Khamis, 12 Mei 2022

KOMSAS TINGKATAN 2 - SYAIR NASIHAT PENGHUJUNG THAMARAT AL-MUHIMMAH

Maksud

Rangkap 1
Penyair telah tamat mengarang kitab supaya dapat dijadikan panduan.

Rangkap 2
Ayah berharap agar anaknya akan menjaga tingkah laku dan menjadi insan yang berakhlak mulia.

Rangkap 3
Ayah menasihati anaknya agar tidak bersikap malas.

Rangkap 4
Menurut ayah lagi, jika anaknya itu menjadi raja, dia hendaklah bertindak dengan betul dan rajin bekerja.

Rangkap 5
Ayah menasihati anaknya supaya rajin berbuat kebajikan. Dalam masa yang sama, hati perlulah ikhlas dan bersih.

Rangkap 6
Ayah menasihati anaknya supaya tidak malas menuntut ilmu. Ilmu yang dituntut itu perlulah ilmu yang betul seperti yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.

Rangkap 7
Ayah menasihati anaknya agar rajin mengaji dan hal ini perlu diberi keutamaan daripada hal yang lain. Hukum syarak pula tidak boleh dilanggar kerana akan menyebabkannya mendapat malu.

Rangkap 8
Sebarang tindakan perlu didasarkan kepada ilmu pengetahuan agar membawa kebaikan. Ayah juga menasihati anaknya agar berhati-hati dalam melakukan setiap perkara agar tidak terjerumus dalam perkara yang membawa kemudaratan.

Rangkap 9
Ilmu itu banyak manfaatnya kerana dengan ilmu, perkara yang benar dengan yang tidak benar dapat dibezakan. Dengan adanya ilmu, pemimpin dapat mengetahui sama ada rakyat benar atau salah dan dapat menjatuhkan hukuman yang adil kepada mereka.

Rangkap 10
Selanjutnya, jika ilmu pengetahuan itu dianggap remeh, hal ini tentu akan membawa masalah kepada anaknya jika menjadi pemerintah. Jika ada rakyat yang datang untuk menyatakan masalah, anaknya tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan.

Rangkap 11
Anaknya tidak tahu untuk menjatuhkan hukuman dan tidak mahu pula berdiam sahaja. Anaknya itu cuma mampu berpeluk tubuh dan menyebut nama Allah SWT.

Rangkap 12
Akhirnya, anaknya tidak dapat berkata apa-apa. Setelah penat duduk dan bangun, anaknya itu akan menyembunyikan diri di dalam istana.

Rangkap 13
Orang yang ingin mendapatkan pengadilan akan menjadi marah kerana perbicaraan belum pasti dapat dilakukan.

Rangkap 14
Sebarang hukuman tidak boleh diambil mudah. Jalan yang terbaik ialah kembali merujuk hukum syarak untuk mendapatkan ketenangan hati.

Rangkap 15
Jika perbicaraan tidak dijalankan mengikut hukum, maka pemimpin pasti akan dikeji oleh rakyat.

Rangkap 16
Jika perbicaraan dijalankan mengikut hukum Allah, maka kejian atau pujian daripada rakyat bawahan tidak perlulah dihiraukan oleh mereka.

Rangkap 17
Ayah berpesan lagi, jika anaknya menjadi menteri, dia digalakkan untuk berdamping dengan orang yang berilmu supaya dapat memudahkan segala kerja.

Rangkap 18
Ketua haruslah memerhatikan tingkah laku pegawai bawahannya supaya penyelewengan tidak berlaku.

Tema
Nasihat bapa kepada anak tentang kepentingan menuntut ilmu pengetahuan jika anaknya dilantik sebagai raja/menteri supaya dapat memimpin negara dengan jujur dan ikhlas.

Persoalan
(a) Setiap pemimpin diwajibkan menuntut ilmu pengetahuan.
(b) Kerja kebajikan harus dilakukan dengan penuh keikhlasan.
(c) Ilmu yang dituntut mestilah ilmu yang benar seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.
(d) Pengadilan dan perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan ilmu pengetahuan supaya tidak tersilap dalam menjatuhkan hukuman.
(e) Ketaatan dan kepatuhan rakyat terhadap pemimpin.

Bentuk dan Ciri-ciri Syair
(a) Terdiri daripada lapan belas rangkap.
(b) Berisi empat baris setiap rangkap.
(c) Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.
(d) Terdiri daripada lapan hingga empat belas suku kata sebaris.
(e) Bentuknya terikat.

Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Inversi. Contohnya, nasihat kebajikan ayahanda beri; Kerja kebajikan janganlah malas.
(b) Anafora. Contohnya, Hendak menghukumkan tiada tahu, hendak diam hati tak mahu,
(c) Bahasa Arab. Contohnya, ikhlas; syarak; batil; Allahu; Allah.
(d) Responsi. Contohnya, Kerja kebajikan janganlah malas, zahir dan batin janganlah culas,
(e) Simile. Contohnya, seperti air di dalam gelas.
(f) Sinkope. Contohnya, tak.
(g) Asonansi. Contohnya, Segala perbuatan dengan berilmu (perulangan vokal e).
(h) Aliterasi. Contohnya, maka kebajikan boleh bertemu (perulangan konsonan b).
(i) Rima akhirnya sama, iaitu aaaa.

Nilai
(a) Keadilan.
(b) Berilmu.
(c) Keikhlasan.
(d) Kepatuhan.
(e) Kebijaksanaan.
(f) Bertawakal.
(g) Hati-hati.
(h) Persaudaraan.
(i) Kerajinan.
(j) Berakhlak mulia.

Pengajaran
(a) Pemerintah haruslah bersikap adil dan tidak boleh bertindak zalim terhadap rakyat.
(b) Seorang pemimpin mestilah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup agar dapat memudahkan urusan pentadbiran.
(c) Kita hendaklah menuntut ilmu yang benar dan menghindarkan diri daripada menuntut ilmu yang sesat.
(d) Kita mestilah rajin melakukan setiap pekerjaan yang telah diamanahkan kepada kita.
(e) Kita hendaklah ikhlas dalam melakukan setiap pekerjaan yang telah diamanahkan kepada kita.
(f) Sebagai anak kita perlulah patuh akan nasihat ibu dan bapa agar hidup beroleh keberkatan.
(g) Kita hendaklah berani menegakkan kebenaran.
(h) Kita haruslah bertawakal dan berserah kepada Allah setelah membuat apa-apa keputusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023 BAHASA MELAYU KERTAS 1 NEGERI MELAKA BERSERTA CADANGAN JAWAPAN

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2023  BAHASA MELAYU KERTAS 1 (MELAKA) BERSERTA CADANGAN JAWAPAN OLEH : CIKGU HIDAYAH Whatsapp:  010 666 857...