Maksud
Rangkap 1
Penyajak telah bertekad dengan mengatur perancangan untuk membebaskan kehidupannya daripada belenggu kemiskinan pada setiap masa.
Rangkap 2
Dalam pemikiran penyajak, akan berlaku pertelingkahan antara masalah dengan perkara mudah yang akan ditempuhinya dalam usahanya untuk membebaskan pemikirannya daripada dipergunakan oleh orang lain.
Rangkap 3
Penyajak merasakan bahawa dalam meniti kehidupannya, banyak dugaan dan cabaran yang akan ditempuhinya. Pelbagai dugaan yang berlaku itu menguji kesabaran dan keimanan dirinya.
Rangkap 4
Tatkala penyajak berasa dirinya sudah kuat dan teguh, kadangkala dia terperdaya oleh tipu muslihat yang begitu licik. Namun begitu, penyajak bernasib baik kerana dia cepat-cepat sedar dan segera berwaspada dalam setiap tindak-tanduknya.
Rangkap 5
Penyajak telah bersedia dan mempersiapkan dirinya untuk menerima cabaran dan sesuatu masalah yang mendatang. Penyajak juga perlu berani menyahut cabaran dan masalah yang bakal dihadapi dalam kehidupannya.
Rangkap 6
Penyajak semakin matang, berani, dan tidak berasa gentar dalam menghadapi setiap cabaran dan masalah yang berlaku dalam kehidupannya.
Rangkap 7
Penyajak sentiasa bermuhasabah diri supaya dapat membuat keputusan yang tepat dan lebih teguh agar perjuangan hidupnya tidak lagi tersasar, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi.
Rangkap 8
Penyajak banyak menempuhi peristiwa pahit dan manis sepanjang kehidupannya. Dalam usia yang sudah meningkat tua, penyajak mengingatkan dirinya agar tidak mempersia-siakan saki-baki kehidupannya, sebaliknya mengisi masa-masa tuanya dengan mendekatkan dirinya kepada Tuhan.
Tema
Sajak ini bertemakan ketabahan seorang insan tatkala berhadapan dengan dugaan dan liku-liku hidup.
Persoalan
(a) Kepentingan mengatur perancangan secara bijak dan teliti.
(b) Cabaran dan dugaan hidup yang harus ditempuhi.
(c) Kelicikan tipu muslihat yang memperdayakan seseorang.
(d) Kekuatan diri untuk melawan musuh.
(e) Keberanian menempuh cabaran dan rintangan.
(f) Keinsafan untuk membaiki kelemahan diri.
Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
(a) Berbentuk bebas atau tidak terikat.
(b) Terdiri daripada lapan rangkap.
(c) Bilangan barisnya dalam setiap rangkap tidak sama; rangkap pertama (empat baris), rangkap kedua (empat baris), rangkap ketiga (tiga baris), rangkap keempat (tiga baris), rangkap kelima (lima baris) rangkap keenam (lima baris), rangkap ketujuh (tujuh baris), dan rangkap kelapan (lapan baris).
(d) Jumlah patah kata dalam setiap baris tidak sama, iaitu antara tiga hingga lapan patah kata.
(e) Jumlah suku kata dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara tujuh hingga sembilan belas suku kata.
(f) Rima akhir sajak ini bebas; abac, abac, abb, abc, abbcd, abcbc, abcdefe, dan aabcadad.
Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Pemilihan kata yang indah dan pembinaan ungkapan oleh penyajak puitis dan berkesan. Contohnya, aku tanam saujana rancangan.
(b) Anafora. Contohnya; aku berlatih menangkis angin, aku berlatih memunggah awan (rangkap 5, baris 1 dan 2).
(c) Simbolik. Contohnya, aku bahas isu onak dan enak (onak melambangkan kesukaran/masalah/cabaran; enak melambangkan kesenangan/mudah).
(d) Repetisi. Contohnya, peristiwa datang peristiwa pergi.
(e) Metafora. Contohnya, ombak gelora, pantai aman, pangkalan usia.
(f) Personifikasi. Contohnya, ombak gelora menampar pantai aman, Kini, kapal diriku telah berlabuh di pangkalan usia.
(g) Sinkope. Contohnya, tak.
(h) Simile. Contohnya, bagai siang memanggil malam.
(i) Asonansi (perulangan bunyi vokal a). Contohnya, aku tak cemas lagi.
(j) Aliterasi (perulangan konsonan d). Contohnya: Dalam dewan diriku.
Nada
Sajak ini bernada melankolik.
Nilai
(a) Tanggungjawab.
(b) Keberanian.
(c) Rasional.
(d) Kegigihan.
(e) Ketabahan.
(f) Keinsafan.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah bertanggungjawab semasa memikul amanah untuk memajukan diri sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain.
(b) Kita mestilah berani menghadapi berbagai-bagai cabaran dan rintangan tanpa berasa gentar dan waswas.
(c) Kita perlulah gigih berusaha untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik tanpa mengenal erti putus asa.
(d) Kita haruslah tabah ketika berhadapan dengan cabaran dan dugaan dalam kehidupan.
(e) Kita hendaklah bijak semasa membuat perancangan hidup untuk memastikan segala-galanya akan membuahkan hasil yang baik dan sempurna.
(f) Kita hendaklah sedar dan insaf akan kesilapan yang telah kita lakukan dan bertekad untuk berubah menjadi lebih baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan