Selasa, 17 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 2 - NOVEL DARAH TITIK DI SEMANTAN (ARMAN SANI) Edisi: Johor, Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan

Sinopsis

    Sejak pulang dari Pulau Tawar, sikap Datuk Bahaman banyak berubah. Beliau sering memencilkan diri. Rahman mengatakan bahawa dua tahun dahulu, negeri mereka telah diambil oleh Inggeris. Inggeris telah mengikat perjanjian dengan raja mereka. Raja mereka semacam dipaksa oleh Inggeris untuk menandatangani perjanjian itu. Perkara itulah yang difikirkan oleh Datuk Bahaman. Pada suatu hari, Datuk Bahaman diberitahu bahawa Inggeris telah mula masuk ke Semantan. Mereka sedang menggali kubu panjang dan mata-mata Sikh berkawal. Pak Long Abas hendak bertindak tetapi Datuk Bahaman menghalangnya. Persiapan yang rapi perlu dilakukan lebih dahulu. Datuk Bahaman mengatakan bahawa peperangan itu membabitkan sultan. Datuk Bahaman tidak mahu sultan menerima nasib yang sama seperti Sultan Perak yang dibuang daerah ke sebuah pulau di Lautan Hindi.

    Datuk Bahaman memuji tindakan Zahid, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad yang membina kubu di Lubuk Sengarat. Pada suatu hari, Zahid, Samad, dan Awang Muhammad ternampak dua buah perahu yang dikayuh oleh empat orang Melayu. Dalam perahu pertama terdapat seorang lelaki Inggeris yang memakai pakaian seragam berwarna kuning, bertopi keras, dan memegang senapang. Dia diapit oleh mata-mata Inggeris. Samad hendak menyerang mereka tetapi dihalang oleh Awang Muhammad. Dalam peristiwa yang lain pula, dua orang pemuda Melayu datang ke kampung itu untuk melakukan bancian. Berlakulah pergaduhan antara Zahid dan rakan-rakannya dengan dua pemuda Melayu itu. Pergaduhan tersebut berpunca daripada tindakan dua orang pemuda Melayu itu yang mahu menceroboh isteri Lajis. Datuk Bahaman tiba-tiba muncul lantas memberikan amaran kepada dua orang pemuda tersebut. Datuk Bahaman mahu Inggeris sedar bahawa beliau masih berkuasa di Semantan dan pihak Inggeris perlu menghormati beliau. Pada suatu hari, Mat Kilau datang berjumpa dengan Datuk Bahaman dan membawa berita tentang mesyuarat yang berlangsung antara Clifford dengan sultan. Syres telah mengadu kepada sultan dengan mengatakan bahawa Datuk Bahaman tidak memberikan kerjasama kepadanya untuk membina rumah pasung. Owen pula mengadu bahawa Datuk Bahaman telah mengganggu orang-orangnya yang membuat bancian. Clifford pula meminta sultan mengisytiharkan Datuk Bahaman sebagai penderhaka.

    Kini, Datuk Bahaman dan para pengikutnya telah bersedia untuk memerangi Inggeris. Apabila bahagian tengah perahu yang dinaiki Desborough sampai hampir ke setentang rantai besi yang tenggelam di dalam air, Datuk Bahaman merentap rantai besi tersebut hingga tegang. Perahu Desborough terbalik. Desborough dan konco-konconya tercampak ke dalam sungai. Berpuluh-puluh bambu runcing menghujani musuh di dalam air itu. Musuh telah tewas. Suatu mesyuarat penting diadakan di rumah Datuk Bahaman. Selesai mesyuarat, mereka mula bertindak untuk menyelamatkan mayat Ismail. Ismail telah dibunuh oleh Inggeris. Rumah pasung itu diserang dan semua mata-mata Inggeris dibunuh. Bagi menghadapi kedatangan Desborough buat kali kedua, dua pasukan telah dibentuk. Satu pasukan diketuai oleh Datuk Bahaman dan satu pasukan lagi diketuai oleh Datuk Panglima Raja. Pasukan Datuk Panglima Raja meronda di luar kawasan Bandar Kuala Semantan. Datuk Panglima Raja mengarahkan Zahid dan yang lain-lainnya untuk menyediakan bahan-bahan untuk dibuat bubur. Bubur itu diisikan di dalam mangkuk dan dihidangkan di atas tikar yang terbentang di tempat lapang. Datuk Panglima Raja dan pengikut-pengikutnya bersembunyi. Tidak lama kemudian, datang empat puluh orang mata-mata Inggeris dengan diketuai dua orang Inggeris. Mata-mata Inggeris itu berebut-rebut untuk makan bubur itu sebaliknya dua orang Inggeris itu hanya memerhatikan mereka. Salah seorang daripada orang Inggeris itu ialah Desborough. Mata-mata Inggeris itu mulai kesakitan. Seorang demi seorang terjun ke dalam sungai. Akhirnya, semua mata-mata Inggeris itu hanyut dibawa arus.

Selepas lima hari berlalu, dua pasukan itu bertemu semula di Lubuk Terua. Rahman dan Hassan Tahmid mendapatkan nama beratus-ratus orang kampung bagi menyertai perjuangan. Dalam dua tiga minggu keadaan di Semantan tenang. Mereka menyusun jadual latihan menembak. Datuk Bahaman mengadakan mesyuarat lagi dan meminta semua orang bersedia. Batu Hampar diletakkan di bawah jagaan Datuk Panglima Raja sementara Imam Perang Weh menjaga Pasir Tuk Anjang. Tuk Muda Bidin, Datuk Bahaman, Mat Lela, dan Tuk Selampit pula di Lubuk Sengarat. Desborough ditugaskan Inggeris untuk mengetuai lima puluh orang mata-mata Inggeris yang akan tiba bersama dengan tiga ratus orang askar sultan. Datuk Bahaman berpesan kepada pengikut-pengikutnya supaya berundur jika mereka terlihat askar-askar sultan bercampur dengan mata-mata Inggeris. Hampir waktu senja, Desborough tiba di Lubuk Terua. Di dalam perahunya tidak kelihatan askar-askar sultan. Sebaik-baik sahaja haluan perahu Desborough
bertentangan dengan rantai yang merentang Sungai Semantan, Datuk Bahaman pun menarik rantai itu. Perahu Desborough terbalik. Desborough dan orang-orangnya tercampak ke dalam air. Bambu runcing menghujani orang-orang Desborough. Perahu-perahu lain tidak jadi mudik. Askar-askar sultan terpinga-pinga lalu hilir mudik ke Batu Hampar dan ke Kuala Semantan. Akhirnya, keadaan di Semantan kembali tenang.

