Maksud
Rangkap 1
Penyajak berasa kesunyian kerana malam yang dilaluinya begitu sepi. Walau bagaimanapun, keadaan itu tetap tidak berubah pada keesokan harinya kerana tiada sesiapa yang datang untuk menziarahinya yang sudah tua.
Rangkap 2
Keheningan tasik dan kehijauan rumput hanyalah bayangan lalu. Kini, cinta yang tersemai sejak di dalam rahim telah dilupakan oleh anak-anaknya, iaitu daripada anak yang sulung hingga anak yang bongsu. Lantas, penyajak mencari erti hidup sewaktu dirinya menderita sakit dan keseorangan.
Rangkap 3
Penyajak berasa bahawa dirinya tidak bermakna kepada anak-anaknya. Namun demikian, penyajak berdoa agar anak-anaknya diberi keinsafan supaya duka di hatinya terubat. Penyajak sedar bahawa tiada yang kekal kecuali Tuhan.
Tema
Sajak “Erti Hidup Bererti” bertemakan kesunyian hidup yang dilalui oleh golongan warga tua.
Persoalan
(a) Kehidupan seorang tua yang tidak dijenguk dan tidak dipedulikan oleh anak-anak.
(b) Kasih dan sayang orang tua yang tidak dihargai oleh anak-anak.
(c) Kegembiraan ibu atau bapa pada masa lalu hanya tinggal kenangan.
(d) Sikap anak-anak yang saling menolak tanggungjawab untuk menjaga orang tua mereka.
(e) Harapan orang tua yang tetap sayang akan anak-anaknya.
(f) Orang tua berharap agar anak-anaknya diberi keinsafan.
(g) Kesedaran bahawa Tuhan sahaja yang kekal abadi.
Bentuk Sajak
(a) Terdiri daripada tiga rangkap.
(b) Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama. Rangkap pertama: tujuh baris, rangkap kedua: sepuluh baris, dan rangkap ketiga: sebelas baris.
(c) Jumlah patah kata dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara dua hingga enam patah kata dalam satu baris.
(d) Bilangan suku katanya antara empat hingga tiga belas suku kata.
(e) Rima akhir sajak ini ialah rangkap pertama: aabcaca, rangkap kedua: abccdeafgh, dan rangkap ketiga: aabacdefdgc.
Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Anafora. Contoh: ada yang mati ada yang hidup.
(b) Diksi atau pemilihan kata begitu indah dan berkesan. Contoh: dari sulung ditendang ke bongsu; berdiri tanpa ruang; semoga disirami benih keinsafan.
(c) Hiperbola. Contoh: cinta dalam rahim dilupai; embun cinta atasi angin dingin.
(d) Metafora. Contoh: benih keinsafan.
(e) Simile. Contoh: bagai kalung.
(f) Unsur alam. Contoh: malam; tasik; rumput; angin.
(g) Asonansi. Contoh: Aku selalu didatangi (perulangan bunyi vokal a).
(h) Aliterasi. Contoh: menderita mengerang sakit (perulangan bunyi konsonan m).
Nada
Sajak “Erti Hidup Bererti” bernada melankolik.
Nilai
(a) Bertanggungjawab.
(c) Keinsafan.
(b) Kasih sayang.
(d) Ketabahan.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah berasa insaf dan sedar bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara.
(b) Ibu bapa mestilah bersikap penyayang terhadap anak-anak.
(c) Kita haruslah tabah menghadapi dugaan hidup.
(d) Anak-anak sepatutnya bertanggungjawab terhadap Ibu bapa yang sudah tua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan