yang berlaku kepada Raiha. Felicia memohon maaf sekali lagi daripada Raiha dan mengatakan dia takut untuk tampil sebagai saksi di mahkamah. Raiha sedar bahawa dia dan Felicia merupakan dua orang insan yang sama-sama menjadi mangsa keadaan dan mangsa kerakusan diri sendiri. Raiha memaafkan kesalahan Felicia. Dia reda dan pasrah dengan kematian anak tunggalnya itu.

Inti Pati Bab

Bab 1

Doktor Raiha berasa resah setelah meneliti sinar-X terbaharu milik Unong Siron.
Pertanyaan Raiha kepada Doktor Uwang berkaitan dengan pembedahan penggantian sendi pinggul Unong Siron yang telah dijalankan sebanyak lima kali sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati Doktor Uwang kepadanya.
Doktor Uwang merasakan seolah-olah Raiha mempertikaikan kewibawaannya sebagai pakar bedah.
Unong Siron merupakan pesakit Doktor Uwang. Raiha tidak percaya bahawa Unong Siron terpaksa menjalani pembedahan penggantian sendi pinggul sebanyak lima kali di bawah pengawasan Doktor Uwang.
Raiha mengingati kembali saat Doktor Uwang menjadi tenaga pengajarnya dalam bidang anatomi ketika dia menuntut sebagai siswi tahun pertama di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.
Raiha bertemu sekali lagi dengan Doktor Uwang ketika dia memulakan clinical year di salah sebuah hospital kerajaan.
Dalam diam-diam, Raiha mengagumi kepakaran Doktor Uwang dalam bidang perubatan pembedahan dan jatuh cinta kepada Doktor Uwang walaupun dia tahu Doktor Uwang telah pun berumah tangga.
Doktor Uwang menamatkan perkhidmatan di hospital kerajaan dan membuka Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK). Raiha menolak pelawaan Doktor Uwang untuk sama-sama
membangunkan PRPK. 
Raiha menerima lamaran Doktor Sadiz, seorang Pakar Perunding Pembedahan yang merupakan seorang duda beranak dua yang usianya lebih tua daripada usia bapa Raiha. Bapa Raiha tidak merestui hubungan Raiha dengan Doktor Sadiz.
Raiha menerima tawaran bertugas sebagai Doktor Pakar Pembedahan di PRPK setelah berlakunya suatu peristiwa peribadi yang amat hitam antara dia dengan Doktor Sadiz.
Raiha teringat akan arwah ibunya yang hanya dikenali berdasarkan gambar kerana ibunya meninggal dunia sejurus melahirkannya.
Bapa Raiha tidak menyetujui niat dan pilihan Raiha memilih kerjaya sebagai pakar bedah kerana masa banyak dihabiskan di hospital berbanding dengan rumah tangga. Bapa Raiha meluahkan perasaan kesalnya terhadap arwah ibu Raiha yang dikatakan degil kerana mahu terus berkhidmat sebagai jururawat sehingga masa untuk keluarga amat terbatas.
Raiha teringat akan peristiwa malang yang mengakibatkan kematian anak kesayangannya itu.
Raiha mengeluh kerana Doktor Uwang telah lima kali menjalankan pembedahan sendi pinggul terhadap Unong Siron tetapi tidak berhasil dan mendatangkan kesakitan kepada pesakit. Unong Siron merupakan pesakit lepasan sarjana yang dijangkakan melanjutkan pengajian ke luar negara.
Felicia Landosi, jururawat di PRPK teringat akan ikrar yang
pernah dilafazkannya di hadapan Raiha dan sumpah yang
dibuatnya di hadapan Doktor Uwang.
Doktor Uwang telah menawarkan gaji yang lumayan kepada Felicia Landosi sebagai umpan untuknya menutup mulut terhadap dosa dan kenangan pahit yang telah dilakukannya.
Felicia teringat akan kisah sewaktu Doktor Razak sewaktu mula-mula berkhidmat di PRPK itu telah cuba menawan hatinya tetapi dia menolak atas dasar prinsip. Akhirnya, Doktor Razak telah menjalin hubungan cinta dengan jururawat yang lain.
Felicia teringat akan peristiwa pahit berkaitan dengan kematian ngeri seorang kanak-kanak perempuan yang hangus dijilat api dan hasrat Doktor Raiha untuk menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu telah dihalang oleh orang ramai.
Hati dan perasaan Felicia resah dan peristiwa hitam itu sering kali menghantui perasaannya sehingga dia merasakan tidak tenteram berada di PRPK.
Felicia telah mengambil ubat batuk secara curi-curi di farmasi bagi mengurangkan gangguan halusinasi dan melupakan kenangan hitam yang dialaminya itu sehingga terlebih dos.
Felicia memarahi Ariana Abdullah yang leka bergayut di talian kerana beranggapan bahawa Ariana kurang bertanggungjawab ketika menjalankan tugasnya di kaunter PRPK.
Felicia berasa lega kerana diberikan shift bertugas pada sebelah malam di PRPK kerana dia tidak perlu bersusah payah merawat dan membantu pesakit kerana tugasnya pada sebelah malam adalah memastikan semua pesakitnya tidur dengan selesa.
Felicia teringat akan peristiwa dia bertegang urat dengan Doktor Raiha akibat perasaan tidak puas hati Doktor Raiha berkenaan layanannya terhadap ibu Unong Siron.
Felicia teringat akan peristiwa PRPK dicerobohi oleh pemuda
yang menyamar sebagai doktor.
Felicia bermonolog tentang sebab-sebab minatnya
tertumpah dalam bidang kejururawatan itu.