    Mat Kilau tiba dari Pulau Tawar membawa berita bahawa Clifford tidak berpuas hati dengan askar-askar sultan yang mudik pada hari itu kerana tidak ada seorang pun yang tercedera. Inggeris menganggap bahawa askar-askar sultan telah membuat perjanjian dengan Datuk Bahaman. Clifford mengugut sultan akan dibuang negeri ke mana-mana pulau di Lautan Hindi. Perancangan dilakukan Inggeris apabila Rodger mudik seperahu dengan sultan dan Tengku Ali. Melihatkan kedatangan rombongan tersebut, Tuk Selampit mahu menyumpit tetapi dihalang oleh Datuk Bahaman. Pada malam itu, Datuk Bahaman membuat perancangan dan berjumpa dengan sultan secara sembunyi-sembunyi. Perjanjian dibuat. Askar-askar sultan dan orang-orang Datuk Bahaman akan berpura-pura berlawan dan hanya akan menembak ke udara dalam pertempuran keesokan harinya. Baginda mahu perjuangan itu perjuangan yang penghabisan. Keesokan harinya, askar-askar sultan naik ke darat. Tembak-menembak pun berlaku tetapi semua tembakan menghala ke udara. Tiba-tiba keadaan menjadi kelam-kabut. Paha Mat Lela terkena tembakan askar-askar sultan. Awang Muhammad pula terkena tembakan di dada. Dia tidak dapat diselamatkan. Askar-askar sultan telah mungkir janji. Datuk Panglima Raja menyuruh para pengikutnya mengamuk namun dihalang oleh Datuk Bahaman. Tidak semena-mena Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh berlari ke arah askar-askar sultan untuk menyerah diri. Namun begitu, kedua-duanya telah ditikam oleh askar-askar sultan. Menjelang waktu Zuhur sudah tidak ada tembakan lagi. Perajurit-perajurit Semantan berundur ke Darat Kelubi. Askar-askar sultan bersorak kemenangan.

    Pada suatu petang, Mat Kilau datang ke Darat Kelubi untuk menemui Datuk Bahaman. Dia membawa surat yang ditandatangani oleh Sultan Ahmad. Semua pengikut Datuk Bahaman telah diampunkan oleh sultan kecuali Datuk Bahaman. Datuk Bahaman kecewa kerana sultan telah mungkir janji. Namun begitu, Datuk Bahaman tetap berpegang pada janjinya. Datuk Bahaman mudik ke Sungai Tembeling dan bersatu dengan Tuk Gajah dan Mat Kilau.

Inti Pati Bab

Bab 1: Cemas

– “Aku” (Zahid), Samad, Rahman, dan Awang Muhammad sedang berjalan menuju ke masjid Lubuk Terua
– Zahid terkenang akan Datuk Bahaman yang telah banyak berubah – banyak memencilkan diri – sering termenung
– Menurut Rahman, (jurutulis pelatih kepada Datuk Bahaman), dua tahun lepas, negeri Pahang telah diambil oleh Inggeris – Inggeris telah mengikat perjanjian dengan raja mereka – raja mereka semacam dipaksa oleh Inggeris untuk menandatangani perjanjian itu – perkara itulah yang difikirkan oleh Datuk Bahaman
– Inggeris datang bukan hendak membangunkan negeri Pahang tetapi hendak memunggah emas dan bijih timah di negeri itu untuk dibawa ke negeri mereka
– Selesai sembahyang Zuhur, Datuk Bahaman mula berucap
– Inggeris telah menjajah negeri itu – mereka membawa masuk orang suruhan mereka termasuklah mata-mata Sikh untuk menakut-nakutkan anak-anak tempatan
– Inggeris telah menghantar Rodger menjadi Residen Pahang di Pekan – Clifford menjadi Penguasa di Hulu Pahang – Syres menjadi Ketua Polis untuk menangkap sesiapa yang tidak disukai oleh mereka
– Ada anak muda yang marah – mencadangkan agar mereka membenamkan Inggeris di Lubuk Sengarat
– Datuk Bahaman meminta mereka bertenang – perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dahulu
– Selesai Datuk Bahaman berucap, orang ramai beredar
– Zahid, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad terus berjalan pulang
– Di pertengahan jalan, Mak Long Esah memberitahu mereka bahawa Inggeris akan sampai ke Lubuk Terua

Bab 2: Lubuk Terua Tergugat

– Semasa berada di tebing sungai, Zahid ternampak empat buah perahu yang penuh dengan papan dan atap nipah
– Zahid berfikir bahawa peperangan akan berlaku
– Zahid ke rumah Samad
– Zahid dan Samad ke rumah Rahman – Rahman tiada di rumah – mungkin dia ke rumah Datuk Bahaman
– Zahid dan Samad berjalan ke rumah Datuk Bahaman
– Di serambi rumah Datuk Bahaman, Rahman dan Awang Muhammad sedang berbincang
– Datuk Panglima Raja memberitahu Datuk Bahaman bahawa:
– Inggeris menceroboh Semantan
– Inggeris menggali kubu panjang di tebing sungai
– mata-mata Inggeris yang berkawal menghalakan bedil ke arah rumah Datuk Bahaman
– Inggeris mungkin membina rumah pasung
– Pak Long Abas mencadangkan agar mereka bertindak
– Datuk Bahaman meminta Pak Long Abas bersabar
– Datuk Bahaman memuji Zahid, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad yang membina kubu di Teluk Sengarat

