Selasa, 17 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 2 - JEJAK MONPUS (ZULAIHA PAIKON) Edisi: Melaka, Pahang, Terengganu, dan Kelantan

Sinopsis

Zahar seorang penuntut jurusan Biologi, Fakuti Sains Hayat di Universiti Teknologi Malaysia. Dia begitu obses dengan dunia serangga sejak kecil lagi. Minat Zahar terhadap dunia serangga terutamanya ulat bulu dan rama-rama makin mendalam hingga dia membina sebuah makmal kecil di sebelah rumahnya. Ibu Zahar, Qistina seorang guru. Beliau sentiasa memberikan galakan kepada Zahar untuk mengembangkan minatnya. Zahar seorang penuntut yang sangat berdedikasi. Zahar telah menerima banyak anugerah atas penyelidikan dan inovasi yang dijalankan bersama dengan pihak universiti.

    Terdapat pelbagai spesies ulat bulu yang dikumpulkan oleh Zahar di dalam makmalnya. Namun begitu, terdapat satu spesies yang paling disayangi oleh Zahar yang dinamakannya Pus Pus. Keadaan fizikal Pus Pus yang lemah membuat Zahar risau. Zahar mengambil keputusan untuk ke Pulau Pisang bersama dengan Fikri dan Malcom. Zahar mahu mencari spesies baharu untuk diklonkan dengan Pus Pus. Dia bernasib baik kerana telah menjumpai seekor ulat bulu yang cantik yang dinamakan Morgan. Sesuatu yang aneh telah berlaku. Morgan mengalami perubahan, iaitu ada sayap kecil di kiri dan di kanan abdomennya.

    Selepas itu, berlaku sesuatu yang menggemparkan penduduk Kampung Maju Jaya apabila beribu-ribu ulat bulu menyerang kampung tersebut. Penduduk kampung terkena penyakit. Ripin dan beberapa orang pemuda kampung datang ke rumah Zahar. Mereka menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu. Ibu Zahar, Qistina berjanji akan memanggil pihak Jabatan Kesihatan untuk menyiasat kejadian yang berlaku. Dua hari selepas itu, Unit Kawalan Bawaan Vektor, beberapa orang pegawai kesihatan, dan pihak polis dari Unit Forensik datang ke Kampung Maju Jaya. Mereka menggeledah makmal Zahar tetapi tidak menjumpai apa-apa selain ulat bulu dan pelbagai jenis rama-rama.

    Warung kopi Pak Mail kecoh. Berita tentang serangan ulat bulu di Kampung Maju Jaya tersiar dalam surat khabar. Pak Mail, Manaf, Jusuh, Ahmad, Usop, dan Ripin menyalahkan Zahar atas kejadian yang berlaku di kampung mereka. Perbualan mereka terhenti apabila melihat Zahar dan ibunya tiba dengan kereta pacuan empat roda. Ripin meluru keluar dari warung itu. Dia bertekak dengan Zahar. Qistina cuba meleraikan mereka. Kata-kata kesat Ripin terhadap Qistina membuat Zahar berasa amat marah. Pergaduhan antara Zahar dan Ripin berlaku. Ripin melibaskan pisau lipat ke badan Zahar. Pisau tersebut terkena pada bahu Zahar. Zahar dirawat di Hospital Pontian. Akhirnya, Zahar dibenarkan keluar dari hospital dan diberi cuti sakit selama seminggu.

    Zahar melayari internet dan membaca buku tentang ulat bulu. Zahar menemui jawapan dan penyelesaian bagi masalah yang melanda. Zahar mengajak Fikri menemaninya ke Pulau Pisang. Di Pulau Pisang, Zahar dan Fikri telah menjumpai beberapa ekor ulat bulu yang mirip dengan spesies Morgan. Ulat-ulat bulu itu sedang makan daun hijau bersaiz lebar. Zahar yakin bahawa Morganlah penawar bagi serangan ulat bulu di kampungnya. Pada suatu malam, Zahar terpaksa mengorbankan Morgan. Keesokannya selepas kuliah tamat, Zahar segera pulang ke rumah. Sewaktu masuk ke dalam makmal, Zahar panik kerana bahan uji kajinya, botol beracun, dan buku formulanya hilang.

    Zahar dan Fikri melakukan siasatan dan mendapati Ripinlah yang bertanggungjawab. Zahar dan Fikri ke balai polis untuk membuat laporan. Seminggu kemudian, Ripin ditangkap polis untuk membantu siasatan berhubung dengan sindiket penjualan benih cambah sawit secara haram dan pemalsuan dokumen urus niaga menggunakan logo Sime Darby Plantation dan Felda Agriculture Services Sdn. Bhd. (FASSB). Kegiatan Ripin dan beberapa orang anak muda kampung terbongkar. Mereka didapati mengusahakan tapak benih cambah sawit secara haram. Semasa penggeledahan dibuat di stor Ripin, pihak polis menjumpai bahan penting yang hilang seminggu yang lalu.

