Isnin, 13 Disember 2021
KOMSAS TINGKATAN 3 - PROSA TRADISIONAL BAHAGIA SESUDAH DERITA
Khamis, 9 Disember 2021
KOMSAS TINGKATAN 4 - SAJAK GELANGGANG (ONN MALINI)
Maksud
Rangkap 1
Malaysia ditubuhkan oleh para pemimpin generasi terdahulu kira-kira 50 tahun yang lalu. Negara yang merdeka ini terhasil daripada persepakatan dan perpaduan setiap kaum terdahulu yang akan diwariskan kepada generasi yang seterusnya.
Rangkap 2
Rakyat atau generasi merdeka hari ini merupakan pewaris negara yang lahir daripada pengorbanan dan jerih payah generasi terdahulu. Dengan tertubuhnya Malaysia, kemakmuran tanah air dapat dinikmati bersama-sama. Kita perlu menjaga keharmonian dan kedaulatan negara ini daripada sebarang bentuk ancaman luar dengan penuh tanggungjawab. Hal ini dikatakan demikian kerana telah terbukti bahawa cara ini mampu mewujudkan kesepaduan rakyat yang pelbagai kaum.Rangkap 3
Para pemimpin generasi kini perlu berani untuk bangkit melawan tuduhan melulu dan propaganda pihak luar untuk mempertahankan kedaulatan negara yang agung ini. Kata-kata nista yang berbaur hasutan untuk menjatuhkan Malaysia perlu kita tentang tanpa tolak ansur. Pihak-pihak tersebut tidak harus mencabar Malaysia kerana tindakan itu hanya akan menyusahkan diri mereka nanti.
Rangkap 4
Penyajak menyeru agar semua warganegara yang taat setia akan negara ini saling mengeratkan tali persaudaraan dengan menghindari persengketaan yang dapat mencetuskan perbalahan antara kaum.
Rangkap 5
Sebagai generasi pelapis, kita bertanggungjawab untuk memikul amanah bagi memastikan negara kita kekal cemerlang pada peringkat dunia demi maruah negara dan jati diri rakyatnya. Kita harus meneruskan kesinambungan Malaysia sebagai negara yang aman dan disanjungi oleh semua pihak. Oleh itu, kita mestilah menghargai dan menanamkan kesetiaan serta perasaan cinta akan negara Malaysia untuk selama-lamanya.
Tema
Sajak ini bertemakan kepentingan mempertahankan keharmonian dan kedaulatan tanah air melalui sikap toleransi dan perpaduan antara kaum.
Persoalan
(a) Kepentingan perpaduan dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum.
(b) Semangat cinta akan negara yang kental dan tidak berbelah bahagi.
(c) Kesepakatan dalam kalangan rakyat.
(d) Kerjasama untuk membangunkan negara.
(e) Keberanian menentang golongan yang berniat untuk menghancurkan negara.
Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
- (a) Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat.
- (b) Terdiri daripada lima rangkap.
- (c) Bilangan barisnya tidak sama; rangkap pertama (lima baris), rangkap kedua (lapan baris), rangkap ketiga (tujuh baris), rangkap keempat (dua baris), rangkap kelima (lima baris).
- (d) Jumlah patah kata dan suku kata dalam sajak ini juga tidak sama. Misalnya, pada rangkap kedua baris pertama ada sembilan patah kata dengan dua puluh dua suku kata. Sebaliknya, pada rangkap kedua baris ketiga ada satu patah kata sahaja dengan tiga suku kata.
- (e) Sajak ini mempunyai 27 baris.
- (f) Rima akhirnya bebas; abccd, abacdade, abcbcdb, ab,abaac.
Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Unsur kata atau diksinya indah (puitis). Contohnya, agar kecemerlangan tercerna di persada arena.
(b) Anafora. Contohnya, kita pelihara, kita mempertahankan (rangkap 2 baris 5 dan 6).
(c) Perlambangan atau imejan. Contohnya, pewaris gelanggang.
(d) Perulangan kata. Contohnya, kata gelanggang disebut sebanyak enam kali dalam sajak ini.
(e) Asonansi. (perulangan bunyi vokal a). Contohnya, kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah.
(f) Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan s). Contohnya, elakkan pertelingkahan sesama sendiri.
