Rabu, 18 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 5 - SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU (ZA'BA)

Maksud

Rangkap 1
Raja menitahkan orang besar berempat supaya membina sebuah istana yang dikelilingi parit dan tembok. Keempat-empat orang besar yang setia dan taat terhadap perintah raja itu pun memanggil Pawang Raja. Kemudian, Pawang Raja telah mengerahkan empat puluh empat orang tukang yang mahir bekerja siang dan malam untuk menyiapkan sebuah istana.

Rangkap 2
Setelah mengambil masa selama tujuh bulan dan tujuh purnama, akhirnya istana yang dilengkapi dengan segala kemudahan itu siap dibina. Istana yang besar tersergam itu mempunyai sembilan ruang utama, sepuluh rembat guntung, sebelas pancung serong, dan dua belas anjung tinggi.

Rangkap 3
Istana yang dibina itu juga mempunyai tiga sudut yang menempatkan lapan orang menteri. Sudut itu mempunyai reka bentuk dan seni ukiran yang amat unik buatannya, iaitu bertiang panjang maharaja lela dan bertiang tengah syukur menanti. Selain itu, galang-galang istana bermotifkan ular berang, kasau kecil bermotifkan puteri menyembah, dan kasau lentik bermotifkan helang terbang.

Rangkap 4
Keunikan seni ukiran dinding istana itu terletak pada corak hiasan dindingnya yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan berbunga dan unsur semula jadi. Ukiran seni bina Jawa dan Cina turut digunakan di samping motif haiwan dan tumbuh-tumbuhan seperti ular, layang-layang, dan sebuku garam.

Rangkap 5
Setelah istana itu siap dibina, semua tukang yang ditugaskan membina istana itu telah dibunuh agar tiada seorang pun tukang yang lain dapat meniru kehalusan corak dan keunikan seni bina istana tersebut. Istana baharu yang tersergam indah itupun dipersembahkan kepada raja dan permaisuri.

Tema
Seloka "Berbuat Istana Zaman Dahulu" bertemakan sindiran terhadap pemerintah yang mengutamakan kepentingan diri untuk kegemilangan peribadi sehingga sanggup mengorbankan nyawa rakyat bagi memenuhi kehendak dan cita-cita.

Persoalan
(a) Kegigihan dalam melakukan tugas.
(b) Kesetiaan rakyat tanpa berbelah bahagi kepada pemerintah.
(c) Kehalusan seni ukiran dan keunikan seni bina.
(d) Tanggungjawab rakyat terhadap pemerintah.
(e) Ketelitian dalam reka bentuk istana.

Bentuk dan Ciri-ciri Seloka
(a) Terdiri daripada lima rangkap.
(b) Bilangan baris dalam rangkap tidak sama, iaitu rangkap pertama: enam baris, rangkap kedua: enam baris, rangkap ketiga: enam baris, rangkap keempat: lapan baris, dan rangkap kelima: tiga baris.
(c) Setiap baris mengandungi dua hingga enam patah perkataan.
(d) Bilangan suku katanya antara lapan hingga tujuh belas suku kata.
(e) Rima akhirnya ialah rangkap pertama: abbbcd, rangkap kedua: aabcde, rangkap ketiga: abcdeb, rangkap keempat: abcddefa, dan rangkap kelima: aba.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Anafora. Contoh:
Tiang panjang maharaja lela,
Tiang tengah syukur menanti.
(b) Kata arkaik . Contoh: utas; berbega; bersedelinggam.
(c) Inversi. Contoh: Garam sebuku sisa jeragan (sepatutnya Sisa jeragan sebuku garam).
(d) Metafora. Contoh: anjung tinggi; Tiang tengah.
(e) Personifikasi. Contoh: Tiang tengah syukur menantiLilit-melilit akar Cina.
(f) Repetisi. Contoh: Empat puluh empat tukang dan utasTujuh bulan tujuh purnama.
(g) Responsi. Contoh: Sepuluh dengan rembat guntung, Sebelas dengan pancung serong, Dua belas dengan anjung tinggi.
(h) Asonansi. Contoh: Galang-galangnya ular berang (perulangan bunyi vokal a).
(i) Aliterasi. Contoh: Kasau kecil puteri menyembah (perulangan bunyi konsonan k).

Nilai
(a) Bertanggungjawab.
(d) Kerajinan.
(b) Kasih sayang.
(e) Kerjasama.
(c) Kebijaksanaan.
(f) Ketaatan.

Pengajaran
(a) Kita sepatutnya taat akan perintah ketua atau pemimpin demi keharmonian sesebuah negara.
(b) Kita hendaklah gigih berusaha tanpa mengenal erti penat dan lelah.
(c) Sebagai rakyat, kita mestilah menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh integriti.
(d) Kita perlu rajin bekerja dengan sungguh-sungguh untuk memastikan segala perancangan yang dibuat berjaya membuahkan hasil.
(e) Kita haruslah mengamalkan sikap kerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...