    Formula ciptaan Zahar akhirnya berjaya. Setelah dipatenkan, formula Zahar menjadi produk yang dikomersialkan dan diberi nama MONPUS. Nama MONPUS ialah gabungan antara ulat bulu Morgan dan Pus Pus yang telah dijejaki sekian lama. Akhirnya, melalui proses eksperimen yang rumit maka terhasillah racun serangga khusus untuk membunuh ulat bulu berintik hitam yang telah menyerang penduduk Kampung Maju Jaya.

    Pada akhir cerita, Zahar berjaya menerima Anugerah Biasiswa Kerusi Canselor daripada Universiti Oxford London. Majlis tersebut menjadi detik yang paling menggembirakan Zahar
kerana anugerah tersebut disampaikan sendiri oleh ayahnya, Dr. Baharuddin yang kini menjadi tenaga pengajar di universiti tersebut. Kegembiraan Zahar semakin bertambah apabila bapa yang sangat dirinduinya telah melamar ibunya semula. Serangan ulat bulu berintik hitam mempunyai hikmah yang tersembunyi. MONPUS bukan sahaja telah menyelamatkan nyawa tetapi telah menyambung hubungan yang sekian lama terputus.

Inti Pati Bab

Penyelamat Pus Pus

– Zahar lulusan Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang Biologi
– Zahar telah membina sebuah makmal kecil yang menempatkan serangga dan larva rama-rama di sebelah rumahnya
– Zahar sangat meminati serangga, iaitu ulat bulu
– Zahar memelihara ulat bulu supaya ulat bulu tersebut dapat melahirkan larva seterusnya menjadi rama-rama yang cantik
– Zahar memberikan nama kepada setiap ulat bulu yang dikumpulkannya
– Antara semua serangga yang dikumpulkannya, Zahar paling menyayangi Pus Pus
– Ibu Zahar, Qistina Asraf yang terkenal dengan gelaran Cikgu Qistina sedar bahawa Zahar meminati dunia haiwan sejak kecil lagi
– Qistina masih ingat bahawa Zahar suka bermain dengan serangga, mengumpulkan labah-labah, kupu-kupu, kumbang, ulat beluncas, katak puru, dan lipas
– Lamunan Qistina terhenti apabila Zahar memberitahunya tentang niat Zahar untuk pergi ke Taman Paya Bakau di Tanjung Piai 

Hasrat Terpendam

– Zahar duduk menanti Mawar di pantai berhampiran dengan bandar Pontian
– Dia memerhatikan Pulau Pisang yang terbentang di hadapannya
– Sudah lama Zahar ingin ke Pulau Pisang – yakin bahawa ada banyak spesies serangga baharu yang akan ditemuinya di pulau itu
– Lamunan Zahar terputus apabila Mawar menyapanya
– Zahar teringat akan saat perkenalannya dengan Mawar – Mawar tidak menoleh ke kiri dan ke kanan semasa melintas jalan untuk ke Fakulti Sains Hayat kerana kesuntukan masa untuk menghadiri kuliah
– Sejak itulah mereka menjadi teman akrab
– Mawar antara penuntut terbaik Fakulti Sains Hayat – Zahar begitu mengaguminya

Dilanda Misteri

– Qistina dihantar oleh anaknya, Zahar kerana keretanya rosak
– Qistina guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Yasin
– Faridah menawarkan diri untuk membantu Qistina – mengangkat beg Qistina yang padat berisi buku
– Qistina guru yang berdedikasi
– Sudah 17 tahun Qistina menjadi guru Bahasa Melayu
– Qistina mengerling Faridah – Faridah berhemah dan tertib
– Kalau boleh Qistina mahu mengambil Faridah sebagai anak angkat
– Mahligai cinta Qistina tidak bertahan lama – tidak sempat menambah cahaya mata
– Faridah anak tunggal sebuah keluarga pekebun di Kampung Mercu Jaya
– Faridah hidup dalam keadaan sederhana – murid yang bijak dan cerdas – dapat dijadikan teladan oleh murid-murid lain
– Belakangan ini ada sesuatu yang menggusarkan hati Qistina tentang Faridah
– Keresahan Qistina bermula setelah ternampak kelibat seorang lelaki dalam lingkungan usia hampir separuh abad menemui Faridah pada waktu rehat dua minggu yang lalu
– Sebaik sahaja kelas tambahan Bahasa Melayu tamat, Qistina terpandang Faridah didatangi oleh lelaki yang sama – lelaki yang dikenalinya
– Qistina bertanya tentang lelaki itu kepada Faridah
– Menurut Faridah, lelaki itu pak ciknya yang tinggal di London, bekerja sebagai seorang Profesor Bioteknologi di sana
– Qistina teringat akan lelaki yang pernah mengisi hidupnya dahulu

Kembara ke Tanjung Piai

– Zahar teringat akan janjinya dengan Malcom Tan untuk ke Taman Paya Bakau di Tanjung Piai
– Zahar memandang sekeliling hutan paya bakau
– Malcom memberitahu Zahar bahawa dia terjumpa seekor ulat bulu yang cantik, bulunya berwarna keemasan dan tajam-tajam pula
– Zahar terpukau melihat ulat bulu itu
– Malcom menyimpan ulat bulu itu di dalam sebiji botol plastik
– Menjelang senja, Zahar sudah mengumpulkan lima spesies ulat bulu yang baharu – Zahar bersyukur – berharap agar satu daripada spesies ulat bulu itu dapat menyelamatkan Pus Pus
– Pulang sahaja dari Taman Hutan Paya Bakau, Zahar terus ke makmal – tidak sabar-sabar lagi hendak menyelidik lima spesies larva tersebut
– Semalaman Zahar menghadap bahan eksperimennya – usahanya belum membuahkan hasil
– Zahar nekad untuk ke Pulau Pisang

