Khamis, 9 Disember 2021

KOMSAS TINGKATAN 4 - SAJAK GELANGGANG (ONN MALINI)

Maksud

Rangkap 1

Malaysia ditubuhkan oleh para pemimpin generasi terdahulu kira-kira 50 tahun yang lalu. Negara yang merdeka ini terhasil daripada persepakatan dan perpaduan setiap kaum terdahulu yang akan diwariskan kepada generasi yang seterusnya.

Rangkap 2

Rakyat atau generasi merdeka hari ini merupakan pewaris negara yang lahir daripada pengorbanan dan jerih payah generasi terdahulu. Dengan tertubuhnya Malaysia, kemakmuran tanah air dapat dinikmati bersama-sama. Kita perlu menjaga keharmonian dan kedaulatan negara ini daripada sebarang bentuk ancaman luar dengan penuh tanggungjawab. Hal ini dikatakan demikian kerana telah terbukti bahawa cara ini mampu mewujudkan kesepaduan rakyat yang pelbagai kaum.Rangkap 3

Para pemimpin generasi kini perlu berani untuk bangkit melawan tuduhan melulu dan propaganda pihak luar untuk mempertahankan kedaulatan negara yang agung ini. Kata-kata nista yang berbaur hasutan untuk menjatuhkan Malaysia perlu kita tentang tanpa tolak ansur. Pihak-pihak tersebut tidak harus mencabar Malaysia kerana tindakan itu hanya akan menyusahkan diri mereka nanti.

Rangkap 4

Penyajak menyeru agar semua warganegara yang taat setia akan negara ini saling mengeratkan tali persaudaraan dengan menghindari persengketaan yang dapat mencetuskan perbalahan antara kaum.

Rangkap 5

Sebagai generasi pelapis, kita bertanggungjawab untuk memikul amanah bagi memastikan negara kita kekal cemerlang pada peringkat dunia demi maruah negara dan jati diri rakyatnya. Kita harus meneruskan kesinambungan Malaysia sebagai negara yang aman dan disanjungi oleh semua pihak. Oleh itu, kita mestilah menghargai dan menanamkan kesetiaan serta perasaan cinta akan negara Malaysia untuk selama-lamanya.


Tema

Sajak ini bertemakan kepentingan mempertahankan keharmonian dan kedaulatan tanah air melalui sikap toleransi dan perpaduan antara kaum.


Persoalan

(a) Kepentingan perpaduan dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum.

(b)  Semangat cinta akan negara yang kental dan tidak berbelah bahagi.

(c)  Kesepakatan dalam kalangan rakyat.

(d)  Kerjasama untuk membangunkan negara.

(e)  Keberanian menentang golongan yang berniat untuk menghancurkan negara.


Bentuk dan Ciri-ciri Sajak

  1. (a) Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat.
  2. (b) Terdiri daripada lima rangkap.
  3. (c) Bilangan barisnya tidak sama; rangkap pertama (lima baris), rangkap kedua (lapan baris), rangkap ketiga (tujuh baris), rangkap keempat (dua baris), rangkap kelima (lima baris).
  4. (d) Jumlah patah kata dan suku kata dalam sajak ini juga tidak sama. Misalnya, pada rangkap kedua baris pertama ada sembilan patah kata dengan dua puluh dua suku kata. Sebaliknya, pada rangkap kedua baris ketiga ada satu patah kata sahaja dengan tiga suku kata.
  5. (e) Sajak ini mempunyai 27 baris.
  6. (f) Rima akhirnya bebas; abccd, abacdade, abcbcdb, ab,abaac.


Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

(a)  Unsur kata atau diksinya indah (puitis). Contohnya, agar kecemerlangan tercerna di persada arena.

(b)  Anafora. Contohnya, kita pelihara, kita mempertahankan (rangkap 2 baris 5 dan 6).

(c)  Perlambangan atau imejan. Contohnya, pewaris gelanggang.

(d)  Perulangan kata. Contohnya, kata gelanggang disebut sebanyak enam kali dalam sajak ini.

(e)  Asonansi. (perulangan bunyi vokal a). Contohnya, kitsanggah nyah tanpkompromi dari menggugah.

(f)  Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan s). Contohnya, elakkan pertelingkahan sesama sendiri.


Nada

Sajak ini bernada patriotik.


Nilai

(a) Tanggungjawab. 

(b) Cinta akan negara. 

(c) Pengorbanan.

(d) Perpaduan.

(e) Kesyukuran.

(f) Ketaatan.

(g) Amanah


Pengajaran

(a) Kita hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman pihak luar.

(b)  Kita mestilah berani menangkis segala bentuk propaganda dan tuduhan melulu daripada pihak luar yang cuba mengganggu-gugat kedaulatan negara.

(c)  Kita perlulah menghargai pengorbanan dan jasa yang dicurahkan oleh generasi dan para pemimpin terdahulu yang berusaha untuk memerdekakan tanah air daripada penjajah.

(d)  Sebagai rakyat yang berbilang kaum, kita hendaklah bersatu padu untuk menjamin keharmonian negara yang tercinta ini.

(e)  Kita haruslah bersyukur kerana dapat tinggal di negara yang aman, sejahtera, dan harmoni.

(f)  Kita mestilah bersama-sama memajukan negara dalam pelbagai bidang agar maruah negara terjamin pada peringkat antarabangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...