Rabu, 18 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 4 - DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA (AFFIX ZULKARNAEN ADAM)

Sinopsis

   Drama ini mengisahkan Aiman, seorang murid berusia  17 tahun yang memberikan berbagai-bagai alasan untuk tidak menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Aiman menerima surat tawaran daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara yang memaklumkan pemilihan Aiman sebagai seorang daripada pelatih PLKN. Keadaan ini menimbulkan konflik dalaman kepada Aiman kerana dia sememangnya tidak berminat untuk mengikuti siri PLKN itu disebabkan pengetahuan serta pemahamannya yang kurang tentang kebaikan mengikuti program berkenaan. Selain itu, Aiman beranggapan bahawa PLKN mungkin akan menggugat zon keselesaannya kerana dia berasal daripada keluarga yang berada dan sudah biasa hidup dalam kemewahan.

    Konflik antara Aiman dengan Nek Sinah bermula apabila dia merasakan Nek Sinah seolah-olah mengatur kehidupannya apabila menjemputnya untuk makan tengah hari. Oleh itu, dia telah melayan orang gajinya itu dengan kasarnya. Nek Sinah berasa kecewa dengan sikap Aiman yang tidak menghormatinya sebagai orang tua. Nek Sinah hanya bersabar ketika berhadapan dengan kerenah Aiman itu.
    
    Di sekolah, kawan-kawannya memberitahu Aiman tentang namanya yang telah terpilih bagi mengikuti PLKN. Aiman tawar hati apabila mendengar berita itu. Sundarani, Nora, Syuhada, Ah Tiau, dan Aiman berbincang tentang PLKN. Masing-masing melahirkan perasaan bangga dan teruja kerana terpilih sebagai pelatih baharu PLKN. Semasa sesi pembelajaran di dalam kelas, Cikgu Dahari telah menerangkan dengan panjang lebar tentang PLKN kepada Aiman dan rakan-rakan sekelasnya. Kebetulan, Cikgu Dahari juga merupakan pengajar sambilan PLKN yang memfokuskan modul PPSB, iaitu Program Penghayatan Sastera dan Budaya.

    Selepas pulang dari sekolah, Aiman mengemukakan masalah pemilihan namanya sebagai pelatih PLKN kepada bapanya bagi meraih simpati dan pertolongan. Hasrat Aiman meminta bantuan bapanya yang mempunyai pengaruh dan kedudukan untuk mengecualikan penyertaannya dalam PLKN tidak kesampaian apabila bapanya menolak kemahuannya. Sebaliknya, bapa Aiman bertegas agar Aiman mengikuti PLKN kerana program tersebut banyak mengandungi kebaikan. Sementara itu, Puan Masnah, iaitu ibu Aiman menyebelahi anaknya. Dia kurang bersetuju Aiman mengikuti PLKN atas faktor keselamatan nyawa anaknya. Namun begitu, bapa Aiman tetap teguh dengan pendirian asalnya. Sementara itu, bapa Aiman bercadang untuk merehatkan fikirannya di kelab golf.

    Ketika Aiman melayari berbagai-bagai laman sesawang di biliknya, dia telah terbaca satu berita tentang kejayaan seniornya yang bernama Syufia yang berjaya mendapat anugerah pelatih terbaik wirawati di Kem Gerakhas, Desaru, Johor dan juga seniornya, Ziman yang berjaya hidup berdikari selepas menjalani program PLKN. Kejayaan mereka itu telah menyuntik semangat baharu kepadanya. Akhirnya, Aiman tersedar akan kesilapannya yang memberikan tanggapan negatif terhadap pelaksanaan PLKN. Aiman berjanji kepada dirinya untuk mengikuti PLKN bagi membentuk dirinya supaya boleh berdikari seterusnya menyahut seruan berkhidmat untuk tanah air tercinta.

Tema
Tema drama ini ialah kesedaran generasi muda untuk memupuk semangat cinta akan negara yang diperoleh melalui pelibatan mereka dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Persoalan
(a) Kesediaan generasi muda mengikuti dasar kerajaan.
(b) Tanggungjawab ibu bapa untuk menentukan keberkesanan dasar kerajaan.
(c) Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak.
(d) Kesedaran tentang kepentingan menyertai program kerajaan.
(e) PLKN membentuk sikap berdikari dan jati diri dalam diri generasi muda.