Meredah Hutan Kem Kaizen

– Kelab Biologi Alam, Fakulti Sains Hayat UTM telah memilih Kem Kaizen sebagai destinasi kembara ilmu
– Kem tersebut dihuni pelbagai spesies ulat ulat bulu
– Dr Azura, seorang pensyarah muda memberi kuliah yang memberangsangkan kepada semua peserta
– Sewaktu minum bersama Malcom, tiba-tiba Munirah rakan sekuliah mereka meminta izin untuk duduk – dia duduk di sebelah Zahar
– Tidak lama kemudian, Mawar melintas di hadapan mereka
– Zahar menegur Mawar
– Munirah tidak senang melihat kemesraan Mawar dan Zahar
– Sewaktu meniti jambatan kayu, seekor ulat bulu melekat pada baju Munirah
– Munirah melompat-lompat kegelian lalu terjatuh ke dalam kolam
– Zahar terjun ke dalam kolam lalu menarik Munirah ke tebing
– Mawar memandang mereka dengan rasa cemburu
– Pelbagai aktiviti telah dilalui oleh Zahar dan rakan-rakannya sepanjang tiga hari berada di Kem Kaizen itu
– Kini tibalah aktiviti yang dinanti-natikan oleh Zahar, iaitu aktiviti mencari pacat dan serangga
– Zahar leka mencari ulat bulu pengganti Pus Pus
– Zahar terpandang seekor ulat beluncas, dekat dengan jurang
– Sewaktu mendekati ulat bulu itu, Zahar tergelincir lalu jatuh ke dalam jurang
– Perkhemahan Kembara Biologi Alam berakhir – semua pulang ke rumah masing-masing
– Keesokannya, Malcom dan Fikri datang melawat Zahar
– Zahar mengajak rakan-rakannya ke makmal
– Zahar menunjukkan penemuan baharunya kepada Malcom dan Fikri – rama-rama tebuan bulan atau nama saintifiknya Sesia apiformis

Kejadian Misteri di Pulau

– Penduduk pekan bekerja di ladang getah, kelapa sawit, dan kebun
– Kebanyakan anak muda bekerja di kilang-kilang di Pekan Nanas
– Kehadiran warga asing menyebabkan pintu rezeki anak-anak muda tertutup – akhirnya, mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat
– Ripin, salah seorang anak tempatan yang terjebak dalam aktiviti tidak bermoral
– Ripin pernah dibelasah oleh Zahar kerana mencuri tong gas yang diletakkan di luar dapur rumah Zahar – sejak peristiwa itu, dendam Ripin terhadap Zahar meluap-luap
– Zahar mahu ke Pulau Pisang – meminta izin daripada ibunya, Qistina
– Qistina tidak sampai hati mahu menghampakan Zahar – memahami minat Zahar – sikap tegasnya tidak ubah seperti sikap ayahnya
– Lelaki yang dikatakan Faridah sebagai pak ciknya tempoh hari mengingatkan Qistina kepada Baharuddin – lelaki itu mirip betul dengan Baharuddin
– Zahar, Fikri, dan Malcom ke Pulau Pisang dengan menaiki bot
– Zahar dan rakan-rakannya masuk jauh ke dalam hutan
– Zahar tercium bau hancing
– Zahar ternampak seekor ulat bulu yang besar di hadapannya
– berasa seram
– Tiba-tiba angin berhembus kuat – angin kencang berpusar
– Beberapa minit kemudian, angin reda – ulat yang besar tadi sudah menjadi kecil – bentuk dan warnanya cantik dan unik
– Zahar terpukau melihat keunikan ulat itu

Penemuan Baharu

– Zahar begitu asyik dengan uji kajinya
– Seekor ulat bulu spesies Monarch yang ditemuinya di Pulau Pisang dahulu dijadikan bahan uji kaji
– Cantuman tisu Pus Pus dan Monarch telah menghasilkan ulat bulu yang cantik
– Zahar menamakan spesies baharu tersebut Morgan
– Kilauan badan Morgan menyebabkan mata Zahar berasa pedih
– Zahar memakai cermin mata hitam untuk mengamati kecantikan Morgan
– Jika Zahar tidak pergi ke Pulau Pisang pasti spesies Pus Pus akan lenyap begitu sahaja
– Peristiwa pelik yang berlaku di Pulau Pisang masih menghantui fikiran Zahar
– Malcom mengatakan bahawa Zahar terlalu obses dengan ulat
– Fikri membuat kesimpulan bahawa Zahar terlelap seketika lalu bermimpi melihat ulat besar dan dilanda angin kencang

