Rabu, 18 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 4 - PROSA TRADISIONAL KEPIMPINAN MELALUI TELADAN

Sinopsis

    Cerita ini bermula dengan peristiwa Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada mendapat khabar sedih tentang kematian tujuh orang penjuritnya yang telah dibunuh oleh Laksamana di Melaka. Orang suruhan Patih Gajah Mada telah menemui Kertala Sari untuk menjemputnya ke kediaman Patih Gajah Mada. Patih Gajah Mada telah membawa Kertala Sari berjumpa dengan Seri Betara di Istana Seri Betara, Majapahit. Seri Betara akan melantik Kertala Sari sebagai penggawa agung. Mereka berbincang cara-cara untuk membunuh Laksamana dan Raja Melaka sekali gus menumpaskan kerajaan Melaka. Seri Betara mengarahkan Kertala Sari ke Melaka untuk menuntut bela atas kematian tujuh orang penjuritnya dengan cuba membunuh Ratu Melaka dan Laksamana.

    Kertala Sari bersemangat waja dan bersedia untuk menjunjung perintah Seri Betara. Kertala Sari telah belayar ke Melaka bersama-sama sepuluh orang pengikutnya. Kertala Sari menyamar dirinya sebagai orang Jawa untuk bersama-sama penduduk kampung yang berketurunan Jawa di Melaka. Kertala Sari telah menyamar sebagai orang Patih Kerma Wijaya. Dia telah berjaya mengecam Laksamana yang telah membunuh bapanya. 

    Pada suatu malam, Kertala Sari telah menceroboh rumah seorang saudagar yang kaya. Semua harta benda milik saudagar itu telah disamun dan bini saudagar itu turut dicabul. Pada malam-malam berikutnya, Kertala Sari telah menceroboh rumah saudagar dan orang kaya yang lain. Semua harta benda mereka itu disamun oleh Kertala Sari. Raja Melaka terkejut apabila dikhabarkan tentang kecurian itu. Baginda telah menitahkan Temenggung agar mengerahkan pengawal untuk berkawal bagi menjaga keselamatan rumah-rumah dan kampung.

    Pada malam yang berikutnya, Kertala Sari menggunakan ilmu saktinya untuk menundukkan para pengawal yang berkawal di rumah orang kaya itu. Habis harta benda orang kaya itu dicurinya dan bini orang kaya itu turut dicabul oleh Kertala Sari. Sekali lagi, Raja Melaka mengarahkan Temenggung memperkukuh barisan pertahanan bagi mengawal negeri Melaka daripada ancaman pencuri. Temenggung telah mengerahkan lima ratus orang pengawal menjaga negeri Melaka. Pada malam berikutnya, rumah Bendahara pula dimasuki pencuri. Laksamana memberitahu Raja bahawa pencuri yang sedang mengganas di Melaka mempunyai kuasa sakti dan berasal dari luar Melaka.

    Laksamana memohon kebenaran Raja untuk mencuba menangkap pencuri itu. Laksamana memasang lembing, tombak, dan kayu di keliling istana Raja Melaka. Laksamana mencuba mengalihkan perhatian Kertala Sari agar tidak memasuki istana Raja Melaka dengan tipu muslihat itu. Pada waktu malam, Laksamana memakai pakaian serba hitam dan dia ternampak Kertala Sari cuba memasuki istana Raja Melaka. Laksamana menyembunyikan dirinya untuk melihat perkembangan penjahat itu. Pada suatu malam, Kertala Sari cuba memasuki istana itu untuk mencuri dan mengganggu bini raja yang muda-muda itu. Ketika dia sampai di istana, dia terdengar bunyi senjata dan kayu yang dipalu dengan begitu bising. Kertala Sari tidak jadi masuk ke istana Raja Melaka.

    Laksamana membuat tipu helah dengan menyamar sebagai penjahat dan berbaring di tengah pasar pada suatu malam. Laksamana berjaya membunuh Kertala Sari dengan menikam dadanya. Selepas membunuh Kertala Sari, Laksamana telah mengambil keris dan memotong alat sulit Kertala Sari sebagai bukti bahawa dialah pembunuh Kertala Sari itu. Orang ramai menghadap Raja Melaka dengan membawa anggota tubuh Kertala Sari dan mengaku bahawa
merekalah yang membunuh Kertala Sari. Bendahara Melaka tidak mempercayai dakwaan mereka. Laksamana masuk menghadap Raja Melaka dengan membawa bukti keris dan alat sulit milik Kertala Sari yang telah dipotongnya. Raja Melaka menganugerahinya anugerah atas keberaniannya menewaskan Kertala Sari.