Bab 2

Doktor Uwang memerhatikan seorang kanak-kanak perempuan yang berkeliaran bebas dan menjelma di bawah cahaya lampu jalanan di halaman banglonya.
Doktor Uwang teringat akan anak remaja tunggalnya yang kekok dan terasing apabila berada di rumah disebabkan anak tunggalnya itu telah dihantar ke sekolah swasta berasrama penuh sejak usianya tujuh tahun lagi.
Doktor Uwang berasa cemas apabila terpandang kelibat seorang kanak-kanak perempuan yang masih berada di halaman banglonya.
Doktor Uwang berjaya membangunkan PRPK daripada pusat rawatan kecil hingga menjadi sebuah pusat rawatan yang ternama dan mewah, namun kewibawaannya meneraju PRPK masih belum mendapat pengiktirafan daripada bapanya sendiri, iaitu Datu Ontong.
Doktor Uwang berasa terpukul apabila pembedahan yang dilakukan terhadap Unong Siron dipertikaikan oleh Raiha.
Doktor Uwang melihat seolah-olah seorang kanak-kanak perempuan sedang memeluk isterinya, menyeringai aneh dan menjuihkan bibir kepadanya.
Ketika bertugas di PRPK pada suatu malam, Raiha mendengar suara aneh yang menyebut perkataan “lari”.
Raiha teringat kembali peristiwa yang berlaku di bilik pembedahan sewaktu operasi pembedahan sendi pinggul sedang dijalankan terhadap Unong Siron.
Raiha cepat melenting terhadap sikap sambalewa Felicia ketika operasi pembedahan itu sedang berjalan.
Raiha teringat kembali peristiwa kacau-bilau berkaitan dengan pencerobohan seorang pemuda yang menyamar diri sebagai doktor di PRPK itu.
Raiha juga teringat kembali akan perubahan fizikal Felicia apabila wajahnya pucat dan matanya yang sedikit kemerahan sejak akhir-akhir ini.
Raiha kesal kerana pemuda yang menceroboh PRPK dan menyamar sebagai doktor itu berjaya menghilangkan diri tanpa berjaya ditangkap oleh pengawal.
Raiha menganggap Doktor Uwang, Doktor Sadiz, dan pemuda yang menyamar sebagai doktor itu mempunyai sikap yang sama.
Raiha mengimbas kembali kenangan hitam yang meragut nyawa anak kesayangannya yang terkorban akibat kebakaran kereta mewah Doktor Sadiz.

Bab 3

Felicia menjalankan tugas rutinnya sebagai ketua jururawat di Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK). Dia bertugas di wad super VIP.
Felicia melayan pesakit yang bergelar Datin dengan penuh mesra dan bertanggungjawab.
Felicia mengingat semula rentetan rawatan yang dilalui oleh pesakit wanita itu yang mengalami masalah keguguran anak sulung sehingga terpaksa menjalani rawatan D&C. 
Felicia menikmati aiskrim milik Doktor Raiha yang tersimpan di dalam peti ais di dapur PRPK setelah selesai merawat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada Datin di wad super VIP.
Felicia berasa loya setelah diberitahu oleh Kartini Borhan bahawa aiskrim yang dinikmatinya itu milik Doktor Raiha.
Kartini mengagak Felicia termenung kerana mengenangkan kejadian pemuda yang menceroboh masuk PRPK sebelum ini.
Felicia berasa rimas dan kurang senang apabila Kartini bercerita tentang pesakit Unong Siron, harapan ibu Unong Siron, dan kejayaan Doktor Raiha membuat pembedahan penggantian sendi pinggul.
Felicia menuju ke farmasi untuk mengambil ubat batuk.

Bab 4

Raiha tiba di kondominium mewahnya setelah penat menjalankan operasi penggantian sendi pinggul Unong Siron pada petang tadi.
Raiha mengeluh resah mengenangkan nasib Unong Siron, pesakit yang baru selesai menjalani operasi penggantian sendi pinggul pada petang tadi.
Raiha mengingat semula waktu dia meneliti salinan sinar-X untuk mengkaji sebab-sebab Unong Siron terpaksa menjalani pembedahan sebanyak enam kali dan kesilapan
yang dilakukan oleh Doktor Uwang hingga menyebabkan berlakunya infleksi kepada pesakit.
Tiba-tiba, Raiha teringat kembali kisah pahit hidupnya bersama-sama dengan bekas suaminya, Doktor Sadiz. Doktor Sadiz pernah mencabarnya agar dia memohon cerai secara rasmi ketika perbalahan mereka memuncak.
Ketika berada di dalam lif, Raiha terkenang akan sejarah asal-sulnya. Dia dibesarkan oleh neneknya yang berketurunan Idaan, yang mempunyai susur galur keturunan Nunuk Ragang
yang berasal dari daerah Tampias, Hulu Labuk, Ranau.
Ketika lif berhenti dan pintu lif terbuka, Raiha dikejutkan dengan kehadiran Doktor Sadiz yang melangkah masuk ke dalam lif tersebut. Raiha terkejut kerana suaminya, Doktor Sadiz yang telah meninggal dunia tiba-tiba muncul di muka lif tersebut.
Berlaku pertengkaran mulut antara Raiha dengan Doktor Sadiz apabila bekas suaminya itu menuduh Raiha mempunyai hubungan sulit dengan Doktor Uwang.
Doktor Sadiz bertindak ganas dengan cuba mencederakan Raiha sambil memaksa Raiha menggugurkan janin yang dikandungnya kerana dia tidak sesekali menerima kelahiran bayi itu dan baginya, janin itu akan membentuk seorang manusia yang tidak normal berdasarkan gambaran ultrasound yang telah dilakukan.
Raiha tetap dengan pendiriannya untuk mengekalkan janin dalam kandungannya kerana janin itu ialah anak daripada hubungan perkahwinan yang halal dan janin itu tidak berdosa apa-apa.
Raiha teringat akan janin yang membesar dalam kandungannya itu telah berjaya dilahirkan sebagai bayi perempuan yang dinamakan Rohayu binti Sadiz.
Doktor Uwang teringat kisah dirinya yang mempunyai isteri yang jelita dan isteri-isteri tidak rasminya yang sentiasa hadir dalam hidupnya.
Doktor Uwang teringat kembali sikap Raiha yang mempersoalkan perkembangan Unong Siron.
Doktor Uwang teringat kembali betapa dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembangkan Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) yang bermula dengan sebesar kandang penyembelihan kambing.
Kecekapan pengurusan dan pentadbiran yang dijalankan oleh Doktor Uwang telah membuahkan kejayaan dan perkembangan positif pusat rawatan itu.
Ketika Doktor Uwang sedang menonton televisyen di rumah bersama-sama dengan isteri jelitanya, dia seakan-akan melihat wajah anak Raiha di kaca televisyen itu.
Tatkala Felicia memasuki ruang farmasi, dia merasakan bahawa dia telah tersilap langkah ke salah sebuah wad kelas biasa dan telah bersua muka dengan seorang pesakit lelaki yang telah mengadu tentang infeksi yang berlaku terhadap dirinya.
Pesakit lelaki itu mengamuk dan meminta Felicia mendapatkan Doktor Raiha dengan segera.
Felicia memujuk dengan lembut pesakit lelaki itu dengan mengatakan bahawa Doktor Raiha sudah pun pulang ke rumahnya kerana hari telah lewat malam. Pesakit lelaki itu tetap berkeras meminta Felicia mendapatkan Doktor Raiha untuknya.
Felicia naik angin dan mengamuk apabila layanan lembutnya itu tidak dilayan oleh pesakit lelaki itu. Pesakit lelaki itu kemudiannya mengamuk hingga menyebabkan
Felicia jatuh terjelepok di lantai.
Apabila Felicia mengangkat mukanya kembali, rupa-rupanya peristiwa yang berlaku tadi hanyalah khayalan semata-mata dan dia sebenarnya berada di stor PRPK.

Bab 5

Uwang mengunjungi kelab malam eksklusif bagi menenangkan fikirannya daripada terdengar suara dan gambaran kanak-kanak perempuan mirip wajah anak Raiha.
Terngiang-ngiang kembali di ingatannya tentang cerita isteri jelitanya berkaitan dengan apa-apa yang palsu, murah, dan tidak bermutu yang dirungutkan oleh bapanya, Datu Ontong.
Tiba-tiba Uwang teringat akan Raiha yang telah menjalankan operasi pembedahan penggantian sendi pinggul Unong Siron yang keenam pada petang tadi.
Walaupun malam kian lewat, Uwang melihat jumlah pengunjung ke kelab malam itu semakin bertambah.
Uwang terkenang akan kenangannya bersama-sama dengan isteri-isteri tidak rasminya yang sudah lama tidak dikunjunginya.
Uwang terbayang akan wajah Unong Siron, wajah Raiha, dan teringat akan kata-kata isteri jelitanya berkaitan dengan gambaran palsu yang wujud kini.
Felicia termangu dengan persoalan tentang khidmatnya di pusat rawatan itu.
Doktor Mohammad telah dipanggil bertugas on call pada malam itu disebabkan terdapat kes kelahiran pramatang dan bayi itu menghadapi masalah kesukaran bernafas.
Kedengaran beberapa orang lelaki dan wanita, kaum kerabat kepada pesakit seakan-akan mendengar rugutan Doktor Mohammad berkaitan dengan panggilan palsu.
Doktor Mohammad mengusik Felicia di hadapan Ariana.
Doktor Mohammad mengambil keputusan untuk tidur dan berehat di bilik rehat PRPK kerana dia malas untuk pulang ke rumahnya.
Felicia teringat akan peristiwa seorang pemuda yang
menceroboh dan menyamar sebagai doktor di PRPK
tempoh hari.
Felicia juga teringat kembali kejadian kereta Porsche milik Doktor Sadiz yang terbakar hingga hangus rentung di tepi sebuah rumah tumpangan sehingga turut mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan, anak Doktor Raiha.
Felicia ke bilik air untuk menyejukkan kulit mukanya yang terasa hangat tetapi dia merasakan seolah-olah dia berada di bilik kuliah yang sedang menyaksikan demonstrasi
tentang pelbagai jenis posisi pesakit. 
Felicia mendapati wajah penceramahnya menyerupai Doktor Uwang manakala salah seorang jururawat pelatih menyerupai wajah Unong Siron.
Ariana menyangkakan Felicia menangis sambil duduk di lantai bilik air yang basah kerana jatuh akibat tergelincir.
Felicia kehairanan bagaimana dia boleh duduk di lantai bilik air yang basah itu.

Bab 6

Uwang teringat akan kereta Porsche Doktor Sadiz yang terbakar hingga rentung itu.
Uwang teringat kembali tentang Raiha yang menidakkan kereta mewah milik suaminya itu terbakar sendiri sambil meratap kesedihan di luar bangunan sebuah mahkamah syariah.
Dengan tegas, Raiha menuduh Doktor Sadiz yang telah membakar keretanya sendiri.
Uwang terbayangkan kisah dia memandu kereta Volvo 960 warna biru tua miliknya ke pekarangan banglo kondominium Doktor Sadiz.
Ketika itu, Raiha masih bertugas di Hospital Kinabalu bersama Doktor Sadiz.
Uwang pula ketika itu baru sahaja mengambil alih PRPK daripada bapanya.
Datu Ontong meminta Uwang menghantar Pak Usunya, iaitu Doktor Sadiz pulang ke rumah kerana Pak Usunya tidak membawa kereta. Begitu jugalah dengan Felicia yang kebetulan tinggal berhampiran dengan kediaman Doktor Sadiz.
Setibanya di kondominiumnya, Doktor Sadiz mendapati Raiha telah melarikan diri bersama-sama dengan anaknya, Ayu dan kereta Porsche milik Doktor Sadiz.
Secara jujur, Uwang menyatakan keikhlasannya untuk membantu Pak Usunya mencari Raiha dan anaknya, Ayu.
Felicia berasa tidak selesa melihat keadaan tersebut dan memohon untuk pulang sendiri.
Uwang tidak mengizinkan Felicia keluar dari keretanya kerana dia telah berjanji untuk menghantar Felicia pulang dalam keadaan selamat.
Uwang memuji Felicia kerana paling berdedikasi ketika menjalankan tugas di PRPK.
Dia bercadang untuk menaikkan pangkat Felicia dan memberikannya gaji yang setimpal dengan pangkat yang diperolehnya nanti.
Kenangan Uwang tentang kisah itu hilang tiba-tiba apabila isteri jelitanya muncul di ambang pintu.
Isteri jelita Uwang memaklumkan panggilan telefon yang diterimanya daripada Raiha yang ingin berbincang dengan Uwang tentang pesakit bernama Unong Siron.
Uwang dapat melihat secara tiba-tiba seorang kanak-kanak perempuan telah muncul berhampiran dengan kereta mewahnya dan menjerit-jerit apabila tubuh comelnya itu
dijilat api.
Raiha berada di dalam kondominiumnya. Dia mengingati kata-kata suaminya yang tidak akan melepaskannya sampai dia mati.
Raiha teringat akan kisah rumah tangganya bersama-sama dengan Doktor Sadiz.
Raiha juga terimbas kembali perbualannya dengan Doktor Uwang berkaitan dengan operasi pembedahan penggantian sendi pinggul yang telah dijalankan terhadap Unong Siron petang tadi.
Raiha teringat akan layanan kasar Felicia terhadap ibu tua Unong Siron tempoh hari.
Raiha juga teringat tentang beberapa aduan dan rungutan yang diterima daripada ahli keluarga para pesakit Doktor Uwang
Raiha terbayang kembali peristiwa Felicia datang ke pejabatnya di PRPK bagi membincangkan tindakan Felicia yang melayan ibu Unong Siron dengan kasar.
Ibu Unong Siron menyalahkan Felicia kerana memberikan idea untuk mendapatkan rawatan di PRPK menggunakan wang insurans kemalangan.
Ibu Unong Siron menganggap Felicia bersubahat menipunya apabila Unong Siron mengalami infeksi selepas berlaku rejeksi secara berulang kali akibat pembedahan.
Raiha menasihati Felicia agar tidak memanggil ibu Unong Siron dengan gelaran “sapi tua” dan melayan ibu Unong Siron dengan kasar kerana perbuatan itu menyalahi etika seorang jururawat.
Felicia berasa tidak puas hati kerana menerima nasihat sebegitu daripada Raiha. Dia keluar dari bilik pejabat Raiha dengan dituruti dentuman pintu yang kuat.
Raiha menerima panggilan telefon daripada Felicia yang memintanya segera datang ke PRPK berhubung dengan masalah pesakit Unong Siron.
Raiha teringat akan kata-kata arwah bapanya yang membantah keputusannya untuk memilih pakar bedah sebagai kerjaya.

Bab 7

Felicia merasakan dirinya terperangkap di dalam farmasi PRPK.
Dia teringat kembali kata-kata dan ceramah yang disampaikan oleh Raiha hingga menyebabkan dia berasa tidak puas hati.
Felicia meneguk ubat batuk di ruang farmasi itu hingga menyebabkan dirinya khayal.
Tiba-tiba Felicia teringat pada ikrar dan sumpah yang dilafazkannya di hadapan Doktor Uwang berhubung dengan rahsia yang perlu disimpan baik-baik oleh mereka.
Dia meneguk kembali ubat batuk bagi mengurangkan kekusutan fikirannya.
Dia terkenang kembali sejarah hidupnya yang bermula pada zaman kanak-kanak.
Dia hampir tergelak apabila mengenangkan perbuatan ibunya yang melahirkan seorang anak luar nikah, iaitu dirinya.
Felicia turut mengimbas kembali cara ibunya membesarkannya dengan kaedah disiplin yang amat ketat.
Kerusuhan yang sering berlaku antara dia dengan ibunya menyebabkan Felicia mengambil ubat batuk sebagai jalan pintas bagi melupakan masalahnya itu.
Felicia juga teringat semula peristiwa kebakaran kereta Porsche Doktor Sadiz.
Lamunannya mati apabila pintu farmasi diketuk. Felicia menyangkakan Raiha yang datang mencarinya. Namun begitu, yang tersembul di celah pintu ruang farmasi itu ialah Doktor Mohammad.
Felicia memohon bantuan Doktor Mohammad untuk memulihkan kembali segala masalah yang dihadapinya itu.
Raiha memandu keretanya ke PRPK. Setibanya di garaj PRPK, Raiha terbayang berbagai-bagai peristiwa yang berlaku sepanjang hari itu.
Doktor Alex Ng kehairanan apabila melihat Raiha tiba-tiba muncul di PRPK malam itu.
Raiha mengatakan bahawa dia menerima panggilan tentang pesakit Unong Siron.
Doktor Alex Ng menegaskan Raiha mungkin menerima panggilan palsu.
Raiha melawat wad hunian Unong Siron. Setibanya di luar pintu wad hunian Unong Siron, secara tiba-tiba gambaran Doktor Sadiz datang menjelma.