Serangan Waktu Malam

– Selepas sebulan berlalu, Kampung Maju Jaya diserang ulat bulu
– Penduduk kampung panik – anak-anak kecil menangis ketakutan – wanita terpekik kegelian
– Keesokannya, keadaan makin gempar – kanak-kanak merengek kesakitan dan kegatalan – orang dewasa turut mengalami kegatalan
– Penyakit sebegini tidak pernah menyerang Kampung Maju Jaya sebelum ini
– Keadaan ini menakutkan penduduk
– Zahar berasa resah dan curiga
– Sudah berhari-hari serangan ulat bulu bermaharajalela – penduduk kampung sudah puas menyembur racun serangga
– serangan ulat masih tidak reda
– Sebaik pulang daripada kuliah, Zahar menuju ke makmalnya
– Zahar terkejut apabila mendapati Morgan tiada di tempatnya
– Zahar mencari ulat itu di sana sini – tidak menemuinya – tertidur di dalam makmal
– Keesokannya Zahar terjaga – bingkas bangun – bergegas ke sarang Morgan
– Morgan mengalami perubahan ciri fizikal – ada sayap kecil di kiri kanan abdomen Morgan
– Keadaan semakin genting apabila Ripin datang ke rumah Zahar bersama dengan beberapa orang pemuda kampung
– Mereka menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu
– Qistina berjanji akan memanggil Jabatan Kesihatan untuk datang menyiasat kejadian yang berlaku
– Dua hari selepas itu, Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, beberapa orang pegawai kesihatan, pihak polis dari Unit Forensik datang ke Kampung Maju Jaya menyiasat kejadian yang berlaku
– Mereka menggeledah makmal Zahar – tiada apa-apa yang ditemukan selain ulat-ulat bulu dan pelbagai jenis rama-rama
– Petang itu, Zahar pergi ke balai raya untuk disoal siasat
– Pelbagai tuduhan ditujukan kepada Zahar
– Zahar menafikan semua tuduhan tersebut

Tercetus Perselisihan

– Warung kopi Pak Mail kecoh
– Berita tentang serangan ulat bulu di Kampung Maju Jaya tersiar dalam surat khabar
– Pak Mail, Manaf, Jusuh, Ahmad, Usop, dan Ripin menyalahkan Zahar atas kejadian yang berlaku di kampung mereka
– Perbualan mereka terhenti apabila melihat Zahar dan ibunya tiba dengan kereta pacuan empat roda
– Ripin meluru keluar – bertekak dengan Zahar
– Qistina cuba meleraikan mereka
– Ripin menuduh Qistina asyik membela anak sendiri – sikap Qistina yang suka menyibuk menyebabkan suaminya lari
– Zahar amat marah apabila mendengar kata-kata Ripin itu
– Bagi Zahar, tindakan Ripin mengata ibunya sudah keterlaluan
– Berlakulah pergaduhan antara Zahar dengan Ripin
– Ripin melibaskan pisau lipat ke badan Zahar – pisau lipat tersebut terkena pada bahu Zahar
– Zahar rebah ke tanah dan Ripin melarikan diri

Merisik Khabar

– Berita pergaduhan Zahar tersebar ke seluruh kampung – sekarang Zahar dirawat di Hospital Pontian
– Sebaik sahaja habis kuliah, Mawar bergegas ke Hospital Pontian untuk melawat Zahar
– Mawar memberitahu Zahar bahawa orang yang menyerangnya sudah ditahan reman oleh polis
– Zahar dibenarkan keluar dari hospital – diberi cuti sakit selama seminggu
– Mawar datang ke rumah Zahar
– Zahar memberitahu Mawar berlaku sesuatu yang pelik – Morgan selalu hilang pada sebelah malam – Zahar membuat andaian Morgan terbang keluar kerana ada sayap kecil di abdomennya
– Zahar mengesyaki Morgan yang terbang pada waktu malam mempunyai kaitan dengan serangan ulat bulu di kampungnya

Misteri Terjawab

– Zahar melayari internet untuk mencari maklumat tentang ulat bulu
– Zahar mengambil sebuah buku lalu membacanya
– Akhirnya, Zahar menemui jawapan dan penyelesaian bagi masalah yang melanda
– Zahar sukar untuk tidur – membaca buku – tergerak hati untuk ke makmal
– Kelihatan cahaya kebiru-biruan memancar dari sarang Morgan
– Morgan terapung-apung di udara – mula-mula terbang rendah
– kemudian, semakin tinggi
– Zahar melakukan siasatan – keluar menjejaki Morgan
– Morganlah yang merangsang ulat bulu berintik hitam keluar pada waktu malam
– Keesokannya, Zahar memberitahu Mawar tentang Morgan
– Pada malam itu, Zahar mengekori Morgan
– Tiba-tiba kedengaran pekikan dari arah rumah ketua kampung
– Sayup-sayup kedengaran suara pekikan, jeritan, dan tangisan dari rumah-rumah yang berdekatan
– Zahar tahu puncanya – tentu Morgan dan anak buahnya menyerang mereka

Mangsa Baharu

– Pak Alias bangun daripada tidurnya yang tidak lena
– Malam tadi, Pak Alias mendengar kambing peliharaannya tidak henti-henti mengembek
– Pak Alias mengajak isterinya itu pergi ke kandang kambing
– Pak Alias membuka kandang kambing – anak-anak kambingnya bergelimpangan di lantai – seluruh badan kambing-kambing itu dikerumuni benda kehitaman
– Apabila Mak Bibah mengarahkan lampu suluhnya ke dalam kandang kelihatan enam ekor anak kambingnya mati – benda hitam yang melekat pada kambing-kambing itu ulat bulu
– Nampaknya sekarang serangan ulat bulu di Kampung Maju Jaya bukan sahaja menyasarkan manusia tetapi juga haiwan ternakan

Demam Perasaan

– Seperti biasa, setiap waktu pertama hari Isnin Qistina masuk ke kelas 5 Gigih
– Sebelum memulakan sesi pembelajaran, Qistina mengarahkan murid-muridnya menghantar buku latihan mereka
– Umar salah seorang anak muridnya tidak menyiapkan kerja rumah – memberikan alasan kambingnya beranak
– Pada suatu hari ketika sekolah mengadakan Perkampungan Ilmu untuk calon-calon SPM di sekolah, Umar meminta untuk balik ke rumah – memberikan alasan mahu memberi kambing makan
– Malam itu, Qistina terpaksa ke rumah Umar untuk memberitahu ibu bapa Umar bahawa Umar diserang demam panas secara tiba-tiba
– Daripada adik Umar yang berumur 6 tahun Qistina mendapat tahu bahawa:
    – Ayah Umar ada di hospital – tidak boleh bernafas akibat diserang ulat
    – Kambing mereka pula sudah mati kerana digigit ulat
– Qistina terkejut menerima perkhabaran itu
– Qistina berasa kasihan akan Umar
– Qistina berharap agar Zahar dapat mencari penawar bagi serangan ulat bulu berintik hitam itu dengan segera

Ke Pulau Lagi

– Zahar mengajak Fikri menemaninya ke Pulau Pisang – Fikrimenolak kerana berasa serik
– Zahar cuba memujuk Fikri
– Akhirnya, Fikri bersetuju setelah melihat mata Zahar bergenang
– Keesokannya, mereka ke Pulau Pisang
– Kedatangan mereka ke pulau itu kali ini disambut curahan hujan
– Walaupun hujan lebat, Zahar masih ingat tempat dia menemui Morgan dahulu
– Fikri ternampak beberapa ekor ulat bulu berwarna hitam biru merayap-rayap – ulat itu hampir serupa dengan spesies Morgan
– Fikri memberitahu Zahar tentang ulat-ulat bulu itu
– Zahar hampir tidak percaya dengan apa-apa yang dilihatnya – beberapa ekor ulat bulu yang mirip dengan spesies Morgan sedang makan daun-daun hijau
– Beberapa kelompok spesies Morgan sedang merayap di tanah menuju ke arah daun bersaiz lebar tadi

Dendam Masih Membara

– Ripin begitu marah apabila mendapati benih sawitnya habis dimakan ulat
– Bagi Ripin, semua yang berlaku disebabkan oleh ulat Zahar – kemarahannya makin meluap-luap
– Pagi itu juga, Ripin ke rumah Zahar untuk meminta ganti rugi
– Ripin melontarkan kata-kata kesat kepada Zahar – menerpa ke arah Zahar – menumbuk dan menyepak Zahar
– Zahar tidak mengalah – menyerang balas Ripin
– Ripin rebah
– Keesokannya, cerita Ripin menyerang Zahar tersebar ke seluruh kampung
– Warung Pak Mail menjadi tempat berhujah – rumusan yang dibuat, Zahar jugalah yang bersalah – Zahar dan ulat-ulatnya mesti diusir dari kampung itu
– Fikri memberitahu Zahar bahawa ulat bulu ada musuh semula jadi seperti serangga parasitoid atau pemangsa – musuh semula jadi inilah yang mengawal populasinya
– Zahar begitu teruja – nampaknya ada jalan penyelesaian
– Zahar dan Fikri berfikir
– Fikri mengatakan bahawa dalam persekitaran ladang sawit, ada banyak tanaman bermanfaat yang menghasilkan nektar – tanaman inilah yang melanjutkan tempoh hayat ulat bulu berintik hitam
– Semuanya semakin jelas – ladang kelapa sawit di situ yang merangsang pembiakan ulat bulu berintik hitam
– Zahar memutuskan untuk melenyapkan spesies Morgan – Morganlah yang menjadi punca ulat bulu itu membiak

Misi Baharu

– Zahar menyimpan tekad untuk menyelesaikan masalah yang melanda kampungnya
– Kemarahan penduduk kampung perlu diredakan segera
– Selagi masalah ulat bulu tidak selesai selagi itulah Zahar risau
– Zahar teringat akan kata-kata ibunya pada malam sebelum ibunya bertolak ke Alor Gajah pada keesokannya – ibunya menyarankan Zahar memusnahkan makmalnya supaya orang kampung tidak mengata mereka lagi
– Zahar percaya bahawa kata-kata ibunya bukan dari hati – tentu ibunya sudah begitu runsing
– Zahar bangun – melangkah masuk – menuju ke sarang Morgan
– Zahar mencapai peralatan makmalnya
– Zahar yakin Morganlah penawar bagi serangan ulat di kampungnya

