Rabu, 18 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 5 - SAJAK SEJADAH RINDU (MOHD. HAIKAL AMINUDDIN)

Maksud

Rangkap 1
Penyajak terkedu di atas sejadah sewaktu mengungkapkan kalimah syahdu yang menyentuh kalbu dan menginsafi dosa-dosa yang lalu.

Rangkap 2
Dengan rasa rendah diri, penyajak memohon agar dibukakan ruang keampunan sebelum dia meninggal dunia.

Rangkap 3
Dengan bersaksikan air mata dan keikhlasan sebagai bukti, penyajak bersujud untuk melafazkan taubat dengan nafas yang sebak dalam suasana yang bening.

Rangkap 4
Hati penyajak luluh dan jiwanya tersentuh dengan ayat-ayat cinta yang disusun rapi sewaktu memohon keampunan daripada Pencipta dengan perasaan gemuruh.

Rangkap 5
Penyajak berdoa kepada Yang Esa agar mengizinkannya menjadi manusia yang sentiasa taat akan perintah-Nya dan sedar bahawa dunia ini hanya bersifat sementara.

Tema
Sajak “Sejadah Rindu” bertemakan ketuhanan dan ketaatan kepada agama.

Persoalan
(a) Keinsafan atas segala dosa-dosa lalu yang menghantui hidup.
(b) Pengharapan terhadap pengampunan daripada Pencipta sebelum meninggal dunia.
(c) Keikhlasan dalam memohon keampunan daripada Yang Esa.
(d) Taubat yang dilakukan dengan ikhlas hati sehingga menitiskan air mata.
(e) Keampunan yang diharapkan hanyalah daripada Pencipta.
(f) Dunia ini cuma bersifat sementara.

Bentuk Sajak
(a) Terdiri daripada lima rangkap.
(b) Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama, iaitu rangkap pertama: enam baris, rangkap kedua: enam baris, rangkap ketiga: tujuh baris, rangkap keempat: enam baris, dan rangkap kelima: enam baris.
(c) Jumlah patah kata dalam setiap baris antara satu hingga enam patah kata.
(d) Bilangan suku katanya antara tiga hingga empat belas suku kata.
(e) Rima akhirnya ialah rangkap pertama: aaaaaa, rangkap kedua: aaaaaa, rangkap ketiga: aabaaaa, rangkap keempat: aaaaaa, dan rangkap kelima: aaaaaa.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Bahasa Arab. Contoh: kalimah; Ilahi; taubat.
(b) Inversi. Contoh: Terkedu aku (sepatutnya: Aku terkedu).
(c) Metafora. Contoh: sejadah rindu.
(d) Personifikasi. Contoh: Air mata menjadi saksi.
(e) Asonansi. Contoh: keikhlasan menjadi bukti (perulangan bunyi vokal i).
(f) Aliterasi. Contoh: kupohon kembali nafas kehidupan (perulangan bunyi konsonan k).

Nada
Sajak “Sejadah Rindu” bernada melankolik.

Nilai
(a) Kegigihan.
(c) Keinsafan.
(b) Keikhlasan.
(d) Ketaatan.

Pengajaran
(a) Kita hendaklah insaf akan dosa dan kesalahan yang lalu.
(b) Kita haruslah berusaha dengan gigih dan tidak berputus asa.
(c) Kita mestilah memohon keampunan dengan penuh keikhlasan.
(d) Kita perlu taat kepada Pencipta.
(e) Kita sepatutnya sedar bahawa dunia ini hanya bersifat sementara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...