Nada
Sajak ini bernada patriotik.
Nilai
(a) Tanggungjawab.
(b) Cinta akan negara.
(c) Pengorbanan.
(d) Perpaduan.
(e) Kesyukuran.
(f) Ketaatan.
(g) Amanah
Pengajaran
(a) Kita hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman pihak luar.
(b) Kita mestilah berani menangkis segala bentuk propaganda dan tuduhan melulu daripada pihak luar yang cuba mengganggu-gugat kedaulatan negara.
(c) Kita perlulah menghargai pengorbanan dan jasa yang dicurahkan oleh generasi dan para pemimpin terdahulu yang berusaha untuk memerdekakan tanah air daripada penjajah.
(d) Sebagai rakyat yang berbilang kaum, kita hendaklah bersatu padu untuk menjamin keharmonian negara yang tercinta ini.
(e) Kita haruslah bersyukur kerana dapat tinggal di negara yang aman, sejahtera, dan harmoni.
(f) Kita mestilah bersama-sama memajukan negara dalam pelbagai bidang agar maruah negara terjamin pada peringkat antarabangsa.
Selasa, 7 Disember 2021
KOMSAS TINGKATAN 5 - CERPEN GERHANA MANUSIA
Sinopsis
Profesor Doktor Juaidi cuba mempengaruhi kakitangannya agar memastikan semua pek darah yang ada di hospital diberikan kepada Tuan Besar Musa. Nusia, iaitu jururawat di wad Unit Rawatan Rapi ditugaskan untuk memberikan rawatan kepada Tuan Besar Musa yang sedang koma dan semakin tenat akibat pengambilan minuman keras selama bertahun-tahun. Nusia memberitahu Doktor Murni bahawa bank darah sudah kehabisan stok tabung darah. Doktor Murni mengarahkan Nusia agar menghebahkan masalah itu kepada pihak media dengan harapan ada insan yang mahu menderma darahnya kepada Tuan Besar Musa.
Nusia merasakan bahawa Tuan Besar Musa tidak mampu diselamatkan lagi kerana beliau cuma bergantung pada alat sokongan hayat. Bagi Nusia, dalam keadaan kritikal tersebut, bacaan surah Yasin dan pengucapan Syahadah lebih diperlukan. Nusia turut mempersoalkan waris Tuan Besar Musa yang tidak menjenguknya di hospital. Doktor Murni menyatakan bahawa Profesor Doktor Juaidi mahu Tuan Besar Musa hidup. Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi kerana harapan Tuan Besar Musa untuk hidup adalah terlalu nipis. Nusia beranggapan bahawa arahan Profesor Doktor Juaidi supaya dia memasukkan darah ke dalam tubuh Tuan Besar Musa itu suatu pembaziran. Doktor Murni meminta Nusia agar tidak terlalu beremosi dan menurut sahaja arahan itu.
Di wad Unit Rawatan Rapi terdapat pesakit-pesakit lain yang sedang koma dan menunggu bantuan darah untuk membolehkan mereka kembali sihat. Antaranya, Solehah yang tenat dan koma akibat pundi janinnya yang pecah di ovari. Al-Hafiz pula ditimpa kemalangan kereta. Di wad Unit Rawatan Rapi itu juga terdapat bayi buangan yang hampir kekeringan darah, gadis malang yang koma dan tenat akibat didera, serta mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia. Nusia mengatakan selagi riwayat hidup pesakit di wad itu ditentukan oleh Profesor Doktor Juaidi, maka selama itulah akan berlaku ketidakadilan dalam proses rawatan di situ.
Profesor Doktor Juaidi mengarahkan Doktor Murni mendapatkan sepuluh pek darah di hospital lain dengan segera setelah diberitahu bahawa bank darah di hospital sudah kehabisan. Profesor Doktor Juaidi memberitahu Nusia bahawa Tuan Besar Musa merupakan tokoh korporat dan teknokrat yang banyak menyumbangkan dana kepada kelab elit hospital itu. Sifat dermawannya yang telah menaja majlis makan malam tahunan yang bernilai beratus-ratus ribu menyebabkan Profesor Doktor Juaidi berasa amat terhutang budi dan mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawanya.