Watak dan Perwatakan
(a) Watak utama – Aiman.
(b) Watak sampingan – Khir Ghazali, Masnah, Cikgu Dahari, Posmen, Nek Sinah, Syuhada, Ah Tiau, Sundarani, dan sebagainya.

Aiman
(a) Nama penuhnya ialah Aiman Faizullah bin Khir Ghazali.
(b) Dia merupakan anak bongsu daripada dua orang adik-beradik.
(c) Dia berumur 17 tahun.
(d) Seorang yang bersifat agresif.
(e) Seorang yang suka tidur.
(f) Seorang yang mementingkan kemewahan hidup.
(g) Seorang yang bersikap biadab dan kurang sopan.
(h) Seorang yang sedar akan kesilapan dan ingin berubah.

Khir Ghazali
(a) Bapa kepada Aiman dan Dapnia.
(b) Suami kepada Masnah.
(c) Beliau berpangkat Datuk.
(d) Seorang yang gigih bekerja.
(e) Seorang yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat.
(f) Seorang yang berpendirian tegas.
(g) Seorang yang berpandangan jauh.
(h) Seorang bapa yang penyayang.
(i) Seorang yang bersifat merendah diri.

Masnah
(a) Ibu kepada Dapnia dan Aiman.
(b) Beliau bergelar Datin.
(c) Seorang yang penyayang.
(d) Seorang yang sibuk dengan berbagai-bagai urusan.
(e) Seorang yang mudah mengakui kesilapan diri.

Latar
Latar Tempat
(a) Rumah Khir Ghazali.
(b) Sekolah.
(c) Bilik Aiman.

Latar Masa
(a) Cuti hujung minggu.
(b) Waktu tengah hari.

Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang mementingkan semangat patriotik/cinta akan negara.
(b) Masyarakat yang menyayangi anggota keluarga.
(c) Masyarakat yang berintegriti dan amanah semasa memikul tanggungjawab.
(d) Masyarakat yang berpandangan jauh.
(e) Masyarakat yang mempunyai pengaruh dan kedudukan dalam kalangan masyarakat.
(f) Masyarakat yang terlalu memanjakan anak.
(g) Masyarakat yang berpendirian tegas.

Plot

(a) Permulaan drama ini mengisahkan watak Aiman yang menerima sepucuk surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara sebagai pelatih baharu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

(b) Cerita berkembang apabila Aiman menunjukkan berbagai-bagai reaksi setelah menerima surat tawaran daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara yang dihantar oleh posmen itu.

(c) Cerita sampai kepada tahap perumitan apabila berlaku konflik dalam diri Aiman kerana dia sememangnya tidak berminat untuk mengikuti siri PLKN itu disebabkan pengetahuan serta pemahamannya yang kurang tentang kebaikan seseorang remaja mengikuti program berkenaan.

(d) Cerita sampai kepada tahap klimaks apabila Aiman cuba meminta bantuan bapanya yang mempunyai pengaruh dan kedudukan itu untuk mengecualikannya daripada pelatih baharu Program Latihan Khidmat Negara. Namun begitu, bapanya menolak kemahuannya itu. Bapa Aiman bertegas kepada Aiman agar mengikuti PLKN itu kerana program itu banyak mengandungi kebaikan yang tidak diketahui oleh Aiman. Ibu Aiman menyebelahi anaknya. Dia kurang bersetuju Aiman mengikuti PLKN atas faktor keselamatan nyawa anaknya. Namun begitu, bapanya tetap teguh dengan pendirian asalnya.

(e) Cerita sampai kepada tahap peleraian apabila Aiman tersedar akan kesilapannya yang memberikan tanggapan negatif terhadap pelaksanaan PLKN itu selepas membaca berita tentang kejayaan senior-seniornya semasa mengikuti kursus PLKN. Aiman berjanji kepada dirinya untuk mengikuti kursus PLKN bagi membentuk dirinya supaya boleh hidup berdikari, seterusnya menyahut seruan untuk berbakti kepada tanah air yang tercinta.

