Jumaat, 19 November 2021

KOMSAS TINGKATAN 4 - CERPEN KADUK, AYAM DAN RAJA

Sinopsis

    Cerita dimulakan dengan penulis mengimbau kembali kisah Kaduk. Pada zaman dahulu, raja memiliki kuasa mutlak. Raja yang zalim akan merampas dan menipu rakyat. Sikap tamak sesetengah raja membuatkan kehidupan rakyat jelata semakin susah dan dihimpit kemiskinan. Hal inilah yang terjadi kepada Kaduk apabila tanahnya yang seluas empat ekar telah dirampas oleh raja.

    Hakim, iaitu cucu Kaduk merupakan seorang yang terpelajar dan berkelulusan sebuah universiti. Hakim berusaha untuk mendapatkan hak datuknya semula yang telah dirampas secara tidak sah oleh raja melalui bantuan sahabatnya, Azam, peguam berkelulusan jurusan undang-undang. Dalam proses perbicaraan di mahkamah, Azam bijak berhujah sehingga akhirnya Tuan Hakim memutuskan bahawa tanah Kaduk berkeluasan empat ekar yang telah dirampas oleh raja pada suatu ketika dahulu dikembalikan kepada warisnya, iaitu Hakim.

    Setelah Hakim berjaya menebus tanah pusaka milik datuknya itu semula, dia bercadang untuk menjalankan projek penternakan ayam secara pertanian kontrak di kawasan tanah tersebut daripada terbiar. Projek penternakan ayam secara pertanian kontrak itu telah dibuat dengan sebuah syarikat besar, iaitu Global Chicken. Cawangannya di Malaysia menggunakan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau nama singkatannya RAJA. Hakim menceburi bidang penternakan bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan yang mahu rakyat di negara ini aktif dalam bidang pertanian. Menurutnya, banyak faedah akan disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat melalui Dasar Ekonomi Baru.

    Bagi memastikan projek penternakan ayamnya berjaya direalisasikan, Hakim membina reban ayam tertutup yang dilengkapi sistem penyaman udara dan peralatan memberikan makanan semiautomatik. Kos tersebut menelan belanja dua ratus ribu ringgit. Hakim sukar mendapatkan pinjaman bank. Hasil bantuan seorang Yang Berhormat, akhirnya bank meluluskan pinjamannya. Kontrak membekalkan ayam ditandatangani dengan syarikat RAJA.

    Selama setahun, Hakim berjaya menjual ayam-ayamnya sebanyak enam kali pusingan. Namun demikian, Hakim banyak menghadapi masalah. Masalah pertama ialah jalan masuk ke kawasan penternakan itu tidak diturap menyebabkan lori- lori tersangkut dalam selut lumpur ketika hujan. Penduduk kampung pula merungut dan membuat bantahan kerana jalan mereka rosak. Dia juga masih berhutang dengan pihak bank yang telah memberinya pinjaman modal.

    Seperkara lagi, Hakim banyak berhutang dengan syarikat RAJA yang membekalkan anak ayam, dedak, ubat- ubatan serta keperluan lain. Syarikat RAJA menentukan harga barangan tersebut dan membuat potongan hasil jualan ayam kepadanya menyebabkan sebahagian besar keuntungan hasil jualan ayam Hakim dikaut oleh oleh Syarikat RAJA. Baki keuntungan jualan itu tidak dapat menampung kos keseluruhan penternakannya untuk membayar gaji pembantu, bil air dan elektrik, dan kos penyelenggaraan yang lain. Akibatnya, hutang Hakim semakin meningkat, sebaliknya Syarikat RAJA terus mengaut keuntungan.

    Azam menasihati Hakim agar berurusan secara langsung dengan Jabatan Haiwan supaya penternak kecil seperti Hakim tidak menjadi mangsa orang tengah. Azam bersimpati dengan nasib yang menimpa Hakim. Hakim tiada pilihan selain meneruskan usaha menternak ayam kerana kegagalannya melunaskan hutang bank akan menyebabkan tanah pusakanya itu dirampas. Tindakan bank merampas tanah pusaka itu disamakan dengan tindakan raja merampas tanah datuknya dahulu.

    Hakim mula sedar bahawa dia senasib dengan datuknya. Satu perkara yang membezakan mereka hanyalah nama dan masa peristiwa itu berlaku. Pada zaman ini, raja ialah orang yang memegang kuasa ekonomi. Orang-orang bawahan terpaksa mengikut telunjuk mereka.


Tema

Cerpen ini bertemakan kesungguhan seorang pemuda yang menceburi bidang pertanian dan keusahawanan.


Persoalan

(a) Kegigihan seorang anak muda dalam bidang pertanian. 
(b) Cabaran yang perlu ditempuhi dalam dunia perniagaan. 
(c) Tuntutan pemilikan hak yang telah diambil oleh orang Lain.
(d) Pahit getir masyarakat yang mengusahakan bidang pertanian.
(e) Pembersihan nama dan maruah keluarga.