Nusia memberitahu Profesor Doktor Juaidi bahawa tekanan darah Solehah semakin rendah. Profesor Doktor Juaidi menyuruh Nusia memberikan gelafundin bagi menggantikan darah disebabkan bekalan darah tidak mencukupi. Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi yang enggan memberikan darah tulen kepada Solehah. Profesor Doktor Juaidi menyoal Nusia tentang status perempuan yang sedang koma itu jika dibandingkan dengan Tuan Besar Musa. Akhirnya Nusia akur akan arahan Profesor Doktor Juaidi. Dia mengambil sebotol gelafundin lalu dimasukkan ke dalam tubuh Solehah yang sedang koma untuk menggantikan darah.
Nusia meluahkan rasa kesalnya kepada Doktor Murni mengenai pek-pek darah dalam bank darah di hospital itu adalah kepunyaan kelab yang boleh dijual. Doktor Murni memujuk Nusia supaya tidak terlalu emosional kerana mereka ialah golongan minoriti di hospital itu. Nusia mengatakan bahawa berlakunya pembaziran darah apabila seratus pek darah diperlukan selama dua hari untuk menyelamatkan Tuan Besar Musa. Walhal, hanya empat pek darah diperlukan untuk menyelamatkan mahasiswa yang berpenyakit leukemia itu dan setengah pek darah diperlukan untuk menghidupkan bayi buangan yang sedang koma.
Nusia memberitahu juruteknik makmal darah bahawa hanya lima pek darah diperlukan untuk memberikan peluang kepada empat orang yang sedang koma pulih kembali. Nusia mengatakan bahawa juruteknik makmal itu akan menjadi pembunuh jika dia enggan melepaskan pek-pek darah tersebut. Juruteknik makmal darah itu menegaskan bahawa darah itu adalah untuk kegunaan Tuan Besar Musa. Nusia menjelaskan bahawa Tuan Besar Musa sebenarnya sudah mati. Denyutan jantungnya ketika itu hanya dirangsangkan oleh adrenalina, dopamin, dan atropina. Juruteknik makmal darah itu akhirnya termakan pujukan Nusia dan menyerahkan lima pek darah sejuk itu kepadanya. Nusia menjelaskan kepada juruteknik makmal darah itu bahawa dia sanggup menanggung segala risiko dan herdikan atas tindakannya itu.
Nusia berasa bahawa bantuan darah-darah itu mampu menyelamatkan Solehah, mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia, dan menyembuhkan al-Hafiz yang boleh mengajar beratus-ratus tahfiz kecil. Bagi Nusia, sekiranya lima pek darah itu dimasukkan ke dalam tubuh Tuan Besar Musa, nilai pembaziran yang amat besar dilakukan oleh Profesor Doktor Juaidi.
Profesor Doktor Juaidi pula berusaha menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa dengan meningkatkan kadar penggunaan adrenalina, dopamin, dan atropina. Namun begitu, Tuan Besar Musa gagal diselamatkan dan meninggal dunia. Profesor Doktor Juaidi berasa tertekan kerana kematiannya menyebabkan kelab elit mereka akan kehilangan tajaan sebanyak RM100 ribu.
Doktor Murni menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai doktor perubatan di hospital itu yang mengetepikan nilai-nilai kemanusiaan terhadap pesakit. Keadaan tersebut menyebabkan Profesor Doktor Juaidi tercengang dengan keputusan Doktor Murni. Kemudian, Doktor Murni menggapai tangan Nusia dan mengajaknya ke bank darah supaya mereka dapat menderma darah untuk disalurkan kepada semua pesakit yang sedang koma di wad Unit Rawatan Rapi itu.
Tema
Cerpen “Gerhana Manusia” bertemakan sikap mementingkan ganjaran material ketika merawat pesakit sehingga membatasi nilai kemanusiaan.
Persoalan
(a) Pengabaian nilai kemanusiaan akibat ganjaran material.
(b) Ketabahan pesakit melawan penyakit yang dihadapi.
(c) Perasaan belas simpati sesama manusia.
(d) Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah.
(e) Bertanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas.
(f) Rasional dalam membuat tindakan.
(g) Percaya kepada qada dan qadar.