Selamat Tinggal, Morgan

– Zahar terlena di sofa di dalam makmalnya
– Malam tadi dia telah melakukan eksperimen dan sedang menunggu hasil tindak balasnya
– Zahar tersentak bangun
– Tiba-tiba Zahar teringat akan bahan uji kajinya semalam
– Zahar berasa sangat sedih kerana terpaksa mengorbankan Morgan
– Tiba-tiba Zahar dikejutkan oleh bunyi yang kuat – bunyi sesuatu jatuh ke tanah
– Zahar menyangka bahawa bunyi tersebut ialah buah durian gugur
– Zahar kembali ke tempat Morgan – ulat itu memang sudah tidak bernyawa
– Perlahan-lahan Zahar mengemaskan mejanya – perlu bersiap-siap untuk menghadiri kuliah
– Zahar keluar dan mengunci makmal – oleh sebab tergesa-gesa, kunci terlepas dari tangan Zahar
– Zahar terpandang puntung rokok yang masih membara di tanah – kehairanan
– Zahar tertanya-tanya siapa yang datang ke situ tadi
– Puntung rokok itu tentu ada kaitannya dengan bunyi benda jatuh yang didengarnya ketika leka memerhatikan Morgan
– Zahar menganggap bahawa semua itu mainan perasaannya sahaja

Tertewas

– Dalam perjalanan menuju tempat kuliah, fikiran Zahar berputar mengenangkan Morgan yang telah dikorbankannya malam tadi
– Fikri, Malcom, dan Mawar pasti terkejut mendengar perkhabarannya itu nanti
– Zahar menerangkan bahawa dia terpaksa mengorbankan Morgan kerana penawar yang dicarinya terdapat dalam badan Morgan
– Menurut Zahar lagi, Morgan bahaya – dia terpaksa memusnahkan Morgan kerana penawar yang diciptanya pun belum tentu dapat membunuh Morgan – spesiesnya akan membiak dan merangsang pembiakan ulat bulu berintik hitam yang lain
– Akhirnya, Fikri memahami penjelasan Zahar
– Selepas kuliah tamat, Zahar segera pulang ke rumah
– Sewaktu masuk ke dalam makmal, Zahar panik kerana bahan uji kajinya, botol cecair racun, dan buku formulanya hilang
– Zahar dan Fikri melakukan siasatan dan mendapati Ripinlah yang bertanggungjawab
– Keesokannya pagi-pagi lagi, Zahar dan Fikri ke balai polis untuk membuat laporan
– Seminggu selepas laporan polis dibuat, Zahar dikejutkan dengan berita penangkapan Ripin
– Kegiatan haram Ripin dan beberapa orang anak muda kampung yang bersekongkol dengannya terbongkar – mereka didapati mengusahakan tapak benih cambah sawit secara haram
– Seluruh kampung gempar dengan berita penangkapan Ripin dan kawan-kawannya, serta jenayah yang dilakukan oleh mereka
– Berita yang paling menggembirakan Zahar, semasa penggeledahan dibuat di stor Ripin, pihak polis menemui bahan penting yang hilang seminggu yang lalu

Pertemuan yang Tidak Terduga

– Pihak Majlis Perbandaran Daerah Pontian dan Jabatan Kesihatan Pontian mula menjalankan operasi penghapusan ulat bulu
– Penduduk kampung berasa lega – suasana tenteram kembali
– Hari yang paling dinanti-nantikan tiba
– Kemenangan Zahar kali ini amat bermakna
– Sempena kempen memanggil pulang saintis Malaysia yang berkhidmat di luar negara, majlis diadakan pada hari itu turut mengundang saintis negara yang tersohor, wakil dari Universiti Oxford, London – beliau seorang anak tempatan yang telah lama berhijrah ke luar negara
– Tokoh berkenaan akan mengenal pasti penuntut yang layak menerima Biasiswa Kerusi Canselor, seterusnya melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Tinggi (Doktor Falsafah)
– Zahar dipersilakan naik ke pentas
– Zahar diumumkan sebagai penerima Anugerah Biasiswa Kerusi Canselor mewakili salah seorang pelajar Asia
– Profesor Dr. Baharuddin dijemput naik ke pentas untuk menyampaikan anugerah tersebut
– Zahar seperti mengenali lelaki di hadapannya – Zahar memanggil lelaki itu “ayah”
– Zahar dan Dr. Baharuddin berpelukan
– Dr. Baharuddin menghampiri Qistina – meminta maaf kepada Qistina
– Dr. Baharuddin menyatakan hasratnya untuk memperisteri Qistina semula
– Serangan ulat bulu berintik hitam mempunyai hikmah yang tersembunyi
– MONPUS bukan sahaja telah menyelamatkan nyawa tetapi telah menyambung kembali hubungan yang terputus

Tema
Kegigihan seorang mahasiswa dalam membuat penyelidikan untuk menyelamatkan nyawa manusia yang diancam oleh serangan ulat bulu.