Watak dan Perwatakan

(a) Watak utama – Hakim.
(b) Watak sampingan – Azam, Kaduk, dan sebagainya. 


Hakim

(a) Bapanya bernama Hassan dan datuknya bernama Kaduk. 
(b) Berpendidikan tinggi.
(c) Gigih berusaha bagi mencapai cita-cita.
(d) Bijak membuat tindakan secara rasional.
(e) Bercita-cita tinggi, iaitu berazam menjadi usahawan yang berjaya dengan cara menyahut seruan kerajaan melalui projek penternakan ayam secara moden yang telah diusahakannya.
(f) Berani dan berpendirian tegas untuk mendapatkan tanah pusaka datuknya yang dirampas oleh raja pada suatu ketika dahulu dengan memfailkan kesnya di mahkamah.
(g) Berpandangan jauh dengan menceburi bidang penternakan ayam bagi memastikan pengeluaran makanan negara berterusan dan tidak bergantung pada makanan import semata-mata.
(h) Tabah untuk meneruskan projek ternakan ayam meskipun dia berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran.
(i) Reda menerima kesan buruk akibat kesilapan dirinya. (j) Pandai berdikari semasa mengusahakan penternakan
ayam secara moden.

Azam

(a) Sahabat baik Hakim.
(b) Berpendidikan tinggi, iaitu lulusan sebuah universiti dalam jurusan undang-undang.
(c) Bertugas sebagai peguam di syarikat guaman.
(d) Bijak dan petah berhujah.
(e) Prihatin terhadap sahabatnya.
(f) Baik hati serta banyak memberikan kata-kata semangat,dorongan, dan nasihat kepada Hakim untuk berjaya sebagai seorang petani moden.
(g) Bersimpati terhadap masalah hutang yang menghimpit Hakim.
(h) Mempunyai sifat setia kawan yang tinggi.


Pak Kaduk

(a) Pak Kaduk ialah datuk Hakim.
(b) Dianggap bodoh dan bersikap lurus bendul. 
(c) Taat akan perintah raja.
(d) Miskin dan hidup merempat.
(e) Patuh akan nasihat dan pandangan orang lain.


Latar

Latar Tempat

(a) Kampung.
(b) Rumah Hakim.
(c) Bangsal rehat.
(d) Reban ternakan ayam. (e) Universiti.
(f) Mahkamah.
(g) Bank.

Latar Masa

(a) Zaman dahulu. 
(b) Zaman moden. 
(c) Sepuluh bulan. 
(d) Setahun.

Latar Masyarakat
(a)  Masyarakat yang menjadi mangsa penindasan golongan yang berkuasa.
(b)  Masyarakat generasi kini yang berani mempertahankan hak mereka.
(c)  Masyarakat yang gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.
(d)  Masyarakat generasi muda yang berpendidikan tinggi.
(e)  Masyarakat yang ingin membersihkan nama dan maruah keluarga.
(f)  Masyarakat yang tamak terhadap golongan yang lemah.
(g)  Masyarakat yang dihimpit masalah kewangan.


Plot

Binaan Plot

(a) Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara kronologi.
(b)  Plot permulaan atau eksposisi cerpen ini dimulai dengan penulis mengimbas kembali kisah Kaduk. Pada zaman dahulu, raja memiliki kuasa mutlak. Raja yang zalim akan merampas dan menipu rakyat. Mereka yang menentang raja dianggap penderhaka dan dijatuhi hukuman berat. Sikap tamak sesetengah raja membuatkan kehidupan rakyat jelata semakin susah dan dihimpit kemiskinan. Hal inilah yang terjadi kepada Pak Kaduk apabila tanahnya dirampas oleh raja.
(c)  Pada tahap perkembangan, penulis menjelaskan bahawa Hakim yang merupakan cucu Kaduk berusaha untuk mendapatkan hak datuknya yang telah dirampas semula secara tidak sah oleh raja melalui sistem perundangan di mahkamah. Hakim telah mendapatkan bantuan sahabatnya, Azam yang bekerja sebagai peguam. Di mahkamah, Azam bijak berhujah sehingga akhirnya tanah Kaduk yang telah dirampas oleh raja pada suatu masa dahulu dikembalikan kepada warisnya, iaitu Hakim.
(d)  Tahap perumitan cerita apabila Hakim banyak menghadapi masalah ketika mengurus projek penternakan ayam secara kontrak. Masalah pertama ialah jalan masuk ke kawasan penternakan itu tidak diturap menyebabkan lori-lori tersangkut dalam selut lumpur ketika hujan. Rungutan orang kampung yang tidak berpuas hati akibat jalan di kampung itu rosak juga antara penyebabnya. Selain itu, Hakim banyak berhutang dengan syarikat RAJA yang membekalkan anak ayam, makanan dedak, ubat- ubatan serta keperluan lain. Syarikat RAJA berkuasa untuk menentukan harga barangan tersebut dan membuat potongan hasil jualan ayam. Baki keuntungan jualan itu tidak dapat menampung kos keseluruhan penternakan. Akibatnya, hutang Hakim semakin meningkat dari sehari ke sehari.
(e)  Klimaks cerpen ini adalah apabila Hakim tiada pilihan selain meneruskan usaha menternak ayam. Dengan apa-apa cara sekalipun, dia perlu membayar hutangnya kepada pihak bank kerana kegagalannya melunaskan hutang bank kelak akan menyebabkan tanah pusakanya itu dirampas.
(f)  Peleraian cerpen ini adalah apabila Hakim menganggap tindakan bank merampas tanah pusaka itu disamakan dengan tindakan raja merampas tanah datuknya dahulu. Hakim mula sedar bahawa dia senasib dengan datuknya. Satu perkara yang membezakan mereka hanyalah nama dan masa peristiwa itu berlaku. Pada zaman ini raja ialah orang yang memegang kuasa ekonomi. Orang-orang bawahan terpaksa mengikut telunjuk mereka.