Watak dan Perwatakan
Nusia
(a) Jururawat yang bertugas di wad Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital.
(b) Akur akan perintah ketua.
(c) Bersifat penyayang
(d) Mengambil berat terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya.
(e) Jururawat yang bertanggungjawab.
(f) Mudah bersimpati dan berhati mulia.
(g) Pandai memujuk.
Doktor Murni
(a) Pegawai perubatan muda di sebuah hospital.
(b) Merawat pesakit di wad Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital.
(c) Mementingkan aspek kemanusiaan pesakit.
(d) Prihatin dan bertanggungjawab.
(e) Bersifat tenang ketika merawat pesakit.
(f) Berpendirian tegas.
(g) Rasional dalam membuat tindakan.
Profesor Doktor Juaidi
(a) Pegawai perubatan senior di sebuah hospital.
(b) Ketua jabatan kepada Doktor Murni dan Nusia.
(c) Sudah berumur, bermata bulat, dan berkening lebat.
(d) Lebih mengutamakan ganjaran material daripada nilai-nilai kemanusiaan.
(e) Bijak dalam menyelesaikan masalah.
(f) Tidak bertanggungjawab.
(g) Mementingkan aktiviti sosial.
Tuan Besar Musa
(a) Ahli korporat dan teknokrat yang memiliki gedung perniagaan yang besar.
(b) Bersifat dermawan.
(c) Suami kepada wanita jelita yang tidak setia.
(d) Berperut buncit.
(e) Mengambil minuman keras selama bertahun-tahun.
(f) Pesakit yang sedang koma, namun akhirnya meninggal dunia akibat kegagalan fungsi tubuhnya yang mengalami kehilangan darah yang banyak.
(g) Penyumbang utama dana kepada kelab elit hospital.
Latar
Latar Tempat
(a) Wad Unit Rawatan Rapi.
(b) Bank darah.
(c) Hospital.
Latar Masa
(a) Dua hari.
(b) Hari ini.
(c) Hari semalam/kelmarin.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat yang amat bersimpati atau prihatin terhadap pesakit.
(b) Masyarakat yang tidak berperikemanusiaan terhadap kesihatan pesakit.
(c) Masyarakat yang hanya mementingkan ganjaran material semata-mata.
(d) Masyarakat yang akur akan perintah ketua.
(e) Masyarakat yang bertugas di hospital.
(f) Masyarakat yang berhati mulia dan murah hati.
(g) Masyarakat yang bijak dalam menyelesaikan masalah.
Plot
Binaan Plot
(a) Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara kronologi.
(b) Pengenalan – Tuan Besar Musa sedang koma dan tenat akibat perbuatannya yang mengambil minuman keras selama bertahun-tahun. Pada waktu itu, Nusia, Doktor Murni, dan Profesor Doktor Juaidi berusaha untuk menyelamatkan nyawanya yang berada di ambang maut.
(c) Perkembangan – Nusia telah memberitahu Doktor Murni bahawa stok tabung darah di bank darah yang sudah kehabisan. Doktor Murni mengarahkan Nusia menghebahkan masalah itu kepada pihak media dengan harapan ada insan yang mahu mendermakan darahnya kepada Tuan Besar Musa.
(d) Perumitan – Nusia berasa bahawa Tuan Besar Musa tidak mampu diselamatkan lagi kerana dia hanya bergantung pada alat sokongan hayat. Nusia membantah tindakan Profesor Doktor Juaidi yang memintanya memasukkan darah tulen ke dalam tubuh Tuan Besar Musa kerana 50 pek darah yang dimasukkan ke dalam tubuhnya sebelum itu telah keluar semula. Selepas itu, Nusia memujuk juruteknik makmal darah agar memberikan lima pek darah tulen yang sejuk itu untuk kegunaan pesakit-pesakit lain. Juruteknik makmal darah itu termakan pujukan Nusia dan menyerahkan lima pek darah sejuk itu kepadanya. Nusia menjelaskan kepada juruteknik makmal darah itu bahawa dia sanggup menanggung segala risiko dan herdikan atas tindakannya itu.
(e) Klimaks – Profesor Doktor Juaidi berusaha untuk menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa dengan meningkatkan kadar penggunaan adrenalina, dopamin, dan atropina.