Bab 8

Raiha terbayang akan surat, kad jemputan, dan panggilan telefon yang kini semakin berkurang dan akhirnya langsung terhenti.
Bagi Raiha, hidup dan ruang kerjayanya kini hanya di ruang sempit antara kondominium mewahnya dengan Pusat Rawatan Pantai Kasih.
Ibu Unong Siron begitu cemas dan menanyakan Raiha tentang perkembangan pembedahan penggantian sendi pinggul anaknya petang tadi.
Raiha meletakkan harapan yang tinggi dan berdoa agar pembedahan kali keenam itu berjaya.
Raiha menyoroti tubuh Unong Siron yang terlantar lesu di atas katil pesakit itu.
Raiha terbayang akan peristiwa orang ramai menziarahi jenazah anaknya sebelum jenazah itu disemadikan.
Raiha juga teringat akan peristiwa persediaan yang dilakukan oleh sekumpulan orang bagi majlis pengebumian jenazah anaknya.
Raiha juga teringat akan reaksinya sewaktu memberikan kucupan terakhir di dahi anak tunggal kesayangannya itu.
Raiha berbincang dengan Emma Yong, jururawat bertugas di wad hunian agar pembedahan yang dilakukan itu merupakan pembedahan yang terakhir untuk Unong Siron.
Raiha masih tertanya-tanya sebab kelima-lima pembedahan terdahulu menemukan kegagalan sementelah pula dilakukan sendiri oleh Doktor Uwang.
Raiha teringat semula perbualannya bersama-sama dengan suaminya, Doktor Sadiz berhubung tuduhan suaminya yang mengatakan bahawa Raiha telah memalukannya apabila gagal merawat anaknya sendiri yang mengalami masalah kecacatan otak.
Doktor Sadiz mencadangkan agar Rohayu dihantar ke pusat rawatan khas bagi kanak-kanak yang menghidap sindrom Down.
Kenangan lalu Raiha lenyap dengan kehadiran Ariana secara tiba-tiba yang meminta pertolongan Raiha.
Menurut Ariana, Felicia telah ditahan oleh orang asing, penceroboh yang menyamar sebagai doktor sebelum ini di bilik bedah.
Setibanya mereka di luar bilik bedah, mereka melihat pemuda yang berlagak sebagai doktor itu memegang pisau bedah yang meruncing tajam dan dihunuskan di atas dada Felicia.
Salah seorang pengawal keselamatan mencadangkan agar mereka merempuh pintu bilik bedah bagi menyelamatkan Felicia.
Raiha tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana tindakan itu boleh membahayakan nyawa Felicia.
Raiha meminta Ariana menghubungi pihak polis.
Ibu Unong Siron telah menawarkan bantuannya untuk memujuk pemuda kurang siuman itu kerana pemuda itu tinggal bersebelahan dengan kampungnya.
Ibu Unong Siron telah memujuk pemuda kurang siuman itu supaya melepaskan Felicia dan mengikutnya pulang bagi merawat anaknya, Unong Siron yang sedang sakit.
Akhirnya, pemuda kurang siuman itu berjaya dipujuk dan diberikan segelas susu yang sudah dicampur dengan sedikit ubat penenang.
Selepas itu, pemuda kurang siuman itu dihantar ke hospital sakit jiwa untuk menerima rawatan lanjut.
Raiha mendapatkan Felicia yang masih separuh khayal itu. Namun demikian, Felicia bertindak agresif dengan melarang Raiha menyentuhnya sambil tersedu-sedan menangis kepiluan.

Bab 9

Uwang memandu kereta mewahnya memasuki PRPK yang terletak di lereng bukit.
Uwang secara tiba-tiba tersentak nafas dan mengerut kening apabila dia terhidu bau iodin, bau formalin, dan bau bangkai atau mayat di dalam keretanya itu yang semakin lama semakin menyesakkan rongga pernafasannya.
Uwang mengeluh singkat mengenangkan masalah penting yang berlaku di pusat rawatan pada malam itu sehingga Doktor Mohammad dan Doktor Alex Ng yang bertugas secara on call tidak berupaya mengendalikan kes tersebut.
Ketika memandu keretanya, pemanduannya diasak oleh seorang demi seorang yang berterbangan liar di hadapan keretanya hingga gambaran wajah mereka berkecai dirempuh oleh kereta mewahnya itu.
Uwang terkenang kembali peristiwa hitam yang berlaku selepas mereka menghadiri majlis bersempena dengan menyambut ketibaan tahun baharu, beberapa tahun dahulu.
Uwang teringat akan perbualannya dengan ibu Unong Siron yang begitu hangat berkaitan dengan bayaran yang perlu dibayar setiap kali dia melakukan operasi penggantian sendi tulang.
Ibu Unong Siron mengatakan bahawa Doktor Uwang merupakan doktor yang mata duitan dan bukannya doktor yang bertugas sebagai pengabdi kemanusiaan disebabkan kegagalannya menyempurnakan pembedahan penggantian sendi pinggul anaknya.
Uwang meluahkan keinginan sebenarnya, iaitu dia lebih meminati bidang muzik berbanding dengan bidang kedoktoran. Namun, demi menjaga hati dan membuktikan kepada bapanya, dituruti juga kehendak orang tuanya.
Sewaktu kereta mewah yang dipandu Uwang melewati pintu PRPK, Uwang tersentak nafas sekali lagi menyebabkan dia gagal mengawal kereta lalu melanggar tembok garaj.
Raiha terdengar bunyi letusan suara yang bergemerincing sewaktu sedang melangkah ke ambang pintu untuk pulang ke kondominium mewahnya.
Raiha membayangkan peristiwa Doktor Sadiz melangkah keluar dari ruang mahkamah keluarga dengan senyuman sinis kerana telah menang dalam kes perbicaraan kematian anak tunggalnya.
Raiha dapat melihat dari jarak yang agak jauh, kereta baharu Doktor Sadiz telah terperosok di bawah lori tangki minyak yang terhenti secara mendadak di lampu trafik dan akhirnya menyebabkan kereta itu terbakar dan pemilik keretanya hangus rentung dijilat api.
Raiha tersendu kepiluan apabila terbayangkan kereta Porsche milik Doktor Sadiz juga telah terbakar rentung di tepi sebuah rumah tumpangan yang turut menyambar anak tunggal mereka yang dibawa lari oleh Raiha, iaitu sehari sebelum sempat Doktor Sadiz menghantar anaknya itu ke Pusat Rawatan Khas bagi kanak-kanak yang mengalami sindrom Down.
Doktor Uwang mengalami kecederaan parah akibat terbabas
lalu melanggar tembok garaj PRPK.
Uwang dapat melihat dirinya telah diusung oleh pesakit-pesakit yang pernah menjalani pembedahan di pusat
rawatan itu.
Uwang juga mengalami peristiwa para pesakit yang mengaku diri mereka sebagai pegawai-pegawai di pusat perubatan itu membelek-belek dan menyentuh tubuhnya sambil cuba meneka penyakit yang menimpa Uwang.
Raiha memerhatikan beberapa orang pembantu PRPK mengeluarkan tubuh Uwang yang tersepit di dalam keretanya dan diangkat ke atas stretcher lalu disorong ke bilik rawatan kecemasan.
Ariana dan jururawat yang bertugas pada malam itu kehairanan apabila mendapat tahu Doktor Uwang datang ke PRPK pada tengah malam itu kerana Doktor Uwang tidak pun dipanggil untuk menangani sebarang masalah di pusat rawatan itu.
Uwang telah menjalani pembedahan penggantian sendi pada anggota tubuhnya yang rosak.
Ketika Raiha melangkah ke garaj kereta PRPK menjelang dinihari, Felicia telah memanggil namanya.
Dengan menangis tersedu-sedan, Felicia telah meminta maaf daripada Raiha atas kesilapannya terjebak dalam kes kematian anak Raiha, Rohayu.
Felicia menceritakan keadaan sebenar yang berlaku kepada Raiha.
Raiha mempersoalkan tindakan Felicia yang tidak berani tampil sebagai saksi sewaktu perbicaraan kes mereka di mahkamah suatu masa dahulu.
Felicia memohon maaf sekali lagi daripada Raiha dan mengatakan dia takut untuk berbuat demikian.
Raiha sedar bahawa dia dan Felicia merupakan dua orang insan yang sama-sama menjadi mangsa keadaan dan mangsa kerakusan diri sendiri.
Raiha memaafkan kesalahan Felicia. Dia melangkah ke keretanya dengan langkah yang pasti. Air hujan membasahi bumi mengakhiri musim kemarau yang panjang.