Persoalan
(a) Kepentingan ilmu sains dalam kehidupan.
(b) Hubungan kasih sayang dalam keluarga.
(c) Sikap dendam yang memudaratkan diri.
(d) Kepercayaan tahayul dalam kalangan masyarakat.
(e) Ketabahan dan keberanian untuk berjaya.
(f) Pencemaran alam sekitar yang membawa kesan negatif kepada masyarakat.
(g) Gejala sosial dalam kalangan anak muda di kampung.

Watak dan Perwatakan

Zahar
(a) Anak tunggal dalam keluarga.
(b) Berumur 22 tahun.
(c) Amat menyayangi ibunya yang hidup tanpa suami.
(d) Mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap serangga sejak kecil lagi.
(e) Mengambil jurusan Biologi di Fakulti Sains Hayat, Universiti Teknologi Malaysia.
(f) Seorang yang gigih, rajin, dan tabah dalam menjalankan penyelidikan sains berkaitan dengan kehidupan serangga.
(g) Berani.
(h) Suka membantu orang lain.
(i) Bijak.

Qistina
(a) Ibu kepada Zahar.
(b) Seorang yang cantik dan bergaya walaupun umurnya telah mencecah 40-an.
(c) Bekerja sebagai guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Sri Yasin.
(d) Guru yang berdedikasi, rajin, dan komited terhadap kerjaya.
(e) Penyayang.
(f) Pemaaf.

Profesor Dr. Baharuddin
(a) Ayah kepada Zahar dan bekas suami kepada Qistina.
(b) Seorang saintis yang terkenal di Universiti Oxford London.
(c) Berhijrah dari Malaysia selepas berpisah dengan Qistina.
(d) Kurang bertanggungjawab terhadap keluarga.
(e) Insaf atas kesalahannya.

Mawar
(a) Rakan sekuliah Zahar.
(b) Merupakan anak sulung daripada lima beradik.
(c) Seorang gadis yang cantik, lemah lembut, tertib, dan sopan.
(d) Penyayang.
(e) Bijak.

Munirah
(a) Rakan sekuliah Zahar.
(b) Kuat cemburu.
(c) Menyimpan perasaan terhadap Zahar.

Fikri
(a) Rakan sekuliah Zahar. 
(b) Sahabat baik Zahar. 
(c) Baik hati.
(d) Menghormati orang tua.

Malcom Tan
(a) Rakan sekuliah Zahar. 
(b) Sahabat baik Zahar. 
(c) Baik hati.
(d) Menghormati orang tua.

Ripin
(a) Pendendam. 
(b) Kuat cemburu. 
(c) Busuk hati.

Faridah
(a) Salah seorang murid Cikgu Qistina.
(b) Suka membantu guru.
(c) Anak tunggal dalam keluarganya.
(d) Bertubuh kecil, berwajah bujur sirih, dan bermata galak.
(e) Bijak dan cerdas.
(f) Anak saudara kepada Profesor Dr. Baharuddin.

Plot

Binaan Plot

(a) Permulaan – Pengarang memperkenalkan watak Zahar dan ibunya, Qistina. Zahar mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi dalam bidang Biologi, Fakulti Sains Hayat di Universiti Teknologi Malaysia. Minatnya amat mendalam terhadap serangga terutamanya spesies ulat bulu dan rama-rama.

(b) Perkembangan – Zahar berasa sedih kerana ulat bulunya yang bernama Pus Pus semakin tenat dan memaksa Zahar mencari penggantinya. Zahar bersama dengan rakannya,
Malcom ke Taman Paya Bakau di Tanjung Piai untuk mencari spesies ulat bulu tersebut. Kemudian, Zahar meneruskan pencariannya di Kem Kaizen bersama dengan Malcom dan Fikri. Namun begitu, mereka tidak berjaya. Akhirnya, Zahar dan rakan-rakannya ke Pulau Pisang. Mereka berjaya menemui spesies Monarch. Cantuman tisu Pus Pus dan Monarch telah menghasilkan ulat bulu yang cantik. Zahar menamakan spesies baharu tersebut Morgan.

(c) Perumitan/Konflik – Beribu-ribu ulat bulu menyerang Kampung Maju Jaya. Penduduk kampung terkena penyakit. Ripin dan beberapa orang pemuda kampung datang ke rumah Zahar. Mereka menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu. Ibu Zahar, Qistina berjanji akan memanggil pihak Jabatan Kesihatan untuk menyiasat kejadian yang berlaku. Dua hari selepas itu, Unit Kawalan Bawaan Vektor, beberapa orang pegawai kesihatan, dan pihak polis dari Unit Forensik datang ke Kampung Maju Jaya. Mereka menggeledah makmal Zahar tetapi tidak menjumpai apa-apa selain ulat bulu dan pelbagai jenis rama-rama.

(d) Klimaks/puncak cerita – Formula ciptaan Zahar hilang. Zahar dan Fikri melakukan siasatan. Hasil siasatan yang dilakukan mereka mendapati bahawa Ripinlah yang bertanggungjawab. Zahar dan Fikri ke balai polis untuk membuat laporan.