(f) Peleraian – Tuan Besar Musa gagal diselamatkan dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Profesor Doktor Juaidi berasa tertekan atas kematian Tuan besar Musa kerana kelab elit mereka akan kehilangan tajaan sebanyak RM100 ribu. Doktor Murni pula menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai doktor perubatan di hospital itu. Kemudian, Doktor Murni menggapai tangan Nusia dan mengajaknya ke bank darah supaya mereka dapat mendermakan darah untuk semua pesakit yang sedang koma di wad Unit Rawatan Rapi itu.
Teknik Plot
(a) Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Profesor Doktor Juaidi dengan Nusia berkaitan keadaan Solehah yang mengalami tekanan darah yang semakin rendah.
(b) Teknik imbas muka. Contohnya, Nusia membayangkan bahawa lima pek darah sejuk yang berada di tangannya mampu menyembuhkan penyakit Solehah, mahasiswa leukemia, dan al-Hafiz.
(c) Teknik monolog dalaman. Contohnya, Nusia bermonolog dalaman dengan mempersoalkan pesakit yang akan diberikan bekalan darah apabila mendengar arahan Profesor Doktor Juaidi supaya Doktor Murni mendapatkan bekalan darah daripada hospital lain.
(d) Teknik pemerian. Contohnya, penulis memerihalkan keadaan Tuan Besar Musa yang sedang koma akibat penyakitnya itu dan masih hidup dengan bantuan alat sokongan hayat.
(e) Teknik saspens. Contohnya, peristiwa tindakan Nusia yang berjaya memujuk juruteknik makmal darah agar menyerahkan lima pek darah tulen sejuk kepadanya menimbulkan tanda tanya dan perasaan ingin tahu kepada pembaca tentang perkara selanjutnya yang akan berlaku akibat tindakannya itu.
Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contoh: Syahadah; Yasin; Masya-Allah.
(b) Inversi. Contoh: Darah dan manusia itu, berbezakah nilainya? (sepatutnya Berbezakah nilainya darah dan manusia itu?)
(c) Istilah sains perubatan. Contoh: alveolus paru-paru;Platelet; atropina.
(e) Paradoks. Contoh: Aku cuba tersenyum walaupun hati terasa pedih.
(f) Personifikasi. Contoh: renungan mata Doktor Murni menikam anak mataku; Tajam mata liar garangnya menangkap wajah lembut Doktor Murni.
(g) Repetisi. Contoh: Dua pek darah daripada awak, dua pek darah daripada saya...”.
(h) Simile. Contoh: Firasat itu umpama mimpi barangkali; memancut bagai paip bocor.
(i) Simpulan bahasa. Contoh: nyawa-nyawa ikan; kurang ajar; lintah darat.
Nilai
(a) Nilai belas kasihan. Contohnya, Nusia menitiskan air mata apabila melihat penderitaan yang ditanggung oleh Solehah.
(b) Nilai bertanggungjawab. Contohnya, sebagai seorang jururawat, Nusia bertanggungjawab merawat semua pesakitnya tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.
(c) Nilai kasih sayang. Contohnya, Nusia amat menyayangi dan mengambil berat terhadap kesihatan pesakit- pesakitnya.
(d) Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Profesor Doktor Juaidi bijak mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di bank darah dengan mengarahkan Doktor Murni mendapatkan bekalan darah tersebut daripada hospital lain.
(e) Nilai menghargai nyawa. Contohnya, Nusia mengatakan bahawa hanya lima pek darah diperlukan untuk menyelamatkan empat nyawa pesakit yang sedang koma.
(f) Nilai baik hati. Contohnya, Doktor Murni bersedia mendermakan darahnya untuk bekalan darah yang kehabisan di bank darah.
(g) Nilai murah hati. Contohnya, Tuan Besar Musa merupakan dermawan yang prihatin terhadap kebajikan kakitangan hospital.
(h) Nilai keberanian. Contohnya, Nusia berani menanggung risiko berhubung tindakannya yang mendesak juruteknik makmal darah agar menyerahkan lima pek darah sejuk kepadanya.
(i) Nilai rasional. Contohnya, Nusia mendesak juruteknik makmal darah agar menyerahkan lima pek darah sejuk kepadanya untuk menyelamatkan empat nyawa pesakit yang sedang koma.