Teknik Plot

(a) Teknik pemerian. Contohnya, penulis memerihalkan bahawa Hakim merupakan cucu daripada keturunan Kaduk yang berusaha untuk mendapatkan hak datuknya yang telah dirampas secara tidak sah oleh raja semula.
(b)  Teknik dialog. Contohnya:
“Dah berapa kali kau menjual ayam?” tanya Azam.
“Sudah enam kali. Ayam-ayam kecil yang kita lihat di dalam reban tadi ialah pusingan yang ketujuh.”
(c)  Teknik imbas kembali. Contohnya, penulis menceritakan kembali kisah Pak Kaduk yang menukar ayamnya, Si Kunani dengan ayam raja. Sebagai taruhan dalam pertandingan sabung ayam tersebut, dia menggadaikan tanahnya kepada raja. Oleh sebab dia kalah menyabung, tanah Pak Kaduk itu dirampas oleh raja.
(d)  Teknik imbas muka. Contohnya, Hakim membayangkan niatnya untuk mendirikan sebuah memorial yang akan dinamakan ‘Memorial Pak Kaduk’ sekiranya dia berjaya menebus tanah milik datuknya seluas empat ekar itu kembali.


Gaya Bahasa

(a) Dalam aspek diksi atau pemilihan kata, pengarang telah menggunakan perkataan sehari-hari yang mudah difahami oleh pembaca.
(b)  Dari segi pembinaan ayat, pengarang menggunakan ayat pendek, ayat sederhana panjang, dan ayat panjang.
(c)  Personifikasi. Contohnya: Hakim meluahkan segala yang telah bersarang di dadanya.
(d)  Metafora. Contohnya: kamar pengadilan.
(e)  Hiperbola. Contohnya: Kini, hidupku bergelumang dengan hutang.
(f)  Simile. Contohnya: Bank akan merampas tanahku tidak


Nilai

(a) Kebijaksanaan. Contohnya, sebagai peguam, Azam menggunakan kepakarannya dalam bidang guaman untuk membantu Hakim mendapatkan hak milik tanah datuknya yang telah dirampas oleh raja kembali.
(b)  Berdikari. Contohnya, Hakim mengusahakan penternakan ayam secara moden dengan membuat pinjaman bank tanpa memohon bantuan daripada pihak kerajaan.
(c)  Ketaatan. Contohnya, Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayamnya, Si Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa bersabung ayam.
(d)  Keadilan. Contohnya, Tuan Hakim di mahkamah telah mengadili kes perbicaraan tuntutan tanah milik Kaduk oleh cucunya, Hakim secara telus dan akhirnya Hakim berjaya mendapatkan kembali hak milik tanah datuknya itu.
(e)  Kesyukuran. Contohnya, Hakim bersyukur kerana dapat menebus tanah dan maruah datuknya semula yang sudah bertahun-tahun menjadi ejekan bangsa.
(f)  Kegigihan. Contohnya, Hakim gigih berusaha dengan beberapa kali berulang-alik ke bank untuk mendapatkan pinjaman bank bagi menjayakan projek ternakan ayamnya.


Pengajaran

(a) Kita hendaklah menolong orang yang memerlukan bantuan kita.
(b)  Kita hendaklah mengamalkan sikap berdikari tanpa terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.
(c)  Kita mestilah menyokong dan menyahut dasar-dasar kerajaan demi kemajuan bangsa dan negara.
(d)  Kita hendaklah bersikap adil semasa membuat pertimbangan.
(e)  Kita perlulah bersikap rasional dengan menggunakan saluran yang betul bagi menuntut hak-hak kita kembali.
(f)  Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.
(g)  Kita mestilah bertanggungjawab untuk menjaga dan membersihkan nama serta maruah keturunan kita.
(h)  Kita mestilah bersabar dan tabah menghadapi cabaran
hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...