(e) Peleraian – Zahar berjaya mencipta formula MONPUS gabungan ekstrak cecair antara Morgan dan Pus Pus. Formula ciptaan Zahar berjaya menghapuskan ulat-ulat bulu di Kampung Maju Jaya. Ripin pula telah ditangkap oleh pihak  polis atas jenayah yang dilakukannya. Cerita berakhir dengan kegembiraan apabila Zahar berjaya menerima Anugerah Sains Negara yang disampaikan oleh ayahnya sendiri. Zahar juga berjaya memperoleh Biasiswa Kerusi Canselor daripada Universiti Oxford London. Kegembiraan Zahar makin bertambah apabila ayahnya melamar ibunya semula.

Teknik Plot

(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan sikap Zahar yang sangat suka bermain dengan serangga sejak kecil lagi.
(b) Teknik dialog. Contohnya, Zahar berbual dengan Malcom tentang sumbangan pokok bakau sewaktu mereka ke Taman Paya Bakau di Tanjung Piai.
(c) Teknik imbas kembali. Contohnya, Zahar teringat akan saat perkenalannya dengan Mawar seminggu selepas mereka memulakan kuliah di Universiti Teknologi Malaysia.
(d) Teknik saspens. Contohnya, pembaca tertanya-tanya tentang keadaan Zahar setelah dia terkena pisau lipat yang dilibaskan oleh Ripin ke badan Zahar.
(e) Teknik kejutan. Contohnya, pembaca terkejut apabila mengetahui orang yang menyampaikan Anugerah Biasiswa Kerusi Canselor kepada Zahar ialah ayahnya sendiri.

Latar

Latar Tempat
(a) Makmal kecil di sebelah rumah Zahar.
(b) Rumah Zahar di Kampung Maju Jaya.
(c) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Yasin.
(d) Kem Kaizen.
(e) Pulau Pisang.
(f) Balai raya.
(g) Kedai kopi Pak Mail.

Latar Masa
(a) Waktu pagi. 
(b) Waktu petang. 
(c) Waktu malam.
(d) Waktu subuh

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan.
(b) Masyarakat kampung yang menjalankan kerja pertanian dan perladangan.
(c) Masyarakat yang terdiri daripada pebagai bangsa.
(d) Masyarakat yang terdiri daripada pelajar dan guru.
(e) Masyarakat yang suka berdendam.
(f) Masyarakat yang terdiri daripada penuntut universiti.
(g) Masyarakat yang percaya kepada bomoh dan perkara tahayul.
(h) Masyarakat yang pemaaf.

Unsur Gaya Bahasa

(a) Personifikasi. Contohnya, Bahang yang mula menggigit membuatkan penghuni yang berada di dalam bangunan yang berupa makmal kecil itu mulai resah; Burung-burung berkicauan menyambut kedatangan pagi.
(b) Metafora. Contohnya, lautan masa; kotak ingatan; tirai kehidupan.
(c) Simile. Contohnya, Cinta, seperti kerja, amat meletihkan; Cahaya itu tiba-tiba menebar tak ubah seperti renjatan dalam filem ‘X-Ray’; Tiba-tiba perasaan Fikri seperti dihempap beban yang berat.
(d) Peribahasa. Contohnya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi; bagai ikan pulang ke lubuk; seperti mencurah air ke daun keladi.
(e) Inversi. Contohnya, Beberapa minit kemudian, mereka sudah memasuki pekarangan sekolah; Hampir mabuk mereka menghabiskan udang yang memenuhi piggan mi udang Wak Sino.

Nilai
(a) Kasih sayang. Contohnya, Zahar amat menyayangi ibunya dan sanggup berulang-alik dari rumah ke kampus kerana tidak mahu ibunya tinggal sendirian di rumah.
(b) Keberanian. Contohnya, Zahar dan rakan-rakannya berani menjelajah Pulau Pisang yang terlalu banyak kisah seramnya semata-mata untuk membuat kajian tentang ulat bulu.
(c) Kesabaran. Contohnya, Zahar begitu sabar mencari formula untuk menyelamatkan penduduk kampungnya daripada serangan ulat bulu.
(d) Berhemah tinggi. Contohnya, Qistina tidak pernah menyimpan perasaan dendam terhadap Baharuddin malah memaafkan bekas suaminya itu.
(e) Kebijaksanaan. Contohnya, Zahar sentiasa melakukan kajian dan inovasi untuk membantu masyarakat.

Pengajaran
(a) Kita mestilah menyayangi ibu yang telah banyak berjasa kepada kita. Contohnya, Zahar amat menyayangi ibunya, Qistina yang telah mengasuhnya sejak dia ditinggalkan oleh ayahnya.
(b) Kita haruslah bersabar dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya, Zahar begitu sabar mencari formula untuk menyelamatkan penduduk kampung daripada serangan ulat bulu.
(c) Kita tidak seharusnya menyimpan dendam terhadap orang lain. Contohnya, Ripin berdendam terhadap Zahar yang telah membelasahnya sehingga sanggup mencuri formula ciptaan Zahar.
(d) Kita janganlah membuat tuduhan melulu tanpa bukti. Contohnya, penduduk kampung yang dihasut oleh Ripin menuduh Zahar sebagai punca serangan ulat bulu di Kampung Maju Jaya.
(e) Kita hendaklah insaf atas kesalahan yang kita lakukan. Contohnya, Dr. Baharuddin meminta maaf atas kesalahannya kepada bekas isterinya, Qistina.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...