(j) Nilai keyakinan. Contohnya, Doktor Murni menyerahkan surat peletakan jawatannya kerana dia yakin ada hospital lain yang akan mengambilnya sebagai doktor perubatan.
Pengajaran
(a) Kita mestilah bersifat penyayang sesama insan tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.
(b) Kita hendaklah bersimpati terhadap orang yang bernasib malang.
(c) Kita perlu bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberi.
(d) Kita hendaklah bijak berikhtiar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
(e) Kita sepatutnya bersedia menderma darah untuk menyelamatkan nyawa pesakit/insan yang memerlukan- nya.
(f) Kita mestilah berani bersuara untuk menegakkan kebenaran dan menghindari perbuatan yang mungkar.
(g) Kita harus bersikap rasional dan mengetepikan kepentingan material serta mengutamakan nyawa manusia.
(h) Kita sepatutnya bersikap adil terhadap semua pesakit.
Khamis, 2 Disember 2021
KOMSAS TINGKATAN 2 - CERPEN BANJIR DI MATA EMAK
Sinopsis
Watak “saya” hendak menelefon temannya tetapi tersalah tekan nombor telefon rumah Mak Piah. Mak Piah menyangka orang yang membuat panggilan itu ialah anaknya, Nana. Mak Piah memberitahu “Nana” (saya) bahawa dia tidak ada bekalan makanan disebabkan banjir yang melanda kampungnya sudah sampai ke paras dada. Mak Piah berterima kasih kepada “Nana” kerana menelefon untuk bertanyakan khabarnya. Malangnya, abang Nana yang tinggal berdekatan tidak menjenguk Mak Piah langsung dan tidak menghiraukan keadaan Mak Piah semasa banjir tersebut.
Belum sempat “saya” hendak memberitahu Mak Piah tentang dirinya yang sebenar, talian telefon sudah terputus. Sudah empat hari empat malam hujan turun. “Saya” cuba menelefon Mak Piah sekali lagi tapi tiada jawapan. “Saya” bimbang akan keadaan Mak Piah. Banjir pada kali ini telah meragut dua nyawa. Mengikut cerita Mak Piah tadi, bekalan makanannya sudah habis. Jiran-jirannya sudah berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir. Mak Piah seorang sahaja yang tidak mahu pergi ke pusat pemindahan. “Saya” tertanya-tanya sebab Mak Piah tidak mahu berpindah. “Saya“ membuat andaian bahawa mungkin Mak Piah sedang menunggu kedatangan anak lelakinya. Namun begitu, menurut Mak Piah, anak lelakinya sudah tiga bulan tidak menelefon untuk bertanyakan khabarnya. Apatah lagi, pulang untuk menjenguk ibunya itu.
“Saya” mendail nombor telefon Mak Piah sekali lagi. Mak Piah menjawab panggilan “saya”. Mak Piah meminta “saya” yang disangkakannya Nana agar tidak bimbang tentangnya. Mak Piah sempat berpesan kepada “saya” agar menjaga anak dan suaminya baik-baik.
“Saya” ingin bertemu dengan Mak Piah supaya “saya” dapat melepaskan rindu terhadap ibunya yang telah meninggal dunia. Mak Piah merindui anak-anaknya. “Saya” merindui ibunya. “Saya” memperoleh alamat rumah Mak Piah dalam buku panduan telefon. “Saya” pergi ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. Mak Piah menyambut kedatangan “saya” dengan gembira.
Kerja “saya” menjadi senang kerana Mak Piah sangat peramah. Daripada Mak Piah, “saya” mendapat tahu bahawa Nubhan, abang Nana takut akan isterinya, manakala Nana pula takut akan suaminya. “Saya” bertanyakan sebab Mak Piah tidak berpindah ke pusat pemindahan. Mak Piah mengatakan bahawa semasa banjir dahulu dia berpindah juga ke pusat pemindahan tetapi dia berasa susah. Hal ini berlaku demikian kerana dia kerap membuang air kecil sehinggakan kadang-kadang tidak sempat ke bilik air. “Saya” berjanji akan menemani Mak Piah selagi banjir tidak surut. Mak Piah memeluk “saya” lantas mengucapkan terima kasih.