Bab 3: Mencari Penyelesaian

– Suatu hari, kira-kira dua minggu selepas Syres membina rumah pasung, Zahid dan Samad tiba lebih awal ke kubu mereka di Lubuk Sengarat
– Rahman ke Johor bersama Datuk Bahaman – Datuk Bahaman ke Johor mungkin untuk mengadukan hal Inggeris kepada raja di sana – mungkin juga Datuk Bahaman hendak membeli senapang kopak di Singapura
– Zahid, Samad, dan Awang Muhammad berbincang tentang cara-cara berkawal di kubu semasa ketiadaan Rahman
– Mereka bersetuju
– Kemudian, mereka bergerak ke Mempatih
– Sampai di sana, mereka terdengar bunyi riuh suara kanak-kanak
– Rahmad dan kawan-kawannya sedang bermain
– Zahid mengatakan bahawa sekarang bukan zaman mereka bermain-main lagi – peperangan boleh berlaku bila-bila masasahaja
– Sebelum Zuhur, Zahid dan rakan-rakannya pulang ke kubu di Lubuk Sengarat
– Zahid memandang ke sungai – ternampak dua buah perahu yang dikayuh oleh empat orang Melayu – di dalam perahu pertama ada seorang Inggeris – dia diapit oleh tiga orang mata-mata Sikh yang semuanya memegang senapang
– Di dalam perahu kedua ada empat orang mata-mata Inggeris
– mereka juga bersiap sedia dengan senapang
– Zahid melaporkan kedatangan orang Inggeris ke rumah pasung di Lubuk Terua kepada Tuk Muda Bidin
– Tuk Muda Bidin kelihatan marah
– Kira-kira sejam kemudian, Mat Lela dan Imam Perang Weh datang ke kubu di Lubuk Sengarat
– Imam Perang Weh bertanya tentang orang Inggeris itu
– Awang Muhammad menjawab bahawa orang Inggeris itu bukan Syres – umurnya lebih muda daripada Syres
– Mat Lela mengatakan bahawa orang Inggeris itu mungkin Owen
– Kalau betul orang Inggeris itu Owen, dia datang untuk membanci atau menghitung jumlah penduduk di situ

Bab 4: Budi Kedapatan

– Zahid dan rakan-rakannya pergi ke Mempatih
– Ada perubahan berlaku – semak di tengah dusun telah bertukar menjadi padang kecil yang bersih – terdapat empat batang pisang sepanjang satu setengah meter berdiri tegak
– Tiba-tiba Rahmad dan rakan-rakannya melompat keluar dari semak di situ Rahmad mengatakan bahawa mereka berlatih membaling bambu runcing – batang pisang menjadi sasaran mereka
– Zahid memuji Rahmad
– Menurut Rahmad lagi, mereka juga telah belajar silat dengan Lajis
– Zahid dan rakan-rakannya meneruskan perjalanan ke sebelah hilir – mereka mahu meronda di sana pula
– Zahid dan rakan-rakannya tiba di hujung kampung
– Sebaik-baik sahaja hendak bergerak ke belakang, mereka terdengar suara perempuan menjerit dari rumah Lajis
– Mereka meluru ke rumah Lajis
– Dua orang pemuda Melayu sedang mengganggu Kak Minah, isteri Lajis
– Zahid dan rakan-rakannya berlawan dengan dua orang pemuda itu – mereka dapat mengalahkan dua orang pemuda itu
– Datuk Bahaman, Rahman, dan Datuk Panglima Raja muncul
– Datuk Bahaman menyuruh dua orang pemuda itu balik dan memberitahu Owen bahawa Bahaman masih hidup

Bab 5: Inggeris Mencabar Lagi

– Syres kerap datang ke Lubuk Terua
– Menurut Samad, mungkin ada dalam kalangan orang Semantan yang menjadi hantu Inggeris – mereka melaporkan kegiatan anak-anak muda di situ yang anti-Iggeris – itu sebabnya Syres sangat sibuk
– Lajis dan Rahmad datang ke kubu di Lubuk Sengarat
– Lajis mengucapkan terima kasih kepada Zahid dan rakan-rakannya yang telah menyelamatkan isterinya daripada diceroboh oleh anjing penjajah itu
– Lajis mengatakan bahawa dia dan Pak Uda Ismail akan mendirikan bengkel senjata di rumah Pak Uda Ismail – mereka mahu membuat bedil (senapang) – laras dan ubat bedil akan dibeli di Singapura
– Lajis tidak dapat menetap di dalam bengkel itu kerana dia telah menjadi pengintip di Kuala Semantan – dia dan Rahmad akan menjadi pekerja di sebuah kedai kopi – mendapatkan maklumat tentang gerakan Inggeris di sana – segala gerakan itu akan diberitahu kepada Datuk Bahaman
– Lajis turut memberitahu mereka bahawa menurut Datuk Bahaman, Inggeris telah mengadakan mesyuarat dengan raja dan orang-orang besar di Pulau Tawar baru-baru ini – Inggeris membuat keputusan untuk mencabar Datuk Bahaman dan orang di Semantan

Bab 6: Kedatangan Mat Kilau

– Sementara menunggu waktu Isyak, Zahid dan Samad beredar ke pekarangan masjid
– Zahid nampak ada orang asing datang – orang itu ialah Mat Kilau
– Mat Kilau bersalam dengan Datuk Bahaman dan Datuk Panglima Raja
– Mat Kilau membawa berita tentang mesyuarat antara Clifford dengan sultan dan orang-orang besar di Pulau Tawar
– Banyak hal Datuk Bahaman dibincangkan dalam mesyuarat itu
– Perkara yang paling menyedihkan – Clifford meminta sultan mengatakan bahawa Datuk Bahaman telah menderhaka – Clifford mendesak sultan jika baginda tidak mahu mengisytiharkan perkara itu, ertinya baginda menyebelahi Datuk Bahaman – Inggeris akan mengambil tindakan – membuang baginda ke sebuah pulau di tengah-tengah Lautan Hindi
– Sultan bersetuju lalu menandatangani surat pengisytiharan itu
– Clifford membaca pengisytiharan itu – Datuk Bahaman telah derhaka – segala gelaran Datuk Bahaman yang dianugerahi sultan telah ditarik balik – Datuk Bahaman tidak mempunyai kuasa lagi di Semantan – Datuk Bahaman bukan Orang Kaya Semantan lagi
– Datuk Bahaman memberitahu orang Semantan bahawa
pangkat tidak penting baginya
– Semasa di Johor dahulu Gabenor Singapura telah menawarkan 500 ringgit sebulan kepada Datuk Bahaman – menolaknya– datang ke Johor membawa amanah rakyat – biar dicencang lumat, beliau tidak akan mengikut telunjuk Inggeris

Bab 7: Retak Menanti Belah

– Hanya Zahid dan Awang Muhammad berkawal di dalam kubu Lubuk Sengarat
– Rahman membantu Pak Cik Hassan Tahmid di rumah Datuk Bahaman
– Samad sudah dua hari tidak pulang ke Lubuk Terua – ayahnya, Pak Long Abas dan Pak Uda Ismail mengail ikan di Sungai Semantan.
– Zahid membuat telahan bahawa mereka berdua mungkin ditangkap Inggeris
– Awang Muhammad tidak mahu Zahid berfikir yang bukan-bukan
– Tidak lama kemudian, Datuk Bahaman, Imam Perang Weh, dan Datuk Panglima Raja datang ke kubu di Lubuk Sengarat itu
– Kemudian, Lajis pula tiba – membawa berita tentang Ismail dan Samad – mereka telah ditangkap Desborough dekat Batu Hampar dua hari lepas
– Datuk Bahaman mahu para pengikutnya menghilir ke Kuala Semantan untuk membebaskan Pak Uda Ismail, Pak Long Abas, dan Samad
– Mereka tiba di Kuala Semantan lewat tengah malam – mereka naik ke darat – pergi ke Rumah Pasung Temerloh
– Datuk Bahaman mengarahkan Lajis tinggal di luar kawasan rumah pasung itu
– Datuk Bahaman membaca sesuatu – mata-mata yang berkawal di pintu pagar terlentok tidur
– Mereka naik ke rumah pasung – Datuk Bahaman membaca sesuatu lagi – dua orang yang berkawal di rumah pasung itu tidur lena juga
– Datuk Bahaman mengambil anak kunci di dalam laci meja tempat mata-mata Inggeris itu tertidur
– Pak Uda Ismail, Pak Long Abas, dan Samad berjaya diselamatkan
– Datuk Bahaman bertanyakan perkara yang berlaku kepada mereka – ketiga-tiga mereka telah diseksa namun mereka tidak membocorkan rahsia tentang Datuk Bahaman

Bab 8: Darah Titik di Semantan

– Tengah hari itu Rahman dan Awang Muhammad berkawal di kubu
– Zahid dan Samad meronda di hujung kampung – ke bengkel membuat senapang – banyak buntut senapang yang sudah siap
– Hanya ada tiga orang tukang di situ – Zahid bertanya tentang tukang-tukang yang lain – menurut Samad, mereka tidak datang bekerja – kerja-kerja tidak dapat diteruskan – besi
dan laras senapang yang dipesan oleh Datuk Bahaman belum tiba sepenuhnya – saudagar yang membekalkan besi laras senapang dan ubat bedil menunggu wang daripada mereka
– Zahid dan Samad keluar dari bengkel – berjalan di sepanjang kampung menuju ke kubu di Lubuk Sengarat
– Tiba-tiba Pak Long Abas berlari menuju ke sebelah hulu dengan pakaian yang basah kuyup
– Pak Long Abas terlentang di atas tangga rumah Datuk Bahaman
– Datuk Bahaman membasahkan kepala Pak Long Abas – Pak Long Abas tersedar – Datuk Bahaman memberikan isyarat kepada Imam Perang Weh supaya memimpin Pak Long Abas ke serambi
– Pak Long Abas menceritakan peristiwa yang berlaku
– Datuk Bahaman bertekad untuk menentang Inggeris
– Imam Perang Weh, Datuk Panglima Raja, Zahid, dan Samad menyokong Datuk Bahaman
– Jika benar Ismail telah ditembak di Sungai Semantan, itulah titik darah pertama di Semantan – biarlah giliran darah Desborough pula yang menitik
– Datuk Bahaman mengarahkan mereka bersiap sedia untuk menentang Inggeris

Bab 9: Ada Ubi Ada Batas

– Zahid, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad di kubu Lubuk Sengarat
– Bambu runcing sudah siap
– Pak Long Abas datang dengan pakaian untuk berperang
– Datuk Bahaman pula tiba di kubu itu – memikul seutas rantai besi yang panjang bersama-sama dengan Imam Perang Weh
– Tuk Muda Bidin dan Datuk Panglima Raja mengiringi mereka
– meletakkan rantai besi betul-betul di pangkal pokok merbau berdarah
– Datuk Bahaman memegang hujung rantai itu lalu terjun ke dalam lubuk – berenang ke seberang seorang diri – mengikat rantai besi itu pada pangkal pokok jambu air di seberang sungai – berenang semula ke seberang
– Datuk Bahaman mengarahkan Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh mengumpulkan orang mereka untuk mengepung rumah pasung (balai polis)
– Apabila mendengar bunyi tabuh, Tuk Muda Bidin dan orang-orangnya perlu merempuh rumah pasung itu – semua mata-mata Inggeris itu perlu dibunuh dan senjata mereka perlu dirampas
– Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh segera beredar 
– Lajis membawa berita bahawa Desborough mudik dengan lima puluh orang mata-mata Sikh – sebuah daripada perahu itu berkayuh ke hilir Sungai Semantan – ada mayat di dalam
perahu itu
– Datuk Bahaman berbisik bahawa mayat itu ialah mayat Ismail
– Enam buah perahu yang lain sedang mudik hendak menangkap Datuk Bahaman
– Kalau tidak dapat menangkap Datuk Bahaman hidup-hidup, mayat Datuk Bahaman hendak dibawa juga ke Kuala Semantan
– Senja tiba – perahu yang membawa Desborough tiba
– Perahu-perahu yang lain pun sampai
– Perahu Desborough mula bergerak semula – apabila bahagian tengah perahu itu hampir bersetentang dengan rantai yang tenggelam di dalam air, Datuk Bahaman merentap rantai besi hingga tegang – perahu Desborough pun terbalik – Desborough dan orang orangnya tercampak ke dalam sungai
– Perahu kedua, ketiga, dan keempat juga terbalik apabila Datuk Bahaman menarik rantai besi itu
– Datuk Bahaman memberikan perintah serang – Lajis naik ke darat lalu memukul tabuh
– Pertarungan berlaku – berpuluh-puluh bambu runcing bertaburan menghujani tempat air berpusing di sebelah hilir
– Beberapa orang mata-mata Sikh hilang di olak lubuk
– Datuk Bahaman terjun ke dalam air dengan keris panjangnya
– mengejar musuh-musuh yang bergantung pada perahu yang terlingkup
– Kira-kira sejam kemudian, keadaan pun sunyi semula – orang orang Datuk Bahaman pulang ke kubu
– Malam itu, mereka berkumpul di rumah Datuk Bahaman
– Tuk Muda Bidin berkata bahawa mereka telah mencapai kemenangan besar