    Raja Melaka menitahkan Bentara Tun Kasturi mengerahkan rakyat untuk mendapatkan harta yang dicuri dan disembunyikan oleh Kertala Sari di Bukit Cina semula. Raja Melaka mengagihkan segala harta yang diperoleh semula itu kepada tiga bahagian, iaitu dua bahagian diberikan kepada Laksamana dan satu bahagian diserahkan kepada pemilik asal harta yang berkenaan. Semua rakyat bersetuju dengan cadangan raja itu. Laksamana telah mengagihkan pula separuh harta yang diterimanya itu kepada tiga bahagian. Negeri Melaka kembali aman dan sentosa selepas Kertala Sari berjaya dibunuh. Sementara itu, Patih Gajah Mada mendapat berita tentang kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh Laksamana di Melaka. Patih Gajah Mada berusaha sedaya upaya untuk mencari hulubalang yang mampu membunuh Laksamana dan menawan negeri Melaka itu.

Tema
Kepahlawanan seorang Laksamana yang mempertahankan negara daripada ancaman musuh dan anasir luar.

Persoalan
(a) Persoalan kegagahan dan kehebatan pahlawan Melayu.
(b) Persoalan kebijaksanaan menggunakan strategi dan akal fikiran untuk menewaskan musuh.
(c) Persoalan taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi terhadap pemerintah.
(d) Persoalan menuntut bela atas kematian orang tersayang.
(e) Persoalan amanah semasa melaksanakan tugas.

Watak dan Perwatakan
(a) Watak utama – Laksamana
(b) Watak-watak sampingan – Kertala Sari, Seri Betara Majapahit, Bini Petala Bumi, Tujuh orang penjurit, Saudagar yang kaya, Temenggung, Bendahara, dan sebagainya.

Laksamana
(a) Beliau merupakan seorang daripada hulubalang Melaka.
(b) Beliau berjaya menewaskan Kertala Sari dan tujuh orang penjurit termasuklah Petala Bumi.
(c) Seorang yang bijaksana.
(d) Seorang yang berani dan gagah.
(e) Seorang yang digeruni oleh pihak lawan.
(f) Seorang yang baik hati.
(g) Seorang yang patuh akan perintah raja.
(h) Seorang yang bertanggungjawab.

Kertala Sari
(a) Seorang hulubalang kerajaan Majapahit.
(b) Bapanya, Petala Bumi telah dibunuh oleh Laksamana.
(c) Seorang yang berani bertindak.
(d) Seorang yang kejam dan ganas.
(e) Seorang yang memiliki ilmu kesaktian.
(f) Seorang yang pendendam.
(g) Seorang yang patuh akan perintah pemerintah.

Raja/Ratu Melaka
(a) Baginda juga dikenal sebagai Tuanku Syah Alam.
(b) Seorang yang adil dan saksama.
(c) Seorang yang mementingkan keharmonian negara.
(d) Seorang yang mengenang jasa hulubalang.
(e) Seorang yang rasional semasa membuat tindakan.

Patih Gajah Mada
(a) Merupakan pembesar kerajaan Majapahit.
(b) Seorang yang pendendam.

Latar

Latar Tempat
(a) Majapahit.
(b) Rumah Petala Bumi.
(c) Bukit Cina.
(d) Istana Tuanku Syah Alam/Raja Melaka.
(e) Tengah pasar.
(f) Melaka.

Latar Masa
(a) Zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.
(b) Waktu pagi.
(c) Waktu siang.
(d) Waktu malam.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat Melayu yang hidup pada zaman pemerintahan feudal yang taat dan patuh akan perintah raja.
(b) Golongan istana yang terdiri daripada pemerintah, menteri-menteri, dan hulubalang.
(c) Masyarakat yang ingin menuntut bela terhadap kematian orang tersayang.
(d) Masyarakat yang bijak menggunakan tipu muslihat untuk menjerat musuh.
(e) Masyarakat yang mengamalkan ilmu kesaktian semasa melaksanakan tugas.
(f) Masyarakat yang berani melawan musuh.

Plot

 Binaan plot
(a) Permulaan cerita mengisahkan Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada mendapat khabar sedih tentang kematian tujuh orang penjuritnya yang telah dibunuh oleh Laksamana di Melaka. Patih Gajah Mada yang merupakan pembesar kerajaan Majapahit telah menemui Kertala Sari dan membawanya menghadap Seri Betara Majapahit. Seri Betara menitahkan Kertala Sari ke Melaka untuk membunuh Ratu Melaka dan Laksamana bagi menuntut bela terhadap kematian tujuh orang penjuritnya.

(b) Cerita berkembang apabila Kertala Sari belayar ke Melaka bersama-sama dengan sepuluh orang pengikutnya. Kertala Sari menyamar dirinya sebagai orang Jawa untuk bersama-sama penduduk kampung yang berketurunan Jawa di Melaka.

(c) Cerita sampai kepada tahap perumitan apabila pada suatu malam Kertala Sari telah menceroboh rumah seorang saudagar yang kaya. Semua harta benda milik saudagar itu telah disamun dan bini saudagar itu turut dicabulnya. Kertala Sari mengulangi perbuatannya itu pada malam-malam yang berikutnya. Raja Melaka terkejut apabila dikhabarkan tentang kecurian itu. Raja Melaka telah menitahkan Temenggung agar mengerahkan pengawal untuk berkawal bagi menjaga keselamatan rumah-rumah dan kampung.