“Saya” mengajak Mak Piah makan. Mak Piah bertanya sama ada Nana yang memasak makanan itu dan menyuruh “saya” menghantar makanan tersebut. “Saya” mengangguk sambil tersenyum. “Saya” terpaksa berbohong. Selepas makan, “saya” menolong Mak Piah mencuci dan menyimpan barang-barang makanan yang dibawanya ke dalam peti sejuk.
“Saya” minta diri untuk pulang dan berjanji untuk datang menziarahi Mak Piah lagi. Mak Piah meminta “saya” menyampaikan salam kepada anak perempuannya, Nana.
“Saya” demam panas selama lima hari. Setelah sihat, “saya” pergi ke rumah Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. “Saya” berasa hairan apabila melihat orang ramai membanjiri pekarangan rumah Mak Piah. Rupa-rupanya Mak Piah telah meninggal dunia. Mak Piah tergelincir jatuh dan kepalanya cedera semasa hendak membersihkan rumahnya selepas banjir. Nana dan Nubhan menyesal. Kata Nana dua hari sebelumnya, Mak Piah bercerita kepada jiran-jiran bahawa Nana telah mengirim makanan kepadanya semasa banjir. Mak Piah sangat gembira. Nana menyatakan bahawa dia tidak pernah mengirim apa-apa kepada emaknya. Dia tidak pernah menelefon emaknya juga kerana emaknya tidak berapa dengar. Nana mengakui betapa mulia hati emaknya kerana sanggup berbohong kepada masyarakat untuk menjaga maruah dan namanya. Nana amat menyesal.
Tema
Kehilangan sesuatu yang bermakna meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan seseorang.
Persoalan
(a) Nasib ibu tua yang tidak mendapat perhatian daripada anak-anak.
(b) Kasih ibu tidak berbelah bagi.
(c) Menyesal kemudian tiada gunanya.
(d) Anak-anak yang tidak bertanggungjawab.
(e) Rasa simpati yang wujud dalam diri seseorang.
Watak dan Perwatakan
“Saya”
(a) Anak yatim piatu.(b) Seorang yang sensitif.
(c) Seorang yang prihatin.
(d) Mudah bersimpati.
(e) Baik hati.
(f) Terlalu merindui ibunya.
(g) Mengambil berat terhadap kehidupan Mak Piah.
(h) Sanggup berbohong kerana hendak melihat Mak Piah bahagia.
Mak Piah
(a) Hidup seorang diri di rumah usang di sebuah kampung.
(b) Mempunyai dua orang anak, iaitu Nana dan Nubhan.
(c) Seorang yang peramah.
(d) Seorang ibu yang penyayang.
(e) Seorang yang taat akan perintah Tuhan.
(f) Kurang pendengaran.
(g) Sangat merindui anak-anaknya.
Nana
(a) Anak bongsu Mak Piah.
(b) Takut akan suami.
(c) Tidakbertanggungjawab.
Plot
Binaan Plot
(a) Permulaan – “Saya” hendak menelefon temannya, tetapi tersalah tekan nombor telefon rumah Mak Piah. Mak Piah mengadu kepada “saya” yang disangkakan anak perempuannya, Nana, bahawa orang menjual ikan dan mamak menjual roti sudah tidak masuk ke kampung. Hal ini berlaku demikian kerana air banjir sudah naik ke paras dada. Tanpa sempat “saya” memberikan penjelasan tentang dirinya yang sebenar, Mak Piah sudah memutuskan talian telefon.
(b) Perkembangan – “Saya” mendail nombor telefon Mak Piah tetapi tidak berjawab. “Saya” bimbang akan keselamatan Mak Piah. Hal ini berlaku demikian kerana Mak Piah tinggal seorang diri dalam keadaan banjir. Jiran-jirannya sudah berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir. Akhirnya, Mak Piah menjawab panggilan telefon “saya”, tetapi hanya sekejap. Hati “saya” mula resah apabila memikirkan Mak Piah. “Saya” ingin bertemu dengan Mak Piah supaya “saya” dapat melepaskan rindu terhadap ibunya yang telah meninggal dunia. Mak Piah merindui anak-anaknya. “Saya” merindui ibunya. “Saya” memperoleh alamat rumah Mak Piah dalam buku panduan telefon. “Saya” pergi ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. Mak Piah menyambut kedatangan “saya” dengan gembira. “Saya” mengajak Mak Piah makan. Mak Piah bertanya sama ada Nana yang memasak makanan itu dan menyuruh “saya” menghantar makanan tersebut. “Saya” mengangguk sambil tersenyum. “Saya” terpaksa berbohong. “Saya” minta diri untuk pulang dan berjanji untuk datang menziarahi Mak Piah lagi.