Bab 10: Inggeris Mesti Dikalahkan

– Mesyuarat malam itu berbeza
– Datuk Bahaman mengarahkan Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh membawa lima, enam puluh orang di rumah pasung untuk menyerang Bentong pada malam itu juga – mengepung pusat kawalan dekat lombong Inggeris di Bentong – mengalahkan Inggeris
– merampas senjata Inggeris 
– Datuk Bahaman, Datuk Panglima Raja, dan Mat Lela akan ke Temerloh – mereka akan mengambil mayat Ismail – mengebumikannya di Semantan – menghancurkan kekuatan Inggeris di sana
– Zahid, Awang Muhammad, dan Samad akan mengikut Datuk Bahaman ke Semantan
– Rahman akan menolong Hassan Tahmid – mereka diminta menghebohkan tentang perang kepada orang ramai
– Datuk Bahaman, Datuk Panglima Raja, dan Mat Lela bersama empat, lima puluh orang akan berjalan kaki ke Temerloh
– dijangka sampai pada malam itu juga – mereka akan menyelamatkan mayat Ismail – mengebumikannya esok
– Selepas selesai mesyuarat, semua orang beredar
– Zahid, Samad, Awang Muhammad, dan Lajis mengikut Datuk Bahaman menghilir ke Kuala Semantan – tiba di Kuala Semantan sebelum subuh
– Lajis memimpin mereka ke kedai kopinya
– Datuk Bahaman bergerak ke rumah pasung – berhenti tiga puluh depa daripada rumah pasung itu – membaca sesuatu – dua orang mata-mata Sikh terlentok tidur
– Mayat Pak Uda Ismail dibawa ke perahu
– Datuk Bahaman memerintahkan empat, lima orang mudik semula ke Lubuk Terua dan mengebumikan mayat Pak Uda Ismail esoknya
– Datuk Bahaman dan orang-orangnya bergerak ke rumah pasung
– Datuk Bahaman dan Mat Lela masuk ke dalam – semua mata-mata Sikh dibunuh – senapang dan peluru mereka dirampas

Bab 11: Desborough Datang Lagi

– Tengah hari itu terdapat dua pasukan, satu yang diketuai oleh Datuk Bahaman dan yang satu lagi diketuai oleh Datuk Panglima Raja
– Zahid, Samad, Awang Muhammad, dan Mat Lela dipilih untuk menyertai pasukan Datuk Panglima Raja – pasukan mereka mempunyai 25 orang ahli – semuanya orang muda dan tahan lasak
– Pasukan mereka ditugaskan untuk meronda di luar kawasan bandar Kuala Semantan
– Mereka terdengar bunyi orang bercakap dalam bahasa yang tidak difahami oleh mereka dari sebuah bukit – terdapat lima orang mata-mata Sikh sedang memasak roti
– Tiba-tiba pemuda yang membawa senapang kopak daripada pasukan mereka telah menembak mata-mata Sikh itu – empat orang mata-mata Sikh tersungkur tetapi seorang dapat melarikan diri
– Keesokannya mereka meneruskan perjalanan – pada waktu tengah hari, mereka berhenti untuk memasak makanan – selepas makan mereka meneruskan perjalanan
– Mereka sampai di kawasan lapang di sebuah bukit – menurut Datuk Panglima Raja, di kawasan itu pasti ada mata-mata Inggeris
– Datuk Panglima Raja mengarahkan Zahid, Awang Muhammad, Samad, dan lima orang lagi untuk pergi meminjam sebiji kawah, lima puluh biji mangkuk, dan sepuluh biji kelapa parut serta gula kabung
– Beberapa pemuda yang lain diarahkan pergi mencari ubi gadung di hutan
– Mereka hendak membuat bubur ubi gadung – bubur itu diisikan ke dalam mangkuk dan dihidangkan di atas tikar yang terbentang di tempat lapang
– Kemudian, Datuk Panglima Raja mengarahkan mereka bersembunyi
– Tidak lama kemudian, datang empat puluh orang mata-mata Sikh dan dua orang Inggeris – mata-mata Sikh berebut-rebut makan bubur ubi gadung itu – dua orang Inggeris tidak makan – salah seorang daripada Inggeris itu ialah Desborough
– Mata-mata Sikh mula mabuk – seorang demi seorang terjun ke dalam sungai – akhirnya, semua mata-mata Sikh hilang dibawa arus – dua orang Inggeris itu melarikan diri

