Rabu, 18 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 5 - SEJAK PESAN LELAKI KECIL KEPADA GADIS KAMPUS (SAZALEE YACOB)

Maksud

Rangkap 1
Penyajak menghantar anak dara suntinya ke tempat baharu yang jauh berbeza kehidupannya supaya anaknya itu menimba ilmu dan pengalaman di menara gading.

Rangkap 2
Penyajak melepaskan anak gadisnya untuk mengenali kehidupan yang banyak dugaan dan cabaran serta memerlukan pertimbangan akal yang waras.

Rangkap 3
Penyajak mengingatkan anak gadisnya bahawa kehidupan di kampus bukan sahaja penuh dengan ilmu pengetahuan, bahkan juga sarat dengan dugaan yang mampu menghanyutkan budi pekerti dan meninggikan ego.

Rangkap 4
Penyajak menasihati anak gadisnya agar pandai membawa diri dalam mengharungi kehidupan baharu. Penyajak berharap agar anaknya itu tidak pulang dengan kedukaan dan kegagalan.

Tema
Sajak “Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus” bertemakan nasihat ibu bapa kepada anak gadis yang akan melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi.

Persoalan
(a) Perbezaan antara kehidupan di desa dengan kehidupan di kampus.
(b) Harapan bapa supaya anaknya dapat menikmati peluang untuk menimba ilmu di menara gading.
(c) Keberanian bapa yang melepaskan anak gadis suntinya untuk menuntut ilmu di menara gading.
(d) Kehidupan di kampus yang banyak cabaran.
(e) Keegoan yang mengetepikan pekerti.
(f) Kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran dan dugaan di kampus.

Bentuk Sajak
(a) Terdiri daripada empat rangkap.
(b) Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama, iaitu rangkap pertama: lapan baris, rangkap kedua: enam baris, rangkap ketiga: enam baris, dan rangkap keempat: lima baris.
(c) Jumlah patah kata dalam setiap baris antara tiga hingga enam patah kata dalam satu baris.
(d) Bilangan suku katanya antara lima hingga lima belas suku kata.
(e) Rima akhirnya ialah rangkap pertama: aabcaade, rangkap kedua: abcdef, rangkap ketiga: abcdeb, dan rangkap keempat: abacd.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Bahasa klasik atau Sanskrit. Contoh: bumantara; azimattangkal.
(b) Diksi atau pemilihan kata begitu indah dan berkesan. Contoh: memesrai azimat dan tangkal; menongkah awan perak dan kabut dingin; tumbuh gunung ego menghalau pekerti.
(c) Hiperbola. Contoh: hadir sihir angin bernafas api.
(d) Unsur alam. Contoh: angin; burung putih; kabut; kabus.
(e) Asonansi. Contoh: Kulepaskan kau menjadi burung putih (perulangan bunyi vokal u).
(f) Aliterasi. Contoh: dengan suasana suntimu (perulangan bunyi konsonan s).

Nada
Sajak “Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus” bernada melankolik.

Nilai
(a) Baik hati.
(c) Keberanian.
(b) Kasih sayang.
(d) Kecekalan.

Pengajaran
(a) Kita mestilah bersikap baik hati supaya orang di sekeliling kita akan mendapat manfaat.
(b) Kita mestilah bersikap berani untuk melepaskan anak anak demi masa depan mereka.
(c) Kita hendaklah memberikan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak.
(d) Kita haruslah cekal menghadapi segala cabaran untuk mencapai matlamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...