(c) Klimaks – “Saya” demam panas selama lima hari. Setelah sihat, “saya” pergi ke rumah Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. “Saya” berasa hairan apabila melihat orang ramai membanjiri pekarangan rumah Mak Piah. Belum pun sempat “saya” melangkah masuk ke rumah Mak Piah, usungan jenazah dibawa keluar. Saya mengiringi jenazah Mak Piah hingga ke tanah perkuburan.
(d) Peleraian – Anak-anak Mak Piah, Nana dan Nubhan berasa sangat sedih atas kematian Mak Piah. Mereka menyesal kerana tidak pulang menjenguk emak mereka semasa banjir. Emak mereka tergelincir jatuh dan kepalanya cedera semasa hendak membersihkan rumahnya selepas banjir. Setelah tubuh Mak Piah kaku, barulah jenazahnya ditemui jirannya.
Teknik Plot
(a) Pemerian.
(b) Dialog.
(c) Saspens.
Latar
Latar Tempat
(a) Kampung.
(b) Rumah “saya”.
(c) Rumah Mak Piah.
(d) Tanah perkuburan.
Latar Masa
(a) Empat hari empat malam.
(b) Ketika banjir.
(c) Waktu zuhur.
(d) Lima hari.
(e) Selepas banjir.
(f) Waktu pagi.
Latar Masyarakat
(a) Masyarakat kampung.
(b) Masyarakat yang prihatin.
(c) Masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
(d) Masyarakat yang mementingkan kasih sayang.
(e) Masyarakat yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
(f) Masyarakat yang terlalu merindui ibunya.
(g) Masyarakat yang taat akan perintah agama.
Unsur Gaya Bahasa
(a) Bahasa Arab. Contohnya, Ya Allah; zuhur; assalamualaikum; alhamdulillah; insya-Allah.
(b) Metafora. Contohnya, lembah kepiluan; bungkusan takdir; lautan fikir.
(c) Simile. Contohnya, Ataukah agaknya dia bimbangkan bil telefon “anak” ini akan menjadi seperti harga ikan di pasar kami?
(d) Personifikasi. Contohnya, banjir kali ini menelan dua nyawa; getar suaranya menggegarkan perasaan.
(e) Peribahasa. Contohnya, isi hati.
(f) Sinkope. Contohnya, Tak apa Mak Piah, selagi banjir tak surut, insya-Allah, saya akan temankan Mak Piah.
(g) Repetisi. Contohnya, Saya yakin sungguh. Benar-benar yakin!
Nilai
(a) Kasih sayang.
(b) Baik hati.
(c) Keprihatinan.
(d) Simpati.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap ibu bapa kita.(b) Kita mestilah menghargai kasih sayang ibu bapa terhadap kita.
(c) Kita hendaklah mengamalkan sikap perikemanusiaan dan tolong-menolong sesama manusia.
(d) Kita hendaklah menjaga nama baik seseorang, terutamanya nama baik ahli keluarga sendiri.
(e) Kita mestilah berpendirian tegas dalam hal-hal tertentu terutamanya tentang hak terhadap ibu bapa kita.
KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN
KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp: 010 666 857...
-
"Bolehkah tolong jelaskan penggunaan meN-..-kan dan meN-..-i. Saya amat keliru 😑" Saya sering kali dihujani dengan permasalah...
-
INDIVIDU PERIBAHASA MAKSUD Kurang ringgit boleh dicari, kurang akal habis bicara Susah kerana harta boleh dicari, susah ker...
-
Sinopsis Novel ini berkisar tentang seorang gadis genius bernama Farisha. Farisha mula mengenali Aqram dalam penerbangan dari Lapanga...