Bab 12: Tipu Helah Inggeris

– Dalam dua tiga minggu itu keadaan di Semantan tenang
– Datuk Panglima Raja akan membawa 100 orang ke Batu Hampar
– 200 orang lagi akan berkubu dekat Pasir Tuk Anjang – mereka akan diketuai oleh Imam Perang Weh dan Tuk Muda Bidin
– Zahid, Mat Lela, dan Tuk Selampit akan berkawal di Lubuk Sengarat
– Menurut Datuk Bahaman, perjuangan mereka kali ini lebih sulit – pasukan musuh yang terdiri daripada 50 orang mata-mata Inggeris akan diketuai oleh Desborough sendiri
– Mereka akan tiba bersama dengan tiga ratus orang askar sultan yang diketuai oleh Tengku Ali
– Datuk Bahaman berkata bahawa kalau askar-askar sultan bercampur dengan mata-mata Sikh, mereka akan berundur
– Datuk Bahaman mengarahkan Zahid, Samad, Awang Muhammad, dan Rahman mengikut pasukan Datuk Panglima Raja ke Batu Hampar
– Menjelang senja, perahu yang membawa Desborough tiba di Lubuk Terua – tidak ada askar-askar sultan di dalam perahunya
– Sebaik-baik sahaja bahagian haluan perahu itu bersetentang dengan rantai besi yang merentang Sungai Semantan, Datuk Bahaman pun menarik rantai itu
– Perahu Desborough terbalik – Desborough dan mata-mata Inggeris tercampak ke dalam air
– Para pengikut Datuk Bahaman menghujani mereka dengan bambu runcing
– Perahu-perahu musuh yang lain tidak mahu mudik lagi
– Datuk Bahaman mengarahkan Samad memukul tabuh
– Pengawal-pengawal di sebelah hilir Lubuk Sengarat menyerang perahu-perahu mata-mata Inggeris
– Askar-askar sultan terpinga-pinga – mudik semula ke Kuala Semantan
– Keadaan di Semantan kembali tenang
– Mat Kilau datang ke Pulau Tawar – membawa berita – Clifford tidak berpuas hati – tidak ada seorang pun askar sultan yang mudik hari itu tercedera – menganggap mereka sudah ada perjanjian dengan Datuk Bahaman
– Clifford menggugut sultan – kalau sultan tidak bersungguh-sungguh menentang Datuk Bahaman, ertinya baginda menyebelahi penderhaka – boleh dibuang ke mana-mana
pulau di Lautan Hindi
– Roger sangat marah kepada Datuk Bahaman – akan mudik ke Semantan – membawa sultan dan Tengku Ali
– Mat Kilau mengusulkan agar Datuk Bahaman berunding dengan sultan apabila baginda tiba kelak

Bab 13: Sebuah Perjanjian

– Berita kedatangan musuh disambut penduduk Semantan dengan keadaan kelam-kabut
– Empat hari kemudian, Datuk Bahaman tiba di Lubuk Sengarat
– Roger memang mudik seperahu dengan sultan dan Tengku Ali
– Datuk Bahaman mengarahkan Hassan Tahmid memindahkan semua orang perempuan, kanak-kanak, dan orang tua ke Darat Kelubi
– Datuk Panglima Raja dan Imam Perang Weh akan berkubu di tebing Pasir Tuk Anjang – dari sana senang mereka hendak melarikan diri ke Darat Kelubi
– Tuk Selampit tidak bersetuju mereka melarikan diri – mahu menyumpit orang Inggeris dan mata-mata Inggeris
– Datuk Bahaman bertegas – Tuk Selampit hanya boleh menyumpit Rodger jika sultan tidak duduk di sebelahnya
– Suasana di Lubuk Sengarat sepi
– Tiba-tiba Lajis datang memberitahu mereka bahawa musuh sudah sampai
– Rodger berada di dalam perahu yang pertama sekali sampai di Lubuk Sengarat – dia diapit oleh sultan dan Tengku Ali
– Tuk Selampit hendak menyumpit Rodger tetapi dihalang oleh Datuk Bahaman
– Perahu-perahu yang membawa mata-mata Inggeris dan askar-askar sultan berlalu
– Tuk Selampit beredar dalam keadaan marah
– Setelah berjumpa dengan sultan, Datuk Bahaman balik ke kubu pada malam itu juga
– Sultan memang menyokong perjuangan mereka – dalam dilema – mahu perjuangan esok perjuangan yang penghabisan
– Selepas itu, Datuk Bahaman dan para pengikutnya perlu meletakkan senjata – menjalani kehidupan seperti biasa
– Sultan akan mengampunkan mereka – menganugerahkan pangkat dan kuasa kepada Datuk Bahaman semula
– Mengikut perjanjian yang dibuat antara sultan dengan Datuk Bahaman, esok askar-askar sultan akan naik ke darat dan pura-pura berperang dengan pihak Datuk Bahaman
– Pihak Datuk Bahaman juga akan menembak ke udara
– Lewat tengah hari, pihak Datuk Bahaman akan melarikan diri
– Pihak sultan dan Inggeris akan bersorak bagi menandakan kemenangan dan akan mengajak Rodger menyaksikan kemenangan itu

Bab 14: Jatuhnya Lubuk Terua

– Sekumpulan askar sultan naik dari pasir Tuk Anjang diikuti oleh pasukan kedua, ketiga, keempat, kelima, dan seterusnya hingga tebing Pasir Tuk Anjang dipenuhi askar-askar sultan
– Tidak berapa lama kemudian, tembakan pertama dilepaskan oleh askar sultan diikuti oleh tembakan kedua, ketiga, dan seterusnya
– Pasukan Datuk Bahaman membalas tembakan – semua tembakan dihalakan ke udara sahaja
– Keadaan menjadi kelam-kabut apabila Mat Lela terkena tembakan askar sultan di pahanya
– Tidak lama kemudian, Awang Muhammad pula terkena tembakan di dadanya – dia tidak dapat diselamatkan
– Datuk Panglima Raja menyuruh para pengikutnya mengamuk
– Datuk Bahaman tidak membenarkan mereka mengamuk – beliau berpegang pada janji
– Tiba-tiba Datuk Panglima Raja merampas senjata daripada Zahid – melompat keluar dari kubu – melepaskan tembakan ke arah askar sultan – sasarannya meleset
– Bahu Datuk Panglima Raja cedera akibat ditembak askar sultan
– Datuk Bahaman mengheret Datuk Panglima Raja masuk ke dalam kubu
– Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh pula berlari ke arah askar-askar sultan untuk menyerah diri
– Nasib mereka malang – ketua askar sultan menikam perut Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh
– Menjelang waktu Zuhur, bunyi tembakan tidak kedengaran lagi
– Perajurit-perajurit Semantan berundur ke Darat Kelubi
– Askar-askar sultan bersorak kemenangan
– Rodger mengucapkan tahniah kerana mereka telah menang dan mengatakan bahawa Datuk Bahaman mungkin telah mati
– Mat Kilau datang ke Darat Kelubi untuk menemui Datuk Bahaman – membawa surat pengampunan beramai-ramai yang ditandatangani oleh Sultan Ahmad
– Hassan Tahmid membaca perintah daripada Sultan Ahmad
– Semua yang menentang Inggeris telah diampunkan kecuali Datuk Bahaman
– Tidak lama kemudian, kedengaran berita tentang Tuk Gajah dengan tiga ratus orang askar mudik ke Batu Hampar
– Datuk Bahaman memberitahu Tuk Gajah bahawa dia sudah tinggal keseorangan
– Tuk Gajah pula akan mudik ke Sungai Tembeling dan terus ke Kelantan atau Terengganu berserta dengan Mat Kilau
– Seminggu kemudian, askar-askar sultan di bawah pimpinan orang lain datang ke Lubuk Terua
– Mereka mencari Datuk Bahaman tetapi tidak berhasil
– Akhirnya, mereka bertindak membakar rumah orang kampung
– Orang-orang muda, tua, perempuan, dan kanak-kanak turut ditembak dan dibakar hangus
– Datuk Bahaman berpatah balik dan membunuh askar-askar Inggeris
– Datuk Bahaman kemudian mudik ke Sungai Tembeling dan bersatu dengan Tuk Gajah dan Mat Kilau

Tema
Perjuangan dalam membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah.

Persoalan
(a) Kepentingan kepemimpinan dalam perjuangan menentang penjajah.
(b) Kerjasama penting dalam perjuangan menentang penjajah.
(c) Sumbangan dan peranan kaum wanita dalam perjuangan menentang penjajah.
(d) Sikap segelintir masyarakat yang sanggup bersekongkol dengan pihak Inggeris untuk mendapatkan habuan.
(e) Ugutan digunakan oleh pihak Inggeris untuk melemahkan orang Melayu.
(f) Fitnah dijadikan sebagai salah satu strategi Inggeris untuk menjajah orang Melayu.

Watak dan Perwatakan

Datuk Bahaman
(a) Seorang pahlawan di Semantan.
(b) Orang Kaya Semantan.
(c) Seorang pemimpin yang dihormati di Semantan.
(d) Penyayang.
(e) Berani.
(f) Penyabar dan berhati-hati.
(g) Berpegang pada janji.
(h) Mempunyai ilmu batin.
(i) Jujur dalam berjuang.

Zahid (Aku)
(a) Pemuda yang berjiwa pejuang.
(b) Pembantu kepada Datuk Bahaman.
(c) Kawan rapat kepada Samad, Rahman, dan Awang Muhammad.
(d) Cinta akan negara.
(e) Berani menentang penjajah Inggeris.

Awang Muhammad
(a) Rakan Zahid.
(b) Anak bongsu kepada Datuk Bahaman.
(c) Berjiwa pejuang.
(d) Berani menentang penjajah Inggeris.
(e) Cinta akan negara.
(f) Terbunuh kerana ditembak oleh askar-askar sultan.

Rahman
(a) Rakan Zahid.
(b) Jurutulis pelatih kepada Datuk Bahaman.
(c) Turut sama berjuang dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris.

Lajis
(a) Seorang guru silat.
(b) Menjadi pengintip kepada Datuk Bahaman.
(c) Turut sama berjuang dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris.
(d) Bertanggungjawab.

Samad
(a) Rakan baik Zahid.
(b) Turut sama berjuang dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris.

Mat Kilau
(a) Anak Tuk Gajah.
(b) Menjadi orang penting sultan Pahang.
(c) Sering membawa berita dari istana kepada Datuk Bahaman.
(d) Berani menentang Inggeris.

Mat Lela
(a) Anak kepada Datuk Bahaman.
(b) Abang kepada Awang Muhammad.
(c) Turut sama berjuang dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris.

Plot

Binaan Plot

(a) Permulaan – Zahid, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad sedang menuju ke Masjid Lubuk Terua. Zahid terkenang akan sikap Datuk Bahaman yang banyak berubah. Selepas sembahyang, Datuk Bahaman berucap tentang Inggeris yang telah menjajah tanah air mereka.

(b) PerkembanganInggeris telah membina kubu di Lubuk Terua. Pak Long Abas mencadangkan supaya mereka bertindak tetapi dihalang oleh Datuk Bahaman dengan alasan persiapan belum cukup. Kira-kira dua minggu kemudian, Zahid ternampak dua buah perahu yang membawa seorang Inggeris dan diapit oleh tiga orang mata-mata Sikh. Samad hendak menyerang mereka tetapi dihalang oleh Awang Muhammad.

(c) Perumitan/Konflik Pada bahagian ini, berlaku pergaduhan antara Zahid dan rakan-rakannya dengan dua orang pemuda Melayu yang cuba menceroboh isteri Lajis. Datuk Bahaman pula difitnah oleh Inggeris. Inggeris mengatakan bahawa Datuk Bahaman telah menderhaka kepada sultan. Pak Long Abas, Ismail dan Samad ditangkap Desborough. Datuk Bahaman telah menyelamatkan mereka. Sekali lagi Pak Long Abas dan Ismail ditangkap Desborough. Pak Long Abas dapat menyelamatkan diri tetapi Ismail tidak dapat menyelamatkan diri. Datuk Bahaman menyusun strategi perang terhadap Inggeris. Desborough datang dengan lima puluh orang mata-mata Sikh. Mereka telah ditewaskan oleh pasukan Datuk Bahaman. Peperangan telah bermula. Rodger mudik bersama dengan sultan dan Tengku Ali. Datuk Bahaman dalam dilema. Perjanjian dibuat antara sultan dengan Datuk Bahaman. Mengikut perjanjian itu, askar-askar sultan akan menembak ke udara. Perajurit-perajurit Datuk Bahaman juga akan menembak ke udara.