Tema
Ketabahan seorang wanita dalam menghadapi cabaran dan tekanan hidup dalam usahanya melupakan peristiwa hitam yang sering menghantui fikirannya. 

Persoalan
(a) Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anak kandungnya.
(b) Persoalan dendam kesumat yang merosakkan kehidupan masyarakat.
(c) Persoalan kenangan pahit yang mengubah personaliti seseorang.
(d) Persoalan bapa kandung yang kejam dan tidak bertanggungjawab.
(e) Persoalan amanah ketika menjalankan tanggungjawab.
(f) Persoalan ketegasan ketika membuat satu-satu keputusan.
(g) Persoalan kepentingan ilmu dalam kehidupan.
(h) Persoalan keinsafan daripada kesalahan masa lalu.

Watak dan Perwatakan

(a) Watak utama Raiha/Doktor Raiha
(b) Watak sampingan – Doktor Sadiz, Doktor Uwang, Felicia Landosi, Ariana Abdullah, bapa Raiha, Unong Siron, Datu Ontong, Rohayu/Ayu, ibu Unong Siron, Kartini Borhan, Lisa Chung, Doktor Mohammad, Doktor Alex Ng, dan sebagainya.

Raiha/Doktor Raiha
(a) Bapanya seorang doktor bedah manakala ibunya bertugas sebagai jururawat.
(b) Ibunya meninggal dunia sewaktu melahirkannya.
(c) Raiha berusia dalam pertengahan tiga puluhan.
(d) Raiha berambut ikal separas bahu, berkulit cerah, dan memiliki tubuh yang semampai tinggi.
(e) Raiha dibesarkan oleh neneknya yang berketurunan Idaan yang berasal dari Nunuk Ragang, Hulu Labuk, Ranau, Sabah.
(f) Dia berkahwin dengan Doktor Sadiz, lelaki berstatus duda beranak dua. 
(g) Dia bertugas sebagai seorang doktor perubatan di Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK).
(h) Ibu kepada Rohayu, seorang kanak-kanak perempuan yang menghidap sindrom Down.
(i) Raiha mengalami tekanan emosi apabila dia sering dihantui gambaran kisah menyayat hati yang telah meragut nyawa anak perempuan tunggalnya.
(j) Raiha amat menyayangi anak tunggalnya, Rohayu walaupun anaknya itu menghidap sindrom Down.
(k) Raiha menjalankan tugasnya sebagai seorang doktor dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Doktor Sadiz
(a) Seorang pakar perunding pembedahan terkemuka di Hospital Kinabalu.
(b) Doktor Sadiz berstatus duda beranak dua sewaktu mengahwini Raiha.
(c) Dia berusia lebih lanjut berbanding dengan bapa Raiha dan dipanggil Pak Usu oleh anak saudaranya.
(d) Doktor Sadiz meninggal dunia akibat terbakar di dalam kereta yang dipandunya yang melanggar belakang lori minyak petrol yang terhenti secara tiba-tiba.
(e) Bapa kandung kepada Rohayu.
(f) Adik bongsu Datu Ontong dan merupakan bapa saudara Doktor Uwang.
(g) Doktor Sadiz bersikap angkuh apabila tidak menerima kelahiran bayinya yang cacat disebabkan statusnya sebagai seorang pakar perunding pembedahan yang terkenal.
(h) Doktor Sadiz telah bersikap kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila memaksa Raiha menggugurkan kandungannya setelah mendapat tahu janin dalam kandungan isterinya itu tidak normal.
(i) Doktor Sadiz mempunyai cita rasa dan keinginan yang mewah apabila memakai kereta mewah berjenama Porsche. Setelah kereta pertama itu terbakar, dia telah memakai kereta BMW.

Doktor Uwang/Uwang
(a) Pemilik Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) dan seorang pakar pembedahan.
(b) Pernah bertugas di Hospital Kinabalu sebelum mengambil keputusan berhenti kerja dan membuka pusat rawatan sendiri.
(c) Pernah bertugas sebagai guru demostrator dalam bidang anatomi dan mengajar Raiha dalam bidang pembedahan di sebuah institusi tinggi tempatan.
(d) Memiliki rupa paras yang kacak dan segak serta bertubuh sederhana.
(e) Berusia dalam pertengahan empat puluhan.
(f) Anak Datu Ontong dan merupakan anak saudara kepada Doktor Sadiz.
(g) Mengalami kecederaan parah hingga menyebabkan kakinya lumpuh akibat terlibat kecuaiannya merempuh tembok garaj PRPK.
(h) Mempunyai wawasan yang tinggi.

Felicia Landosi
(a) Seorang ketua jururawat dengan gelaran Sister di Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK).
(b) Merupakan seorang anak yang lahir daripada hubungan yang tidak sah ibunya dengan kekasihnya.
(c) Mengalami masalah ketagihan ubat batuk yang diperoleh secara percuma di farmasi PRPK akibat berbagai-bagai tekanan hidup yang dialaminya.
(d) Bersikap acuh tidak acuh dalam melaksanakan tugas.
(e) Mengalami tekanan emosi yang kritikal.
(f) Bersikap kasar dan cepat marah.
(g) Insaf dan sedar akan kesilapan silam.

Unong Siron
(a) Seorang pesakit yang sedang menjalani rawatan penggantian sendi pinggul di Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK).
(b) Masih bujang.
(c) Berambut panjang.
(d) Mempunyai kelulusan sarjana dengan bantuan biasiswa kerajaan pusat dan bakal melanjutkan pelajaran di luar negara.
(e) Berwajah kurus cengkung dan sepucat mayat.

Plot

Binaan Plot

(a) Peristiwa dalam novel ini disusun secara kronologi.

(b) Permulaan (eksposisi) novel ini bermula apabila pembaca diperkenalkan dengan watak Raiha yang mengalami konflik setelah meneliti sinar-X terbaharu milik pesakit Unong Siron. Raiha tidak percaya dan mengeluh apabila Unong Siron terpaksa menjalani pembedahan penggantian sendi pinggul sebanyak lima kali di bawah pengawasan Doktor Uwang. Raiha turut mengalami konflik jiwa akibat kematian anak tunggal kesayangannya.

(c) Pada bahagian perkembangan, Felicia Landosi, ketua jururawat di PRPK teringat akan ikrar yang pernah dilafazkan di hadapan Raiha dan sumpah yang dibuatnya di hadapan Doktor Uwang. Felicia berasa resah disebabkan peristiwa hitam yang sering kali menghantui perasaannya sehingga mendorongnya mengambil ubat batuk secara curi-curi. Doktor Uwang berjaya membangunkan PRPK, namun belum mendapat pengiktirafan daripada bapanya sendiri, iaitu Datu Ontong.

(d) Pada bahagian perumitan, Doktor Uwang berasa terpukul dan tidak puas hati kerana Raiha mempertikaikan kewibawaannya sebagai seorang pakar bedah. Doktor Uwang melihat seolah-olah seorang kanak-kanak perempuan sedang memeluk isterinya, menyeringai aneh, dan menjuihkan bibir kepadanya. Isteri jelita Uwang memaklumkan tentang panggilan telefon yang diterima daripada Raiha yang ingin berbincang dengannya tentang pesakit bernama Unong Siron. Raiha menerima panggilan telefon daripada Felicia yang memintanya segera datang ke PRPK. Doktor Alex Ng kehairanan apabila melihat Raiha tiba-tiba muncul di PRPK. Raiha berbincang dengan Emma Yong, jururawat bertugas di wad hunian itu agar pembedahan yang dilakukan itu merupakan pembedahan yang terakhir untuk Unong Siron. Raiha masih tertanya-tanya sebab kelima-lima pembedahan terdahulu menemui kegagalan sementelah pula dilakukan sendiri oleh Doktor Uwang.

(e) Plot mencapai puncak/klimaks apabila Ariana secara tiba-tiba datang untuk meminta pertolongan Raiha. Menurut Ariana, Felicia telah ditahan oleh orang asing, penceroboh yang pernah menyamar sebagai doktor di bilik bedah. Ibu Unong Siron telah menawarkan bantuannya untuk memujuk pemuda kurang siuman itu kerana pemuda itu tinggal bersebelahan dengan kampungnya. Pemuda kurang siuman itu berjaya dipujuk dan dihantar ke hospital sakit jiwa untuk menerima rawatan lanjut. Doktor Uwang mengalami kecederaan parah akibat terbabas lalu melanggar tembok garaj PRPK itu. Doktor Uwang telah menjalani operasi penggantian sendi pada anggota tubuhnya yang rosak. 

(f) Pada peringkat peleraian, Felicia memanggil Raiha yang ketika itu sedang melangkah ke garaj kereta PRPK. Felicia menangis tersedu-sedan dan meminta maaf daripada Raiha atas kesilapannya terjebak dalam kes kematian anak Raiha, Rohayu. Felicia memohon maaf sekali lagi daripada Raiha kerana takut untuk menceritakan hal sebenar di mahkamah. Raiha reda dan pasrah dengan kematian anaknya.

