Isnin, 13 Disember 2021

KOMSAS TINGKATAN 3 - PROSA TRADISIONAL BAHAGIA SESUDAH DERITA

Sinopsis

    Cerita dimulakan dengan kisah sepasang suami isteri yang miskin telah berjalan-jalan mengelilingi negeri lalu pergi berjumpa dengan Maharaja Indera Dewa. Setelah dilihat oleh orang ramai akan pasangan yang memakai pakaian carik itu, mereka telah melemparkan kayu dan batu ke arah pasangan miskin tadi hingga menyebabkan tubuh suami isteri itu bengkak-bengkak dan berdarah. Betara Angkasa Indera Dewa telah mengarahkan mereka mengusir pasangan miskin itu. Hal ini telah menyebabkan pasangan miskin tadi melarikan diri ke dalam hutan. Dalam perjalanan pulang, pasangan itu telah terjumpa tempat orang membuang sampah. Takdir Allah telah menentukan mereka untuk berjumpa dengan sebiji ketupat basi dan buku tebu lalu dimakannya. Pasangan miskin ini mengambil keputusan untuk tidur di sana. Pada hari yang berikutnya, pasangan ini mencuba nasib lagi untuk meminta makanan tetapi masih gagal.

    Melihat isterinya yang sakit, Si Miskin masuk ke dalam hutan untuk mencari ubat dan pucuk kayu untuk dimakan. Tidak lama selepas itu, isterinya telah hamil tiga bulan dan mengidam hendak makan buah mangga. Si Miskin pergi ke sebuah kedai menjual buah-buahan lalumeminta buah yang telah dibuang daripada peniaga itu. Hal ini telah menyebabkan peniaga-peniaga itu berasa amat kasihan kepadanya lalu memberikan buah, juadah, nasi dan kain. Namun, si isteri menangis lagi kerana dia masih mengidam buah mangga yang ditanam dalam taman raja.

    Si suami terus berjumpa dengan Maharaja Indera Dewa untuk menyatakan hasratnya meminta sebiji buah mangga. Setelah mendengar permintaan itu, baginda menyuruh orangnya memberikan setangkai buah mangga kepada Si Miskin itu. Buah mangga itu telah dibawa pulang lalu diberi kepada isterinya. Selang tiga hari, si isteri mengidam lagi hendak makan buah nangka di taman raja. Sekali lagi dia telah berjumpa dengan Maharaja Indera Dewa untuk menyatakan tujuannya tetapi hanya meminta sehelai daun nangka. Namun begitu, baginda telah memberikan sebiji buah nangka kepada si miskin itu. Kehidupan pasangan ini menjadi senang apabila sering diberi barangan keperluan oleh orang ramai.

    Pada malam empat belas haribulan, isteri Si Miskin telah melahirkan seorang bayi lelaki lalu dinamakan Marakarma. Pasangan ini akhirnya berpindah ke sebuah pondok. Pada suatu hari, si suami telah menggali tanah untuk mendirikan tiang rumah. Dia telah terjumpa tajau yang mengandungi emas. Emas itu dibawa oleh Si Miskin kepada saudagar di negeri Anta Beranta. Si Miskin hanya mahukan saudagar di negeri Anta Beranta itu memberikannya sepasang kasut, tetapi apabila melihat emas yang terlalu banyak saudagar itu meminta tempoh selama tujuh tahun untuk menunaikan permintaan Si Miskin. Kemudian, Si Miskin pergi berjumpa dengan saudagar lain lalu meminta mereka membelikan tongkat, payung, pedang, otar-otar, keris, pelana kuda dan kain.

    Si Miskin balik ke rumah lalu mandi. Kemudian dia memangku anaknya itu sambil menyeru jika benar anaknya itu ialah anak dewa, maka dia mahu dibinakan sebuah negeri di dalam hutan itu yang lengkap dengan sebuah kota, istana, menteri, hulubalang dan rakyat. Dengan takdir Allah Taala, jadilah sebuah negeri yang lengkap lalu dia menjadi Maharaja Indera Angkasa di negeri Pura bernama Puspa Sari dan isterinya bernama Tuan Puteri Ratna Dewi. Tidak lama selepas itu. Ratna Dewi telah mengandung lagi lalu melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Tuan Puteri Nila Kesuma. Sambutan kelahiran secara besar- besar telah dilakukan selama empat puluh hari empat puluh malam mengikut adat istiadat istana.


Tema

Ketabahan hidup sepasang suami isteri yang miskin tinggal di negeri Anta Beranta.


Persoalan

(a) Kecekalan hati menghadapi cabaran hidup.
(b) Sikap memandang hina terhadap orang miskin. 
(c) Kasih sayang seorang suami terhadap isteri. 
(d) Kesetiaan isteri terhadap suami.
(e) Sikap belas kasihan terhadap golongan miskin.


Watak dan Perwatakan 

Maharaja Indera Angkasa

(a)  Suami Tuan Puteri Ratna Dewi.
(b)  Berasal dari raja keinderaan.
(c)  Disumpah oleh Betara Guru kerana membawa isteri turun ke bumi tanpa memberitahunya.
(d)  Seorang yang miskin sebelum menjadi seorang raja.
(e)  Seorang yang tabah mengharungi cabaran hidup dalam kemiskinan.
(f)  Seorang yang sayang akan isteri.
(g)  Maharaja Indera Angkasa juga merupakan seorang yang bijak.


Tuan Puteri Ratna Dewi

(a)  Isteri Maharaja Indera Angkasa.
(b)  Berasal dari raja keinderaan.
(c)  Disumpah menjadi miskin oleh Betara Guru kerana mengikut suaminya turun ke bumi.
(d)  Seorang yang tabah mengharungi cabaran hidup dalam kemiskinan.
(e)  Tuan Puteri Ratna Dewi juga seorang yang setia akan suaminya.
(f)  Seorang yang mementingkan diri sendiri.


Maharaja Indera Dewa

(a) Raja di negeri Anta Beranta. 
(b) Seorang yang berhati mulia.

Betara Angkasa Indera Dewa
(a) Salah seorang raja di negeri Anta Beranta. 
(b) Seorang yang tidak berperikemanusiaan.


Plot 

Binaan Plot

(a)  Permulaan – Pasangan suami isteri yang miskin telah mencari rezeki dengan meminta sedekah di negeri Anta Beranta.

(b)  Perkembangan – Pasangan ini pergi ke istana Maharaja Indera Dewa. Namun begitu, mereka telah diusir oleh Betara Angkasa Indera Dewa dan dilempar dengan batu serta kayu oleh orang di istana itu hingga menyebabkan badan pasangan itu bengkak dan berdarah. Mereka melarikan diri ke dalam hutan. Pasangan suami isteri itu akhirnya mengambil keputusan untuk tinggal di kawasan pembuangan sampah. Mereka makan ketupat basi dan
buku tebu sahaja.

(c)  Klimaks – Maharaja Indera Dewa telah memberi setangkai
buah mangga dan sebiji buah nangka kepada Si Miskin itu. Begitu juga dengan peniaga-peniaga yang lain telah banyak memberi barangan keperluan harian kepada pasangan itu. Semasa membina pondok, Si Miskin telah menjumpai tajau berisi emas. Setelah Marakarma lahir, dia telah menyeru kuasa anaknya itu untuk membina kota yang lengkap. Si Miskin telah menjadi raja dan digelar Maharaja Indera Angkasa manakala isterinya Tuan Puteri Ratna Dewi.

(d)  Peleraian – Kehidupan pasangan ini amat bahagia dan lahir pula seorang puteri, iaitu Tuan Puteri Nila Kesuma. Baginda telah mengadakan acara keramaian selama empat puluh hari empat puluh malam.

Teknik Plot

(a) Dialog.
(b) Imbas kembali. 
(c) Monolog.
(d) Pemerian.


Latar

Latar Tempat

(a) Negeri Anta Beranta.
(b) Hutan.
(c) Tempat pembuangan sampah. 
(d) Pasar.
(e) Kedai menjual buah.
(f) Taman Maharaja Indera Dewa. 
(g) Puspa Sari.

Latar Masa

(a) Waktu siang.
(b) Waktu petang.
(c) Waktu malam.
(d) Tiga bulan.
(e) Selang tiga hari.
(f) Malam empat belas haribulan.

Latar Masyarakat

(a) Masyarakat yang memandang hina terhadap orang miskin. 
(b)Masyarakat yang mengamalkan sikap kasih sayang.
(c)Masyarakat yang setia terhadap pasangan.
(d)Masyarakat yang memiliki sikap belas kasihan.
(e)Masyarakat yang percaya akan kuasa sakti. 
(f)Masyarakat yang suka berhibur.


Gaya Bahasa

(a)  Bahasa Arab. Contohnya, masyhurAllah TaalaWallahualam.
(b)  Bahasa istana. Contohnya, bagindatitahkakandapatikberputeralah.
(c)  Bahasa klasik. Contohnya, hattacetera; adapun.
(d)  Simile. Contohnya, ...rupa kainnya carik-carik berjurai-jurai seperti ubur-uburlah rupanya.
(e)  Repetisi. Contohnya, 

Maka ada yang memberi buah,
ada yang memberi juadah;
ada yang memberi nasi,
ada yang memberi kain,
ada yang memberi buah-buahan.


Nilai

(a) Kasih sayang. 
(b) Kegigihan. 
(c) Baik hati.
(d) Ketaatan.
(e) Berdikari.
(f) Belas kasihan.


Pengajaran

(a)  Kita perlulah gigih berusaha untuk mencapai sesuatu.
(b)  Kita hendaklah taat akan suami.
(c)  Kita haruslah mengamalkan sikap belas kasihan terhadaporang lain.
(d)  Kita mestilah sayang akan isteri.
(e)  Kita janganlah memandang hina terhadap orang lain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...