(d) Cerita sampai kepada tahap klimaks apabila Laksamana telah berjaya membunuh Kertala Sari dengan menikam dadanya. Laksamana membuat tipu helah dengan menyamar sebagai penjahat dan berbaring di tengah pasar pada suatu malam. Selepas membunuh Kertala Sari, Laksamana telah mengambil keris dan memotong alat sulit Kertala Sari sebagai bukti bahawa dialah pembunuh Kertala Sari.

(e) Cerita sampai kepada tahap peleraian apabila banyak orang datang menghadap Raja Melaka dengan membawa anggota tubuh Kertala Sari dan mengaku bahawa merekalah yang membunuh Kertala Sari. Bendahara Melaka tidak mempercayai dakwaan mereka. Kemudian, Laksamana masuk menghadap Raja Melaka dengan membawa bukti keris dan alat sulit milik Kertala Sari yang telah dipotong. Raja Melaka menganugerahinya anugerah atas keberaniannya menewaskan Kertala Sari. Patih Gajah Mada pula berusaha dengan sedaya upaya untuk mencari hulubalang yang mampu membunuh Laksamana dan menawan negeri Melaka itu.

Teknik Plot
(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang memerihalkan peristiwa Kertala Sari mencari suatu tempat yang sesuai untuk menyimpan harta benda yang akan dicurinya nanti.
 
(b) Teknik kejutan. Contohnya, pengarang menimbulkan unsur kejutan kepada pembaca melalui sifat ganas Kertala Sari yang turut mencabul kehormatan bini saudagar dan bini orang kaya ketika mencuri di rumah mereka.

(c) Teknik monolog. Contohnya, Kertala Sari bermonolog dalaman ketika pertama kali dia terpandang Laksamana Melaka di istana raja Melaka.

(d) Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Kertala Sari dengan ibunya ketika Kertala Sari baru pulang mencuri dari Daha. Contoh: Setelah sudah Kertala Sari datang ke rumahnya, maka ia pun bertanya kepada ibunya, “Hai ibuku, ke mana pergi bapaku maka tiada aku lihat ini?” Setelah sudah ibunya mendengar kata anaknya demikian itu, maka ibunya pun menangis, seraya berkata, “Hai anakku, yang bapamu itu sudah mati dibunuh oleh seorang Melayu bernama Laksamana Hulubalang Ratu Melaka.”

Gaya Bahasa
(a) Penggunaan kata penanda wacana. Contohnya, hatta, alkisah, maka.
(b) Bahasa Arab. Contohnya, Insya-Allah Taala, syahwatDemi Allah.
(c) Pengaruh bahasa istana. Contohnya, tuanku, patikbaginda, titah.
(d) Bahasa Melayu klasik. Contohnya, manira, pakanirakarar.
(e) Simile. Contohnya, Maka dilihatnya Kertala Sari sedang berkata-kata dengan ibunya seperti laku orang berkelahi.
(f) Personifikasi. Contohnya, maka dilihatnya senjata dan kayu palu-memalu, tikam-menikam dan radak-meradak.
(g) Hiperbola. Contohnya, Maka didengar oleh Laksamana kaki Kertala Sari itu terlalu gemuruh bahananya.
(h) Perulangan kata/Repetisi. Contohnya, “Daulat tuanku, mohon ampun dan kurnia; adapun penjurit ini bukan penjurit negeri ini, penjurit negeri lain.

Nilai
(a) Kasih sayang. Contohnya, Kertala Sari amat menyayangi bapanya, Petala Bumi yang telah mati dibunuh oleh Laksamana.
(b) Kegigihan. Contohnya, Laksamana gigih menjejaki penjurit atau pencuri yang telah mencuri harta benda serta membuat kekacauan di Melaka.
(c) Ketaatan. Contohnya, Kertala Sari taat dan patuh menjunjung titah Seri Betara yang mengarahkannya ke Melaka untuk membunuh Raja Melaka dan Laksamana.
(d) Semangat bermasyarakat. Contohnya, rakyat jelata dan pembesar Melaka bersatu hati untuk mengawal kawasan kampung masing-masing daripada diceroboh oleh pencuri.
(e) Kebijaksanaan. Contohnya, Laksamana bijak menggunakan akal bagi menyusun strategi untuk memerangkap penjurit/pencuri yang mencetuskan kekacauan di Melaka itu.
(f) Tanggungjawab. Contohnya, Laksamana bertanggungjawab memulihkan keamanan negeri Melaka dengan berusaha sedaya upayanya untuk menangkap pencuri/ penjurit itu.
(g) Keberanian. Contohnya, Laksamana berani melawan musuh yang mengancam keharmonian negeri Melaka.

Pengajaran
(a) Kita hendaklah cekap menyusun strategi bagi menumpaskan pihak musuh.
(b) Kita mestilah bijak menggunakan tipu muslihat untuk menjerat musuh.
(c) Kita mestilah berani menghadapi ancaman musuh.
(d) Kita hendaklah mempunyai sikap taat dan setia terhadap pemerintah tanpa berbelah bahagi.
(e) Kita hendaklah menghindarkan diri daripada menyimpan perasaan dendam terhadap orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...