Teknik Plot

(a) Teknik pemerian. Contohnya, pengarang menggambarkan sikap Aiman yang bersantai dan hanya melakukan segala kerja yang diminatinya pada cuti hujung minggu.

(b) Teknik saspens. Contohnya, pengarang menggunakan teknik saspens dengan membiarkan pembaca tertanya-tanya tentang keputusan yang bakal dibuat oleh Khir Ghazali apabila anaknya, Aiman bercadang untuk menggunakan kedudukan dan pengaruh bapanya untuk mengecualikan dirinya daripada menyertai PLKN.

(c) Teknik kejutan. Contohnya, pembaca dikejutkan dengan tindakan Datuk Khir Ghazali yang tidak mahu menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mengecualikan penyertaan anaknya, Aiman daripada PLKN itu.

(d) Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Aiman dengan posmen yang menghantar surat tawaran PLKN ke rumahnya. Contoh: 
POSMEN: Ada sesiapa yang bernama Aiman Faizullah bin Khir Ghazal di rumah ini?
AIMAN: Ada, sayalah orangnya. Surat apa ini?
POSMEN: Surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara. Ini bermakna, adik terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara.

(e) Teknik konflik. Contohnya, konflik yang berlaku antara Aiman dengan Nek Sinah. Aiman kurang menyenangi kata gelaran yang digunakan oleh Nek Sinah kepadanya. 

(f) Teknik monolog. Contohnya, Aiman berfikir sesuatu
secara bersendirian sambil menanyakan dirinya tentang
tindakan yang perlu dibuat dengan surat tawaran PLKN
yang diterimanya.

Gaya Bahasa
(a) Pengaruh bahasa Arab. Contoh: Assalamualaikum, Waalaikumussalam.
(b) Pengaruh bahasa Inggeris: Contoh: mummy, daddy.
(c) Simile. Contoh: Cuti hujung minggu sudah menjadi seperti masa yang terbaik untuk AIMAN bersantai dan melakukan segala perkara yang dimahukannya.
(d) Metafora. Contoh: Buta sejarah betul kau ini.
(e) Inversi. Contoh: Tak fahamlah saya, bang.
(f) Perulangan kata atau repetisi. Contoh: Aku tak suka, tak suka.
(g) Peribahasa: Contoh: hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lurus bendul, bodoh sombong, besar panjang.

Nilai
(a) Kasih sayang. Contohnya, Datuk Khir Ghazali amat menyayangi Aiman dan keluarganya. Beliau memutuskan agar Aiman menghadiri PLKN untuk membentuk peribadi anaknya itu agar menjadi insan yang berguna kepada nusa dan negara.
(b) Cinta akan negara/Patriotisme. Contohnya, kawan-kawan sekelas Aiman yang terdiri daripada Nora, Syuhada, Ah Tiau, dan Sundarani sangat teruja dan berbangga apabila nama mereka terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara.
(c) Kegigihan. Contohnya, Cikgu Dahari gigih membimbing dan memberikan tunjuk ajar kepada pelatih PLKN tentang Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB).
(d) Hemah tinggi. Contohnya, Nek Sinah bertutur dengan suara yang lemah lembut ketika mengajak Aiman makan tengah hari walaupun Aiman melayannya dengan bersikap kurang sopan.
(e) Berpandangan jauh. Contohnya, Datuk Khir Ghazali ingin Aiman menyertai PLKN untuk membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni di samping memupuk semangat patriotrik dalam jiwa anaknya itu.

Pengajaran
(a) Kita hendaklah memupuk semangat patriotik/cinta akan negara dalam kalangan generasi muda.
(b) Kita perlulah menjadi seorang insan yang berintegriti dan amanah untuk memikul tanggungjawab.
(c) Kita mestilah rajin membaca bagi melahirkan masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan luas tentang satu-satu perkara.
(d) Kita hendaklah bersabar menghadapi kerenah manusia yang biadab.
(e) Kita perlulah berpandangan jauh dalam usaha membina kehidupan yang lebih sempurna.
(f) Kita mestilah berpendirian tegas dan teguh untuk menegakkan satu-satu perkara yang bermanfaat kepada nusa dan negara tercinta.
(g) Kita hendaklah gigih mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...