(d) Klimaks Askar-askar sultan naik ke tebing Pasir Tuk Anjang. Askar-askar itu meniarap dan menghalakan senapang ke atas. Datuk Bahaman mengarahkan para pengikutnya menghalakan senapang ke udara. Keadaan menjadi kelam-kabut apabila tembakan askar-askar sultan terkena paha Mat Lela. Kemudian, dada Awang Muhammad pula ditembusi peluru askar-askar sultan. Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh berlari ke arah askar-askar sultan untuk menyerah diri. Namun begitu, mereka berdua ditikam oleh ketua askar sultan.

(e) Peleraian – Askar-askar sultan bersorak kemenangan. Datuk Bahaman kecewa kerana sultan telah mungkir janji. Datuk Bahaman sendiri tetap patuh pada janji. Datuk Bahaman meninggalkan Semantan lalu mudik ke Sungai Lembing. Datuk Bahaman bersatu dengan Tuk Gajah dan Mat Kilau.

Teknik Plot

(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan keadaan Mat Kilau ketika datang ke Masjid di Kampung Semantan.
(b) Teknik dialog. Contohnya, Zahid berbual dengan rakan-rakannya, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad tentang kubu yang akan dibina oleh mereka di Lubuk Sengarat.
(c) Teknik monolog. Contohnya, Zahid bermonolog bahawa perang akan berlaku apabila melihat beberapa orang Inggeris di tebing sungai dan ada antara mereka yang sedang menghalakan muncung senapang ke arah rumah Datuk Bahaman.
(d) Teknik imbas muka. Contohnya, semasa Pak Long Abas dan Pak Uda Ismail pergi memancing ikan dan lambat pulang. Zahid menduga bahawa mereka mungkin ditangkap Inggeris. Ternyata hal itu benar-benar berlaku.
(e) Teknik kejutan. Pembaca terkejut sewaktu Hassan Tahmid membaca utusan daripada sultan, iaitu semua orang Semantan yang bangkit menentang Inggeris diampunkan.

Latar

Latar Tempat

(a) Daerah Semantan, Pahang.
(b) Kuala Semantan.
(c) Lubuk Terua.
(d) Lubuk Sengarat.
(e) Batu Hampar.
(f) Rumah Datuk Bahaman.
(g) Rumah pasung.
(h) Sungai Semantan.
(i) Sungai Tembeling.
(j) Darat Kelubi.

Latar Masa
(a) Waktu zuhur. 
(b) Waktu malam. 
(c) Zaman penjajahan Inggeris di Pahang.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat kampung.
(b) Masyarakat Melayu yang dijajah.
(c) Masyarakat yang cinta akan tanah air.
(d) Masyarakat penjajah Inggeris.
(e) Masyarakat yang sedang bergolak dalam kancah peperangan.
(f) Masyarakat yang mengenang budi.
(g) Masyarakat yang taat akan perintah agama.

Unsur Gaya Bahasa

(a) Simile. Contohnya, Burung-burung telah mula menyanyi seolah-olah mengingatkan kaumnya supaya segera bangun memburu rezeki; Semantan ini kalau tidak ada ayahmu, sepertilah anak ayam yang tidak ada ibu; Mereka menggelupur seperti ayam disembelih.
(b) Repetisi. Contohnya, Dalam perjuangan, kita mesti berpadu. Kita mesti sama-sama kuat. Kalau kita saja yang menentang musuh, sedangkan orang lain tidak, kita akan kalah juga.
(c) Personifikasi. Contohnya, Pokok merbau berdarah yang tinggi di situ tegak dan gagah menentang kesejukan pagi; Cahaya bulan sedang bermain di sana sini; Pungguk merindukan bulan.
(d) Peribahasa. Contohnya, Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan; biar pecah di perut, jangan pecah di mulut; hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
(e) Inversi. Contohnya, Sementara menunggu waktu isyak, aku dan Samad beredar ke pekarangan Masjid; Di tepi kubu itu, dia memerhatikan keadaan sekelilingi.

Nilai
(a) Pengorbanan. Contohnya, Datuk Bahaman dan para pengikutnya sanggup berkorban untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah.
(b) Menepati janji. Contohnya, Datuk Bahaman menepati janji antara beliau dengan sultan.
(c) Keberanian. Perajurit-perajurit Datuk Bahaman telah berjuang menentang penjajah Inggeris dengan berani.
(d) Ketegasan. Contohnya, Datuk Bahaman sangat tegas sewaktu memimpin pasukan perangnya.
(e) Kebijaksanaan. Contohnya, Datuk Bahaman meregang rantai besi di dalam sungai untuk memerangkap musuh-musuhnya.
(f) Setia kawan. Contohnya, Datuk Bahaman berusaha menyelamatkan orang-orangnya yang ditangkap Inggeris.
(g) Cinta akan negara. Contohnya, Datuk Bahaman dan para pengikutnya sanggup melakukan apa-apa sahaja demi tanah air tercinta.
(h) Kepatuhan. Contohnya, para pengikut Datuk Bahaman patuh akan arahan beliau.

Pengajaran
(a) Kita hendaklah mencintai tanah air kita dengan sepenuh jiwa kita. Contohnya, Datuk Bahaman dan para pengikutnya sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan tanah air
yang tercinta.
(b) Kita hendaklah mempunyai ilmu dan kemahiran dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Contohnya, Zahid dan rakan-rakannya berlatih silat dan bermain senjata untuk menghadapi Inggeris. Rahmad dan rakan-rakannya berlatih membaling bambu runcing.
(c) Kita hendaklah memiliki sifat kepemimpinan yang baik. Contohnya, Datuk Bahaman mempunyai sifat kepemimpinan yang tinggi dalam memimpin pasukan perajuritnya untuk menentang Inggeris.
(d) Kita hendaklah sentiasa berwaspada dalam bertindak. Contohnya, Datuk Bahaman berhati-hati dalam tindakannya menghadapi penjajah Inggeris.
(e) Kita hendaklah menepati janji. Contohnya, Datuk Bahaman telah menepati janjinya dengan sultan. Datuk Bahaman mengarahkan para pengikutnyanya menembak ke udara semasa bertempur dengan askar-askar sultan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...