Teknik Plot

(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan sikap baik hati Raiha yang mahu menumpangkan Felicia balik dengan keretanya disebabkan mereka tinggal di daerah yang sama.
(b) Teknik dialog. Contohnya, dialog Raiha dengan bapanya ketika mereka berbincang tentang kerjaya yang dipilih oleh Raiha.
(c) Teknik imbas kembali. Contohnya, Raiha teringat kembali waktu dia menjadi siswi tahun pertama dalam bidang pengajian spesifikasi ortopedik, di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan. Waktu itu, Doktor Uwanglah yang mengajarnya tentang unsur-unsur surgeri atau pembedahan.
(d) Teknik saspens. Contohnya, pembaca ingin tahu rahsia dan sebab sebenar Raiha sering mendengar suara-suara aneh yang sering menghantuinya siang dan malam.

Latar

Latar Tempat
(a) Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK).
(b) Bilik rehat PRPK.
(c) Ruang dapur PRPK.
(d) Kondominium mewah di Inanam.
(e) Kelab malam eksklusif.
(f) Banglo Doktor Uwang.
(g) Rumah bapa Raiha.

Latar Masa
(a) Berlaku dalam jangka masa 10 tahun.
(b) Musim kemarau panjang.
(c) Waktu siang.
(d) Waktu petang.
(e) Waktu malam.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang berpendidikan tinggi.
(b) Masyarakat yang berdedikasi ketika menjalankan tugas.
(c) Masyarakat yang penyayang.
(d) Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap kesihatan
keluarga.
(e) Masyarakat yang tekun dan rajin belajar sehingga berjaya dalam hidup.
(f) Masyarakat yang hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira pangkat atau darjat.

Gaya Bahasa
(a) Personifikasi. Contohnya, Raiha terpukul bisu, dan Alangkah letihnya jiwaku.
(b) Simile. Contohnya, Bagaikan cuba membaca isi hati dan mendengar degupan jantungnya, Felicia menyentak sedikit, merasai seperti tersengat kala jengking.
(c) Metafora. Contohnya, Jauh di lubuk hatinya, Kecut tali perutnya.
(d) Peribahasa. Contohnya, anak kandung dan air muka.
(e) Sinkope. Contohnya, “Awak terhidu tak bau itu?”, dan“Felicia, saya terfikir-fikir saja tentang jawatanmu di PRPK itu.” 

Nilai
(a) Hemah tinggi. Contohnya, Raiha melayan kerenah pesakit, iaitu Unong Siron dan ibu Unong Siron dengan begitu sopan dan berbudi bahasa.
(b) Kerajinan. Contohnya, Raiha rajin belajar hingga dia berjaya mengambil jurusan perubatan di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan dan akhirnya berjaya menjadi seorang doktor.
(c) Kegigihan. Contohnya, Doktor Uwang gigih membangunkan empayar Pusat Rawatan Pantai Kasih yang bermula daripada sebuah pusat rawatan kecil sehingga menjadi sebuah pusat rawatan eksklusif yang terkemuka.
(d) Mengakui kesalahan diri. Contohnya, Felicia menangis tersedu-sedan dan memohon maaf daripada Raiha terhadap kesilapannya kerana terlibat secara tidak sengaja dengan kes kematian Rohayu.
(e) Rasional. Contohnya, Datu Ontong menyerahkan Pusat Rawatan Pantai Kasih kepada anaknya, Doktor Uwang kerana mempercayai kebolehan dan kemampuan anaknya mentadbir urus pusat rawatan itu. 
(f) Semangat bermasyarakat. Contohnya, sekumpulan orang telah mengurus jenazah Rohayu sebelum jenazah itu dikebumikan dengan sempurna.

Pengajaran
(a) Kita hendaklah mengamalkan kasih sayang dalam kehidupan. Contohnya, Raiha amat menyayangi anak tunggalnya, Rohayu walaupun anaknya itu merupakan orang kelainan upaya yang menghidap sindrom Down.
(b) Kita perlu bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan. Contohnya, Raiha menjalankan tugasnya sebagai seorang doktor dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Begitu jugalah dengan Doktor Alex Ng, Doktor Muhammad, dan Doktor Razak yang bertanggungjawab merawat pesakit di Pusat Rawatan Pantai Kasih.
(c) Kita perlulah bijak menguasai keadaan cemas. Contohnya, Raiha bijak menangani peristiwa pemuda kurang siuman yang telah menyamar sebagai seorang doktor dan
telah menahan Felicia Landosi di bilik bedah dengan membenarkan ibu Unong Siron memujuk pemuda itu.
(d) Kita hendaklah simpati dan belas kasihan kepada orang yang bernasib malang. Contohnya, Raiha amat bersimpati dengan nasib Unong Siron yang terpaksa menjalani pembedahan penggantian sendi pinggul untuk kali yang keenam.
(e) Kita mestilah sabar menghadapi cabaran dalam
kehidupan. Contohnya, Raiha sabar melayani berbagai-bagai kerenah pesakit di Pusat Rawatan Pantai Kasih, bersabar melayani kerenah manja Rohayu yang menghidap penyakit sindrom Down, dan bersabar dengan keengganan suaminya menerima kehadiran Rohayu sebagai permata dalam rumah tangga mereka.
(f) Kita perlulah tegas ketika menentukan satu-satu tindakan. Contohnya, Raiha mempertahankan haknya dengan tetap meneruskan kerjayanya dalam bidang kedoktoran walaupun dibantah oleh bapanya.
(g) Kita mestilah berani bertindak jika berada di pihak yang benar. Contohnya, Raiha berani mendakwa suaminya di mahkamah keluarga dengan menyatakan secara tegas bahawa suaminya yang telah menyebabkan kematian anak tunggal mereka walaupun mendapat tentangan daripada anggota keluarganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...